Restoran Warisan Sambal Opah – nama restoran yang cukup gah di Subang Jaya. Jika anda menetap sekitar situ, pasti anda tahu yang ianya merupakan restoran yang sangat terkenal.
Buktinya, restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan walaupun sudah tengah malam. Wah, nampaknya bukan calang-calang restoran!
Agak-agak apa yang membuatkan Restoran Warisan Sambal Opah begitu menarik sekali? Hidangan apa yang best di sini dan patut dicuba? Teruskan membaca ya!
Nasi lemak merupakan hidangan yang sangat dekat dengan kita. Hidangan ini sesuai dinikmati tak kira masa – pagi, tengah hari mahupun tengah malam.
Di restoran ini, nasi lemak merupakan menu yang paling laris. Ada dua punca utama ianya begitu digilai – keenakkan dan harga yang ditawarkan.
Ramai pelanggan menggemari sambal ikan bilisnya yang pedas dan sedap. Nasi lemak di sini dibungkus dalam daun pisang yang bukan sahaja menggandakan keenakkannya, malah membangkitkan aromanya.
Harganya? Cuma RM 1 sebungkus! Anda akan dapat nasi lemak yang disajikan bersama telur rebus dan sambal ikan bilis. Sangat berpatutan!
Kalau makan nasi lemak, memang tak sah jika anda tidak tambah lauk sampingan. Restoran ini juga ada menyediakan lauk-pauk lain yang enak-enak belaka.
Antara lauk yang disediakan ialah sambal sotong, paru goreng, rendang kerang, sambal paru, ayam goreng, sambal telur puyuh dan sambal tempe. Berbagai betul!
Harga untuk setiap lauk juga berbeza dan bergantung kepada kuantiti yang diambil. Yang pasti, ianya berbaloi dengan kualitinya.
Bukan nasi lemak sahaja yang boleh anda dapati di sini, malah hidangan ringan juga turut disediakan. Lebih meriah jika anda pesan bersama nasi lemak sekali!
Antara menu yang boleh anda pesan ialah otak-otak dan sate. Sate di restoran ini juga turut dipuji ramai. Antara sate yang boleh dicuba ialah sate daging dan sate kambing.
Anda menggemari char kuey teow? Kami ada berita baik buat anda, kerana ianya juga turut disediakan di restoran ini. Saiz hidangannya juga besar, jadi kekenyangan semestinya terjamin.
Hidangan bersup seperti kuey teow sup, bihun sup dan maggi sup juga boleh anda cuba. Supnya tidak terlampau berminyak dan kaya dengan rasa!
Anda pasti sudah tak sabar-sabar mahu menikmati keenakkan hidangan di Restoran Warisan Sambal Opah, bukan? Sudahlah enak, murah pula. Memang rugi kalau tak singgah.
Jadi, jangan berlengah lagi. Serbu sahaja jika anda berpeluang ke Subang Jaya. Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran. Singgah pada waktu yang sesuai ya!
Alamat: 7, Jalan USJ 9/5p, Subang Business Centre, 47620 Subang Jaya, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 5 pm – 5 am
Mencari lebih banyak tempat makan menarik di Subang Jaya? Klik sahaja di link di bawah. Selamat menjamu selera!
Tempat Makan Best Di Subang Jaya