Bercuti di Ipoh?Atau sememangnya orang tempatan yang tinggal di Ipoh?

Mempunyai atau mencari tempat makan best di Ipoh?

Jika Ya, artikel ini wajib anda baca.

Selain Pulau Pinang, Ipoh juga boleh dianggap syurga makanan kerana di sini pelbagai jenis makanan dalam pelbagai genre boleh didapati. Daripada makanan Melayu, makanan India, makanan Cina / Hainan mahupun pelbagai lagi citarasa boleh didapati di Ipoh.

Malah terdapat juga beberapa menu yang unik yang jarang-jarang didapati di tempat lain. Jadi tidaklah sukar untuk menulis tentang tempat makn best di Ipoh.

Senarai ini akan menggeledah mencari antara tempat makan menarik di bandaraya Ipoh. Semestinya makanan halal menjadi keutamaan dalam senarai ini. Tanpa menyusun mengikut ranking, senarai ini akan memberikan sedikit sebanyak panduan dan cadangan jika kita mencari tempat makan terbaik di Ipoh.

Nah, senarai tempat makan menarik di Ipoh wajib anda pergi.

21 Tempat Makan Menarik Di Ipoh

#1 Pakeeza Restaurant and Catering

Alamat: 15-17, Jalan Dato’ Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 3pm, 6pm – 1030pm)

Pakeeza Restaurant and Catering
Imej via Foursquare

Karinya diakui ramai merupakan yang terbaik di Ipoh. Pakeeza Restaurant menyediakan makanan yang biasa ditemui di restoran-restoran mamak di Malaysia. Namun kualiti makanan, suasana, tahap kebersihan dan layanan mereka menjadikan mereka pilihan pertama dalam kategorinya.

Sama ada anda peminat daging atau seorang vegetarian, semua makanan sesuai untuk anda ada di sini. Kuantiti makanannya amat sesuai untuk dimakan beramai-ramai bersama-sama keluarga.

Oleh itu, tidak mustahillah ia sering dipenuhi pelanggan walaupun semasa tiba waktu berbuka puasa di bulan Ramadan. Harganya berbaloi bagi mereka yang mementingkan kualiti makanan.

 

#2 Restoran Saffani

Alamat: 54, Persiaran Pulai Baru 2, Taman Muda, 31300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (630am – 4pm), ditutup pada hari Jumaat

Restoran Saffani
Imej via Foursquare

Ia pernah muncul dalam rancangan makanan terkemuka iaitu Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) yang disiarkan di TV3. Restoran Saffani menyediakan masakan Melayu tetapi dinikmati oleh ramai pengunjung daripada pelbagai latar belakang bangsa dan budaya.

Antara menu pilihan di restoran ini adalah ikan keli bakar yang dimakan bersama dengan air asam. Selain makanannya yang lazat, pelanggan juga amat berpuas hati dengan harga yang dikenakan.

Maka, tidak hairanlah jika ia sering kehabisan makanan walaupun jam baru menunjukkan pukul 3 petang.

 

#3 David’s Diner

Alamat: B-G-1, Persiaran Greentown 7, Pusat Perdagangan Greentown, 31350 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 11am – 1030pm

Davids Diner
Imej via Foursquare

Dengan melihat pada namanya sahaja sudah boleh dijangka yang ia barangkali tidak menyediakan menu tempatan kepada anda. Betul, hidangan barat atau secara khususnya Amerika adalah persembahan buat pelanggan yang mahukan kelainan tetapi mahu memastikan ia disahkan halal.

Jadi, cuba hadirkan diri di sini dan mencuba burger, ikan salmon panggang, steak dan sebagainya. Walaupun harganya agak mahal, namun berbaloi dengan kualiti makanan, kebersihan, dan keselesaan semasa menikmati hidangan di restoran ini.

 

#4 Laksa Saranghae

Alamat: 1374, Jalan Merak, Kampung Dato’ Ahmad Said, 30020 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (430pm – 11pm), ditutup pada hari Ahad

Laksa Saranghae
Imej via Foursquare

Pasti ramai yang tertarik dengan namanya yang berbunyi ala-ala Korea di hujungnya. Cuma ia tidak menyediakan masakan Korea tetapi menghidangkan menu sepenuhnya Melayu.

Jika pemiliknya berani meletakkan Laksa pada nama restorannya, sudah tentulah laksa juga yang menambat hati para pelanggannya. Dan, memang benar ia merupakan pujian ramai. Walaupun begitu, makanan-makanannya yang lain juga tidak kurang hebatnya.

Kerana itulah ia sering dipenuhi pelanggan. Maka, mendapatkan tempat untuk meletakkan kereta agak sukar di sini termasuklah mendapatkan meja kosong pada waktu puncak.

 

#5 Konda Kondi Café & Bistro

Alamat: 183, Jalan Sultan Idris Shah, Taman Jubilee, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Rabu – Isnin (6pm – 12am), ditutup pada hari Selasa

Konda Kondi Cafe
Imej via Foursquare

Namanya mengingatkan penulis kepada permainan kanak-kanak suatu ketika dahulu. Menggabungkan nama itu dengan gaya hipster bagi hiasan dalamannya, mereka menyediakan masakan barat yang halal.

Maka, anda boleh menjangka untuk melihat fish and chips, burger, pasta, spaghetti, chicken chop dan makanan barat yang lain di sini. Harganya berpatutan walaupuan terdapat komen pada beberapa bahagian seperti kualiti pada menu tertentu mereka.

Namun, itu bukanlah komen secara keseluruhan kerana lebih ramai yang kagum dengan masakan mereka. Layanan daripada para pelayannya juga amat memuaskan hati pelanggan.

 

#6 Green Town Dimsum Café

Alamat: 10, Persiaran Greentown 4, Pusat Perdagangan Greentown, 30450 Menglembu, Perak

Waktu Operasi: Rabu – Isnin (8am – 9pm), ditutup pada hari Selasa

Greentown Dimsum Cafe
Imej via Foursquare

Kemas, bersih dan selesa. Itulah gambaran pertama saat kaki melangkah ke dalam restoran ini. Kepada umat Islam, usah bimbang dengan makanan Cina yang dihidangkan di sini kerana mereka memiliki sijil halal bagi mengesahkannya.

Tidak sia-sia meletakkan dimsum pada nama restoran kerana ia diiktiraf sebagai yang paling enak oleh pelanggan-pelangganya. Selain dimsum, mereka juga menyediakan pelbagai jenis mee dan nasi.

Bagi yang tidak tahu atau keliru semasa memilih menu, minta sahaja pelayan untuk membantu memilihkan hidangan terbaik yang mereka ada. Anda pasti tidak akan menyesal!

 

#7 21 Grilled

Alamat: 87, Regat Sri Cempaka, Taman Cempaka, 31400 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari (1130am – 11pm)

21 Grilled
Imej via Foursquare

Siapa yang tak suka burger, apa lagi jika saiznya lebih besar berbanding kebiasaannya. Melihatnya saja sudah membangkitkan selera.

Bayangkan makan sebiji burger dengan daging yang tebal dan lain-lain ramuan yang bukan sahaja menarik pandangan mata tapi turut mengisi perut kepada 3 sehingga 4 orang dewasa. Itulah kekuatan 21 Grilled yang menukar saiz Ramly burger yang dijual di tepi jalan kepada saiz raksasa sambil mengekalkan kelazatannya.

Oleh kerana itu, ia sering dipenuhi ramai pelanggan yang sentiasa pulang dengan kepuasan. Bukan burgernya sahaja yang mendapat pujian, begitu juga dengan air minumannya. Mesti datang dan cuba!

 

#8 Hadramout Paradise Restaurant

Alamat: Kinta Riverfront, K1, Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 12am)

Hadramout Paradise River Front
Imej via Foursquare

Makanan Arab adalah salah satu pilihan rakyat Malaysia. Siapa yang singgah di Ipoh, boleh mencuba makan di salah sebuah restoran makanan Arab yang ada di sini. Ia dikatakan yang terbaik di Ipoh.

Cuba sahaja mana-mana menu ayam atau kambing yang ada, pasti anda tidak akan kecewa. Ia dimasak oleh tukang masak berketurunan Arab yang sudah mahir dengan masakan mereka. Ditambah pula dengan pemandangan Sungai Kinta dan ruang makan berhawa dingin, sesiapa sahaja pasti gembira.

Usah bimbang mengenai tempat letak kereta kerana ada ruang yang luas untuk anda.

 

#9 Ipoh Hainan Chicken Rice

Alamat: 107, Jalan Raja Musa Aziz, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari (1030am – 10pm)

Ipoh Hainan Chicken Rice
Imej via Foursquare

Sepertimana namanya, nasi ayam memang merupakan hidangan utama pilihan ramai di sini. Ia juga hidangan yang mendapat pujian berbanding menu masakan lain yang disediakan di sini. Antara masakan lain ialah ialah mee hailam.

Kedainya ringkas, bersih dan selesa, amat sesuai untuk makan bersama keluarga. Walaupun begitu, kedudukannya yang terlalu hampir dengan jalan raya, agak menyukarkan pelanggan untuk mendapatkan tempat meletak kereta.

 

#10 Ipoh ShellABration

Alamat: 1, Lebuh Bercham Selatan 1, Taman Kinta Mas, 31400 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (430pm – 1130pm), ditutup pada hari Isnin

Ipoh ShellABration
Imej via Foursquare

Ingin makan dengan lebih santai? Pengunjung rata-rata berasa gembira dapat makan di sini bersama-sama keluarga mereka. Jom singgah di ShellABration untuk menikmati shellout.

Masakan yang lazat-lazat seperti Siakap Masak Cili, Ayam Masak Kunyit dan pelbagai lagi masakan Melayu, di samping makanan laut ada disediakan di sini. Ada 2 pilihan shell out iaitu masak lemak dan masak cili.

Mungkin agak sukar membuat pilihan kerana kedua-duanya memang memuaskan hati.

 

#11 Mee Kari Kak Yah (Silibin)

Alamat: 12, Jalan Jelapang Selatan 1, Taman Keledang Jaya, 30100 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (630am – 12pm, 5pm – 10pm), ditutup pada hari Isnin

Mee Kari Kak Yah
Imej via Foursquare

Memang menjadi kebiasaan untuk satu-satu perniagaan makanan meletakkan hidangan istimewa mereka. Begitu juga dengan mee kari yang anda temui di restoran Mee Kari Kak Yah ini. Sukar menemui komen negatif mengenai mee kari di sini.

Malah, rata-rata pengunjung hanya menyebut mengenai mee karinya sahaja. Selain mee kari, terdapat juga menu berasaskan mee yang lain seperti mee goreng, mee bandung dan hidangan bersup yang lain.

Restoran ini sesak sewaktu hujung minggu jadi mesti cepat-cepat datang sebelum ada lebih ramai pengunjung.

 

#12 Assam House Restaurant

Alamat: 2, Medan Gopeng, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, 31350 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (1130am – 3pm, 6pm – 10pm), ditutup pada hari Isnin

Assam House Restaurant
Imej via Foursquare

Pemilik dan pekerja di restoran sama-sama bersifat mesra pelanggan. Ditambah pula dengan masakan Cinanya, memang pasti menjilat jari. Walaupun mereka menyediakan masakan Cina, tapi di sini semuanya halal.

Antara menu yang mesti dicuba ialah Ikan Asam, Pak Choy dengan Belacan, dan Sotong bersama Petai. Atau anda boleh sahaja memilih daripada senarai makanan lain yang ada. Bagi mereka yang suka rasa masam dan pedas, inilah tempatnya.

Suasana restoran amat bersih dan selesa. Terdapat banyak juga tempat untuk meletak kenderaan anda jadi anda sudah terlepas daripada satu masalah.

 

#13 Plan B (Ipoh)

Alamat: Jalan Panglima, 30000 Ipoh, Perak

Plan B Ipoh
Imej via Foursquare

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10am -11pm), Jumaat (10am – 12am), Sabtu (9am – 12am), Ahad (9am – 11pm)

Suasana dan layanan terhadap pelanggan adalah terbaik di sini. Siapa yang suka mengambil gambar untuk Instagram dan Facebook, pasti akan suka dengan restoran hipster daripada bangunan lama ini.

Lokasinya bukan sahaja mudah untuk anda makan santai dengan rakan-rakan dan keluarga, tapi mudah juga untuk membeli-belah. Jadi, pelancong suka dengan restoran ini lalu menambah lagi bilangan pelanggan yang sudah sedia ramai terutama semasa hujung minggu.

Apa lagi di dalamnya ada pelbagai menu tempatan dan barat walaupun harganya sedikit mahal.

 

#14 Restoran Bintara Ampang ipoh

Alamat: Jalan Sri Ampang 2, Kampung Sri Ampang, 31350 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (5am – 12pm)

Restoran Bintara
Imej via Facebook

Ada banyak gerai di sini yang menjual pelbagai jenis makanan. Jadi, kekuatan restoran ini yang sebenarnya merupakan medan selera adalah pilihan makanan yang banyak.

Ini diakui sendiri oleh ramai pelanggannya sehingga jarang menyebut tentang gerai yang mana menyediakan hidangan terbaik. Ada nasi ayam, nasi dagang, nasi kerabu, sate, char kuey teow pelbagai lagi termasuk menu barat.

 

#15 Eight Miles Burger Banjir

Alamat: Kampung Melayu, 31250 Tanjung Rambutan, Perak

Waktu Operasi: Rabu – Isnin (6pm – 1am), ditutup pada hari Selasa

8 Miles Burger Banjir
Imej via Foursquare

Burger banjir? Ya. Sos istimewanya bertakung di dalam pinggan burger anda. Ini memang satu kelainan yang ada padanya. Kerana ciri-ciri istimewa itulah, EightMiles diserbu peminat burger terutama dari kalangan orang muda.

Hiasan dalam restoran juga mungkin salah satu penyebab ia mudah didekati golongan ini. Bagi pengunjung, inilah tempat yang sesuai untuk bertemu rakan-rakan.

Harganya pula tidaklah terlalu mahal atau terlalu murah. Jika tidak mahu makan burger, boleh pilih hidangan barat yang lain seperti chicken chop atau spaghetti meatballs.

 

#16 Thai Mookata Steamboat

Alamat: 48, Laluan Ipoh Perdana, Taman Desa Tambun Indah, 31400 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (6pm – 1130pm), ditutup pada hari Isnin

Thai Mookata Steamboat
Imej via Foursquare

Restoran steambot memang kebiasaannya menjadi pilihan bersantai bersama-sama rakan dan keluarga. Pelbagai pilihan makanan dengan harga yang murah menjadi tarikan kepada pengunjung.

Tambahan pula, makanan laut di sini segar-segar. Ini menambah satu lagi kelebihan kepada Thai Mookata Steamboat. Layanan daripada pekerja juga tidak mengecewakan pelanggan. Tempatnya pula selesa, bersih dengan susun atur yang menarik.

 

#17 Restoran Halimah Bachik

Alamat: 29, Regat Sri Cempaka, Taman Cempaka, 31400 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (715am – 4pm), ditutup pada hari Ahad

Restoran Halimah Bachik
Imej via Foursquare

Ini restoran pilihan para pelajar kerana ada pelbagai masakan tradisional di sini di samping harganya yang amat berpatutan. Ia juga dianggap sebagai tempat makan paling mampu di kawasan tersebut bagi ramai orang.

Jadi, tidak pelik jika ia selalu padat dengan pengunjung yang menjadikan ruangnya agak sesak terutama pada waktu makan tengah hari. Antara yang selalu mendapat pujian ialah roti canainya.

Selain sedap, ia juga murah. Itulah kelebihan Restoran Halimah Bachik. Walaupun harganya lebih rendah berbanding di tempat lain, tapi kualiti makanannya tetap diutamakan.

 

#18 Restoran M. Salim

Alamat: 75, Jalan Tokong, Taman Hoover, 31650 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (630am – 10pm) Jumaat (630am – 1pm, 2pm – 10pm)

Restoran M. Salim Ipoh
Imej via Foursquare

Jika anda peminat kari kepala ikan yang sedap, sila cuba makan ia di sini. Restoran M. Salim sudah beroperasi selama lebih 50 tahun dan makanan terkenal mereka sejak dahulu ialah kari kepala ikan.

Maka, tidak mustahil nama restoran ini sudah lama dikenali ramai terutama bagi penduduk di Ipoh. Ia sering sesak terutama pada waktu puncak. Jadi, sesetengah pelanggan lebih suka menempah meja terlebih dahulu sebelum tiba di restoran bagi memastikan mereka mendapat tempat.

 

#19 Miker Food

Alamat: Jalan Padang, 30020 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (730am – 12am), ditutup pada hari Isnin

Miker Food Ipoh
Imej via Foursquare

Pizza home made dan Tom Yam Nyiur Ketam. Ini antara menu yang anda mahu cuba di sini. Begitu pun, terdapat banyak lagi pilihan makanan tempatan dan barat yang ada di sini. Kuantiti makanan yang banyak juga memuaskan hati pelanggan.

Pemandangan cantik, luas dan selesa pula menjadikan restoran ini lokasi yang sesuai untuk berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan. Jadi, sewaktu hujung minggu, ia biasaanya dipenuhi pengunjung.

 

#20 Nasi Ganja Restoran Tumpangan dan Kedai Kopi Yong Suan

Alamat: 2, Jalan Yang Kalsom, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 4pm)

Rumah Tumpangan dan Kedai Kopi Yong Suan
Imej via Foursquare

Tempat yang terkenal selalunya dipenuhi pengunjung. Ini agak menyukarkan terutama bagi mereka yang datang dalam kumpulan. Hendak makan untuk dibawa pulang juga adakalanya terpaksa beratur panjang.

Tapi, bila tiba di Ipoh, rugi jika tidak singgah makan di sini kerana ramainya pengunjung petanda kepada kualiti makanan yang bagus. Jadi, ramahkan diri untuk duduk makan di sebelah orang asing. Menu terkenal yang ada di sini ialah Nasi Ganja.

Nasi Ganja dihidangkan sewaktu makan tengah hari menyebabkan barisan panjang di kedai pada waktu tersebut.

 

#21 Kafe Setinggan

Alamat: 31350 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (12pm – 7pm)

Kafe Setinggan
Imej via Foursquare

Mesti cuba Laksa Telur Bersarang jika anda berada di sini. Ia dianggap laksa terbaik di Ipoh oleh para pelanggannya. Kuantitinya lebih banyak berbanding di tempat lain. Tambah juga dengan hidangan lain seperti nasi kukus bersama ayam berempah dan pau cendawan.

Ada gerai-gerai lain berhampiran dengannya jadi anda mempunyai banyak pilihan untuk disesuaikan dengan citarasa anda. Usah bimbang tidak mendapat tempat kerana terdapat banyak tempat letak kereta dan tempat duduk untuk anda.

Kesimpulan

Anda suka kedai makan Ipoh yang mana? Atau anda ada cadangan tambahan lain? Jangan lupa untuk memberi cadangan tempat makanm enarik di Ipoh yang lain untukkami masukkan dalam senarai ini.

Oh, yang penting jangan lupa share ya artikel ini.

Selain tempat makan menarik di Ipoh, kami juga mempunyai artikel tempat makan menarik yang lain untuk anda baca.

Penulis: Awal Faiz

Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

〰〰

Langgan Info Kami

Berkaitan

〰〰
.