Ada pembaca di sini yang menetap di Hulu Langat atau bercadang untuk ke sana?

Adakah anda masih tercari-cari tempat makan menarik sekitar Hulu Langat yang boleh anda singgah? Jangan risau, kami ada senarainya! Dari masakan kampung, makanan Barat, shellout ke sate, semuanya ada!

Berikut kami senaraian 8 tempat makan sekitar Hulu Langat yang boleh anda terjah. Senarai ini tidak mengikut ‘ranking’, jadi teruskan membaca ya!

#1 Restoran Terra Pong

Alamat: Lot 679, Pekan Batu Lapan Belas, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 tengah hari hingga 12 tengah malam

Imej via Foursquare

Mengapa Terra Pong? Kerana restoran Thai-Muslim ini merupakan sebuah restoran terapung! Satu konsep dekor yang jarang ditemukan di Malaysia, memang unik!

Selain itu, bukan sahaja konsep dekor yang menarik, malah menu di sini juga tidak kurang hebatnya! Kebanyakan menu di sini merupakan hidangan Thai, jadi pesan sahaja yang mana anda berkenan.

Imej via Foursquare

Antara menu popular yang anda boleh cuba ialah tomyam, Siakap Tiga Rasa, Nasi Ayam Goreng Daun Selasih dan banyak lagi. Untuk minuman pula, Thai Iced Tea merupakan antara yang laku keras di sini.

#2 D’Pallet [email protected]

Alamat: Jalan Hulu Langat, Taman Kemacahaya, 43200 Batu 9 Cheras, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 5 petang – 2 pagi

Untuk pengetahuan anda, nama restoran ini diambil bersempena dengan konsep dekornya yang menggunakan kayu palet, memang menarik! Lebih mengujakan, ada 19 gerai di sini tau!

Imej via Foursquare

Gerai-gerai ini menyediakan pelbagai jenis hidangan seperti ayam bakar, makanan Barat, makanan laut, aneka pasta, kopi Manshor dan nasi Arab. Memang bikin ramai rambang mata!

Imej via Foursquare

Antara hidangan yang menjadi kegilaan ramai ialah Chilli Crab. Ada berbagai saiz, dan kesemuanya memang bersaiz besar. Untuk kekenyangan dan kepuasan yang berganda, pesan sahaja King Crab.

#3 Lontong King

Alamat: 4,, Jalan Seri Nanding, Taman Lagenda Suria, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 7 pagi – 11 malam

Biasanya untuk sarapan, pasti anda akan memilih menu sarapan seperti nasi lemak atau roti canai. Inginkan kelainan? Cubalah nikmati lontong pula untuk sarapan pagi!

Imej via Foursquare

Di Hulu Langat, Lontong King ini merupakan restoran yang sangat terkenal dengan lontongnya. Tak perlu jauh-jauh sampai ke Johor, kerana lontong di sini seenak lontong Johor.

Imej via Foursquare

Selain lontong, hidangan lain seperti nasi lemak, bihun sup dan nasi goreng ada disediakan. Bukan sahaja makanan tempatan, malah makanan Barat seperti Chicken Chop juga boleh didapati di sini, memang berbagai!

#4 Murni Ikan Bakar Hulu Langat

Alamat: 105, Jalan Sungai Lui, Kampung Jawa, 43100 Hulu Langat, Selangor

Restoran ikan bakar memang senang didapati, tak kiralah di mana pun anda berada. Namun, tak semua restoran ikan bakar menyediakan ikan yang segar, bukan?

Imej via Foursquare

Jangan risau! Jika anda berada di Hulu Langat, singgah sahaja di Murni Ikan Bakar Hulu Langat ini. Rata-rata pelanggan memang sangat menggemari ikan bakar di sini.

Imej via Foursquare

Menurut mereka, ikan bakarnya memang segar kerana diambil dari kolam bersebelahan dengan restoran ini. Isi ikan bakar yang cukup ‘juicy’ yang dicicah dengan air asam memang bikin ramai ketagih!

#5 Sate Misman

Alamat: Pekan Batu Lapan Belas, 43100 Hulu Langat, Selangor

Mengidamkan sate? Sate memang cukup enak dimakan terutamanya pada waktu malam. Bagi anda yang berada di sekitar Hulu Langat, anda wajib serbu Sate Misman!

Imej via Foursquare

Antara sate yang anda boleh cuba di Sate Misman ialah sate ayam dan sate lembu yang cukup lembut dagingnya. Sate di sini juga turut dihidangkan bersama ketupat. Jika dimakan bersama kuah sate, pasti lebih sedap!

Selain sate, menu lain seperti nasi goreng, rojak dan mi kari juga turut disediakan di Sate Misman.

#6 Restoran Ikan Patin Sungai Pahang

Alamat: 1, Jalan Lagenda Suria 3/2, Taman Lagenda Suria, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 8 pagi – 6 petang

Kami yakin pasti ramai di kalangan pembaca yang menggemari gulai tempoyak ikan patin, bukan? Tambahan pula bila ikan patin itu sesegar ikan patin sungai, memang lazat!

Imej via Foursquare

Tidak perlu jauh-jauh sampai ke Pahang, kerana anda boleh menikmati ikan patin tersedap di Hulu Langat di Restoran Ikan Patin Sungai Pahang. Bukan sahaja ikan patin, malah masakan kampung juga boleh didapati di sini!

Menu yang terlaris di sini ialah semestinya gulai patin tempoyak. Rasanya yang pedas dan berlemak dan isi ikan yang lembut merupakan antara punca ianya menjadi kegilaan ramai.

#7 Chicken Chop RM5 Hulu Langat

Alamat: Exit B52, Kampung Rantau Panjang, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 6.30 petang – 12 tengah malam

Teringin menikmati makanan Barat namun bajet ‘ketat’? Jangan risau, ada sebuah restoran di Hulu Langat ini yang pasti cocok dengan citarasa anda – Restoran Chicken Chop RM5 Hulu Langat.

Imej via Foursquare

Dari namanya sahaja anda boleh tahu yang restoran ini terkenal dengan menu apa – semestinya Chicken Chop yang berharga RM 5 sahaja. Walaupun harganya murah, saiz hidangannya agak besar. Berbaloi? Semestinya!

#8 Purnama Klasik

Alamat: Kampung Sungai Serai, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 4 petang – 1 pagi

Ada peminat shellout di sini? Anda pasti tertanya-tanya ada ke restoran yang menyediakan hidangan shellout sekitar Hulu Langat ini, bukan? Semestinya ada!

Antara restoran shellout yang popular ialah restoran Purnama Klasik! Jika anda baca review pelanggan di laman Facebook mereka, rata-rata pelanggan memuji servis dan kualiti shellout di sini.

Imej via Foursquare

Hidangan shellout di sini dibahagikan kepada beberapa set. Harga untuk setiap set juga berlainan, bermula dari RM 35. Ada 4 saiz yang ditawarkan – S, M, L dan XL. Pilih sahaja yang bersesuaian dengan jumlah orang. Yang pasti, memang mengenyangkan!

Kesimpulan

Tidak dinafikan, banyak juga tempat makan menarik yang meliputi berbagai genre makanan sekitar Hulu Langat ini. Jika kami senaraikan kesemuanya, pasti tidak akan habis!

Jika anda sudah mula memasang niat untuk menyerbu tempat-tempat makan ini, lekaslah berbuat demikian sebelum terlepas peluang. Datang awal sebelum kesempitan ruang ya, selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.