Mencari resepi kek viral yang enak untuk dinikmati dan senang untuk dibuat?

Kek bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat. Tidak seperti lauk-pauk, anda tidak boleh meneka sukatannya kerana kalau salah sukat, memang tak menjadi! Ketelian dan ketekunan memang sangat diperlukan.

Namun, ianya tidaklah susah untuk dibuat. terutamanya untuk kek yang sedang viral. Jadi, berikut kami senaraikan 5 resepi kek viral yang wajib dicuba.

#1 Kek Milo Kukus

Imej via Facebook

Kek ini mula menadi sebutan ramai sejak awal tahun ini. Ianya juga cukup terkenal dengan jolokan ‘kek 3 bahan’ kerana anda hanya memerlukan 3 bahan sahaja untuk membuatnya. Resepi ini dikongsikan oleh Wan Ruzita di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan serbuk Milo
  • 4 biji telur
  • 2 sudu susu pekat / 2 sudu gula (nak kurang manis boleh kurangkan)

Cara-cara:

  1. Kisarkan semua bahan hingga sebati.
  2. Masukkan ke dalam pengukus dan kukus selama 30 minit.

#2 Kek Batik Melting

Imej via Facebook

Seperti namanya, sesiapa yang mencuba kek ini pasti akan ‘cair’ dengan keenakannya. Tambahan pula buat penggema coklat, pasti jatuh cinta! Resepi ini dikongsikan oleh Tuan Adriana Arissa di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan kek batik:

  • 600 g biskut marie (patah2kan)
  • 200 g mentega
  • 1 cawan milo
  • 1 cawan susu pekat
  • ½ cawan serbuk koko
  • ½ cawan air masak
  • 2 biji telur
  • Esen vanila

Bahan ganache coklat:

  • 100 g milk compound
  • 100 g dark compound
  • 200 ml krim putar
  • 1 sudu besar mentega
  • 1 sudu besar golden syrup (optional)
  • 1 sudu kecil pes hazelnut

Cara-cara:

  1. Double boil bahan ganache atau cairkannya di dalam ketuhar. Ketepikan.
  2. Cairkan mentega dan masak kek batik menggunakan api kecil. Kemudian, terus masukkan susu pekat. Kacau rata.
  3. Masukkan pula serbuk milo dan serbuk koko. Kacau secepat mungkin supaya adunan tidak berketul.
  4. Masukkan telur, kacau rata dan masukkan air. Kacau sebati.
  5. Seterusnya, masukkan biskut. Kacau rata hingga semua biskut bersalut dengan coklat. Tutup api.
  6. Masukkan bahan tadi ke dalam loyang bersaiz 10 inci (alas dengan plastik supaya tidak melekat dan mudah ditarik). Tekan padat.
  7. Tuangkan ganache coklat dan sejukkan di dalam chiller selama 4 jam atau lebih sebelum dipotong.
  8. Keluarkan kek dan biarkan berada pada suhu bilik supaya kek lembut sebelum senang untuk dipotong.

#3 Kek Keju Lotus Biscoff

Imej via Facebook

Kami yakin gambar dan video resepi kek ini pasti kerap melalui timeline anda, bukan? Kek keju Lotus Biscoff ini merupakan antara kek viral terhangat zaman sekarang., dan resepinya juga agak mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Nani Mohd di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan crust:

  • 125 g biskut Lotus (dihancurkan)
  • 45 g unsalted butter (dicairkan)

Bahan krim keju:

  • 250 g krim keju
  • 150 g krim putar tenusu
  • 25 g gula kastor
  • 1 sudu besar Biscoff spread

Cara-cara:

  1. Satukan mentega yang dicairkan dan biskut yang dihancurkan. Kacau sebati.
  2.  Letakkan di dalam loyang bersaiz 6 inci. Rata dan padatkan. Sejukkan di dalam peti ais.
  3. Sementara tu, keluarkan krim keju selama 15 minit supaya ianya lembut sedikit.
  4. Kemudian, pukul krim keju hingga teksturnya berkrim. Masukkan Biscoff spread tadi.
  5. Pukul krim putar bersama gula kastor sehingga adunan menjadi bertanduk / stiff peak. Jangan pukul terlalu lama.
  6.  Tuangkan ke dalam loyang dan sejukkan lagi di dalam peti ais.
  7.  Cairkan Biscoff spread dan biar sehingga sejuk.
  8. Setelah sejuk, tuang ke dalam loyang, dan sejukkan selama 3-4 jam.
  9. Apabila betul-betul sejuk, boleh keluarkan dari loyang. Sedia untuk dihidang.

#4 Burnt Cheesecake

Imej via Facebook

Satu lagi resepi kek viral yang menjadi kegilaan ramai ialah Burnt Cheesecake. Luaran nampak hangus, namun dalamnya gebu dan berkrim. Resepi ini dikongsikan oleh Ain Najwa Ismail di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 250 g cream cheese
  • 75 g gula castor
  • 3 biji telur
  • 125 ml krim putar
  • ½ sudu teh esen vanilla
  • 10 g tepung serbaguna / tepung gandum

Cara-cara:

  1. Pukul krim keju dan gula sehingga licin (gula dah sebati) selama lebih kurang 2 minit.
  2. Masukkan telur satu persatu dan pukul selama 15 saat atau hingga telur sebati dalam adunan.
  3. Kemudian, masukkan esen vanilla dan krim putar. Pukul hingga sebati, lebih kurang 30 saat.
  4. Ayakkan tepung ke dalam adunan. Pukul lagi hingga tepung sebati dalam adunan (selama 15 saat).
  5. Tuangkan adunan ke dalam acuan yang telah disiapkan dengan baking paper.
  6. Bakar pada suhu 200℃ selama 1 jam maksima, bergantung kepada jenis ketuhar.
  7. Setelah siap bakar, sejukkan pada suhu bilik. Sedia untuk dihidangkan.

#5 Kek Durian Viral

Imej via Facebook

Musim durian sudah pun tiba. Di kesempatan ini, apa kata anda cuba buat kek durian? Manis dan berkrim, pasti rasanya akan buat ramai teruja! Resepi ini dikongsikan oleh Fainda Farahin Fainda Farahin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 1 cawan gula kastor*
  • 5 biji telur gred B*
  • 1 sudu besar ovalet*
  • 1 sudu kecil durian emulco
  • 1 sudu kecil pewarna kuning

Bahan B:

  • 1½ cawan tepung naik sendiri
  • 35 g tepung jagung
  • 1 sudu kecil cream of tartar
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat

Bahan C:

  • 5 sudu besar minyak jagung

Bahan Topping:

  • ½ kg santan
  • 150 g isi durian (dibuang biji)
  • 100 g gula
  • 2 sudu kecil serbuk Agar-agar
  • 3 sudu besar tepung kastad

Cara-cara:

  1. Masukkan bahan A yang bertanda * ke dalam pengadun dan putar menggunakan kelajuan tinggi sehingga adunan menjadi gebu.
  2. Masukkan durian emulco dan pewarna. Pukul rata.
  3. Masukkan bahan B sedikit demi sedikit ke dalam pengadun dan pukul menggunakan kelajuan rendah.
  4. Masukkan bahan C dan kaup balikkan dengan menggunakan senduk.
  5. Masukkan ke dalam loyang size 10 inci dan bakar pada suhu 160°C selama 40 minit atau sehingga masak mengikut oven masing-masing.
  6. Setelah masak, terus keluarkan kek dan sejukkan ke atas redai supaya mengelakkan kek mengecut.
  7. Untuk topping, satukan kesemua bahan-bahan dan kisarkan.
  8. Masak menggunakan api perlahan sehinnga pekat dan likat.
  9. Belah kek di bahagian tengah dan tuangkan topping.


Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi kek viral, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi menarik yang lain. Jangan lupa untuk memberi komen dan berkongsi dengan rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.