Mencari restoran ikan bakar di Shah Alam?

Shah Alam merupakan salah satu bandar di Selangor yang kaya dengan pelbagai tarikan – baik dari segi hiburan hingga ke tempat makan, semuanya menarik. Restoran ikan bakar di Shah Alam juga tidak terkecuali.

Kekeringan idea mencari restoran ikan bakar sekitar sini? Jangan risau, berikut kami senaraikan 7 restoran ikan bakar di Shah Alam. Teruskan membaca!

#1 Ana Ikan Bakar Petai Shah Alam

Alamat: 1, Jalan Kristal K7/K, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari, 5.30 – 11 pm

Nama restoran Ana Ikan Bakar Petai pasti sudah tidak asing lagi di kalangan orang kita. Restoran ini mempunyai pelbagai cawangan di serata Malaysia, dan salah satu cawangannya terletak di Shah Alam.

restoran ikan bakar shah alam
Imej via Foursquare

Restoran ini menyajikan makanan laut yang segar dan digemari ramai. Ikan bakar, siakap tiga rasa, sotong goreng tepung dan tomyam merupakan antara hidangan yang kerap menerima pesanan. Servis yang pantas dan kebersihan restoran juga patut dipuji!

#2 Man Bai Ikan Bakar

Alamat: Bandar Pinggiran Subang, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari, 5 pm – 11.30 pm

Ini juga merupakan salah satu restoran ikan bakar di Shah Alam yang namanya menjadi sebutan ramai – restoran Man Bai Ikan Bakar. Restoran yang terletak di Bandar Pinggiran Subang ini memang terkenal dengan ikan bakarnya.

restoran ikan bakar shah alam
Imej via Foursquare

Antara menu yang terhangat di restoran Man Bai Ikan Bakar ialah ikan siakap bakar dan sotong bakar. Makanan laut ini bukan sahaja segar, malah setelah dibakar isinya memang lembut dan juicy. Dicicah pula dengan sambal kicap dan sambal asam jawa, pasti lebih terangkat!

#3 Restoran Ikan Bakar Taman Sri Muda

Alamat: 19, Jalan 25/119, Taman Sri Muda, 40400 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari, 10 am – 4 pm

Restoran Ikan Bakar Taman Sri Muda – nama restoran yang pasti sudah tidak asing di kalangan penduduk Shah Alam. Ianya merupakan sebuah restoran ikan bakar yang menyajikan masakan kampung yang kena dengan citarasa ramai.

restoran ikan bakar shah alam
Imej via Foursquare

Lauk-pauk di Restoran Ikan Bakar Taman Sri Muda ini ada pelbagai. Sebut sahaja apa yang anda mau – dari masakan bergoreng, berkuah dan bersup, semuanya ada. Semestinya ikan bakar dan ayam bakar merupakan hidangan kegemaran ramai pengunjungnya.

#4 Gerai Ikan Bakar Baitul Mahabbah

Alamat: Jalan Dusun Tua 27/9, Taman Bunga Negara, 40400 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 11 am – 3 pm

Gerai Ikan Bakar Baitul Mahabbah ini mungkin kelihatan seperti gerai biasa sahaja, namun hidangan di sini memang luar biasa sedapnya. Restoran ini terkenal dengan masakan kampung yang cukup enak dinikmati untuk makan tengah hari.

restoran makanan laut shah alam
Imej via Foursquare

Ikan bakar merupakan menu yang wajib anda cuba. Jenis ikan juga ada berbagai. Antaranya ialah ikan kembung, keli, cencaru, talapia dan pari. Harga untuk setiap ikan juga berbeza namun tidak terlalu mahal, jadi memang berbaloi!

#5 Perahu Ikan Bakar Shah Alam

Alamat: Jalan Kampung Batu 7, Kampung Jln Kebun, 40460 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari, 5.30 pm – 1 am

Ingin menikmati makan malam bersama keluarga atau sahabat handai di restoran ikan bakar yang santai? Singgah sahaja di restoran Perahu Ikan Bakar Shah Alam yang terletak di Kampung Jln Kebun ini.

Imej via Facebook

Restoran ini menyediakan pilihan makanan laut yang berbagai. Aneka jenis ikan, sotong, kerang, ketam dan banyak lagi makanan laut ada ditawarkan. Cara masakan juga boleh dipilih oleh pelanggan. Jadi, jangan lupa untuk mencuba ikan bakar mereka, dijamin sedap!

#6 Restoran Arang Ikan Bakar

Alamat: Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari, 11 am – 12 am

Pernah terdengar restoran ikan bakar yang menyediakan 7 jenis air asam yang berlainan? Kedengaran unik, namun restoran tersebut boleh dijumpai di Shah Alam – Restoran Arang Ikan Bakar. Bukan sahaja berbagai, malah lazat air asamnya!

Imej via Foursquare

Semestinya air asam di sini menggandakan keenakkan ikan bakar. Seperti namanya sendiri, ikan bakar di restoran ini juga dibakar dengan arang. Jadi ianya lebih sedap, segar dan mempunyai aroma yang harum. Selain itu, lauk-pauk dan ulam-ulaman lain juga boleh didapati.

#7 SELERE Ikan Bakar

Alamat: No 15, Jln Setia Dagang AJ U13/AJ, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari, 12 pm – 11 pm

Anda berada di Setia Alam dan tercari-cari restoran ikan bakar yang mana yang patut diserbu? Jangan risau, singgah sahaja di restoran SELERE Ikan Bakar untuk mencuba ikan bakar yang bukan sahaja lazat, malah berkualiti tinggi dan segar.

Imej via Instagram

Rata-rata pelanggan yang mencuba ikan bakar mereka mengakui yang ikan bakar di sini memang enak. Isinya lembut dan juicy, dan ianya lebih sedap dimakan dengan sos pencicah yang dibuat sendiri. Memang rugi jika anda tak cuba!

Kesimpulan

Sudah jumpa restoran makanan laut di Shah Alam yang ingin disinggah? Jika berpeluang, singgah sahaja di mana-mana tempat makan yang kena dengan citarasa anda.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.