Mencari tempat makan roti canai di Melaka?

Melaka merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai tarikan dan ini termasuklah dengan tempat makan yang berbagai citarasa. Sebut sahaja apa jenis hidangan yang diinginkan, pasti boleh jumpa di sini.

Salah satunya ialah tempat makan roti canai. Untuk itu, berikut kami senaraikan 12 tempat makan roti canai di Melaka buat anda singgah. Teruskan membaca!

#1 Roti Canai Kayu Arang Melaka

Alamat: 459, Kampung Bakar Batu, 75350 Bachang, Melaka

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu 7 am– 12 pm, 8 – 10 pm, Ahad 7 am – 12 pm

Warung roti canai ini merupakan antara tempat makan roti canai di Melaka yang paling popular – Roti Canai Kayu Arang Melaka. Buktinya, warung ini sentiasa dipenuhi pelanggan. Agak-agak kenapa ia begitu popular?

roti canai kayu arang
Imej via Foursquare

Roti canai di warung ini dibuat menggunakan dapur kayu arang. Disebabkan itu, rasa roti canai di sini lebih enak dan rangup. Roti juga mempunyai tekstur yang lembut dan aromanya boleh buat sesiapa sahaja terliur.

Selain roti canai, anda juga boleh mencuba roti telur atau roti tampal yang dimasak menggunakan dapur kayu arang. Kuahnya juga turut mendapat pujian yang tidak putus-putus.

#2 Awang Roti Canai

Alamat:  75450, 620, Jalan Delima 10, Taman Bukit Melaka, 75450 Melaka

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 8 – 10 am

Teringin untuk mencuba roti canai berkuahkan kari kepala ikan? Kedengaran unik, bukan? Bukan senang nak jumpa warung roti canai sebegini. Jika ke Melaka, anda boleh singgah di warung Awang Roti Canai.

awang roti canai - warung roti canai melaka
Imej via Foursquare

Selain daripada menyajikan kuah kari kepala ikan yang padu, saiz dan ketebalan roti canai di sini patut dipuji. Ianya memang tebal, jadi semestinya kekenyangan di samping kelazatan akan terjamin. Pasti puas hati!

#3 Roti Canai Terbang Mizan Kampung Enam

Alamat: Kampung Enam, 75300 Melaka

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 7:30 am – 9:30 pm manakala Sabtu 7:30 am – 9:30 pm

Selalu anda melihat roti canai melalui video atau kaca televisyen sahaja. Pernah tengok secara langsung? Alang-alang singgah di Melaka, lekaslah terjah warung Roti Canai Terbang Mizan yang terletak di Kampung Enam.

tempat makan roti canai melaka roti canai mizan
Imej via Foursquare

Warung ini bukan sahaja terkenal dengan cara menebar roti canai, tetapi kelazatan kuah dan roti canainya tidak dapat dinafikan. Kuah asam pedas sememangnya padu dan kuah karinya juga tidak kurang hebatnya. Lebih banjir, lebih sedap!

#4 Yusman Roti Canai & Katering

Alamat: 459, Kampung Bakar Batu, 75350 Bachang, Melaka

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 – 11 am

Roti canai juga enak dinikmati bersama kuah yang berlauk seperti kari kambing dan asam pedas ikan pari atau jenahak. Ada ke warung roti canai di Melaka yang menyediakannya? Semestinya ya, singgah sahaja di Yusman Roti Canai & Catering.

yusman roti canai - tempat makan roti canai melaka
Imej via Foursquare

Antara kuah berlauk lain yang anda boleh cuba ialah kari kepala ikan dan sambal sotong. Gabungan roti canai dan kuah berlauk di sini sememangnya melazatkan dan mengenyangkan. Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan, memang berbaloi.

#5 Roti Canai Asam Pedas

Alamat:  Jalan Puteri Hang Li Poh, 75100 Melaka

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 12 pm

Satu lagi tempat makan roti canai di Melaka yang menyajikan roti canai bersama asam pedas sebagai kuah ialah Roti Canai Asam Pedas yang terletak di Jalan Puteri Hang Li Poh. Ianya dibuka seawal 8 pagi, jadi bolehlah anda singgah bersarapan di sini.

roti canai asam pedas - roti canai melaka jalan puteri hang li poh
Imej via Instagram

Selain sedap, roti canainya juga murah dan kuah asam pedasnya memang secukup rasa. Aromanya sendiri harum, jadi jangan lupa untuk ambil lebih. Semestinya enak dimakan panas-panas!

#6 Akie Roti Canai

Alamat:  123, Jalan Bukit Beruang, Kampung Bukit Beruang, 75450 Melaka

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 8 am – 11.30 pm

Akie Roti Canai yang terletak di Kampung Bukit Beruang ini merupakan antara lokasi sarapan dan roti canai yang memang terkenal sekitar sini. Dibuka seawal 8 pagi, ianya juga sesuai disinggah bagi anda yang ingin bersantai.

roti canai melaka
Imej via Foursquare

Roti canainya yang lembut disajikan bersama kuah kari kambing banjir. Daging kambingnya diakui lembut dan baunya juga tidak terlampau kuat. Ianya juga enak dinikmati bersama roti dhol keju, roti canai yang terlaris di sini.

#7 8272 Barakah Corner

Alamat: Jalan Pandan, Kampung Lapan, 75250 Melaka

Waktu Operasi: Rabu – Isnin, 7.30 am – 12.30 pm

Roti canai merecik special – dengar namanya sahaja sudah boleh buat sesiapa sahaja terliur. Hidangan ini boleh anda cuba jika anda singgah bersarapan di restoran 8272 Barakah Corner.

8272 barakah corner
Imej via Foursquare

Ianya dikenali dengan nama roti canai merecik disebabkan oleh kuahnya yang banjir dan keenakannya. Bagi penggemar keju, anda wajib cuba roti canai merecik keju. Tidak memuakkan, malah menyelerakan. Kuahnya juga sentiasa mendapat pujian!

#8 Roti Canai 50 sen Mj

Alamat:  111, Jalan Seri Krubong 16, Taman Sri Krubong, 75260 Melaka

Waktu Operasi: Setiap hari, 7.30 – 11.30 am

Dari namanya sahaja anda boleh teka yang harga roti canai di warung Roti Canai 50 Sen Mj ini memang semurah 50 sen. Bolehlah anda tambah berpinggan-pinggan tanpa memikirkan soal harga, memang murah.

roti canai 50 sen taman sri krubong
Imej via Foursquare

Kuah sambal dan karinya juga mendapat sambutan yang cukup hangat. Harga hidangan lain seperti mi goreng dan minuman juga memang murah. Patutlah kedai makan ini selalu dibanjiri dengan pelanggan!

#9 Warung Roti Canai Dapur Arang Tangga Batu

Alamat: 36, Jalan Tangga 2, Taman Tangga Batu, 76400 Tanjung Kling, Melaka

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis, 6.30 – 10 pm

Selain dinikmati semasa sarapan, roti canai juga sesuai dijamah untuk makan malam. Untuk itu, singgah sahaja di Warung Roti Canai Dapur Arang Tangga Batu jika anda berada sekitar Tanjung Kling.

roti canai tanjung kling
Imej via Foursquare

Roti canai di sini disajikan bersama kuah berlauk seperti asam pedas ikan pari, sambal sotong dan kari kambing. Roti canainya juga disediakan menggunakan dapur arang, jadi rasanya semestinya padu. Rugi jika anda tak singgah dan cuba sendiri!

#10 Kedai Roti Canai Yusof & Sons

Alamat: Jalan Kampung Lapan, Kampung Lapan, 75250 Melaka

‘Antara roti canai tersedap di Melaka’ – ini merupakan antara ulasan yang diberikan oleh salah seorang pelanggannya. Jelas menunjukkan yang roti canai di Kedai Roti Canai Yusof & Sons ini memang terlajak sedap.

roti canai yusof and sons
Imej via Foursquare

Kedai roti canai ini menyajikan roti canai bersama kuah yang berbagai. Anda boleh cuba kuah sambal sotong, asam pedas ikan pari dan kari ayam. Jenis roti canai lain seperti roti bawang dan roti telur bawang juga turut disediakan.

#11 Asam Pedas Malinja Kg. Musai

Alamat: Jalan Malinja 3, Kampung Musai, 75150 Bukit baru, Melaka

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 6 – 8 pm

Warung legend yang beroperasi sejak tahun 1990-an ini terkenal dengan asam pedas Melaka asli yang disajikan. Mereka menyajikan pelbagai jenis lauk seperti asam pedas ikan pari dan asam pedas tetel.

asam pedas tetel roti canai kg musai jalan malinja
Imej via Foursquare

Mereka menyajikan kuah asam pedas bersama roti canai. Ramai pelanggan memuji keenakan roti canai terbang yang lembut dan kuah asam pedas yang asli dan lazat. Saiz hidangan juga besar, pasti mengenyangkan!

#12 Foodcourt Kompleks Niaga Limbongan

Alamat: 3123C, Jalan Limbongan, Kampung Limbongan, 75250 Melaka

Satu lagi tempat makan roti canai di Melaka yang pasti menggamit selera ialah Foodcourt Kompleks Niaga Limbongan. Ada pelbagai gerai yang boleh didapati di sini dan salah satunya ialah gerai roti canai ini – Mahmud Capati.

Roti canai di sini memang sedap dinikmati bersama kuah sardin, kari kambing dan asam pedas daging tetel. Ianya juga tebal dan bersaiz besar, memang berbaloi dan mengenyangkan.

Kesimpulan

Sudah jumpa tempat makan roti canai di Melaka yang ingin diserbu? Jika berpeluang ke sini, singgah sahaja satu persatu kerana semuanya menarik.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.