Mesti ada di kalangan anda yang mencari resepi roti lembut untuk dicuba di rumah. Roti menjadi makanan rutin harian selain nasi. Asyik beli sahaja, apa kata anda cuba sendiri pasti lebih puas hati dan boleh makan dengan banyak.

Tak kira roti bun atau roti berperisa, yang pasti anda akan berselera jika roti yang anda hasilkan lebih gebu dan lembut. Hilang rasa penat apabila roti yang dihasilkan menjadi mengikut kemahuan kita.

Namun, tahukah anda resepi dan cara-cara membuat roti yang lembut? Jika lari sukatannya, pasti tidak menjadi. Oleh itu, kami senaraikan 10 resepi roti lembut yang perlu anda cuba. Yang mana satu pilihan anda?

Bun asas @ roti banggali

Pasti ramai yang menyukai roti bun kosong kerana boleh dimakan begitu saja, cicah dengan kuah kari atau lebih sedap jika cicah bersama minuman panas. Untuk hasilkan bun yang lembut dan gebu, apa kata anda cuba resepi oleh Nailah Bte Abdul Fatah di Facebook ini.

Bahan-bahan:

  • 500gm tepung roti
  • 1 peket mauripan (11 gm)
  • 7gm garam
  • 20gm tepung susu
  • 120gm gula
  • 4gm improver/bread softener
  • 220gm air sejuk (ais)
  • 1biji telur
  • 50gm butter /margerin /lemak sayur

Cara-cara:

1. Masukkan semua bahan dalam mixer dan uli hingga jadi doh yang elastik, licin dan lembut.

2. Rehatkan dalam 15 minit.

3. Bentukkan doh menjadi bulat. Anda juga boleh memasukkan inti jika mahu. Rehatkan doh semula sehingga betul-betul mengembang.

4. Sapu dengan berus milk wash iaitu dua sudue susu tepung campur dengan air suam suku cawan di atas bun.

5. Untuk roti banggali, adunannya sama tetapi 1 adunan ini boleh dijadikan 2 loyang. Timbang setiap 1 loyang dengan berat 500 gram.

6. Panaskan oven dengan suhu 170 c selama 10 minit.

7. Masukkan roti tadi dan bakar api atas bawah dengan suhu 170c selama 15 minit. Kalau anda suka roti sedikit garing, bakar dengan tempoh yang lama.

Roti / Bun Putih

Resepi bun ini pula dikongsikan oleh Ummu Salsabila di Facebook. Uniknya resepi ini kerana tidak menggunakan bahan pelembut namun anda masih boleh merasai kelembutan roti tersebut dan rasanya lebih natural.

Bahan-bahan Water roux:

  • 40gm tepung high protein
  • 200gm air

Cara-cara:

1.Gaulkan kedua-dua bahan ini di dalam periuk atau pan.

2. Masak di atas api kecil sehingga cecair mengental seperti kastad dan tutup api. Salin ke dalam mangkuk bersih.

3. Tutup dengan plastik cling dan simpan dalam peti sejuk antara 6-12 jam atau boleh terus digunakan dengan syarat sudah sejuk ke suhu bilik.

Bahan-bahan untuk doh roti:

  • 580gm tepung high protein
  • 80gm gula
  • 12gm yis
  • 25gm susu tepung
  • 10gm garam
  • 220gm/ml susu sejuk (segar/UHT/fullcream)
  • 1 biji (50gm) telur
  • 60gm butter

Cara dengan ulian tangan:

1.Suamkan susu segar.

2. Masukkan 1 tsp gula dan yis. Gaul dan tunggu berbuih.

3. Masukkan bahan-bahan lain ke dalam mangkuk besar.

4. Masukkan juga cecair yis dan uli sehingga doh elastik.

Cara dengan ulian mixer atau bread maker:

1.Satukan semua bahan dalam mangkuk mixer atau bread maker.

2. Uli dengan speed atau setting yang dicadangkan oleh gajet anda.

3. Doh yang sudah elastik ditimbang dan bahagikan kepada 6 bahagian yang sama banyak.

4. Canai nipis membujur Panjang dan gulung dengan kemas.

5. Susunkan 3 biji doh bergulung ke dalam 2 buah loyang loaf (saiz 4×8.5×4″) yang sudah disapu marjerin.

6. Jika menggunakan loyang bertutup, bahagian tutup juga perlu disapu marjerin. Loyang begini akan menghasilkan roti yang flat permukaannya.

7. Tutup loyang dan biarkan doh dan biarkan sehingga naik. Jika menggunakan loyang tanpa penutup, roti akan membukit di bahagian atas.

8. Doh roti sedia untuk dibakar apabila sudah naik sehingga 3/4 ketinggian loyang. Bakar dalam oven yang sudah dipanaskan terlebih dahulu. Suhu perlu disetkan mengikut kesuaian oven masing-masing. Masa membakar antara 30-40 minit.

Roti Sisir Terlajak Gebu

Ada yang suka roti sisir? Roti ini sangat terkenal di Indonesia. Seperti resepi sebelum ini, roti ini juga tidak menggunakan bahan pelembut namun dapat menghasilkan roti yang sangat lembut dan gebu. Ikut cara atau resepi dari Fazz LiaNa di Facebook ini pasti mudah dan sedap. Resepi ini menggunakan bread maker.

Bahan-bahan:

  • 300g tepung high protein
  • 60g gula kastor
  • 10g susu tepung
  • 5g yis
  • 2 kuning telur
  • 40g Whipping cream emborg + susu segar (campurkan semua jadikan 215 gram)
  • 30g butter tanpa garam
  • 2g garam

Cara-cara:

1. Masukkaan bahan cecair dahulu sebelum bahan kering ke dalam breadmaker. Tekan no 8 menu dough dan tekan start (Ikut aturan mesin roti anda).

2. Apabila breadmaker berhenti, masukkan mangkuk yang berisi adunan ke dalam freezer selama 15 minit.

3. Apabila cukup 15 minit, uli sekali lagi dalam breadmaker.

4. Apabila doh sudah siap, bulatkan doh dan timbang dalam 40 gram.

5. Ambil adunan yang sudah dibulatkan, leperkan sedikit kemudian lipat macam karipap tu.

6. Lipat 2 dan susun dalam loyang.

7. Biar adunan naik 2 kali ganda baru boleh dibakar.

8. Panaskan oven terlebih dahulu dan bakar dengan suhu 170 ° selama 30 minit atau sehingga masak mengikut oven masing-masing.

9. Setelah masak, keluarkan roti dan sapu permukaan atas dengan butter.

Roti Boy

Ada peminat Roti Boy di sini? Ikut saja resepi yang dikongsikan oleh Zaleha Yusof di Facebook, pasti menjadi. Bancuhan roti ini menghasilkan doh dengan 55 gram dengan tepung 500 gram anda boleh mendapat 15 biji. Hasilnya roti memang akan lembut dan gebu.

Bahan-bahan bun:

  • 500 gm high protein flour
  • 250 ml susu segar
  • 60 gm butter
  • 1 biji telur
  • 1 sk garam
  • 5 gn K fine (softener+improver) – Optional
  • 80 gm gula
  • 1 paket yis @ 11 gm

Cara-cara:

1. Masukkan semua bahan dan uli sehingga menjadi doh.

2. Masukkan filling butter yang dipotong 4 segi dalam 1 inci agar bun jadi lebih lembut.

Bahan-bahan topping:

  • 200 gm butter
  • 160 gm gula ising
  • 2 biji telor
  • 1½ – 2 sb nescafé bancuh dgn 3 sudu air panas
  • 200gm tepung gandum
  • 50 gm tepung Jagung

Cara-cara:

1. Pukul butter dengan gula sehingga kembang.

2. Masukkan telur & campuran nescafe.

3. Masukkan tepung gandum & tepung jagung lalu kacau hingga sebati.

4. Simpan sekejap dalam peti sejuk untuk adunan lebih kenyal.

5. Masukkan dalam plastik untuk piping di atas bun yang telah kembang.

6. Bakar roti dengan suhu 170c selama 17 minit.

7. Sedia untuk dihidang.

Roti Sarang Lebah

Resepi roti ini dikongsikan oleh Seha Tam. Gabungan roti yang gebu dicolek bersama sos butterscotch pasti membuatkan anda menjilat jari. Berikut merupakan resepi mudah untuk anda cuba!

Bahan-bahan A:

  • Air suam
  • 1 paket yis kering
  • 60g gula

Bahan-bahan B:

  • 580g tepung high protein
  • 2 sb bread improver
  • 1 sb susu tepung
  • 2 sk garam
  • 1 biji telur
  • [email protected] sudu marjerin

Bahan-bahan hiasan:

  • Kuning telur (sapuan atas roti)
  • Badam
  • Bijin hitam
  • Kuaci

Cara-cara meroti:

1. Satukan bahan A biar sampai yis kembang.

2. Satukan bahan B dan gaul sehingga menjadi seperti serbuk roti.

3. Masukkan yis yang telah kembang tadi ke dalam bahan B.

4. Tambah air jika air tidak mencukupi .

5. Uli dalam 5-10minit (lebih lama lebih bagus).

6. Biarkan doh tertutup sehingga doh kembang 2 kali ganda.

7. Jika doh sudah kembang, tumbuk-tumbuk doh agar anginnya keluar.

8. Buat bulat-bulat kecik dan letak dalam loyang yang dah digris dengan marjerin.

9. Tutup doh agar doh kembang.

10. Apabila doh menjadi kembang, sapu kuning telur dan letak hiasan diatas.

11. Bakar suhu 170 selama 20 minit atau hingga keperangan.

Bahan-bahan sos caramel:

  • 2sb butter
  • Setengah cawan gula perang
  • Setengah cawan whipping cream
  • Setengah cawan susu segar
  • 1 sudu asen vanila

Cara-cara:

1. Cairkan butter di atas api.

2. Masukkan gula perang.

3. Apabila sudah cair, masukkan whipping cream dan kacau.

4. Masukkan asen vanilla dan susu segar mengikut kepekatan yang anda inginkan.

5. Kacau sehingga masak dan sedia untuk dihidang bersama roti.

Roti Paung

Resepi roti paung ini pula dikongsikan oleh Norhasnizar Khabi di laman Facebook. Kelembutan roti ini pasti membuatkan seisi keluarga menggemarinya. Resepi ini juga mudah untuk anda lakukan di rumah.

Bahan-bahan:

  • 500gm tepung roti
  • 250ml air sejuk
  • 1 biji telur
  • 7gm garam
  • 15gm super cream Kfine
  • 25gm shortening
  • 32gm marjerin
  • 70gm gula castor
  • 20gm susu tepung
  • 1 peket yis mauripan

Cara-cara:

1. Masuk semua bahan cecair terlebih dahulu.

2. Letak bahan kering.

3. Putar adunan hingga jadi doh.

4. Rehatkan biar dia naik sekali ganda.

5. Tumbuk doh untuk keluarkan angina lalu timbang doh menjadi 50gm.

6. Susun dalam loyang dan biarkan naik seganda lagi.

7. Sapu atas doh dengan telur yang bercampur susu pekat manis.

8. Bakar dalam oven 20 minit dengan suhu 170-180’C (Ikut oven masing-masing)

9. Keluar doh dan sapu marjerin di atas doh.

10. Siap untuk dihidangkan.

Roti Butter Golok Viral

Roti golok juga merupakan kegemaran ramai orang. Rasa manis dipadankan dengan struktur roti yang gebu. Ini resepi mudah roti golok yang dikongsikan oleh ADindez Dinde di Facebook:

Bahan-bahan:

  • 1 cawan air suam
  • 1 peket yis
  • 4 sudu gula
  • 2 sudu susu pekat
  • 2 sudu planta
  • 3 1/2 cawan tepung
  • 1 biji telur

Cara-cara:

1. Campurkan yis dan air, biarkan yis rehat dan berbuih.

2. Telur dipukul sedikit.

3. Campurkan susu pekat, gula, planta dan telur ke dalam bekas berisi tepung dan kacau sebati.

4. Curah bancuhan yis sedikit-sedikit ke dalam tepung tadi (Ikut pada keperluan tepung, ada masa tak perlu guna kesemua air bancuhan yis tadi. Asalkan uli menjadi doh yang lembut dan tidak melekat ditangan dah okay).

5. Rehatkan dalam satu jam atau sehingga doh kembang 2 kali ganda.

6. Kemudian tumbuk-tumbuh doh yang sudah kembang tadi dan uli hingga cantik dan licin.

7. Bolehlah dibentuk dan diletakkan dalam bekas.

8. Rehatkan doh sekali lagi. Biar naik 2 kali ganda.

9. Bakar menggunakan api atas dan bawah lebih kurang 20 minit atau sehingga masak dengan suhu 150c.

10. Keluarkan dan sejukkan atas redai, kemudian sapu permukaan roti dengan marjerin atau butter cup dan tabur dengan gula halus.

11. Siap untuk dihidang.

Resepi Roti Boy @ Mexican Bun

Resepi ini pula disediakan oleh Amy Akim di Facebook. Mexican Boy adalah salah satu roti kegemaran ramai kerana rotinya yang lembut dan padan dengan gabungan perisa nescafe. Gebu, manis dan tidak terasa pahit pada rotinya.

Bahan-bahan roti :

  • 300gram @ 3 cawan tepung gandum
  • 70gram gula
  • 30gram marjerin
  • Sebiji telur
  • 1 sudu besar mauripan
  • 150ml susu segar
  • Esen vanila
  • Secubit garam
  • Salted [email protected] (untuk inti)

Bahan-bahan topping :

  • 50gram tepung gandum
  • 40gram gula
  • 60gram marjerin
  • Sebiji telur
  • 2 sudu besar (nescafe + air suam sekadar boleh larut)
  • Esen vanila

Cara-cara :

1. Campurkan [email protected] dengan susu segar & gula. Biarkan dalam 10minit.

2. Dalam bekas lain, ayak tepung gandum dan masukkan marjerin lalu gaul sampai jadi macam serbuk roti. Kemudian masukkan telur, secubit garam & esen vanila.

3. Masukkan bancuhan [email protected] tadi. Uli sampai tepung tak melekat di tangan. Tambah tepung sikit demi sikit kalau adunan lembik. Uli doh dalam 10 minit. Lagi lama uli lagi lembut doh roti.

4. Tutup doh dengan kain yang lembap dan perap doh selama 1 jam.

5. Selepas doh naik, tumbuk-tumbuk doh untuk buang angin.

6. Bahagikan doh kepada 10 bahagian. Saya buat 50gram untuk setiap doh jadi boleh dapat 13biji roti.

7. Masukkan butter dalam doh jadikan inti roti dan bulat-bulatkan. Letak atas baking tray yang disapu marjerin. Tutup dan biarkan dalam 10minit.

8. Sementara itu boleh sediakan topping. Blend marjerin dan gula, kemudian baru masukkan bahan-bahan lain. Akhir sekali baru masukkan tepung. Blend sebati dan masukkan dalam piping beg.

9. Buat lingkaran topping dari tengah roti. Cukup topping bahagian atas tak perlu sampai bawah sebab topping akan cair ke bawah semasa roti dibakar.

10. Panaskan oven dalam 10minit, baru bakar roti guna api atas & bawah dengan suhu 170°c selama 20minit bergantung pada suhu oven masing-masing.

Resepi Chicken Floss Roll

Resepi ini menggunakan periuk Noxxa untuk menguli doh. Pasti ada yang menggemari roti chicken floss ini. Berikut resepi mudah untuk anda yang telah dikongsikan oleh Anisah Connie di Facebook:

Bahan-bahan:

  • 230ml Air
  • 1 biji telur
  • 100 gm gula kastor
  • 1 sk garam
  • 75 gm marjerin
  • 10 gm kfine
  • 2 sb potato flakes
  • 2 sb susu tepung
  • 500 gm tepung Roti
  • 11 gm yis

Bahan hiasan:

  • Egg wash
  • Daun sup
  • Cili merah besar

Bahan Inti:

  • Mayonis
  • Serunding ayam

Cara-cara:

1. Masukkan bahan-bahan dalam mangkuk breadmaker Noxxa.

2. Tekan Bread sehingga keluar function dough dan tekan Start.

3. Keluarkan doh setelah 30 minit.

4. Bahagikan doh kepada 3 bahagian dan kemudian canai setiap doh atas loyang. Biarkan kembang seketika.

5. Selepas kembang, cucuk doh dengan garfu.

6. Kemudian sapukan telur dan susun daun sup dan cili merah besar ikut kreativiti.

7. Bakar selama 15 minit dengan suhu 175°C (bergantung keadaan suhu masiang-masing).

8. Selepas masak, terbalikkan doh kemudian sapukan mayonis dan taburkan serunding. Kemudian gulung.

9. Potong kecil-kecil dan siap untuk dihidang.

Roti Loaf Butterscoth Kismis

Jika anda penggemar bun butterscotch keluaran Gardenia, resepi ini pasti memudahkan anda untuk menghasilkan roti yang mirip dengan roti tersebut tetapi lebih menarik kerana ditambah kismis. Roti yang dikongsikan oleh Zaleha Yusof ini memang mudah dan roti memang gebu dan lembut.

Bahan-bahan:

  • 125 gram air sejuk peti ais
  • 1 biji telur
  • 30 gram marjerin pelangi
  • 10 gram k- fine
  • 45 gram gula
  • 2 gram garam
  • 1 Sb susu tepung
  • 1 Sb potato flakes
  • 250 gram tepung high protein
  • 6 gram yis
  • 40 gram butterscotch chips
  • 30 gram kismis

Cara-cara:

1. Masukkan bahan basah seperti air, marjerin, telur dan k-fine ke dalam bowl.

2. Diikuti bahan kering kecuali butterscoth chips dan kismis.

3. Uli doh hingga elastic selama 30 minit. 5 minit terakhir masukkan butterscoth chips dan kismis. Sebatikan saja untuk elakkan butterscoth chips hancur.

4. Setelah mix, keluarkan dari bowl.

5. Canai dan bentukkan doh.

6. Letakkan doh ke dalam loyang.

7. Perap sehingga doh naik 3/4 sebelum paras  loyang.

8. Selepas doh naik. Spraykan air biasa ke atas roti untuk mengelakkan permukaan roti kering.

9. Masukkan ke dalam oven yang di panaskan terlebih dahulu. Suhu 150 atas dan bawah atau mengikut tahap kepanasan suhu oven masing-masing. Untuk makluman, suhu mestilah tinggi. Bakar selama 25 minit atau sehingga masak.

10. Selepas siap di bakar, sapu bahagian atas roti dengan marjerin. Roti mestilah segera di keluarkan dari loyang. Jika tidak, roti akan mengecut atau jatuh.

Mudahkan resepi roti lembut yang kami kongsikan? Sesekali buat roti sendiri pasti lebih memuaskan dan mengikut selera sendiri. Rugi kalau tak cuba. Jom kongsikan resepi ini bersama keluarga dan rakan.

Kami juga ada menulis pelbagai resepi lain yang mudah dan pasti menjadi buat anda seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.