Satay Kajang bukan hanya terkenal di Negeri Selangor, tetapi juga seluruh Malaysia. Tapi, di Kajang, bukan setakat satay sahaja yang best tau. Ada banyak lagi pilihan tempat makan lazat dan best yang anda boleh cuba.

 

20 Tempat Makan Kajang Yang Menarik Hati

#1 Laman Grill Steak & Bar B Que

Imej via foursquare

Ada taman dengan lanskap menarik, ada air pancuran, dan ada kolam. Suasananya memang membangkitkan selera makan. Chef terkenal iaitu Chef Zubir Zain mengetuai pasukannya untuk menghidangkan makanan barat yang amat menyelerakan kepada para pelanggan.

Layanan yang diberikan juga di kelas teratas. Kerana kombinasi kelazatan masakannya, suasana dan layanan yang hebat inilah menjadikan ia sebuah restoran kelas tinggi. Jadi, anda boleh menjangkakan yang harganya juga agak mahal berbanding di tempat lain.

Alamat: 38, Jalan Impian Putra 2/3, Taman Impian Putra, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 11pm)

 

#2 Kafe Beriani Gam Putrajaya

Imej via foursquare

Gerai makan tepi jalan ini sangat terkenal di kalangan penduduk sekitarnya. Masakannya sering mendapat pujian pengunjung. Nasi Beriani di Kafe Beriani Gam terbahagi kepada beberapa jenis iaitu Beriani Ayam Gam, Beriani Ayam Merah, Beriani Ayam Kuzi, Beriani Daging Gam, dan Beriani Kambing Kuzi.

Selain itu, para pelanggan suka kuantiti makanannya yang banyak. Mungkin disebabkan itulah, ada pelanggan yang mengatakan harga yang dibayar, walaupun dikatakan agak tinggi, tetap berbaloi dengan kualiti masakan mereka.

Alamat: Lot Sub 4, Jalan Kajang – Puchong, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 11pm)

 

#3 Oscar Coffee & Food

Imej via foursquare

Melihat nama dan bangunannya membuatkan pelanggan menyangka ia seperti Old Town White Coffee dan yang serupa dengannya. Tapi, siapa sangka kopinya digabungkan dengan makanan Jepun.

Ia gabungan luar biasa di sini. Jika sukar membuat pilihan, hidangan istimewa mereka ialah Oscar Oyster iaitu tiram dengan keju. Ia hidangan yang juga disyorkan oleh pelayan kepada anda.

Oleh kerana kopi juga penting dalam menu mereka, jadi anda mesti cuba sekurang-kurangnya satu pilihan yang mereka ada.

Alamat: 15, Jalan Bukit Mutiara 1, Mutiara Heights, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 10pm)

 

#4 Homst Restaurant

Imej via foursquare

Homst Restaurant adalah sebuah restoran Cina Muslim. Oleh itu, pelanggan akan dihidangkan dengan masakan Cina yang halal. Menu istimewa atau yang disyorkan mereka ialah Ikan Kukus Asam, Mee Wantan, Nasi Goreng Malaysia, Udang Mentega dan Sotong Goreng, serta Itik Salai.

Jika ini bukan pilihan anda, boleh sahaja pilih hidangan lain dari menu mereka. Kualiti mereka pasti bukan biasa-biasa kerana Homst sudah memiliki sembilan cawangan setakat ini. Malah, ia turut diakui oleh ramai pelanggan mereka.

Alamat: No. 47G & 48G, Jalan Prima Saujana 1/1A, Seksyen 1, Taman Prima Saujana, 43000 Kajang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 1030pm)

 

#5 Arabian House Restaurant

Imej via foursquare

Satu lagi restoran makanan Arab di antara yang tumbuh bak cendawan. Sebagaimana restoran Arab yang lain, kuantiti makanannya lebih banyak daripada kuantiti biasa untuk rakyat Malaysia.

Daging kambing dan ayamnya cukup lembut. Rata-rata pelanggan amat berpuas hati dengan hidangan yang diterima mereka. Restorannya pula luas, bersih, ringkas dan kemas dengan layanan yang amat baik. Jadi, jika anda teringin makan makanan Arab, apa kata cuba untuk singgah menjamu selera di sini.

Alamat: 5, Jalan Kajang Putra 1, Taman Kajang Putra, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 12am)

 

#6 The Grato Bandar Seri Putra

Imej via foursquare

Sekali-sekala tukar selera anda. Cuba makan makanan Itali di The Grato. Pelanggan rasa ia tempat yang bagus untuk berkumpul bersama-sama rakan-rakan dan keluarga.

Suasananya meriah lebih-lebih lagi kerana jumlah pelanggannya yang sentiasa ramai. Makanan dan layanan pula sama-sama bagus. Antara yang mendapat pujian adalah Spicy Italian Lamb Pasta dan Baked Chicken Burrito. Harga makanannya sesuai dengan kualiti dan kuantiti makanan yang agak besar.

Pelanggan juga suka makan di sini kerana mudah mendapatkan tempat meletak kereta.

Alamat: 39, Jalan Seri Putra ¼, Bandar Seri Putra, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (1230am – 11pm)

Jumaat (3pm – 1130pm)

 

#7 Restoran Sate Emas Kajang

Imej via foursquare

Kalau sebut Kajang, mesti teringat dengan satenya. Restoran Sate Emas Kajang merupakan salah satu yang menjual sate yang sedap. Ia terletak bangunan yang sama dan di hadapan Restoran Sate Haji Samuri yang sememangnya terkenal.

Sate Emas Kajang mempunyai pilihan sate yang banyak iaitu 19 jenis semuanya. Ini termasuk sate itik, arnab, rusa, burung unta, tulang ayam dan isi ayam. Satenya besar dan lembut. Kuah kacangnya juga sedap. Gabungan kualiti inilah yang membuatkan ramai orang tidak putus-putus mengunjungi Restoran Sate Emas Kajang.

Alamat: No.1, Medan Sate Kajang, Jalan Kelab, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 11pm)

 

#8 Sate Kajang Haji Samuri

Imej via foursquare

Namanya memang sudah lama dikenali ramai. Ini kerana Sate Kajang Haji Samuri sudah menjalankan perniagaan selama 25 tahun lamanya. Malah, mereka berjaya memiliki 20 cawangan dan mengeluarkan produk sejuk beku mereka sendiri.

Sate Kajang Haji Samuri menyediakan 7 jenis pilihan sate iaitu sate ayam, daging, perut, hati dan pedal, ikan, kambing, dan arnab. Selain itu, mereka turut menyediakan hidangan lain seperti aneka nasi goreng dan mi.

Alamat: Lot 1,2 & 3, Tingkat Bawah & Tingkat 2, Bangunan Dato’ Nazir, Jalan Kelab, 43000 Kajang.

Medan Sate Kajang, Gerai No.2,3,4,5,6 & 7, Jalan Kelab, 43000 Kajang

Medan Sate Kajang, Gerai No.5,6,8,9 & 10, Jalan Sulaiman, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (1030am – 1230am)

Sabtu – Ahad (1030am – 1am)

Jumaat (4pm – 1am)

 

#9 Rumah Makan Cibiuk

Imej via foursquare

Rumah Makan Cibiuk adalah restoran masakan Sunda dari Indonesia. Restorannya terdapat banyak di Bandung sebelum mereka membuka cawangan di Malaysia.

Ada banyak pilihan makanan Sunda untuk pilihan pelanggan. Mereka juga ada menyediakan set aneka nasi yang diletakkan di bawah kategori Tradisi Campur dan Tradisi Cibiuk. Ikan tilapia yang digunakan dalam masakan datang dari Sungai Pahang.

Datang sendiri ke Rumah Makan Cibiuk dan cuba pilih masakan Sunda pilihan anda sendiri.

Alamat: No.1-G, Jalan Putra 6, Taman Kajang Putra, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (11am – 11pm),

Jumaat (230pm – 11pm)

 

#10 Basil Leaves

Imej via foursquare

Basil Leaves terkenal sebagai restoran masakan India yang sedap. Ada banyak pilihan makanan di dalamnya sehingga anda mungkin terpaksa mengambil masa untuk memilih yang mana anda suka. Namun begitu, ia masakan India yang biasa kita kenali terutama jika anda biasa mengunjungi restoran ‘mamak’.

Bagi mereka yang vegetarian, ada menu khas untuk anda juga. Ruang restoran Basil Leaves amat luas, bersih dan kemas serta berhawa dingin. Harga makanan pula berpatutan. Bagi ramai pelanggan, ini adalah restoran masakan India terbaik di Kajang!

Alamat: No.85GG & 87GH, Jalan TKS 1, Taman Kajang Sentral, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (7am – 1030pm)

 

#11 Satay Willy

Imej via foursquare

Ada beberapa pilihan sate di Kajang dan Satay Willy merupakan salah satu daripadanya. Malah, ia dikatakan pesaing kepada peniaga sate yang lebih senior. Jadi, terpaksa menunggu kerana ada ramai pelanggan memang perkara biasa dan ramai sanggup menunggu.

Sambil menunggu, anda boleh membeli makanan di gerai-gerai bersebelahan terlebih dahulu. Itulah yang biasanya dilakukan pembeli. Satay Willie hanya menyediakan empat jenis sate iaitu sate ayam, daging, perut dan kambing.

Walaupun pilihannya tidak banyak tapi daging satenya lebih tebal dan dibakar dengan baik. Hasil yang lazat adalah sebab utama ia menjadi pilihan ramai.

Alamat: Ramal Food Junction, Jalan Sungai Ramal, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (4pm – 12am)

 

#12 Milk Moustache Café

Imej via foursquare

Jika anda sukakan apa-apa mengenai Korea, anda pasti mahu singgah ke sini. Sekurang-kurangnya untuk memastikan ia betul-betul seperti Korea yang anda tahu. Mereka ada masakan-masakan terkenal Korea seperti ramyeon, kimbap, kimchi dan banyak lagi.

Kafe ini tidak besar tapi dihias ringkas dan kemas. Terdapat gambar-gambar dari Korea Selatan bagi membangkitkan suasana dunia Korea di dalam kafe. Bagi mereka yang biasa makan masakan Korea mungkin dapat membandingkan kelazatan dan keaslian masakan Korea mereka.

Bagi mereka yang baru berjinak dengan masakan Korea, Milk Moustache boleh dijadikan lokasi percubaan.

Alamat: 22, Jalan Putra 2, Taman Kajang Putra, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (1130am – 10pm)

Ahad (1130am – 6pm)

 

#13 Mishaltit

Imej via foursquare

Jarang-jarang kita temui restoran yang menggabungkan masakan Timur Tengah dengan Barat di Malaysia. Shawarma, Chicken Cordon bleu, dan Pizza adalah sebahagian hidangan yang mewakili semua jenis masakan itu.

Menurut Mishaltit, menu paling terkenal mereka ialah Chicken Cordon Bleu, Crispy Chicken, BBQ Meal, Shawarma Calzone, Chicken Fatteh dan minuman campuran Mishaltit.

Alamat: A-G-13 De Centrum Mall, Jalan Ikram-Uniten, Bangi Goevrnment and Private Trainin, Bangi Government and Private Training Centre Area, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (12pm – 1am)

 

#14 Nim’s Little Island

Imej via foursquare

Pernahkah anda makan Tom Yam Kelapa Muda? Kalau belum, jemput datang ke Nim’s Little Island. Tom Yam Kelapa Muda adalah signature dish mereka. Dengan harga RM10, anda dapat Tom Yam yang dihidang di dalam kelapa muda.

Lebih menarik adalah anda boleh makan isi kelapa muda yang sudah bercampur dengan Tom Yam tersebut. Ini memang pengalaman baru kepada ramai orang. Selain itu, mereka turut mempunyai masakan Melayu dan Barat dalam senarai menu mereka.

Alamat: 5, Persiaran Teratai 2, Kampung Sungai Ramal, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (4pm – 1230am)

 

#15 Red Wok Restaurant

Imej via foursquare

Steamboat adalah keistimewaan di Red Wok Restaurant yang mana bangunannya dicat dengan warna merah. Maka, ia menyerlah dan mudah ditemui. Ruangnya sangat luas, bersih, kemas dan selesa.

Ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu All You Can Eat Steamboat dan All You Can Eat Sizzling Steamboat. Sebagaimana kebanyakan restoran steamboat yang lain, Red Wok menyediakan pelbagai pilihan isi seperti daging, udang, sayuran dan sebagainya.

Ia dihidangkan dengan pilihan kuah dari sup ayam dan tom yam serta sos cili merah, sos cili hijau dan mentega bagi tujuan memanggan daging dan ikan.

Alamat: Lot PT70550, Jalan Kajang Impian 1/2, Taman Kajang Impian, 43560 Bandar Baru Bangi

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (5pm – 12am)

Sabtu – Ahad (12pm – 12am)

 

#16 Roti Canai D’ Bukit

Imej via foursquare

Kedudukannya di lokasi yang berbukit. Dari situlah ia mendapat namanya. Ia dibuka dari pagi sehingga tengah hari. Jadi, tumpuan mereka pastinya sarapan pagi.

Roti canai, nasi lemak, soto, dan mee jawa berserta pilihan daging lembu, daging kambing, sotong dan kerang adalah apa yang tersenarai di dalam menu mereka. Pelanggan yang datang ke sini memang ramai terutama pada waktu pagi semasa ramai yang mahu menapau.

Alamat: Bandar Baru Bangi (GPS: 2⁰58’08.6”N 101⁰45’01.2⁰E)

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (630am – 12pm)

 

#17 Restoran Nasi Kandar Haji Tapah

Imej via foursquare

Satu lagi restoran mamak yang namanya sudah cukup dikenali ramai. Jika anda suka makan di restoran Mamak dan berada di Kajang, bolehlah singgah ke Restoran Nasi Kandar Haji Tapah.

Banyak pilihan makanan dan merupakan lokasi yang sesuai untuk melepak bersama rakan-rakan. Layanan pula boleh dikatakan bagus dan pantas. Biasanya, pelanggan suka aneka roti di dalam menu mereka, ayam goreng, sup kambing, dan semestinya nasi kandar mereka.

Alamat: No.1 & 2, Jalan Seri Putra 3/10, Bandar Seri Putra, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam

 

#18 Sup Power Ali

Imej via foursquare

Anda mesti cuba makan di sini kerana Sup Power Ali memang terkenal. Ia pernah muncul bukan sahaja di dada-dada akhbar, malah turut muncul di kaca TV.  Sup Power Ali datang dengan beberapa pilihan iaitu ayam, daging lembu, daging kambing, dan burung puyuh.

Ia dipotong mengikut bahagian dan setiap bahagian mempunyai harga yang berbeza. Anda tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan sup anda kerana ia sudah pun siap dimasak terlebih dahulu dan hanya perlu dipanaskan.

Sup boleh dimakan begitu sahaja atau dengan nasi atau dengan roti. Harganya amat berpatutan, atau boleh dikatakan murah.

Alamat: No.7, Jalan Maju 1, Taman Maju 2, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (530pm – 3am)

 

#19 Old Town White Coffee

Imej via foursquare

Satu lagi nama yang tidak asing di Malaysia. Old Town White Coffee mengeluarkan produk kopi mereka sendiri termasuk menjadikannya minuman dalam tin.

Menu mereka amat mudah diterima ramai kerana begitu dekat dengan citarasa rakyat Malaysia. Mereka mengetengahkan menu tempatan dan barat termasuk set sesuai sarapan pagi, minum teh dan minum malam.

Alamat: Lot G 07 & G39, Jalan Semenyih, Metro Point Kajang, 43000 Kajang

 

#20 Pavillion Steak & Grill

Imej via foursquare

Mendengar namanya membuatkan kita yakin yang ia menyediakan makanan barat. Tapi, di samping makanan barat, Pavilion Steak & Grill sebenarnya turut menyediakan menu masakan Arab.

Malah, masakan Arabnya dikatakan yang paling diminati oleh kebanyakan para pelanggannya. Namun, jika anda mahukan masakan barat, antara hidangan pilihan pelanggan ialah Kambing Bakar Pavilion, Meatball Carbonara, aneka steak dan Chicken Cordon Bleu.

Alamat: 6044, Sungai Ramal Dalam Selangor, Kampung Sungai Ramal Dalam, 43000 Kajang

Waktu Operasi: Setiap hari (4pm – 1am)

 

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan senarai di atas? Anda sukakannya. Anda ada cadangan yang lain. Jangan lupa untuk share dan komen ya.

Kami juga menulis artikel tempat makan lain selain tempat makan di Kajang. Jempu baca juga ya.

Penulis: anis

anis

Seorang yang simple. Suka mencuba dan mencari tempat makan yang menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.