Kedah merupakan negeri yang mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri. Ia turut menjadi salah satu destinasi pelancongan yang mendapat kunjungan yang agak ramai.

Negeri ini juga terkenal dengan suasana damai dan tenang dengan kehijauan tanaman padi sejauh mata memandang. Namun, tidak ramai mengenali makanan tradisional yang terdapat di negeri ini.

#1. Laksa Kedah

Laksa Kedah merupakan hidangan tradisi masyarakat negeri Kedah. Laksa yang terdapat di sini kelihatan sama seperti laksa dari negeri lain. Namun, terdapat sedikit perbezaannya di mana warna kuahnya sedikit kelabu.

Laksa Kedah

Imej via iluminasi

Ini kerana laksa Kedah tidak menggunakan cili kering, namun menggunakan cili padi untuk menghasilkan kuahnya. Walau bagaimana pun, kuahnya tetap pekat dan likat.

Laksa Kedah

Imej via facebook

Penggunaan cili padi menyebabkan kuantiti cili yang digunakan agak kurang berbanding cili kering. Oleh sebab itu warna  kuahnya sedikit kelabu.

Laksa yang digunakan pula merupakan laksa beras yang dibuat sendiri. Orang tempatan menggelarnya laksa chap. Ia sering dijual di pasar pagi.

#2. Gulai Batang Pisang

Gulai Batang Pisang menjadi hidangan utama yang popular di Baling Kedah terutamanya masyarakat di kawasan perkampungan. Bahan yang digunakan adalah umbut pisang atau rias pisang yang merupakan bahagian tengah batang pisang yang lembut serta berwarna putih.

Gulai Batang Pisang

Imej via facebook

Hidangan ini biasanya dijadikan hidangan untuk majlis kenduri yang kebiasaannya dimasak bersama daging lembu bertulang ataupun kambing. Pada masa kini, gulai ini sering menjadi menu berbuka puasa yang begitu istimewa dan mendapat permintaan ramai.

Gulai Batang Pisang

Imej via facebook

#3. Nasi Daging Air Asam

Kalau di Johor terkenal dengan nasi beriani gam, di Pulau Pinang nasi kandar, jika di Kedah pula, nasi daging air asam sangat popular. Ia antara hidangan istimewa yang diteruskan sehingga hari ini.

Nasi Daging

Imej via myselera

Hidangan ini biasanya nasi dimasak bersama daging dengan campuran rempah khas. Ia turut digandingkan dengan air asam sebagai pencicah.

Nasi Daging

Imej via patyskitchen

Air asam ini merupakan pelengkap hidangan nasi daging ini kerana ia akan menyatukan semua rasa. Nasi daging air asam ini biasanya dibuat semasa meraikan majlis – majlis tertentu, namun ia juga boleh dijadikan hidangan seisi keluarga pada bila – bila masa sahaja.

#4. Gulai Siam

Gulai Siam merupakan hidangan yang turut mempunyai pengaruh dari Siam. Oleh sebab itu, ia diberi nama gulai Siam.

Gulai siam

Imej via seleraputih

Hidangan ini jika dilihat seakan – akan gulai lemak cili padi. Namun, ia memiliki perbezaan yang agak ketara.

Gulai Siam

Imej via zaralovebaking

Antara bahan yang digunakan untuk menumis adalah cili kering, cili api, serai, lengkuas,bawang,kunyit hidup,belacan yang dikisar terlebih dahulu. Bahan tambahan lain adalah  ikan, santan, terung pipit, cili hijau serta daun limau purut yang memberikan aroma lebih wangi.

#5. Sup Gamat

Sup Gamat antara hidangan yang masih diteruskan di negeri Kedah. Namun, tidak semua pelosok negeri Kedah menyediakan hidangan ini kerana stok gamat sangat sukar diperolehi masa kini.

Sup gamat

Imej via facebook

Sup Gamat semakin kurang mendapat sambutan kerana stok gamat yang tidak banyak kerana ia lebih ditumpukan kepada bidang komersial lain.

Sup Gamat

Imej via nanisufi

Ia juga semakin dilupakan kerana generasi muda kurang meminati hidangan ini. Isi gamat ini seakan – akan sotong dan kenyal. Mungkin kerana namanya gamat, maka ada yang tidak ingin menikmatinya.

#6. Bihun Sup Sambal Merah

Sebut sahaja bihun sup, di mana sahaja boleh didapati. Namun, jika anda hendak tahu, di Kedah, bihun sup sambal merah antara hidangan tradisi yang wajib ada semasa majlis – majlis keraian.

Bihun Sup Sambal Merah

Imej via bacaresep

Bihun yang digunakan untuk hidangan ini berwarna kuning kerana telah direndam dengan air kunyit ataupun pewarna kuning. Ada sesetengahnya menggunakan serbuk saffron kerana warna kuningnya lebih menarik.

Bihun Sup Sambal Merah

Imej via iresepi

Hidangan ini turut dilengkapi dengan hirisan daging, lobak masin dan juga sambal merah yang sangat berbeza dari tempat lain. Gabungan kesemua bahan ini memberikan rasa yang lebih padu serta enak.

Ia boleh dimakan pada bila – bila masa sahaja dan mudah didapati di sekitar negeri Kedah.

#7. Ikan Pekasam

Ikan pekasam sehingga hari ini menjadi salah satu lauk menjelang makan tengahari di negeri Kedah. Ia antara makanan tradisi sejak dahulu lagi. Ikan ini akan melalui proses pengawetan yang menggunakan bahan – bahan seperti beras, garam dan asam keeping.

Ikan Pekasam

Imej via hangat

Ikan pekasam biasanya menggunakan ikan air tawar kerana biasa dan mudah diperolehi dari sungai, tali air mahupun sawah padi. Biasanya ikan yang digunakan adalah ikan sepat, tilapia, puyu, lampam, haruan dan gelama.

Ikan Pekasam

Imej via wanista

Ikan ini perlu digoreng dalam minyak panas, dan untuk menaikkan lagi rasanya, ia juga boleh diperahkan dengan limau kasturi. Hirisan cili padi boleh dimakan bersama bagi menimbulkan rasa yang lebih menyelerakan. 

#8. Kuih Bunga Pudak

Kuih Bunga Pudak merupakan kuih tradisi warisan asli masyarakat di negeri Kedah terutamanya di kawasan Alor Setar, Jitra dan kawasan sekitarnya. Kuih ini mempunyai ini kelapa manis dan rasanya lemak.

Bunga Pudak

Imej via kedahmakan

Kuih ini dijual di kedai kuih tradisi di Pekan Rabu, Alor Setar. Ia dinamakan sempena nama bunga Pokok Pudak. Bahan – bahan yang digunakan agak mudah didapati, namun cara pembuatannya yang memerlukan kemahiran tinggi membuatkan kuih ini tidak ramai yang mahir membuatnya.

Bunga Pudak

Imej via kedahmakan

Ia begitu enak dimakan panas – panas sebaik sahaja keluar daripada oven pembakar.

#9. Ubi Telampong

Bagi masyarakat Kedah, ubi telampong bukanlah asing bagi mereka. Ubi telampong merupakan antara makanan tradisi masyarakat di sini.

Ubi Telampong

Imej via facebook

Penyediaannya agak rumit menyebabkan kuih ini kian hilang ditelan zaman. Namun begitu, kuih ini masih popular dan diteruskan oleh masyarakat sekitar Kampung Telok mukim Binjai, Jitra Kedah.

Cara penyediaannya agak lama, namun hasilnya cukup memuaskan hati. Ubi telampong ini perlu direbus selama lapan jam bersama air tebu.

Ubi Telampong

Imej via facebook

Ia hanya dimasak pada musim kemarau sahaja menggunakan dapur kayu bagi menghasilkan aroma yang begitu wangi. Setelah ubi lembut, ia boleh dihidangkan untuk dinikmati pada bila – bila masa sahaja.

Lebihan air tebu yang direbus bersama ubi tersebut boleh dijadikan manisan dalam cendol, dimakan bersama kuih, atau dibuat air minuman dengan mencampurkan air putih.

#10. Gedung Chak

Kuih ini dibawa masuk ke negeri Kedah oleh masyarakat Acheh yang berhijrah ke Tanah Melayu dan menetap di Yan. Awalnya,ia merupakan makanan tradisi mereka,namun lama kelamaan setelah ia diterima oleh masyarakat Kedah,ia telah menjadi antara makanan tradisional negeri itu.

Gedung Chak

Imej via facebook

Kuih ini boleh didapati di sekitar Yan, Tanjung Dawai dan Kota Kuala Muda. Keistimewaan kuih ini adalah kerana penggunaan daun nipah sebagai pembungkus. Ia mampu menghasilkan aroma yang begitu wangi ketika dibakar dan mampu membangkitkan selera.

Gedung Chak

Imej via csmaryam

Ia diperbuat dari tepung pulut sebagai bahan utama. Selain itu, kelapa dan gula merah juga digunakan sebagai bahan campuran.

#11. Pek Nga

Pek nga atau juga dikenali sebagai lempeng kelapa sememang menjadi makanan tradisi di Kedah. Hidangan ini terdapat di hampir kesemua kawasan di negeri Kedah.

Pek Nga

Imej via hungrygowhere

Biasanya ia dimakan bersama kari ikan kembung dan merupakan hidangan pembuka selera terutamanya bagi golongan pesawah suatu tika dahulu. Ia sebagai penambah tenaga sebelum mengerjakan aktiviti bersawah padi.

Pek Nga

Imej via patyskitchen

Pek nga mendapat nama dari singkatan ‘tempek atas belanga’. Sehingga hari ini, ia tetap mendapat permintaan ramai di seluruh pelosok Kedah. Hidangannya ringkas, tetapi cukup memuaskan hati.

#12. Apom Lenggang

Apom lenggang atau juga dikenali dengan nama apam lenggang di sesetengah tempat sememangnya enak dimakan. Tambahan pula ditemani secawan kopi panas di waktu petang.

Apom Lenggang

Imej via picdeer

Kuih ini berwarna sedikit coklat keperangan dan kelihatan sedikit hangus. Sekali pandang, ia seakan tosei di kedai mamak. Namun, ia bukanlah hangus tetapi memang begitu rupanya.

Apom Lenggang

Imej via sariyusa

Apom lenggang menggunakan tepung gandum, tepung beras, santan, gula, air dan telur untuk menghasilkannya. Ia menggunakan kuali leper untuk memasaknya dengan membuat bentuk bulat.

Kuih ini enak dimakan begitu sahaja atau boleh juga dicicah dengan sambal ikan bilis, kari ikan dan sebagainya.

#13. Kuih Dangai

Kuih dangai amat popular di negeri Kedah dan merupakan kuih tradisional Kedah. Sehingga hari ini, kuih ini tetap mendapat sambutan ramai.

Kuih Dangai

Imej via facebook

Pelbagai lapisan masyarakat sangat menggemari kuih ini. Ia juga turut dihidangkan semasa majlis – masjis keraian sebagai makanan sampingan.

Kuih Dangai

Imej via siraplimau

Bahan yang digunakan juga cukup senang, antaranya tepung pulut, kelapa, garam dan gula. Ia dibakar menggunakan acuan dan sangat mudah untuk menghasilkannya.

Kuih dangai ini yang memiliki rasa lemak manis membuatkan ramai meminatinya. Ia boleh dibeli di pasar malam dan pasar pagi.

#14. Kuih Qasidah

Kuih Qasidah turut juga dikenali dengan nama kuih hasidah. Ia merupakan makanan tradisi yang memiliki rasa lemak dan manis.

Kuih Qasidah

Imej via airtanganku

Kuih ini biasanya menjadi pilihan generasi terdahulu terutamanya menjelang bulan Ramadhan. Bahan – bahan yang digunakan adalah sangat mudah.

Kuih Qasidah

Imej via resepikuihmuih

Untuk menghasilkan kuih ini, hanya tepung gandum, air, gula dan garam, air kapur serta minyak masak. Bawang goreng pula digunakan untuk taburan hiasan di bahagian atas kuih. Penyediaannya pun cukup mudah dengan memasukkan kesemua bahan ke dalam periuk, dan masakkan ia sehingga kental dan berkilat.

#15. Kuih Karas

Kuih Karas merupakan sejenis kuih tradisional yang terdapat di negeri Kedah. Ia diperbuat daripada tepung beras dan berbentuk jaringan halus seperti bihun tetapi rangup dan manis.

Kuih Karas

Imej via kedahnewsdotcom

Ia menggunakan adunan tepung beras cair dan dikirai menggunakan acuan khas dalam minyak panas sehingga kuning keemasan. Kemudian ia diangkat dan dilipat semasa masih panas dan lembut.

Kuih Karas

Imej via tikahrasha

Kuih Karas sangat popular bagi masyarakat di daerah Kota Setar, Kedah.

#16. Lengat Pisang

Lengat pisang sangat popular di Kedah terutamanya pada bulan Ramadhan. Ia antara kuih tradisional yang sering mendapat permintaan ramai.

Lengat Pisang

Imej via rahasia-resepi

Dalam loghat Kedah, lengat bermaksud kukus. Oleh itu, kuih ini dikenali dengan nama lengat pisang kerana kesemua bahannya dikukus sehingga masak.

Lengat Pisang

Imej via namakucell

Selain pisang, ia juga menggunakan tepung gandum, santan garam dan gula untuk mendapatkan rasa yang enak dan lemak. Setelah siap dikukus, ia boleh dipotong kecil dan sesuai dimakan untuk minum petang.

#17. Kuih Loyang

Kuih Loyang dibuat dengan menggunakan acuan logam yang direka dengan bentuk bunga. Ia akan dipanaskan dalam minyak terlebih dahulu sebelum dicelup ke dalam adunan tepung, santan, gula dan telur.

Kuih Loyang

Imej via facebook

Acuan kemudian dicelupkan semula ke dalam minyak panas sehinggalah adunan membentuk adunan rangup. Adunan tersebut akan dikeluarkan dari acuan dan dibiarkan terapung dalam minyak sehingga ia benar – benar garing.

Kuih Loyang

Imej via mykeuken

Kuih loyang ini sering dijadikan hidangan semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri dan juga Aidiladha. Namun, ia juga sering dinikmati sebagai snek ringan pada hari – hari biasa.

#18. Kuih Cucur Jawa

Kuih cucur Jawa antara kuih tradisional masyarakat Kedah yang masih kekal hingga ke hari ini. Biarpun menggunakan nama Jawa sebagai nama kuih, namun ianya bukan berasal dari tanah Jawa.

Cucur Jawa

Imej via mummyzahra

Kuih ini biasanya dijadikan hidangan minum petang dan boleh juga dimakan semasa sarapan pagi. Ia diperbuat dari tepung beras goreng, tepung gandum, gula perang dan gula putih, air serta minyak untuk menggoreng.

Cucur Jawa

Imej via facebook

Biarpun rupa kuih ini tidak menarik, namun ia memberikan rasa yang begitu nostalgia sewaktu menikmatinya. Kuih ini berbentuk bulat dengan bahagian tengahnya agak tebal manakala sekelilingnya agak nipis.

#19. Coq Peneram

Mungkin ada yang kurang mengenali kuih ini bila disebut coq peneram. Namun, ia juga dikenali dengan nama seperti kuih telinga kelin, peneram, denderam, deram dan banyak lagi.

Cuq Peneram

Imej via instazu

Kuihnya berbentuk seakan kuih keria, tetapi lebih kecil dengan warna coklat kehitaman. Ia merupakan kuih tradisi utara atau di Kedah.

Cuq Peneram

Imej via instazu

Tepung beras bersama gula merah merupakan bahan utama. Coq peneram yang bagus apabila teksturnya gebu di dalam dan rangup di luar.

Adunan bahan-bahan ini perlu diuli dan direhat dengan betul kerana ia akan menghasilkan kuih yang sedap dan tahan lama. Keenakan kuih ini cukup terasa apabila sebaik sahaja ia digigit, anda akan terasa ianya cair dimulut.

Kesimpulan

Makanan tradisional sesebuah negeri merupakan aset penting kerana ia menjadi salah satu tarikan utama. Oleh sebab itu, ia harus diteruskan dan diperkenalkan kepada generasi muda yang semakin melupakan makanan tradisional.

Kelestarian makanan tradisional perlu dijaga dan diteruskan supaya anak muda masa kini berpeluang merasai keenakan makanan tradisional negeri Kedah. Senarai makanan tradisional Kedah ini boleh juga didapati di tempat lain, namun keasliannya mungkin sudah berubah

Artikel Lain

Selain artikel makanan tradisional Kedah, kami juga menulis artikel makanan tradisional negeri lain yang anda kena cuba. Jemput baca artikel di bawah juga dan jangan lupa untuk share.

Penulis: Harwati Rukari

Harwati Rukari

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.