Mencari resepi kuih-muih sukatan cawan?

Kuih-muih cukup enak dinikmati untuk sarapan pagi dan makan petang. Ada sesetengah agak susah untuk dibuat, namun ada juga yang senang sahaja untuk dicuba kerana ianya menggunakan sukatan cawan.

Ianya sesuai dicuba oleh anda yang baru berjinak-jinak membuat kuih. Jadi, berikut kami senaraikan 5 resepi kuih-muih sukatan cawan buat anda. Teruskan membaca!

#1 Bahulu

resepi kuih-muih sukatan cawan
Imej via Facebook

Kuih bahulu ini cukup enak dinikmati panas-panas bersama air teh. Resepinya juga mudah, rugi tak cuba! Resepi ini dikongsikan oleh Ina Abirin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5 biji telur gred A
  • 1 cawan gula
  • 1 sudu teh esen vanila *optional
  • 1 – 2 titik pewarna kuning satu ke dua titik
  • 2 cawan tepung gandum (ditapis)

Cara-cara:

  1. Pukul telur hingga kembang.
  2. Setelah kembang, masukkan gula, pewarna kuning dan esen vanila. Pukul sebati.
  3. Masukkan tepung dan pukul sebati.
  4. Panaskan ketuhar dan acuan bahulu selama 10 minit.
  5. Keluarkan acuan bahulu dan sapukan minyak pada acuan.
  6. Tuangkan adunan ke dalam acuan.
  7. Bakar selama 10 – 15 minit sehingga masak.
  8. Sedia untuk dihidang.

#2 Tepung Pelita

resepi kuih-muih sukatan cawan
Imej via Facebook

Kuih ini kerap menjadi rebutan semasa bulan puasa di bazar Ramadan. Tak perlu susah-susah ke bazar, anda juga boleh mencubanya di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Shearyn Shaari di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan lapisan hijau:

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan gula
  • 4 cawan air
  • Pewarna hijau

Bahan lapisan santan:

  • 4 cawan santan (Jika guna santan kotak, 1 kotak + 3 cawan air)
  • 4 sudu besar tepung beras (jangan membukit)
  • ½  sudu besar garam

Cara-cara:

  1. Untuk bahan lapisan hijau, satukan semua bahan diatas, kacau dahulu sampai larut dan masak menggunakan api sederhana.
  2. Untuk bahan lapisan santan, satukan semua bahan diatas, kacau dahulu sampai larut dan masak menggunakan api sederhana.
  3. Kisarkan gula hingga halus dan letak di bahagian bawah sekali.
  4. Tuangkan lapisan hijau, diikuti dengan lapisan santan di atasnya.
  5. Sejukkan selama 1 jam.
  6. Sedia untuk dihidang.

#3 Kuih Cara Manis

Imej via Facebook

Satu lagi resepi kuih-muih sukatan cawan yang wajib anda cuba ialah kuih cara manis. Bahan-bahannya cukup ringkas! Resepi ini dikongsikan oleh Echot Aisyah Meor Zahid di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2½  cawan air pandan + santan
  • Secubit garam
  • 1 sudu kecil minyak masak
  • 1 biji telur
  • Pewarna hijau
  • Gula (sebagai inti)

Cara-cara:

  1. Kisarkan semua bahan kecuali gula. Tapiskan.
  2. Panaskan acuan kuih cara manis yang telah disapu dengan minyak atas dapur dan kecilkan api.
  3. Tuangkan adunan ke dalam acuan.
  4. Masukkan gula ke dalam adunan.
  5. Tutup guna penutup periuk dan biarkan sampai masak.

#4 Kuih Lapis

Imej via Facebook

Kuih lapis merupakan sejenis kuih tradisional yang cukup terkenal di negara kita. Cara penyediannya ialah dengan mengukus. Resepi ini dikongsikan oleh Kutty Buji Buji di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • ½ cawan tepung gandum
  • ½ cawan tepung jagung
  • 1 cawan gula pasir
  • 4 cawan santan (1 cawan santan pekat campurkan bersama 3 cawan air)
  • ¼ sudu kecil garam
  • Sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara-cara:

  1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci.
  2. Masukkan santan ke dalam periuk.
  3. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api.
  4. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk.
  5. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil.
  6. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. (adunan ini menghasilkan lebih kurang 1200 ml bater) bahagi kepada 600 ml +/- setiap satu.
  7. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.
  8. Masukkan loyang yang telah di sapu sedikit minyak ke dalam kukusan.
  9. Tuang 200 ml adunan tanpa warna ke dalam loyang.
  10. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. setelah lapisan pertama masak, tuang 200 ml adunan merah. Kukus lagi.
  11. Ulang proses hingga habis 6 lapisan dengan diakhiri dengan lapisan merah.
  12. Boleh tambah sedikit lagi pewarna merah untuk lapisan akhir agar warnanya lebih menyerlah.
  13. Setelah siap, sejukkan kuih lapis sebelum dipotong.
  14. Sedia untuk dihidang.

#5 Kuih Cucur Jawa

Imej via Facebook

Kuih cucur jawa merupakan kuih tradisional indonesia yang cukup enak. Rasanya yang manis pasti akan memikat hati anda! Resepi ini dikongsikan oleh Ena Naeysa Naem di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan tepung beras
  • 2 cawan air biasa
  • 1cawan gula pasir
  • ½  cawan gula merah
  • Sedikit minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Gaulkan semua bahan hingga sebati. Tapiskan.
  2. Perapkan selama 1 jam dan boleh mula menggoreng.
  3. Gunakan sudu sebagai acuan untuk menggoreng kuih.
  4. Goreng menggunakan api kecil dan minyak yang sedikit.
  5. Goreng hingga tiada adunan tepung mengalir di tengah. Tidak perlu terbalikkan.
  6. Setelah masak, boleh angkat.
  7. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi kuih-muih sukatan cawan, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi menarik yang lain. Jangan lupa untuk memberi komen dan berkongsi dengan rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.