Tempat Makan Lesehan kedengaran begitu pelik namanya. Namun, ia menyajikan hidangan yang sangat istimewa. Restoran ini menghidangkan sebanyak 22 jenis masakan Indonesia yang memiliki keunikan yang tersendiri.

Restoran yang diberi nama Tempat Makan Lesehan ini mendapat ilham dari Yogjakarta, Indonesia semasa pemilik restoran Kamarul Anuar Mohamed Nasir berkunjung ke sana suatu tika dahulu. Penduduk di Indonesia menggelar kedai makan terbuka di kaki lima jalanan sebagai tempat  lesehen. Dari situlah Tempat Makan Lesehan ini mendapat nama.

Tempat Makan Lesehan ini memberi pelanggan pengalaman menjamu selera sambil bersila. Malah, meja makan di sini di lapik dengan surat khabar dan bukannya dilapik dengan lapik meja. Konsep makan bersila ini lebih santai dan seolah – olah menjamu selera di rumah sendiri.

Sambal Asli

Imej via facebook

22 Jenis Sambal Asli

Demi menampilkan kelainan hidangan berbanding kedai makan Indonesia yang lain, restoran ini menghidangkan 22 jenis aneka sambal asli dari Yogjakarta. Setiap sambal ini mempunyai rasa yang berbeza dan tahap kepedasan juga berlainan antara satu sama lain.

Sambal yang disediakan adalah untuk dimakan bersama nasi putih dan lauk pauk lain. Selain itu, terdapat menu ala carte Indonesia yang disediakan seperti nasi goreng, mee pangsit, ayam penyet, ayam bakar, pecal dan juga bakso.

Restoran ini yang diusahakan Kamarul Anuar bersama adiknya, mengupah tukang masak yang dibawa khas dari Indonesia. Uniknya masakan di sini tidak menggunakan sebarang cili kering untuk menyediakan sambal. Namun, hanya cili segar sahaja yang digunakan bagi memanjangkan tempoh luput sambal yang dihasilkan. Penggunaan cili segar juga memberi keselesaan terhadap perut dan rasa pedas yang terhasil boleh dikawal dengan penggunaan cili tersebut.

Bakso Beranak

Imej via facebook

Pelanggan yang datang menjamu selera, amat menggemari sambal tubruk. Ia merupakan campuran tomato dan nanas. Sambal lain yang digemari juga adalah seperti sambal gobal gabul (telur, sambal cempokak (terung pipit) dan sambal Lombok ijo (cili hijau).

Sambal lain yang turut menjadi pilihan ramai terdiri dari wader, teri, petai, tempe, tomato, terung, tauhu, bawang, mangga, kedondong, hati ayam, paru, sotong, bawang goreng, udang, belacan dan juga kicap. Setiap sambal yang dipesan pelanggan akan dihidangkan dalam piring kecil dengan harga antara RM 3.00 hingga RM 8.00 mengikut jenis sambal.

Nasi Goreng Gila & Nasi Goreng Bergaduh

Anda jangan tidak tahu, terdapat nasi goreng gila disajikan di sini. Biarpun nama hidangan ini agak pelik, namun hidangan ini dihidangkan bersama lauk pauk yang banyak seperti hirisan ayam, daging, sotong, udang dan telur. Selain itu, nasi goreng Merapi juga mendapat sambutan yang begitu hangat di kalangan pelanggan.

Nasi Goreng Gila

Imej via facebook

Terdapat beberapa lagi nama hidangan yang sering menjadi sebutan ramai. Malah, turut menjadi pilihan para pengunjung yang datang menjamu selera. Hidangan tersebut adalah nasi goreng bergaduh, nasi goreng gobal gabul dan juga bakso beranak.

Nasi goreng bergaduh ini disajikan bersama gabungan ayam dan juga daging penyet. Ia turut disertakan bersama dua jenis sambal, iaitu sambal penyet dan sambal belado pedas manis.

Air minuman yang pasti anda suka adalah jus jeruk dan jus alpukat yang sememangnya berbeza di sini. Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 11.00 pagi setiap hari.

Alamat : Jln LP 7/2, Lestari Perdana, 43300 Seri Kembangan, Selangor

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.