Mencari resepi roti bakar?

Roti bakar merupakan hidangan yang sesuai dinikmati semasa sarapan atau minum petang. Ianya bukan sahaja enak dan mengenyangkan, malah cara penyediannya juga cukup beraneka.

Ada versi roti bakar yang manis dan ada juga yang savoury. Untuk itu, berikut kami senaraikan 10 resepi roti bakar yang enak dan wajib anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Roti Bakar ala Kopitiam

resepi roti bakar
Imej via Facebook

Roti bakar kopitiam sememangnya digemari ramai. Ianya selalu disalut dengan kaya dan dibakar sehingga menjadi rangup, memang sedap. Ianya hanya menggunakan 3 bahan sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh Rain Fizrain di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Roti (dibuang kulit)
  • Kaya
  • Mentega (yang masih keras)

Cara-cara:

  1. Ambil dua keping roti dan sapukan kaya pada kedua-dua belah setiap roti.
  2. Letakkan mentega keras di atas sekeping roti yang disapu kaya tadi.
  3. Tutupkan roti dengan sekeping lagi roti yang disapu kaya.
  4. Ulang langkah 3 mengikut jumlah roti bakar yang anda mahu sediakan.
  5. Bakar guna pemanggang ajaib atau kuali jenis tidak melekat.
  6. Sedia untuk dihidang.

#2 Roti Pisang Bakar

resepi roti bakar - roti pisang
Imej via Facebook

Resepi roti pisang bakar ini pernah tular beberapa tahun lepas. Rasanya yang manis dan kerangupannya pasti akan buat ramai ketagih. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Nur Baini di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Marjerin atau mentega
  • Telur (dipukul)
  • Pisang (dihiris)
  • Gula
  • Roti

Cara-cara:

  1. Sapu marjerin atau mentega di kedua-dua bahagian roti.
  2. Sapukan telur di bahagian atas roti.
  3. Susunkan pisang di atas roti dan sapukan telur sekali lagi.
  4. Taburkan gula di atas roti.
  5. Bakar roti pada suhu 175°C selama 20 minit.
  6. Sedia untuk dihidang.

#3 Puding Roti Bakar

resepi roti bakar puding
Imej via Facebook

Roti bakar juga sesuai dibuat puding, cukup versatil. Teksturnya juga sangat lembut dan bahan-bahannya juga ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Azrina Mohd di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 6 keping roti (dipotong kasar)
  • ½ cawan gula (kurangkan jika tak mahu manis)
  • 2 cawan susu UHT
  • 2 sudu besar mentega (dicairkan)
  • ½ cawan tepung gandum
  • 2 biji telur
  • ½ sudu esen vanila
  • Cip coklat atau kismis *optional

Cara-cara:

  1. Masukkan semua bahan dalam bekas dan gaulkan.
  2. Jika kurang berair, masukkan susu. Jika terlalu berair, tambahkan roti atau tepung.
  3. Griskan loyang dengan mentega atau marjerin.
  4. Taburkan tepung di sekeliling loyang.
  5. Tuang adunan tadi di dalam loyang dan masukkan ke dalam penggoreng udara (airfyer) yang telah dipanaskan.
  6. Bakar pada suhu 180°C selama 30 minit, kemudian 140°C pada 20 minit.
  7. Sejukkan dahulu sebelum dipotong.
  8. Sedia untuk dihidang.

#4 Bruschetta Cendawan Berkrim

bruschetta resepi roti bakar
Imej via Facebook

Bruschetta adalah makanan Itali yang merupakan kepingan roti berkerak kering. Roti ini selalunya dinikmati dengan pelbagai jenis topping dan kali ini, topping yang digunakan ialah sos cendawan. Resepi ini dikongsikan oleh Izrin Hariri di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Roti baguette (dipotong serong)
  • 1-2 sudu mentega
  • Serpihan parsli

Bahan sos cendawan:

  • 8-10 tangkai cendawan butang (dipotong nipis)
  • 4-5 tangkai cendawan shitake segar (dipotong nipis)
  • ¼ biji bawang holland potong dadu
  • 3 batang thyme segar
  • Lada hitam
  • Garam
  • ¼ cawan krim masakan atau cooking cream (boleh ganti dengan susu & air bancuhan tepung untuk likat)

Cara-cara:

  1. Untuk roti bakar, cairkan 1-2 sudu mentega.
  2. Tambahkan serpihan parsli.
  3. Sapukan mentega cair tadi atas bahagian yang hendak dibakar.
  4. Menggunakan api atas, masuk ke dalam ketuhar dan bakar pada suhu 120-150°C selama 10 minit atau sehingga keemasan. Ketepikan.
  5. Untuk sos cendawan, tumis bawang holland sehingga naik bau.
  6. Masukkan cendawan dan tumis sehingga layu.
  7. Masukkan thyme segar dan gaulkan.
  8. Tambahkan cooking cream dan kacau sebati.
  9. Tambahkan sedikit lada hitam & garam.
  10. Biar mereneh sehingga kuah menjadi likat.
  11. Letakkan beberapa sudu sos cendawan ke atas kepingan roti yang dibakar tadi. Ulang langkah ini untuk semua bahan-bahan.
  12. Sedia untuk dihidang.

#5 Roti Bakar Karamel

roti bakar karamel resepi roti bakar
Imej via Facebook

Resepi ini wajib dicuba bagi pembaca yang menggemari roti bakar jenis manis. Kemanisan karamel sememangnya boleh buat sesiapa sahaja terliur. Resepi ini dikongsikan oleh Noriza Jaja di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Roti
  • Marjerin atau mentega
  • Gula

Cara-cara:

  1. Satukan marjerin dan gula di dalam sebuah mangkuk. Gaul rata.
  2. Ambil roti dan sapukan bahan 1 pada roti.
  3. Menggunakan kuali, bakar roti.
  4. Sambil bakar, sapukan roti pada permukaan atas dan terbalikkan.
  5. Bakar sehingga permukaan menjadi karamel.
  6. Sedia untuk dihidang.

#6 Bingka Roti Bakar

resepi roti bakar- bingka roti bakar
Imej via Facebook

Tadi anda cuba resepi puding roti bakar, apa kata kali ini anda cuba resepi bingka roti bakar pula? Sama seperti puding, tekstur bingka ini memang lembut. Resepi ini dikongsikan oleh Shameema Ahamed di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5 keping roti gardenia
  • 2 biji telur (dipukul sedikit)
  • 1 cawan tepung gandum
  • ½ cawan gula pasir
  • ½ sudu kecil garam
  • 400 ml santan – 200 ml santan + 200ml air (dicampurkan dengan pewarna hijau dan esen pandan)
  • 100 ml susu krim penuh/susu segar/susu cair
  • 1 sudu kecil esen vanila

Cara-cara:

  1. Carik-carikkan roti dan masukkan dalam satu mangkuk besar dan ketepikan.
  2. Dalam bekas lain satukan susu, santan, gula, garam, telur, esen vanila dan pukul hingga sebati.
  3. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit dan pukul supaya tepung tidak berketul.
  4. Tapis dan tuang adunan ke dalam mangkuk berisi roti tadi. Biarkan roti terendam sebentar dalam 15-20 minit.
  5. Tuangkan adunan pada pemanggang ajaib dan bakar menggunakan api yang paling kecil (sekitar 20 minit untuk setiap permukaan)
  6. Biarkan sejuk dan boleh potong.
  7. Sedia untuk dihidang.

#7 Unicorn Toast

Imej via Facebook

Hidangan ini pasti akan mencuri hati anak-anak anda. Warna keju yang pelbagai membuatkan ia kelihatan seperti pelangi, memang menarik. Resepi ini dikongsikan oleh Atikah Azmi di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • ½ cawan keju mozarela (diparut)
  • Roti
  • Pewarna makanan (warna pelangi)
  • Mentega

Cara-cara:

  1. Tuangkan keju mozarela yang diparut ke dalam bekas kecil yang berlainan.
  2. Titiskan pewarna-pewarna makanan ke dalam bekas-bekas tersebut.
  3. Gaulkan pewarna sehingga menyelaputi keseluruhan keju.
  4. Sapukan mentega ke atas roti.
  5. Susunkan campurkan keju yang berwarna ke atas roti.
  6. Bakar roti di atas kuali leper sehingga keju cair.
  7. Sedia untuk dihidang.

#8 Roti Bakar Bawang Putih

garlic toast
Imej via Facebook

Roti bakar bawang putih atau garlic toast ini bukan sahaja menyelerakan, malah mengenyangkan. Resepinya juga mudah dan bahannya memang ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Roti

Bahan sapuan bawang putih:

  • Bawang putih (diketuk)
  • Marjerin
  • Herba campuran atau mixed herbs
  • Secubit garam (kalau tak mahu masin, tak perlu letak)

Cara-cara:

  1. Sapukan sapuan bawang putih ke atas roti.
  2. Ulang langkah 1 untuk semua bahan-bahan (roti dan sapuan bawang putih).
  3. Bakar pada suhu 120°C selama 10 minit.
  4. Sedia untuk dihidang.

#9 Roti Bakar Gula

roti gula
Imej via Facebook

Roti bakar gula ini memang sesuai dinikmati bersama air kopi atau coklat. Pendek kata, ia merupakan sejenis snek yang boleh menjadi alternatif kepada biskut. Resepi ini dikongsikan oleh Sahira Ari di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Roti (disapu mentega)
  • Gula

Cara-cara:

  1. Potong roti yang disapu mentega tadi sehingga saiznya menjadi sederhana besar.
  2. Celupkan bahagian yang disapu mentega tadi dengan gula.
  3. Susun di atas loyang.
  4. Menggunakan api atas sahaja, bakar pada suhu 150°C selama 10 minit.
  5. Setelah siap dibakar, sejukkan dahulu dan letak dalam bekas bertutup rapat supaya sentiasa rangup.
  6. Sedia untuk dihidang.

#10 Roti Bakar Telur Manis Keju

roti bakar telur manis keju
Imej via Facebook

Satu lagi resepi roti bakar yang pasti sesuai dicuba dan dinikmati untuk sarapan pagi ialah roti bakar telur manis keju. Resepi ini dikongsikan oleh Nor Hayati Che Lein di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 biji telur
  • 1 keping roti putih
  • 1 keping keju
  • 2 sudu susu pekat manis
  • Minyak masak

Cara-cara:

  1. Pukul telur dengan susu pekat sehingga kembang.
  2. Panaskan kuali dengan sedikit minyak dan masukkan telur.
  3. Gerakkan kuali supaya telur menjadi nipis dan lebar untuk membalut roti.
  4. Setelah telur separuh masak, masukkan keju dan roti.
  5. Balut roti dengan telur dan terbalikkan.
  6. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi roti bakar, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.