Mencari resepi kuih mudah dan cepat?

Minum petang merupakan waktu untuk kita bersantai. Baik bersama keluarga mahupun sahabat handai, inilah waktu untuk kita menenangkan fikiran. Semestinya anda mahu menikmati kuih yang enak, bukan?

Tak semua kuih susah untuk dibuat, ada sahaja yang senang dan cepat untuk disediakan. Jadi, berikut kami senaraikan 10 resepi kuih mudah dan cepat yang boleh anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Kuih Sagu

Imej via Facebook

Tekstur yang kenyal serta rasanya yang manis membuatkan ramai orang kita menyukai kuih sagu. Resepinya juga agak mudah untuk dicuba, walaupun anda baharu sahaja cuba membuat kuih. Resepi ini dikongsikan oleh Hamidah HA di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan sagu
  • 1½  cawan air
  • ½ cawan gula
  • Sedikit sirap
  • Sedikit kelapa parut
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Sagu dibersihkan dan toskan. Biarkan seketika.
  2. Campur sagu, air, sedikit sirap dan gula di dalam satu bekas. Kacau sehingga gula larut.
  3. Sapu acuan lompang dengan sedikit minyak.  Kemudian, boleh panaskan periuk kukus.
  4. Masukkan sagu ke dalam acuan lompang, lebih kurang ¾ acuan.
  5. Apabila air kukusan telah mendidih masukkan periuk kukus yang telah diisi dgn sagu tadi.
  6. Kukus selama 10 minit atau sehingga masak. Sejukkan.
  7. Campur kelapa parut dengan secubit garam di dalam satu bekas. Kukus selama 2 – 3 minit supaya kelapa parut lambat basi.
  8. Gaulkan kuih sagu dgn kelapa parut tadi. Sedia untuk dihidang.

#2 Ketayap

Imj via Facebook

Jika anda orang Malaysia dan anda tidak tahu tentang kewujudan kuih ini, anda memang rugi. Kuih ketayap boleh dikatakan antara kuih yang paling popular di negara kita, dan resepinya juga ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Irhana Canella di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung ubi *optional
  • 1 biji telur
  • 2 sudu besar minyak masak
  • Air secukupnya
  • Secubit garam
  • Pewarna hijau/air pandan

Bahan inti kelapa:

  • Kelapa parut
  • Gula merah
  • Gula pasir
  • Secubit garam
  • Sedikit air (lebih kurang ½ cawan air untk larutkan gula)
  • 1 sudu tepung ubi
  • Sehelai daun pandan

Cara-cara:

  1. Kisar semua bahan kecuali bahan inti kelapa.
  2. Pastikan bancuhan sedikit cair dan tidak terlampau pekat.
  3. Untuk melenggang, gunakan 1 senduk sahaja dan tuangkan di kuali.
  4. Teruskan melenggang sehingga adunan habis. Ketepikan.
  5. Untuk inti kelapa, masak gula hingga larut.
  6. Masukkan kelapa parut, garam, tepung ubi dan biar kering sedikit.
  7. Letakkan inti di atas adunan ketayap yang dilenggang tadi, gulungkan dan sedia untuk dihidang.

#3 Kuih Kosui/Kaswi

Imej via Facebook

kuih kosui atau kaswi ini merupakan antara kuih tempatan yang terkenal. Buktinya lihat sahaja di mana-mana gerai, pasti ada dijual. Anda juga boleh cuba resepinya di rumah, agak mudah! Resepi ini dikongsikan oleh NorDiana Mat Desa di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum*
  • 1/2 cawan tepung ubi*
  • 1 sudu air kapur*
  • 1 cawan gula merah
  • ¾  cawan gula
  • 5 cawan air
  • Kelapa parut yang putih sahaja +garam (dikukus sekejap)

Cara-cara:

  1. Larutkan gula pasir dan gula merah dengan 2 cawan air.
  2. Masak atas api kejap untuk hancurkan gula, letak sehelai daun pandan untuk aroma dan tunggu sejuk kejap.
  3. Campurkan bahan yang bertanda * bersama 3 cawan air.
  4. Kemudian, masukkan air gula tadi dan tapis.
  5. Guna loyang 8×8 dan kukus selama 30 – 40 minit.
  6. Tunggu kuih sejuk, kemudian gaulkan dengan kelapa parut.
  7. Sedia untuk dihidangkan.

#4 Onde-onde

Imej via Facebook

Kuih onde-onde ini kenyal dan sebaik sahaja anda mengunyahnya, anda dapat merasakan gula melaka yang mencair di mulut – sungguh mengasyikkan! Anda juga boleh cuba resepinya di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Ayza Nur di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1 cawan atau lebih air daun pandan + sedikit pewarna hijau
  • Seketul gula melaka (di potong dadu)
  • Sedikit garam
  • ½ biji kelapa parut di tambah sedikit garam

Cara-cara:

  1. Satukan tepung pulut, tepung gandum & garam di dalam satu bekas.
  2. Tuang air pandan tadi sedikit demi sedikit sambil menguli adunan tadi.
  3. Uli hingga adunan sebati dan tidak melekat di tangan dan boleh dibulat- bulatkan.
  4. Ambil doh sebesar ibu jari dan leperkan. Letakkan gula melaka di bahagian tengah dan bulat-bulatkan hingga adunan habis.
  5. Susun di dalam dulang yang ditabur dengan sedikit tepung gandum.
  6. Didihkan air di dalam periuk dan masukkan kuih ke dalam air yang sedang mendidih.
  7. Biarkan sehingga kuih tadi timbul di permukaan air seketika. Kemudian, boleh angkat dan ditoskan airnya.
  8. Golekkan kuih tadi di atas kelapa parut.
  9. Sedia untuk dihidang.

#5 Kuih Bom Bijan

Imej via Facebook

Ada sesetengah orang kita biasa tengok kuih ini, namun tidak tahu namanya. Tapi, tidak mengapa. Alang-alang baru tahu namanya, bolehlah anda mencuba resepinya pula. Resepi ini dikongsikan oleh Zura Zul di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2¼ cawan tepung pulut
  • ½ cawan tepung beras/tepung gandum
  • 1 sudu besar gula halus
  • 2 biji kentang sederhana besar (direbus dan dilenyek)
  • Secubit garam
  • 1¼ cawan air
  • Inti mengikut kesukaan (kelapa, kacang merah / kacang hijau)

Cara-cara:

  1. Masukkan kentang dan secubit garam ke dalam tepung-tepung.
  2. Gaul bagi sebati kentang dengan tepung. Tuang air sedikit demi sedikit. Sambil menuang, uli dan jadikan doh yang lembut.
  3. Bulat-bulatkan doh kesemuanya (30g), kemudian tekan leper.
  4. Bulat-bulatkan inti (11g) dan masukkan inti ke dalam doh yang dibulatkan.
  5. Kemudian, bulatkan doh semula dan golekkan dalam bijan.
  6. Biarkan dalam ½ jam, kemudian goreng.
  7. Untuk menggoreng, tuangkan minyak dalam kuantiti yang agak banyak.
  8. Letakkan doh semasa minyak kurang panas, kemudian besarkan api.
  9. Goreng dan balik-balikkan hingga kekuningan.
  10. Angkat dan toskan minyaknya. Sedia untuk dihidang.

#6 Apam Susu

Imej via Facebook

Apam susu yang gebu dan manis merupakan kuih kegemaran ramai orang kita sejak kecil lagi. Jika dinikmati semasa minum petang bersama teh panas, pasti best! Resepinya juga mudah, rugi jika anda tak cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Lily Rosee di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 biji telur ayam
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 1 sudu besar ovalet
  • 4 sudu besar susu pekat
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan gula
  • Pewarna

Cara-cara:

  1. Pukul telur, vanila, ovalet, gula hingga adunan kembang, gebu dan putih.
  2. Masukkan susu pekat dan kembali pukul adunan.
  3. Masukkan tepung dan kacau sebati.
  4. Kalau mahu warnakan, bahagikan kepada beberapa bahagian. Warnakan mengikut citarasa anda.
  5. Akhir sekali, kukus selama 45 minit atau hingga masak.

#7 Kuih Cara Manis

Imej via Facebook

Ini juga salah satu resepi kuih mudah dan cepat yang wajib anda cuba – kuih cara manis. Selalunya cepat habis semasa dijual di gerai pada waktu petang. Jadi, cuba sahaja buat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Rosmini Rozi di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur
  • 1 cawan santan pekat@guna kara pun boleh
  • 1 cawan air
  • 1 cawan air pandan (3 helai daun pandan di blend dgn secawan air)
  • Sedikit pewarna hijau
  • Sedikit garam
  • Gula (sebagai inti)
  • Minyak masak (disapu pada acuan)

Cara-cara:

  1. Campur tepung gandum, telur, air pandan, air, santan dan garam. Kacau hingga sebati.
  2. Kemudia, tapiskan adunan.
  3. Panaskan acuan dan sapu minyak pada acuan. Kemudian, tuang adunan tadi.
  4. Letak gula ditengah adunan dan tutup dengan penutup. Masak selama 5-7 minit.
  5. Setelah masak, keluarkan kuih cara tersebut. Sedia untuk dihidangkan.

#8 Bengkang Jawi

Imej via Facebook

Kita biasanya makan bengkang pandan, apa kata kali ini anda cuba bengkang jawi pula? Kuih ini merupakan kuih tradisional, enak dinikmati semasa sarapan atau minum petang. Resepi ini dikongsikan oleh Rabiah Osman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 300 g tepung beras (diayak)
  • 1 sudu makan tepung jagung (diayak)
  • 300 g gula merah nak kurangkan manis boleh kurang
  • 600 g santan pekat
  • 600 g air
  • 1/2 sudu teh garam halus

Cara-cara:

  1. Masak gula dengan air yang disukat.
  2. Tapis dan masukkan ke dalam tepung yang diayak.
  3. Masukkan santan dan garam. Kacau sebati.
  4. Kacau di atas api perlahan sehingga berketul dan sedikit pekat.
  5. Sediakan loyang 8×8 dan sapukan minyak/mentega pada loyang.
  6. Menggunakan api atas bawah, tuangkan adunan tadi dan bakar selama 1 jam dengan suhu 200°C.
  7. Setelah bahagian sudah garing, tambah lagi 20 minit pada api bawah supaya bahagian bawah sedikit garing.
  8. Sedia untuk dihidangkan.

#9 Jejari Manis

Imej via Facebook

Bagi yang sukakan kuih yang manis, inilah kuih yang wajib anda cuba buat sendiri – kuih jejari manis. Jika dinikmati petang-petang bersama air teh panas, pasti lebih sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Cik Puan Farah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan air panas (lebihkan sedikit)
  • 1 sudu besar gula
  • 1 cubit garam / secukup rasa

Cara-cara:

  1. 1 cawan tepung gandum di gaul bersama air panas 1 cawan.
  2. Masukkan1 sudu gula dan garam dan gaul hingga menjadi doh.
  3. Pastikan tangan disapu dengan sedikit tepung dan bentuk doh ikut bentuk kesukaan.
    Gorengkan adunan dan pastikan api jangan terlalu besar.
  4. Untuk air gula, panaskan air lebih kurang 4 sudu dalam kuali.
  5. Masukkan 2 sudu gula sudu.
  6. Setelah gula cair dan pekat, gaul bersama kuih tadi.
  7. Siap dan sedia untuk dihidang.

#10 Kuih Peneram

Imej via Facebook

Memang tak sahlah jika kami tak senaraikan kuih peneram ini, kuih yang legend! Baik semasa minum petang atau sarapan, ianya sentiasa habis terjual. Resepi ini dikongsikan oleh Nor Hayani Ismail di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan gula merah
  • 4 cawan tepung beras
  • 1 cawan air

Cara-cara:

  1. Masak gula merah dengan secawan air hingga gula hancur.
  2. Tapis dan biarkan suam.
  3. Kemudian, gaul dengan tepung beras.
  4. Simpan beberapa jam sehingga tepung kembang.
  5. Gaul lagi adunan dan jika adunan keras, tambahkan air.
  6. Bentukkan adunan dengan acuan atau kuih dan boleh goreng.
  7. Pastikan minyak menenggelami adunan kuih.


Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi kuih mudah dan cepat, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi menarik yang lain. Jangan lupa untuk memberi komen dan berkongsi dengan rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.