Setiap hari, semestinya anda ingin menikmati laut yang berlainan dan mudah untuk disediakan. Kadangkala boleh kekeringan idea memikirkan lauk apa yang perlu dimasak.
Mahu mencuba hidangan yang enak untuk dijadikan masakan harian? Berikut kami senaraikan 20 resepi masakan harian untuk anda. Teruskan membaca!
#1 Sambal Bilis Belimbing Buluh
Bagi yang mempunyai stok ikan bilis, ini adalah resepi masakan harian yang wajib anda cuba. Mudah, enak dan semestinya membangkitkan selera. Resepi ini dikongsikan oleh Nanie Rosnani di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Petai (dihiris) *optional
Belimbing buluh (dihiris bulat)
Garam dan gula sebagai perasa
Bahan tumbuk kasar atau halus:
Segenggam ikan bilis
Beberapa tangkai cili merah dan cili padi (jumlah ikut citarasa anda)
4 ulas bawang merah
Belacan *optional
Cara-cara:
Tumis bahan tumbuk dan masukkan belimbing dan petai.
Setelah pecah minyak, perasakan dengan garam dan gula.
Sedia untuk dihidang.
#2 Ayam Perattal
Selalu anda nikmati kari ayam berkuah, apa kata kali ini anda cuba kari ayam versi kering pula? Itulah gambaran untuk hidangan ini – ayam perattal. Resepi ini dikongsikan oleh Sheena Supramaniam di laman Facebook.
Bahan-bahan:
3 bahagian kaki ayam (dipotong kecil)
1 biji tomato (dibelah empat)
Sedikit daun kari
Daun ketumbar *optional (dihiris)
Minyak kelapa atau minyak masak untuk menumis
Sedikit air bahan kisar
1 batang kayu manis
5 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
½ sudu besar jintan manis
2 sudu besar serbuk kari ayam/daging
1½ sudu kecil serbuk kunyit
2½ sudu serbuk cili
Bahan kisar:
5 biji bawang kecil
5 ulas bawang putih
2 ketul halia saiz ibu jari
Cara-cara:
Panaskan kuali dan masukkan minyak masak atau minyak kelapa.
Masukkan kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan jintan manis.
Tambahkan daun kari dan bahan kisar.
Seterusnya, masukkan sedikit air bahan kisar dan tumis sehingga pecah minyak.
Setelah pecah minyak, masukkan ayam dan serbuk kunyit.
Kacau sebati dan masukkan tomato.
Masukkan serbuk cili dan serbuk kari.
Kacau sebati dan perasakan garam. Pastikan ayam dimasak menggunakan api sederhana.
Kacau sekali sekala. Jika terlalu kering, boleh masukkan 20-30 ml air.
Masukkan daun ketumbar. Kacau sebati dan biar masak selama 5 minit.
Sedia untuk dihidang.
#3 Daging Masak Manis
Daging merupakan antara sumber protein dan zat besi yang sangat diperlukan oleh tubuh badan. Bagi yang ingin mencuba lauk daging, anda boleh cuba buat daging masak manis. Resepi ini dikongsikan oleh Erma Azizie di laman Facebook.
Bahan-bahan:
300 g daging (dipotong kecil dan direbus hingga empuk)
Sedikit air rebusan daging
Rempah empat sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih & buah pelaga)
1 biji kentang (dipotong dadu besar kepada 8 bahagian)
2 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar gula
Garam
Serbuk perasa
Minyak untuk menumis
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 batang serai
4 sudu makan cili kering (direbus dan dikisar terlebih dahulu)
1 inci halia
Cara-cara:
Tumis rempah 4 sekawan hingga naik bau.
Kemudian, masukkan bahan kisar dan tumis sehingga garing.
Masukkan gula, garam, serbuk perasa, sos cili, sos tomato dan sos tiram.
Masukkan daging, sedikit air rebusan daging dan kentang untuk memekatkan kuah.
Masak sehingga kentang empuk dan kuah agak pekat.
Sedia untuk dihidang.
#4 Udang Khamped
Ingin mencuba masakan Thai? Tak perlu ke kedai, anda boleh sahaja buat sendiri di rumah. Untuk itu, cubalah resepi udang khamped ini. Resepi ini dikongsikan oleh Ida Zairi di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 kg udang (dilumur dengan garam dan kunyit & digoreng)
1 sudu pes tomyam
2 sudu cili kisar
1 sudu sos tiram
1 keping asam keping
Kacang panjang*optional
Garam
1 sudu sos cili
Gula
1 sudu sos ikan
Daun limau purut sebagai hiasan
Bahan kisar halus:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
½ inci lengkuas
2 batang serai potong halus
2 biji cili hidup (merah)
5 biji cili api (hijau)
Cara-cara:
Panaskan minyak bekas menggoreng udang dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
Masukkan sos tiram, asam keping, sos cili dan sos ikan hingga mendidih. Jika kering, masukkan sedikit air.
Masukkan udang, kacang panjang dan daun limau purut.
Perasakan dengan garam dan gula.
Sedia untuk dihidang.
#5 Kerabu Pucuk Paku Kerang Tauge
Kerabu merupakan menu sampingan yang melengkapkan sesebuah hidangan, memang enak dinikmati semasa makanan tengah hari. Tambahan pula kerabu kerang, memang best! Resepi ini dikongsikan oleh Erny Yusniza Saad di laman Facebook.
Bahan-bahan:
100 g tauge
100 g isi kerang (sudah direbus)
Pucuk paku (dicelur)
Garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar (tanpa air)
Sedikit belacan
1 biji cili merah
7 biji cili padi
1 sudu kecil ekstrak asam jawa
1 biji bawang besar
2 sudu besar kerisik
3 sudu besar pati santan
Cara-cara:
Masukkan tauge, kerang, kerisik, bahan-bahan yang dikisar tadi dalam mangkuk. Gaul sebati.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati.
Sedia untuk dihidang.
#6 Bawal Stim ala Cina
Masakan Cina bukan sahaja menyelerakan, malah menyihatkan. Bagi penggemar hidangan Cina, anda pasti akan menggemari hidangan ini. Resepi ini dikongsikan oleh Raja Azreen di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan bawal (dibasuh bersih)
Halia (dipotong nipis)
Batang daun bawang (dipotong bulat)
Cili padi(dipotong bulat)
Bawang putih (dimayang dan digoreng hingga keemasan)
Bahan sos:
2 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar minyak bijan
Cara-cara:
Kukus ikan bawal bersama halia selama 5 minit.
Tuangkan bahan sos ke atas ikan.
Hiaskan dengan batang daun bawang,cili padi dan bawang putih.
Sedia untuk dihidang.
#7 Telur Rebus Air Asam
Telur rebus juga sesuai dijadikan makanan tengahari. Hidangan telur rebus air asam ini bukan sahaja sedap, malah resepinya juga ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Norul Haisyu di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Telur rebus
Cili api
Bawang besar (dihiris/cincang)
Tomato (dihiris/cincang)
Bahan air asam:
Asam jawa
Garam seckup rasa
Serbuk perasa secukupnya
Air suam
Cara-cara:
Kupaskan telur rebus di bawah air yang mengalir. Toskan dan potong.
Masukkan cili, tomato dan bawang ke dalam telur. Ketepikan.
Bancuh sebati bahan air asam dan tuangkan ke dalam telur.
Biarkan meresap selama 15 minit.
Sedia untuk dihidang.
#8 Tomyam Campur
Sebut sahaja tomyam, pasti anda merasakan yang ianya susah untuk dibuat. Jangkaan anda salah kerana resepi ini cukup mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Asmida Nor di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Lobak (dihiris bulat)
Bunga kobis
Batang saderi (dihiris bulat)
Cendawan
Bawang besar (dihiris)
Halia
Udang
Ayam
Daun limau purut
Limau nipis
Bahan kisar:
Tomato (dihiris dan dibelah empat)
Pes tomyam
Sedikit air
Cili padi (ikut tahap kepedasan yang diinginkan)
Cara-cara:
Rebus dahulu ayam sampai mendidih.
Setelah mendidih, masukkan pes yang dikisar
Masukkan bawang besar, daun limau purut dan halia.
Seterusnya, tambahkan kobis dan lobak.
Kemudian, masukkan cendawan dan biarkan mendidih sebentar.
Selepas mendidih sedikit, masukkan udang.
Perahkan air limau nipis.
Perasakan dengan gula & garam secukupnya dan biarkan mendidih.
Sedia untuk dihidang.
#9 Cencaru Sumbat
Cencaru sumbat merupakan antara resepi masakan harian yang pasti akan mencuri hati anda. Ianya cukup sesuai dijadikan makanan tengahari. Resepi ini dikongsikan oleh Una Husna di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan cencaru
Bahan sambal:
Daun kesum (diracik)
Bunga kantan (dihiris nipis)
15 biji limau kasturi (diperah dan diambil airnya)
Gula
Garam
Bahan perasa
Bahan kisar kasar:
1 biji bawang besar
3 biji bawang kecil
3 biji bawang putih
Sedikit belacan
1 biji tomato
15 tangkai cili kering (direbus)
3 tangkai cili besar hijau
10 tangkai cili api
Cara-cara:
Tumis bahan kisar kasar dengan minyak hingga naik bau dan pecah minyak.
Masukkan bahan-bahan sambal.
Setelah sambal sudah masak, masukkan air asam limau kasturi, bunga kantan dan daun kesum.
Kacau sebati kemudian masukkn garam, gula dan bahan perasa. Kacau-kacaukan dan perasakan.
Setelah sudah pekat, boleh matikan api.
Belah belakang ikan cencaru dan sumbatkan bahan ini ke dalam cencaru tadi. Goreng ikan hingga garing.
Angkat dan boleh letak lagi sambal tadi. Tuangkan minyak ikan goreng tadi.
Sedia untuk dihidang.
#10 Kari Sotong Pekat (Tanpa Santan)
Ada penggemar sotong di sini? Sotong sangat enak dibuat kari, tambahan pula jika teksturnya pekat. Pasti menjilat jari! Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 kg sotong (dibersihkan)
2 tangkai daun kari
1 biji bawang besar (dihiris)
3 ulas bawang putih (dihiris)
1 cm halia (dihiris)
3 sudu perahan asam jawa
1 buah tomato (dibelah 6)
2-3 sudu besar daun ketumbar
Minyak masak secukupnya
Serbuk perasa
Garam
7 sudu besar serbuk kari ikan (dicampur dengan sedikit air, dijadikan pes)
Cara-cara:
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih, bawang merah, halia dan daun kari. Masak sehingga sedikit keperangan.
Kemudian, masukkan pes rempah kari dan gaul sebati.
Masak sehingga pecah minyak mengunakan api sederhana agar rempah masak dengan sekata dan warna rempah akan kelihatan cantik. Sentiasa kacau.
Setelah pecah minyak, masukkan perahan air asam jawa dan kacau lagi sehingga minyak berwarna jingga gelap (masih mengunakan api sederhana).
Masukkan sotong yang telah dibersihkan tadi. Masak seketika.
Akhir sekali, masukkan daun ketumbar dan tomato.
Perasakan dengan garam dan serbuk perasa (boleh tambahkan cili merah dan cili hijau sebagai hiasan).
Tunggu sedikit kering dan matikan api.
Sedia untuk dihidang.
#11 Sup Ayam Thai
Hidangan bersup memang enak dinikmati begitu sahaja atau dimakan bersama nasi. Ianya mengenyangkan dan cukup menyihatkan. Resepi ini dikongsikan oleh Tengku Syazwanie di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bawang putih (ditumbuk)
Halia (ditumbuk)
Bawang merah (dimayang)
Bawang besar (dimayang)
Serai
Hirisan lemak ayam
Air
Ayam
Sup bunjut
Lobak merah
2 sudu besar sos ikan
Tomato
Daun limau purut
Garam
Serbuk perasa
Daun ketumbar
Perahan asam limau nipis
Cara-cara:
Tumis bawang putih, halia, bawang merah dan bawang besar Bersama hirisan lemak ayam sehingga naik bau dan layu.
Masukkan air. Setelah hamper mendidih, masukkan ayam, sup bunjut, lobak merah dan biarkan seketika.
Masukakkan sos ikan, tomato dan daun limau purut.
Letakkan garam dan serbuk perasa.
Setelah ayam masak, masukkan daun ketumbar dan perahan asam limau nipis.
Sedia untuk dihidang.
#12 Daging Goreng Kunyit
Satu lagi resepi masakan harian yang patut anda cuba sendiri di rumah ialah daging goreng kunyit. Ianya cepat untuk disediakan, sesuai dijadikan bekal ke tempat kerja. Resepi ini dikongsikan oleh Mas Aura di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Daging (dihiris nipis)
Serbuk kunyit
Halia (dihiris nipis)
Bawang putih (dihiris nipis)
Bawang besar atau bawang holland
Cili merah (dihiris nipis)
Minyak untuk menggoreng
Garam
Kacang panjang atau kacang buncis
Cara-cara:
Gaul daging dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya.
Masukkan air paras daging, rebus daging di dalam kuali sehingga empuk.
Setelah kering airnya, tuangkan minyak di dalam kuali dan gorengkan daging.
Perasakan dengan garam jika perlu.
Masukkan bawang besar bawang putih, halia dan cili potong. Biar sehingga layu.
Sedia untuk dihidang.
#13 Jantung Pisang Goreng Cili Pedas
Resepi masakan harian ini juga ringkas, hanya perlukan beberapa jenis bahan sahaja untuk membuatnya. Ianya juga sesuai dijadikan hidangan sampingan. Resepi ini dikongsikan oleh Syazlin Mansor di laman Facebook.
Bahan-bahan:
2 biji jantung pisang (direbus, dihiris kecil dan diperah sehingga tiada air)
Bahan kisar kasar:
Bawang besar
Bawang putih
Cili padi
Ikan bilis
Belacan
Cara-cara:
Tumis bahan kisar bersama jantung pisang hingga garing.
Gaul rata.
Sedia untuk dihidang.
#14 Asam Pedas Ikan Pari
Asam pedas ikan pari ini selalu menjadi rebutan, terutamanya di kebanyakan restoran masakan kampung. Tak perlu berebut, anda juga boleh buat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Fyra Mussa di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Daun limau/daun kesum
Bunga kantan
Air asam jawa
Sayur (ikut citarasa, boleh bendi/tomato/terung)
Ikan pari
Serai
Sedikit air asam jawa
Bunga kantan
Garam
Serbuk perasa
Bahan kisar kasar:
Kunyit hidup
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Belacan keping bulat Melaka
Cili kering
Cara-cara:
Masukkan minyak (kuantiti minyak sedikit banyak) dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan juga serai.
Setelah pecah minyak, boleh masukkan sedikit air asam jawa.
Biarkan mendidih, kemudian masukkan ikan.
Masukkan juga daun kesum dan bunga kantan atau daun limau.
Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
Biar mendidih lagi dan tunggu ikan masak.
Masukkan sayur.
Sedia untuk dihidang.
#15 Ikan Kembung Rebus Air Asam
Ikan kembung rebus air asam – terdengar namanya sahaja sudah boleh buat sesiapa sahaja terliur, inikan pula merasainya. Ianya juga mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh Norhaniza Kamaruddin di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan kembung
Asam keping
2 biji bawang besar (dipotong dadu)
Sedikit garam
Belacan
1 sudu besar garam
2 biji tomato (dipotong dadu)
2 tangkai cili merah (dipotong serong)
7 biji limau kasturi (dibelah dua)
Bahan kisar:
Segenggam cili padi
Asam jawa
Sedikit air suam
Serbuk perasa
1 sudu besar gula
½ sudu garam
Cara-cara:
Rebus ikan kembung dengan asam keping, sedikit garam dan air (jangan terlalu banyak dan menenggelami ikan) sehingga mendidih.
Terbalikkan ikan dengan perlahan dan susun dalam bekas.
Curahkan bahan kisar atau air asam ke atas ikan.
Letakkan semua bahan yang dipotong dadu.
Perahlan limau kasturi dan seimbangkan rasa.
Sedia untuk dihidang.
#16 Ayam Kicap ala Tiga Budak Gemok
Duduk jauh tetapi masih mahu mencuba Ayam Kicap ala Tiga Budak Gemok? Jangan risau, anda boleh sahaja cuba resepi yang diinspirasikan oleh hidangan tersebut. Resepi ini dikongsikan oleh Nur Aisya di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Daun kari
Kicap manis
Sos tiram
Ayam (digoreng dengan garam dan kunyit)
Bahan tumbuk:
Cili api
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Bahan sambak gesek bawang:
Bawang putih
Tomato
Ikan bilis
Cili padi
Cili merah
Bawang besar
Cara-cara:
Tumis daun kari terlebih dahulu.
Kemudian, masukkan bahan yang telah ditumbuk. Pastikan bahan tumis garing dan gelap.
Tuangkan kicap manis dan sos tiram.
Masukkan ayam yang telah digoreng.
Untuk sambal gesek bawang, goreng dahulu semua bahan dan kemudian tumbuk. Perasakan.
Sedia untuk dihidang.
#17 Sambal Sotong Kembang
Resepi masakan harian ini sangat senang untuk dibuat, jadi memang rugi jika anda tidak cuba. Sambal sotong kembang ini juga sesuai dijadikan lauk untuk nasi lemak. Resepi ini dikongsikan oleh Zarinah Abu Yazid di laman Facebook.
Bahan-bahan:
4 ekor sotong kembang (disangai tanpa minyak dan ditoskan)
7 senduk kecil cili kisar
2 sudu besar gula pasir
2 sudu besar gula merah/melaka
1 sudu besar garam
4 sudu besar air asam jawa
Gula
Garam
Bahan kisar:
2 labu bawang besar
7 ulas bawang putih
1inci halia
Cara-cara:
Tumis bahan kisar hingga naik bau.
Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak.
Setelah pecah minyak, masukkan gula, garam, sotong dan air asam jawa. Gaul rata.
Kecilkan api dan masak hingga sambal agak pekat (sekitar 20 minit).
Sedia untuk dihidang.
#18 Pais Patin
Pais patin merupakan hidangan ikan bakar tempoyak yang popular di Pahang. Hidangan ini sesuai dinikmati untuk makan tengahari bersama nasi putih panas-panas. Resepi ini dikongsikan oleh Anggerik Rosni di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Daun kunyit (dihiris halus)
Petai
Daun pisang
Ikan patin
Bahan kisar halus:
Tempoyak
Cili api merah & hijau
Kunyit hidup
Garam
Serbuk MSG
Cara-cara:
Lumur ikan dengan bahan kisar.
Taburkan daun kunyit dan petai.
Balutkan dengan daun pisang dan kerajang aluminium.
Bakar sehingga masak (boleh bakar atas dapur atau menggunakan air fryer).
Sedia untuk dihidang.
#19 Gulai Ikan Kering Tumis Darat
Gulai ikan kering atau ikan masin ini memang cukup terkenal di negeri Utara. Namun anda tidak perlu jauh-jauh ke sana, boleh sahaja cuba sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Masni Bahari di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan kisar:
Bawang besar
Bawang putih
Bahan tumis darat:
Bawang besar (dihiris)
Bawang putih (dihiris)
Daun kari
Bahan lain:
Ikan kering talang (direndam)
Rempah ikan kering
Santan
Ubi kentang
Ubi keledek oren
Nenas
Terung
Cili muda besar
Tomato
Sedikit serbuk kunyit
Garam & serbuk perasa
Cara-cara:
Tuang rempah dalam periuk dan tambahkan air dan sedikit minyak.
Tuang bahan kisar dan serbuk kunyit. Tunggu rempah masak sekejap.
Masukkan ubi. Apabila ubi empuk, masukkan terung.
Setelah terung hampir lembut, masukkan ikan masin, nanas, santan, garam dan serbuk perasa.
Bila mendidih, masukkan cili muda dan tomato.
Menggunakan kuali berasingan, masukkan sedikit minyak dan tumis bahan tumis darat hingga kekuningan.
Kemudian, masukkan ke dalam gulai tadi.
Sedia untuk dihidangkan.
#20 Rendang Daging Minang
Bagi penggemar masakan Indonesia, anda pasti menggemari hidangan ini – rendang daging Minang. Resepi ini merupakan resepi asli, jadi anda wajib cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Ayu Susanti di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan kisar:
Bawang merah
Bawang putih
Cili kering pedas
Halia
Lengkuas
Bahan lain:
Daun kunyit
Serai
Daun limau purut
Daun salam
Santan (untuk 1 kg daging, anda perlukan 1 kg santan)
Daging
Cara-cara:
Tanpa menggunakan minyak, panaskan kuali dan masukkan daging bersama bahan kisar, daun kunyit, serai, daun limau purut dan daun salam.
Apabila menggelegak, boleh masukkan santan, garam & serbuk perasa.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi masakan harian, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!