Mencari resepi soto yang teratur, mudah dan pasti berhasil? Anda berada di laman yang tepat kerana kami menyediakan aneka resepi soto yang pelbagai dan mudah untuk dimasak lebih-lebih lagi buat mereka yang baru belajar memasak.

Tahukah anda terdapat pelbagai jenis soto yang ada seperti soto banjar, soto madura, soto medan dan lain-lain. Rasa, ramuan dan cara pembuatan soto-soto ini semestinya berlainan.

Soto yang sedap semestinya dimakan bersama sup yang panas dan padu, sambal kicap yang pekat, sun yang rangup, bergedil yang enak dan lain-lain bahan. Jom tengok dan pilih resepi yang berkenan di hati.

Soto Ayam Kebabom

Resepi soto pertama ini adalah resepi lazim yang dijumpai dikedai-kedai atau yang dihidangkan kebanyakan orang. Untuk resepi ini, kuantitinya cukup untuk dimakan seramai 10 hingga 15 orang. Ia telah dikongsikan oleh Arie Lazim di Facebook. Berikut merupakan bahan-bahannya:

Bahan-bahan Sup Ayam:

  • 1 ekor ayam yang dipotong kecil-kecil
  • 4 biji bawang kecik merah (hiris)
  • 3 ulas bawang putih (hiris)
  • 2 inci halia (hiris nipis)
  • 1 batang kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 4 sudu rempah sup yang dibancuh
  • Garam
  • Air asam jawa
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih
  • ½ sudu kecil lada hitam (ditumbuk)

Cara memasak Sup Ayam:

1. Tumis bahan yang dihiris bersama buah pelaga, kayu manis dengan bunga lawang sampai naik bau.

2. Masuk bancuhan rempah sup.

3. Masukkan ayam dan tumis sekejap sampai ayam mengeluarkan air.

4. Masukkan dua mangkuk air.

5. Tambah garam, lada putih dan lada hitam.

6. Tutup periuk dan biar mereneh.

7. Bila dah siap, tambahkan asam jawa lalu perasakan dengan garam.

8. Apabila sudah masak, masukkan ke dalam mangkuk.

Bahan-bahan Untuk Begedil:

  • 5 biji kentang (direbus)
  • 4 biji bawang merah untuk digoreng. ( Lebih sedap jika bawang goreng di goreng sendiri)
  • Daging cincang (tumis dengan minyak dengan lada hitam)
  • Daun sup
  • Lada putih
  • Garam secukupnya
  • Telur

Cara memasak:

1. Lenyek-lenyekkan kentang yang direbus tadi lalu taburkan garam dan lada putih.

2. Masukkan daging hancur, daun sup dan bawang goreng.

3. Gaulkan kesemua bahan di atas.

4. Bulat-bulatkannya sebesar bola pingpong kemudian penyekkan sikit.

5. Masukkan dalam freezer selama 1 jam supaya begedil tidak hancur apabila digoreng.

6. Panaskan minyak, pukul telur dengan garam secukup serta golekkan begedil tadi dalam telur dan goreng smpai keperangan.

7. Setelah begedil digoreng, goreng Suun dengan minyak yang panas sehingga kembang. Pastikan guna minyak yang banyak dan panas.

Bahan-bahan untuk Sambal Kicap:

  • Cili padi merah dan cili hijau
  • 1 ulas bawang putih
  • Tomato (potong dadu)
  • Kicap lemak manis

Cara-cara memasak:

1.Tumbuk semua bahan dan letakkan kicap.

Hiasan

Untuk hiasan soto, hiris daun sup dengan nipis dan letakkan taugeh. Letakkan bawang goreng dan dada ayam yang telah  dicarik-carik isinya. Siap untuk dihidang!

Soto Daging

Resepi ini telah dikongsikan oleh Chefobie Untold di Facebook. Resepi enak yang dikongsikannya adalah resepi peninggalan arwah ibunya. Jika ada yang tidak boleh memakan ayam, bolehlah anda mencuba resepi soto daging ini.

Bahan-bahan Sup:

  • 1 ½  liter air
  • 400 gm daging segar
  • 1 biji bawang besar kisar
  • 3 ulas bawang putih kisar
  • 2 inci halia tua kisar
  • 1 sdb rempah sup
  • 1/2 serbuk kunyit
  • 2 inci lengkuas
  • 1 batang kayu manis
  • 3 biji cengkih
  • 3 biji bunga lawang
  • 2 batang bahagian akar dain sup & daun bawang
  • 1 sdt lada hitam kisar
  • 1 ½  sdb garam ( anda juga boleh letak serbuk perasa)
  • 5 btg cili akar atau cili api kampung

Cara memasak:

1. Didihkan air dalam pot dan masukkan kesemua bahan kecuali garam. Biarkan daging sehingga empuk. Didihkan sup soto dengan api yang sederhana.

2. Setelah daging empuk, masukkan garam dan perasa sekiranya anda suka.

3. Taburkan sup soto dengan daun sup dan bawang goreng.

Bahan-bahan untuk dimakan bersama sup:

  • Nasi impit, nasi ketupat atau nasi impit lontong daun pisang
  • Daging dalam sup ( di hiris atau dadu )
  • Sambal kicap / Cili potong
  • Soo hoon goreng
  • Tauhu goreng
  • Jeruk lobak ( option )
  • Bergedil ( option )
  • Bawang goreng
  • Daun bawang
  • Daun sup
  • Daun ketumbar ( option )
  • Limau kasturi / limau nipis
  • Cili api, cili kampung, cili merah dan cili hijau

Soto Ayam Kuah Bening

Ada yang pernah makan Soto Ayam Kuah Bening? Apa kata cuba resepi enak yang disediakan oleh Karmila M Ardin di Facebooknya. Caranya memang sangat mudah.

Bahan-bahan:

  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Halia
  • Lengkuas
  • Kemiri (buah keras)
  • Daun jeruk (daun limau)
  • Daun salam
  • Lada putih
  • Kunyit
  • Sedikit kencur

Bahan-bahan lain:

  • Serai
  • Ketumbar

Cara memasak:

1. Rebuskan ayam.

2. Buangkan air rebusan pertama kemudian rebus untuk kedua kali dengan serai yang digeprek (diketuk).

3. Gunakan air rebusan kedua untuk jadikan kuah soto.

4. Kisar bawang dan bahan-bahan lain.

5. Tumis bahan kisar sampai pecah minyak & naik baunya.

6. Masukkan bahan tumisan ke dalam air rebusan ayam.

7. Sebelum mendidih letak ketumbar, garam, perasa dan sedikit gula.

8. Sedia untuk dimakan bersama nasi impit, bergedil, sambal kicap dan bahan-bahan yang anda inginkan.

Soto Ayam Versi Johor

Orang Johor pasti tahu perbezaan soto ayam biasa berbanding soto ayam turun-temurun dari Johor ini. Rasanya memang berbeza. Tak percaya? Cubalah resepi milik Roshidah Abu Bakar Shidah di Facebook ini.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam – potong 4
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 2 sudu besar serbuk lada putih
  • Cengkih, bunga lawang, kayu manis dan pelaga
  • 1 cawan santan pekat

Bahan Kisar:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 batang serai – ketuk

Cara memasak:

1. Tumis bahan rempah penumis, bahan serbuk dan bahan kisar sehingga wangi.

2. Masukkan air dan masak sehingga mendidih.

3. Masukkan serai dan lada putih.

4. Masukkan ayam dan apabila sudah masak, keluarkan ayam dan goreng sehingga kekuningan.

5. Angkat ayam dan biarkan sejuk lalu dicarik halus.

6. Masukkan sedikit santan dalam kuah mendidih, serbuk perasa dan garam.

7. Sup siap dihidangkan bersama nasi impit atau mee hoon yang dicelur.

Bahan-bahan Untuk Sambal Cili:

  • Segenggam cili padi
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 sudu makan gula pasir
  • Kicap lemak manis Jalen (ikut suka jenama apa)
  • 1 -2 biji limau kasturi (perah airnya)

Cara membuat sambal cili:

1. Kisar semua bahan sekali dengan kicap.

2. Masukkan sedikit air sahaja. Jika anda mahu lebih sedap, goreng dahulu cili dan bawang putih, kemudian baru kisar.

Soto sedap dimakan bersama:

  • Taugeh – celur
  • Daun sup – hiris
  • Daun bawang – hiris
  • Bawang goreng
  • Kacang tanah goreng
  • Soon goreng (jangan cuci, terus digoreng)
  • Begedil kentang
  • Mee hoon – celur
  • Nasi Impit – potong kecil

Bahan-bahan Begedil:

  • 7-9 biji kentang – digoreng
  • 2 pokok daun sup – mayang halus
  • Bawang goreng (anggaran satu paket sederhana bawang goreng)
  • 2 biji telur (untuk menggoreng begedil yang sudah di bulat-bulatkan)
  • Garam
  • Serbuk lada putih
  • Boleh letak daging atau ayam kisar kalau suka

Cara Menyediakan Begedil:

1. Belah kentang dalam 4-5 bahagian dalam bentuk memanjang sebelum digoreng. Toskan air terlebih dahulu barulah goreng kentang sehingga kekuningan.

2. Lenyekkan kentang.

3. Masukkan daging atau ayam kisar, bawang goreng, daun sup, garam dan serbuk lada putih.

4. Gaulkan sehingga rata.

5. Kepalkan bahan di atas menjadi bulat dan lenyekkan sedikit.

6. Masukkan dalam peti seketika sebelum digoreng.

7. Salutkan bergedil dengan telur dan goreng sehingga masak.

Soto Madura

Ada yang pernah mencuba soto Madura? Ikut resepi yang dikongsikan oleh Roshidah Abu Bakar ini pasti sedap dan menjadi. Antara bahan tambahan lain yang digunakannya adalah rempah soto. Berikut adalah bahan yang diperlukan dan cara memasak:

Bahan-bahan:

  • 6 ketul dada ayam (dilumur garam dan kunyit kemudian di goreng)
  • 4 ketul kepak ayam
  • 1 biji kelapa (diambil santannya atau boleh guna 1 kotak santan KARA)
  • 1 sudu besar kerisik kelapa
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji bunga lawang
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 sudu besar rempah SOTO
  • 6 ulas bawang merah (dikisar)
  • 3 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 inci kunyit hidup (dikisar)
  • 2 inci halia (dikisar)
  • 1 inci lengkuas (dikisar)
  • 1 inci kunyit hidup (dikisar)
  • 4 tangkai cili kering (dikisar)
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa
  • 1 kiub ayam

Cara penyediaannya:

1. Dada ayam di lumur dengan garam dan kunyit, kemudian di goreng.

2. Setelah sejuk sedikit di siat ayam dengan halus. Larikan 1 ketul dada ayam untuk di jadikan begedil ayam.

3. Dalam periuk, pijarkan minyak kemudian tumiskan rempah tumis bermasa kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum.

4. Masukkan bahan yang di kisar dan 2 batang serai yang dititik.

5. Masak hingga garing untuk menghilangkan bau maung.

6. Apabila sudah garing, masukkan rempah soto dan tumis lagi hingga terbit minyak. Tumis dengan lama sedikit. Jika terlalu kering tambahkan sedikit air.

7. Setelah bahan tumisan betul-betul garing dan terbit minyak, masukkan air secukupnya.

8. Masukkan kepak ayam dan kiub ayam.

9. Masak hingga ayam empuk dan kuah mendidih.

10. Masukkan santan dan kerisik dan masak lagi hingga kuah mendidih sekali lagi.

11. Perasakan dengan garam.

12. Apabila kuah dah sempurna, bolehlah dihidangkan bersama bahan-bahan yang di makan bersama soto iaitu:

  • Sambal kicap
  • Taugeh
  • Nasi impit secukupnya
  • Kacang goreng
  • Daun sup dan daun bawang yang dihiris halus
  • Bawang goreng
  • Begedil ayam atau daging

Soto Original Indonesia

Jika anda pernah ke Indonesia dan mencuba keenakan soto di sana, anda pasti tahu perbezaan rasanya dengan soto tempatan.

Resepi ini dikongsikan oleh Eyda Sukiman, hasil perkongsian sahabatnya yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia. Jom tengok bahan dan cara memasak yang dikhaskan untuk dimakan 5 hingga 8 orang.

Bahan Kisar Halus:

  • 6-8 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3-4 batang serai
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup  (serbuk kunyit juga boleh)

Bahan Tumis:

  • 6-8 biji buah pelaga
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji bunga lawang
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih

Bahan-bahan lain:

  • Ayam seekor
  • Santan Pekat 1 cawan
  • 1 liter air (ikut kepekatan yang anda inginkan)
  • ½ kiub ayam (optional)

Cara Memasak:

1. Tumis bahan kisar dan bahan tumis bersama sesenduk minyak sehingga naik bau dan garing.

2. Masukkan ayam yang telah dicuci bersih dalam tumisan tersebut. Kacau 2 hingga 3 minit .

3. Masukkan air 1 liter atau jug ikut kuantiti yang anda mahu.

4. Boleh juga masukkan kiub ayam jika mahu.

5. Masak seketika sehingga menggelegak, kemudian masukkan santan.

6. Masak sehingga ayam agak-agak empuk, kemudian angkat ayam & toskan.

7. Perasakan mengikut anak tekak masing-masing.

8. Siap untuk dihidangkan.

*Ayam yang ditos tersebut boleh digoreng atau air fried sehingga garing. Setelah goreng, carik isi asam dengan halus.

Hidangkan sup bersama bahan soto yang lain seperti:

  • Suhun digoreng garing
  • Nasi Impit (Boleh buat sendiri / beli siap / segera)
  • Bihun (dicelur) OPTIONAL
  • Sambal Kicap
  • Daun Sup
  • Bawang Goreng
  • Bergedil
  • Kacang Tanah Goreng (optional) 
  • Taugeh (Optional)

Soto Bersantan

Tak dinafikan memang ramai yang suka makan soto yang diletakkan santan ke dalam supnya untuk dapatkan kuah yang pekat dan sedikit berlemak. Namun kuahnya tidaklah terlampau pekat seperti gulai lemak.

Jika anda salah seorang daripadanya, ikut saja resepi yang dikongsikan oleh Putri Nabila di Facebook ini! Pasti sedap!

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam yang dipotong empat
  • Air secukupnya untuk merebus ayam
  • 1 mangkuk kecil santan pekat
  • 3 sudu kecil serbuk ketumbar
  • 2 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 2 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 3 sudu kecil serbuk lada putih/lada sulah
  • 2 batang serai (dititik)
  • garam
  • minyak utk menumis

Bahan Penumis:

  • 4 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 biji bunga cengkih
  • 1 batang kulit kayu manis

Bahan Kisar:

  • 2 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putihh
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1/2 inci lengkuas

Bahan-bahan Sambal kicap (boleh dikisar atau tumbuk kesemua kecuali limau nipis):

  • 2 ulas bawang putih
  • 4 biji lada merah
  • 10 biji cili padi (ikut kepedasan yang anda inginkan)
  • Kicap lemak manis
  • Sedikit perahan limau nipis

Bahan untuk begedil daging:

  • 3 biji kentang direbus
  • 3/4 cwn daging kisar
  • Daun sup dipotong halus
  • Serbuk lada hitam atau sulah
  • Sedikit garam
  • Bawang goreng
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1-2  biji telor

Bahan hiasan:

  • Mee hoon
  • Nasi impit
  • Begedil daging
  • Daun sup dan daun bawang dipotong halus
  • Bawang goreng
  • Suon goreng
  • Tauge
  • Tauhu goreng
  • Kacang tanah goreng

Cara memasak:

1.  Panaskan sedikit minyak ke dalam periuk lalu tumis bahan penumis dan masukkan bahan kisar, serai yang dititik, serta serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan jintan putih. Tumis kesemuanya hingga naik bau.

2. Masukkan air secukupnya dan masukkan ayam (air hendaklah pada paras ayam). Rebus ayam sehingga masak dan keluarkannya.

3. Masukkan santan ke dalam kuah mendidih dan perasakan dengan garam serta serbuk perasa (optional). Jika nampak kuah sedikit pekat boleh tambah air.

4. Carik-carikkan isi ayam dengan halus dan tulang ayam boleh dimasukkan kembali ke dalam kuah soto tadi.

5. Siap untuk dihidangkan dengan bahan-bahan hiasan di atas.

Begedil daging

1.  Rebus kentang sehingga masak (pastikan jangan terlalu masak kerana kentang akan terlalu

     lembik). Anda juga boleh menggorengkannya jika tidak mahu merebus.

2.  Setelah kentang masak, lenyek kentang hingga hancur atau lumat.

3.  Masukkan bawang goreng, lada sulah atau lada hitam, garam, daun sup, daging

     kisar dan tepung jagung.  Gaul sebati.  Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan

     ia serta leperkan sedikit.

4.  Dalam bekas lain, pecahkan telur dan pukul guna garfu.

5.  Panaskan minyak dalam kuali atau pan dan celupkan begedil tadi ke dalam telur. Masukkan ke dalam minyak yang panas.  Jika sudah garing, terbalikkan begedil.

Soto Ayam Letops

Resepi soto ayam letops ini telah dikongsikan oleh Khadijah Jaafar di Facebook. Uniknya resepi ini kerana beliau turut memberikan tips sambal kicap yang sedap dan tahan lama serta begedil yang tidak pecah. Jom mencubanya!

Bahan-bahan sup soto:

  • 1 ekor ayam di potong empat
  • 3 sudu besar rempah soto atau rempah sup
  • ¼ sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 jug air
  • 4 sekawan -cengkih, bunga lawang, kayu manis dan pelaga

Bahan kisar:

  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai

Cara memasak:

1. Tumiskan 4 sekawan dan bahan kisar. Tumis sehingga  naik bau dan sedikit kekuningan. Kemudian, masukkan ayam bersama dengan rempah soto atau rempah sup. Jika tiada rempah soto ganti dengan rempah sup.

2. Kacau sehingga sebati dengan ayam. Bila sudah sebati dengan ayam, tuangkan air. Masukkan serbuk lada putih dan perasakan dengan garam. Masakkan sehingga mendidih dan ayam masak.

3. Setelah masak, keluarkan ayam. Gorengkan ayam sehingga luarnya garing. Angkat dan carikkan ayam.

Bahan-bahan sambal kicap ketagih:

  • 2 genggam cili padi hijau
  • 2 ulas bawang putih
  • Kicap

Cara memasak:

1. Goreng seketika dua bahan di atas (cili padi perlu dipatah-patahkan supaya tidak meletup semasa menggoreng. Bila digoreng sambal kicap akan tahan lama dan lebih sedap).

2. Kisarkan bahan di atas dengan kicap (kicap diletakkan sehingga tutup paras cili).

3. Kisar sehingga hancur semuanya.

Bahan-bahan begedil:

  • 5 biji kentang – kupas kulit dan potong setebal 1/2 inci
  • 3 sudu besar daging cincang/ayam cincang
  • 3 sudu besar bawang goreng
  • Sedikit daun sup
  • ¼ sudu kecil serbuk lada putih
  • Garam
  • 1 biji telur ayam

Cara memasak:

1. Goreng dahulu ubi kentang sehingga lembut & kekuningan.

2. Lenyekkan ubi kentang semasa masih panas. Masukkan daging cincang, daun sup, lada putih dan garam. Bentukkan bergedil.

3. Panaskan kuali. Sementara itu, pecahkan telur dan kacau.

4. Celup begedil di dalam telur dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga kekuningan. Tunggu sehingga bahagian bawah begedil keras sedikit baru dialihkan untuk mengelak begedil dari hancur.

Soto Banjar

Resepi ini milik nenek Yanti Tawau yang berketurunan banjar. Beliau telah berkongsi resepi di Facebook. Buat pengetahuan anda, Soto Banjar adalah antara soto yang sangat terkenal di Tawau. Antara perbezaan Soto Banjar dan soto lain adalah soto banjar dimakan bersama limau kasturi. Jom ikut resepi ini.

Bahan-bahan Sup Tawau:

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Lada hitam
  • Ayam yang telah direbus
  • Air rebusan ayam
  • Serbuk perasa
  • Garam
  • Gula
  • Bawang goreng

Cara memasak:

1. Kisar bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam.

2. Tumiskan bahan kisar sehingga pekat, wangi dan pecah minyak.

3. Masukkan air rebusan ayam.

4. Masukkan perasa, garam dan gula.

5. Biarkan sup masak dan mendidih.

6. Masukkan bawang goreng mengikut kemahuan anda (biarkan bawang goreng kembang di dalam sup).

7. Apabila warna sup sudah bertukar, tutupkan api.

Bahan-bahan Pergedil Banjar:

  • 1 kg kentang
  • Daging burger atau daging kisar
  • Bawang merah, bawang putih dan halia yang telah ditumis
  • Bawang goreng
  • Daun sup
  • Gula
  • Garam
  • Tepung gandum
  • Telur

Cara memasak:

1. Goreng kentang sehingga perang.

2. Tumbuk kendang bersama daging burger atau boleh gunakan daging kisar (lebih banyak daging lebih sedap).

3. Masukkan bawang merah, bawang putih, halia yang telah ditumis ke dalam adunan kentang.

4. Masukkan bawang goreng, daun sup, gula dan garam lalu gaulkan dengan sebati.

5. Untuk elakkan adunan lembik, masukkan sedikit tepung jagung.

6. Buat bulat adunan tersebut dan leperkan sedikit.

7. Celupkan pegedil di dalam telor dan goreng pergedil sehingga masak.

Soto sedia dihidangkan bersama:

  • Nasi Impit
  • Pergedil daging
  • Telur
  • Suun celur
  • Isi ayam yang diracik
  • Daun sup
  • Bawang goreng
  • Sambal kicap
  • Limau kasturi

Soto Ayam

Resepi soto ayam ini kepunyaan Anisah Connie yang dikongsikannya di Facebook. Resepi yang dikongsikannya cukup lengkap dan terperinci. Pasti sedap dan mudah anda untuk memasak di rumah. Berikut merupakan resepinya:

Bahan-bahan untuk Soto:

  • Nasi impit, suhun atau bihun
  • Bawang goreng
  • Bergedil kentang
  • Kacang tanah
  • Suhun
  • Ayam ( direbus, dicarik dan digoreng)
  • Sambal kicap

Bahan-bahan Sup Ayam:

  • 2 biji bawang merah, 3 biji bawang putih dan 2 inci halia yang ditumbuk halus
  • 6 ulas bawang putih selebihnya, 1 biji bawang merah dan 4 inci halia yang dihiris halus
  • Daun sup
  • Ayam (bahagian tulang/kaki ayam/leher)
  • Air rebusan ayam
  • Sup bunjut
  • Kiub pati ayam

Cara-cara pembuatan Sup Ayam:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia yang ditumbuk tadi. Kacau hingga garing.

2. Masukkan sup bunjut dan kacau sebentar. Masukkan kiub ayam dan kacau. Kemudian masukkan sedikit demi sedikit air rebusan ayam (dari isi ayam yang direbus).

3. Masukkan ayam, bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris pula.

4. Masukkan air seberapa banyak yang diperlukan. Kemudian masukan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia. Biarkan hingga mendidih.

5. Akhir sekali, masukkan daun sup.

Bahan-bahan Begedil Kentang:

  • 6 biji kentang
  • Daun sup
  • Bawang goreng
  • Telur

Cara-cara Pembuatan Begedil Kentang:

1. Kupas kulit kentang. Kemudian rebus hingga empuk.

2. Setelah siap, lenyek kentang tadi hingga hancur.

3. Masukkan garam, bawang goreng dan daun sup. Gaul rata.

4. Bentukkan kentang tadi dan sedia untuk digoreng.

5. Pukul telur dan panaskan minyak.

6. Apabila minyak sudah panas, celupkan begedil yang dibentuk tadi pada telur dan goreng. Siap!

Bahan-bahan Sambal Kicap:

  • 20 biji Cili padi hijau
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar gula pasir
  • Kicap secukupnya

Cara-cara Pembuatan Sambal Kicap:

1. Tumbuk bawang putih hingga lumat.

2. Kemudian tumbuk cili padi hingga lumat. Masukkan gula pula selepas itu dan tumbuk sehingga hancur.

3. Masukkan bahan di atas pada mangkuk dan tuangkan kicap secukupnya. Siap!

Mudahkan resepi soto di atas? Pilih saja mana yang berkenan untuk dimakan bersama pasangan, keluarga atau rakan-rakan.

Nampak rumit untuk memasaknya, namun jika dicuba mengikut cara yang betul pasti mudah dan menjadi. Buat sendiri pasti lebih puas lebih-lebih lagi jika ingin dimakan dengan kuantiti yang banyak.

Kami juga ada menulis pelbagai resepi lain yang pasti sedap buat anda seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.