Mencari restoran nasi kandar di Bangi?

Bangi merupakan salah satu bandar di Selangor yang memang menjadi tarikan ramai. Baik dari segi hiburan dan tempat makan, semuanya menarik. Tempat makan di sini sememangnya ada pelbagai, dan antara yang popular ialah restoran nasi kandar.

Kekeringan idea mencari restoran nasi kandar di Bangi yang menarik? Berikut kami senaraikan 8 restoran nasi kandar di Bangi buat anda. Teruskan membaca!

#1 Salman Nasi Kandar

Alamat:  LOT 6741E, Jalan Bistari, Kampung Sungai Tangkas, 43000 Kajang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 11 am – 9 pm

Restoran Salman Nasi Kandar merupakan antara restoran nasi kandar yang terkenal di Bangi. Jika anda selalu singgah di restoran ini, anda pasti dapat lihat yang pengunjungnya sentiasa ramai.

nasi kandar bangi
Imej via Foursquare

Saiz hidangan yang besar dan lauk-pauk yang sedap merupakan antara tarikan utama restoran ini. Ayam goreng merupakan lauk yang kerap menjadi rebutan. Jangan lupa untuk pastikan yang nasi anda dilimpahi dengan kuah banjir, dijamin lazat!

#2 Nasi Kandar Express – Bandar Baru Bangi

Alamat: 17, Jalan 15/1b, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 11 pm

Jika anda peminat tegar nasi kandar, restoran Nasi Kandar Express yang terletak di Seksyen 15 ini wajib anda kunjungi. Rata-rata pelanggan yang singgah di sini mengakui yang nasi kandarnya bukan sahaja enak, malah asli.

Imej via Foursquare

Untuk lauk-pauk, kami sarankan agar anda cuba ayam bawang dan daging masak hitam. Lauk-pauk di sini memang terlajak sedap. Tambahan pula jika anda menikmatinya bersama kuah banjir, pasti lebih berganda kelazatannya!

#3 Restoran Nasi Kandar Melayu Apollo @Railway

Alamat: Jalan Reko, Kampung Sungai Tangkas, 43000 Kajang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 am – 2 am

Kebanyakan restoran nasi kandar menawarkan harga yang agak mahal untuk hidangan mereka. Berlainan pula dengan Restoran Nasi Kandar Melayu Apollo ini, kerana harga yang ditawarkan tidak mencekik darah.

nasi kandar bangi
Imej via Foursquare

Lauk-pauk di sini juga sangat menyelerakan. Antara yang boleh anda cuba ialah kari kepala ikan, sambal sotong dan ayam goreng. Jangan lupa untuk mencuba sayur bendi dan telur masin, pasti lebih terangkat.

#4 Nasi Kandar Ayza

Alamat: Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Jika anda baca ulasan di Internet, rata-rata pelanggan yang mengunjungi restoran ini memang memuji kebersihan dan keselesaan yang ditawarkan. Selain daripada nasi kandar yang sedap, keselesaan yang dijanjikan juga turut dipuji.

nasi kandar bangi
Imej via Foursquare

Restoran ini terkenal dengan nasi kandar dan naan. Untuk nasi kandar, kami cadangkan agar anda cuba ayam goreng mereka yang rangup dan secukup rasa. Selain itu, restoran ini juga turut menawarkan aneka jenis naan untuk dinikmati.

#5 Line Clear Nasi Kandar (LC Restoran) Bandar Baru Bangi

Alamat: 20, Jalan Medan Pusat 2c, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Nama restoran Line Clear Nasi Kandar atau LC ini tidak perlu lagi kami perkenalkan. Ianya merupakan antara restoran nasi kandar yang paling popular di Melaysia. Salah satu cawangannya terletak di Bandar Baru Bangi.

nasi kandar bangi
Imej via Foursquare

Ada beraneka jenis lauk-pauk yang boleh anda pilih. Antaranya ialah ayam madu, kari ikan, daging hitam, telur ikan dan betis kambing. Untuk menu sampingan, anda boleh pilih sayur kobis, bendi, cili hijau, telur rebus dan telur masin. Memang bikin rambang mata!

Bukan itu sahaja, restoran ini juga terkenal dengan hidangan seperti tosai, capati, naan dan roti canai. Pesan sahaja mana-mana yang anda teringin, kerana semuanya enak-enak belaka.

#6 Restoran Nasi Kandar Haji Tapah

Alamat: No. 1 & 2, Jalan Seri Putra 3/10, Bandar Seri Putra, 43000 Kajang, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Jika anda berada sekitar Bandar Seri Putera, anda wjaib singgah di Restoran Nasi Kandar Haji Tapah. Restoran ini memang terkenal di kalangan pencinta nasi kandar dan masakan India.

nasi kandar bangi
Imej via Foursquare

Untuk nasi kandar, kami cadangkan agar anda cuba lauk-pauk yang berasakan kari seperti kari ikan. Kuahnya yang pekat di samping aromanya harum merupakan antara punca utama ramai memilih lauk dan kuahnya.

Menu lain seperti naan keju dan naan tandoori juga turut mencuri tumpuan ramai. Setelah menikmati nasi kandar, cubalah naan yang disajikan. Pasti lebih mengenyangkan!

#7 Nasi Lan Kedah Bangi

Alamat: 10c, Jalan Medan Pb 1, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Jika anda pernah terdengar tentang restoran Nasi Lan Kedah yang sangat popular di Alor Setar, anda wajib singgah di salah satu cawangannya di Bangi. Walaupun baru dibuka, sambutan yang diterima oleh restoran ini cukup hangat.

Imej via Foursquare

Antara lauk-pauk yang boleh anda cuba ialah telur sotong, ikan goreng, daging masak hitam dan ayam goreng. Menu sampingan yang boleh anda nikmati ialah acar, sayur dan telur rebus. Jangan lupa kuih banjir, pasti lebih padu!

#8 Nasi Kandar Penang Sentral@De Centrum

Alamat: De Centrum Mall, Bangi Government and Private Training Centre Area, 43000 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Membeli-belah di pusat membeli-belah De Centrum Mall yang terletak di Bandar Baru Bangi? Alang-alang berada di sini, singgah sahaja di Nasi Kandar Penang Sentral.

Imej via Foursquare

Nasi Kandar Penang Sentral ini menawarkan nasi kandar yang sememangnya sedap. Kuah campur mereka juga turut mendapat pujian, jadi memang rugi jika anda tak singgah di sini.

Kesimpulan

Sudah jumpa restoran nasi kandar di Bangi yang ingin dikunjungi? Jika berpeluang ke sini, singgah sahaja satu persatu tempat makan yang kami senaraikan kerana semuanya memang menarik.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.