Mencari street food di Melaka untuk dicuba?

Street food atau makanan jalanan merupakan jenis hidangan yang semestinya diburu oleh ramai pelancong jika berkunjung ke sesuatu tempat. Di Malaysia, negara kita memang kaya dengan pelbagai jenis makanan jalanan.

Ini termasuklah dengan makanan jalanan di Melaka. Untuk itu, berikut kami senaraikan 14 street food di Melaka yang boleh boleh anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Cendol Jam Besar Bandar Hilir Melaka

Alamat: Bandar Hilir, 75200 Malacca

Waktu Operasi: Setiap hari, Isnin – Jumaat 10 am – 6.30 am, Sabtu 10 am – 10 pm & Ahad 6 – 7 am, 10 am – 7 pm

Sebut sahaja makanan jalanan yang popular, pasti cendol terlintas di minda anda, bukan? Untuk menikmati cendol, salah satu tempat makan cendol tersedap yang boleh anda singgah ialah Cendol Jam Besar Bandar Hilir Melaka.

cendol street food melaka
Imej via Foursquare

Cendol di sini mempunyai pelbagai jenis topping. Cendol durian dan cendol pulut merupakan antara pilihan utama kebanyakan pengunjung di sini. Pemandangan sungai berhampiran gerai cendol juga cukup menyamankan.

#2 Klebang Original Coconut Shake

Alamat: Lot 130, Solok Kampung Bahagia, 75200 Klebang Besar, Malacca

Waktu Operasi: Setiap hari, 11 am – 6.30 pm

Cuaca yang panas pasti buatkan anda mengidamkan minuman manis yang menyegarkan tekak, bukan? Alang-alang berada di Melaka, cubalah makanan jalanan ini – coconut shake di Klebang Original Coconut Shake.

coconut shake klebang street food melaka
Imej via Foursquare

Rata-rata pelanggan yang pernah mencuba coconut shake di sini mengakui yang minuman tersebut bukan sahaja manis dan berkrim, malah air kelapanya sendiri memang diakui segar.

Selain coconut shake, nasi lemak, kuih-muih tempatan dan keropok lekor juga turut disediakan di sini. Sambil menikmati minuman terlarisnya, cuba sahaja hidangan lain yang tidak kurang hebatnya.

#3 Ee Ji Ban Chicken Rice Ball

Alamat: 275, Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, 75000 Melaka

Waktu Operasi: Jumaat – Rabu, 10 am – 8 pm

Satu lagi street food di Melaka yang mencuri tumpuan ramai ialah bebola nasi ayam. Anda boleh cuba hidangan ini di restoran Ee Ji Ban Chicken Rice Ball yang menyajikan bebola nasi ayam yang bukan sahaja sedap, malah Halal.

ee ji ban melaka halal street food melaka
Imej via Foursquare

Bebola nasi ayam ini memang enak dinikmati bersama sup dan sambal sotong mereka. Ianya bukan sahaja lembut, malah secukup rasa. Lebih menarik, 5 biji bebola sahaja boleh buat anda kenyang, sangat berbaloi!

#4 Mee Besen Original

Alamat: 17, Jalan PNDD 1, Kampung Durian Daun Dalam, 75200 Melaka

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 3:30 – 8 pm

Pernah terdengar nama hidangan ini – mi besen? Mi besen merupakan hidangan mi yang disajikan di dalam besen yang besar, jadi dari sinilah hidangan ini mendapat namanya. Selain keunikan, agak-agak apa lagi yang istimewa tentangnya?

mee besen street food melaka
Imej via Foursquare

Semestinya kelazatan mi yang disediakan. Jenis mi yang boleh dipilih termasuklah mi soya, kuetiau dan mi kuning. Hidangan ini dilengkapkan dengan pilihan sampingan seperti sayur sawi, tauge dan bebola ikan.

#5 Mochee Dim Sum House

Alamat: No. 45, Jalan Knmp 2a, Taman Melaka Perdana, 75450 Ayer Keroh, Melaka

Waktu Operasi: Khamis – Isnin, 4 – 10 pm

Dim sum juga merupakan antara makanan jalanan yang popular bukan sahaja di Malaysia, malah di serata dunia. Jika anda berada di Melaka dan ingin menikmati dim sum yang halal, singgah sahaja di Mochee Dim Sum House.

mochee dimsum house melaka street food melaka
Imej via Foursquare

Restoran ini menyediakan dim sum premium yang berbagai rasa. Antaranya ialah Chicken Dumpling, Salted Egg Dumpling, Carrot Dumpling dan Sotong Dumpling.

Selain dim sum, mereka juga turut menyediakan makanan jalanan Jepun iaitu mochi. Pesan sahaja jenis Brown Sugar Spiral Red Bean, Butterfly Pea Flower Peanut, Mochi Red Bean dan Mochi Durian. Sangat berbagai, dijamin rambang mata!

#6 Putu Piring Tengkera

Alamat:  252, Jalan Tengkera, 75200 Melaka

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, 1 – 5.30 pm

Putu piring yang dimakan panas-panas dan gula melakanya mencair di dalam mulut – satu kenikmatan yang pasti anda inginkan, bukan? Untuk menikmatinya, singgah sahaja di Putu Piring Tengkera.

putu piring tengkera
Imej via Foursquare

Putu piring di sini disediakan panas-panas. Gula melaka yang dijadikan inti juga memang banyak, jadi rasanya memang lazat dan boleh buat sesiapa sahaja kecur air liur. Selain itu, aroma putu piring yang dikukus juga sangat harum.

#7 Baba Charlie Nyonya Cake

Alamat: 72, Lorong Tengkera Pantai 2c, Kampung Tengkera Pantai Dua, 75200 Melaka

Waktu Operasi: Rabu – Isnin, 10 am – 3.30 pm

Mengidamkan kuih-muih tempatan yang berbagai citarasa? Lekaslah serbu Baba Charlie Nyonya Cake yang terletak di Kampung Tengkera Pantai Dua ini. Kedai kuih legend ini memang sering diserbu oleh penggemar kuih-muih.

baba charlie nyonya cake
Imej via Foursquare

Antara kuih yang disediakan ialah onde-onde, rempah udang, apam balik, bingka ubi, kek ubi dan kuih pie tee. Kuih citarasa Baba dan Nyonya sememangnya berbagai jenis di sini, jadi tapau sahaja sambil bersiar-siar.

#8 Rojak & Mee Rebus Taman Asean Haji Nordin

Alamat: Taman Seri Mangga, 75250 Malacca

Waktu Operasi: Sabtu – Ahad, 11 am – 7 pm

Buntu memikirkan makanan jalanan apa yang anda mahu nikmati semasa minum petang? Cuba sahaja rojak dan mi rebus di gerai Rojak & Mee Rebus Taman Asean Haji Nordin.

rojak mamak melaka
Imej via Foursquare

Rojaknya kaya dengan rasa manis dan pedas yang pasti kena dengan citarasa ramai. Kuah rojaknya juga memang padu, jadi jangan lupa untuk minta lebih. Antara jenis rojak yang wajib anda cuba ialah rojak Mamak dan rojak Singapura.

#9 Restoran Sate R&K

Alamat: 63, Jalan Bpm 1, Taman Bukit Piatu Mutiara, 75400 Melaka

Waktu Operasi: Setiap hari, 4 – 10 pm

Restoran Sate R&K ini bukan sahaja mempunyai cawangan di Negeri Sembilan, malah di Melaka pun ada. Ini jelas membuktikan yang hidangan sate di restoran ini digemari ramai.

sate r&k melaka
Imej via Foursquare

Daging sate yang lembut dan dibakar dengan sempurna ini memang enak dinikmati bersama kuah kacang yang cukup menggamit selera. Harga yang ditawarkan juga sangat berbaloi dengan kualiti satenya, memang rugi jika anda tak cuba!

#10 Nasi Ayam Baba

Alamat: 30, Jalan Pegaga, Taman Merdeka, 75350 Melaka

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 am – 9 pm

Nasi ayam juga merupakan antara makanan jalanan yang memang terkenal di negara kita. Di Melaka, antara restoran nasi ayam yang namanya disebut-sebut ialah restoran Nasi Ayam Baba.

nasi ayam baba
Imej via Foursquare

Keistimewaan utama nasi ayam di sini terletak kepada ayam panggangnya yang cukup juicy. Nasi yang lembut, sambal cili yang pedas dan manis serta sup yang secukup rasa juga turut menggandakan kelazatan nasi ayam di sini.

Selain nasi ayam, makanan jalanan lain seperti mi Hokkien dan dim sum juga ada disediakan. Harga yang ditawarkan juga dikatakan murah dan servis restoran juga dipuji mantap.

#11 Mi Racun @ Qasreena Cafè

Alamat: 15, Jalan Puncak 2, Taman Puncak Bukit Katil. 75450 Melaka

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (3 pm – 12 am), Ahad (12 pm – 9.15 pm)

Terdengar sahaja nama hidangan mi racun, kami yakin anda pasti tertanya-tanya tentangnya. Ianya merupakan sejenis mi yang pedas. Bagi penggemar makanan pedas, memang rugi jika anda tak singgah di Qasreena Cafè dan cuba mi racun mereka.

mi racun @ qasreena cafe
Imej via Foursquare

Selain daripada kepedasannya, mi ini juga bersaiz besar dan boleh dinikmati oleh 2 orang untuk satu hidangan. Ianya disajikan dengan ayam, bebola ikan, telur goreng dan sayuran. Bersaiz besar dan semestinya mengenyangkan!

#12 Asam Pedas Pak Man

Alamat: No 51, Jalan Knmp 2a, Kompleks Niaga Melaka Perdana, 75450 Ayer Keroh, Melaka

Waktu Operasi: Khamis – Ahad 7.30 am – 5 pm, Isnin 7 am – 5 pm

Asam pedas juga merupakan antara street food di Melaka yang wajib anda cuba jika singgah ke sini. Untuk menikmati asam pedas yang merupakan antara yang terbaik di Melaka, singgah sahaja di restoran Asam Pedas Pak Man.

asam pedas pak man
Imej via Foursquare

Kuah asam pedas yang pekat dan secukup rasa serta aromanya yang cukup menggamit selera membuatkan ramai pelanggan memburu asam pedas di sini. Jenis lauk yang disajikan juga beraneka, jadi tidak hairanlah ramai rambang mata.

#13 Mee Sup Tengkera

Alamat: Lot, 460, Jalan Tengkera, 75200 Malacca

Waktu Operasi: Jumaat – Rabu, 2.30 – 6 pm

Mee Sup Tengkera atau lebih dikenali dengan nama Mi Gian ini memang menjadi kegilaan ramai pengunjung. Nama pun ‘mi gian’, semestinya keenakannya membuatkan ramai teringat-ingat.

mee gian popia
Imej via Foursquare

Selain Mi Gian, popia goreng dan bihun sup yang disajikan di sini turut menerima tempias yang sama. Selain daripada menjanjikan kelazatan, harga yang ditawarkan oleh restoran popular ini juga sangat berpatutan.

#14 Laksa @ Jonker 88

Alamat: 88, Jalan Hang Jebat, 75200 Melaka

Waktu Operasi: Setiaphari, 9 am – 5.30 pm

Rugi jika anda berkunjung ke Melaka namun tidak singgah di Jonker 88. Di sini, ada pelbagai jenis makanan jalanan yang boleh anda jumpa dan salah satu jenis yang popular ialah laksa Nyonya.

jonker 88 laksa nyonya
Imej via Foursquare

Laksa Nyonya ini disajikan dengan kuah kari yang memang beraroma dan kaya dengan rasa. Ianya disajikan dengan isi ikan tuna, tauge, bebola ikan dan udang. Laksanya juga bersaiz besar, memang berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

Kesimpulan

Sudah jumpa street food di Melaka yang ingin disinggah? Jika berpeluang ke sini, kunjungi sahaja satu persatu kerana semuanya menarik.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.