Apa kuih moden yang anda suka? Seiring dengan perubahan zaman, pelbagai perkara telah dicipta dan diinovasikan mengikut perkembangan semasa termasuklah pelbagai resepi dan menu baru yang muncul.

Apa yang pasti kesemuanya viral, sedap dan sangat berbaloi untuk dicuba. Orang zaman sekarang memang kreatif termasuklah dalam menghasilkan kuih muih moden yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Kami sediakan 12 resepi kuih muih moden yang mungkin menjadi menu santapan bersama keluarga. Sesekali cuba resepi baru, pasti memberi kelainan. Silap-silap anda akan mencubanya lagi. Jom tengok resepi tersebut.

Salted Peach Doughnuts

Anda pasti pernah dengar atau rasa sendiri buah viral iaitu donut peach. Sejak tular, harganya semakin tinggi. Che Azawimie Che Zahari telah berkongsikan resepi donut peach namun dalam bentuk pastri atau kuih muih moden. Makan ketika kuih masih panas lebih sedap kerana dapat rasa kuih berlemak dan sedikit masin dan manis.

Bahan asas donut:

  • 1 kg tepung gandum
  • 700 ml susu uht
  • 2 sdb shortening
  • 1 biji telur
  • 1 sdb gula kastor
  • 2 sdb yis
  • ½ sdk garam
  • 1 sdb pes perisa tebu
  • 1 sdk pewarna kuning telur
  • 1 sdk pes red velvet
  • 1 blok salted butter potong kecil-kecil untuk buat inti
  • *susu tepung
  • *gula kastor

Cara penyediaan:

1. Campurkan kesemua bahan-bahan kecuali butter.

2. Rehatkan doh.

3. Timbang doh 30gm. Bulat-bulatkan dan masukkan salted butter sebagai inti.

4. Rehatkan doh. Kemudian tekap untuk nampak bentuk buah peach.

5. Tekan doh dengan hujung jari. Rehatkan doh supaya kembang.

6. Goreng dalam minyak yang banyak dengan api perlahan.

7. Apabila sudah masak, angkat dan toskan. Tunggu sehinga suam. Apabila sudah sejuk, gaulkan dengan gula. Siap untuk dimakan.

Nota: Jika adunan lembik, tambah tepung dan uli lagi.

Kaswi Tergedik Gedik

Kuih ini pernah tular di kalangan pecinta kuih-muih. Kenapa nama kuih tergedik-gedik? Hal ini kerana kaswi moden ini lembik dan lembut sehingga membuatkannya beralun ketika dijamu. Bezanya kaswi sekarang dicipta dengan pelbagai warna juga. Jom cuba resepi milik Che Azawimie Che Zahari.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung gandum
  • ¾ cawan tepung ubi
  • 1 cawan gula pasir (kurangkan gula jika tidak mahu terlalu manis)
  • 1 sudu makan air kapur
  • 300 ml air
  • 300 ml santan
  • 1 sudu teh garam
  • Perisa & pewarna

* Perisa pandan (Kisar dan tapiskan 7 helai daun pandan dan 300ml air)

* Perisa gula merah (Masak sampai mendidih ½ cwn gula merah dan 300ml air lalu biarkan sejuk dahulu)

* Kuning (perisa jagung)

* Merah (perisa sirap rose)

* Unggu (perisa keladi)

Cara penyediaan:

1. Campurkan kesemua bahan lalu kacau dan tapiskan.

2. Sapu sedikit minyak dalam acuan dan masukkan bahan tersebut.

3. Kukus selama 20 minit dengan api sederhana.

4. Campurkan nyior atau kelapa parut dengan sedikit garam dan kukus selama 2 minit.

Roti Jala Coklat

Sekarang ini lebih banyak inovasi roti jala yang sedap dan cantik. Nak lebih mudah, jom cuba resepi roti jala coklat yang dikongsikan Asmida Nor. Roti jala coklat dicicah bersama sos coklat rasanya sangat sedap. Anak-anak pasti suka!

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 cawan air
  • 1 biji telur
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 4 sudu besar milo
  • 2 sudu serbuk koko
  • Acuan roti jala

Cara penyediaan:

1.Kisarkan kesemua bahan sampai sebati.

2. Jalakan mengikut kreativiti.

Bahan-bahan sos coklat:

  • 3 sudu susu pekat
  • 2 sudu serbuk koko
  • 3 sudu milo
  • 2 sudu minyak masak
  • 1/4 cawan air

Cara penyediaan sos coklat:

1. Campur kesemua bahan dan masak secara double boil.

2. Apabila sudah sebati dan pekat, boleh angkat dan tapis.

3. Siap untuk dicicah bersama roti jala coklat.

Chocolate Ball

Chocolate Ball pasti digemari ramai terutama kanak-kanak. Dengan satu resepi, anda juga boleh menggunakan bancuhan ini untuk membuat waffle atau pancake. Anda boleh membuatnya menggunakan tepung gandum mahupun tepung naik sendiri. Namun tepung naik sendiri menghasilkan chocolate ball lebih gebu. Jom cuba resepi dari Rahmah Rosmin.

Bahan A:

  • 2 cwn tepung gandum / tepung naik sendiri
  • 1 camca kecil baking powder
  • ½ camca kecil soda bikarbonat
  • Secubit garam
  • 1 camca kecil esen vanilla
  • 2 camca besar butter/ marjerin (cairkan)
  • 2 biji kuning telur
  • 2 camca besar gula kastor
  • 300 ml susu full cream (anggaran 1 1/3 cwn)

Bahan B:

  • 2 biji putih telur

Cara penyediaan:

1. Campurkan semua bahan A dan kacau sebati.

2. Di dalam bekas lain, pukul bahan B hingga gebu.

3. Masukkan bahan B ke dalam bahan A dan dan kacau sehingga sebati.

4. Biarkan seketika lebih kurang 10 minit.

5. Adunan sedia digunakan untuk membuat chocolate ball. Guna acuan takoyaki untuk memasak.

Raindrop Cake

Fadzlin Adzlina berkongsikan resepi kuih muih moden atau pencuci mulut yang pernah tular dengan keunikannya di Ipoh iaitu Raindrop Cake. Sebenarnya Raindrop Cake merupakan salah satu makanan Jepun. Tak tahu nak makan pencuci mulut apa? Jom cuba menu ini.

Bahan-bahan:

  • 1 sudu kecil serbuk agar agar
  • 600 ml air
  • 4 sudu kecil gula pasir
  • Kuah gula merah
  • 1/4 cawan air
  • 1/4 cawan gula merah
  • 2 sudu makan gula
  • 1 sudu kecil tepung jagung (dibancuh sedikit air terlebih dahulu)
  • Serbuk kacang soya
  • 100 gram kacang soya
  • 4 sudu kecil gula

Cara-cara penyediaan :

1. Satukan air, serbuk agar-agar dan gula dalam satu bekas. Kacau sampai larut.

2. Kemudian panaskan sebentar dengan api perlahan sampai sedikit mendidih. Kemudian boleh tuangkan ke dalam acuan (saya pakai acuan kuih lompang) dan simpankan ke dalam peti selama 2 atau 3 jam.

Cara penyediaan gula melaka:

1. Satukan semua bahan ke dalam periuk dengan api sederhana.

2. kemudian kacau sehingga semuanya larut dan tuangkan bancuhan tepung jagung supaya sedikit pekat. Biarkan sejuk seketika.

Cara penyediaan serbuk kacang soya:

1. Basuh dan bersihkan kacang soya kemudian toskannya.

2. Sangai atas kuali sehingga keperangan dan biarkan sejuk seketika.

3. Kemudian kisar kering bersama gula dan ayak sekejap untuk hasil lebih halus.

Kanom Piak Poon

Turut dikenali sebagai puding pandan Thai, pasti ramai yang akan menggemarinya kerana tekstur kuih yang lembut dan rasa cair di dalam mulut. Rasanya manis dan berlemak serta nikmat dimakan lebih-lebih lagi ketika sejuk. Resepi ini dikongsikan oleh Shahmila Radha.

Bahan puding:

  • 2 sudu kapur masakkan (campur dengan 1 gelas besar air dan ketepikan, ambil 1 ½ cawan air kapur yang jernih sahaja)
  • 1 cawan tepung beras
  • 1/3 cawan tepung pulut
  • 1/3 cawan tepung ubi kayu
  • 1/3 cawan gula perang
  • 1 cawan air
  • 1/2 cawan santan pekat
  • Secubit garam
  • 1 sudu paste pandan

Cara penyediaan:

1. Tapis tepung lalu satukan semua bahan di atas dan kacau bagi tidak berketul.

2. Buka api paling kecil dan kacau sampai puding jadi jernih. Part ini susah sedikit sebab kena kacau macam kacau dodol dan tak boleh tinggal walaupun sekejap.

3. Apabila sudah masak, ketepikan bagi dia suam.

4. Apabila sudah suam, boleh scoop masukkan dalam mangkuk puding dan letak ke dalam fridge.

Bahan kuah santan:

  • 2 kotak santan kotak saiz kecil
  • 1 sudu kecil tepung jagung (bancuh dengan 1 cawan  air)
  • 1 sudu besar gula pasir putih
  • 1/2 sudu teh garam

Cara penyediaan:

1. Panaskan santan, kemudian masukkan air tepung jagung, gula dan garam.

2. Apabila sudah likat, tutup api dan sejukkan dalam fridge.

Cara penyediaan kelapa parut:

1.Gaul dengan garam sedikit sahaja bagi rasa lemak.

Cara penyediaan:

1.Apabila nak hidang, tuang kuah santan, letak satu sudu kelapa parut tadi dan tabur biji bijan.

Nota: Kalau nak cantik, puding tu perlu kurangkan sedikit air. Apabila sudah suam, boleh guna piping icing dan piping atas talam tetapi dia akan keras sedikit dan tak cair masuk mulut.

Talam Tokyo

Ellyza Mustaffa pula telah berkongsikan resepi talam tokyo. Kini terdapat pelbagai jenis kuih talam seperti talam suji, talam cendol, talam kastard dan talam tokyo ini. Jika anda seorang yang gemar kuih manis, jom cuba resepi ini!

Bahan lapisan bawah:

  • 2 cwn sago (direndam sekejap)
  • 1 pkt kecil soohoon (rendam sampai lembut dan gunting-gunting sedikit)
  • 1 kotak santan / 1 cwn santan pekat
  • 1 cwn kelapa parut
  • 1/2 cwn air
  • 1/2 st garam

Cara penyediaan lapisan bawah:

1. Gaul semua bahan hingga rata. Tuang ke dalam loyang.

2. Kukus 10 hingga 15 minit. Biarkan sejuk.

Bahan lapisan atas:

  • 4-5 helai daun pandan (kisarkan dengan 2 1/2 cwn santan lalu tapiskan)
  • 1/4 cwn air
  • 1 cwn gula
  • 4 biji telur
  • 6 sb tepung gandum
  • 1 sb tepung kastad
  • 1 sb tepung jagung
  • 1/2 st garam
  • Sedikit pewarna hijau

Cara penyediaan lapisan atas:

1. Kisar semua bahan. Masak sekejap atas api sambil kacau sehingga adunan berasap.

2. Tuang atas adunan sago tadi.

3. Kukus selama 15 hingga 20 minit.

4. Setelah masak, sejukkan, potong dan hidang.

Cream Puff

Ada yang gemar cream puff? Pemanis mulut ini sesuai dimakan pada bila-bila masa. Cara penyediaan memang mudah namun perlu teliti ketika membuat filling kastard kerana jika kurang air, kastard akan menjadi keras seperti puding. Jom cuba resepi kuih muih moden yang dikongsikan oleh Zaliha Zaliha Salleh.

Bahan A:

  • 1 cawan air
  • 100 gm mentega/ marjerin
  • ½ sk gula
  • 1 st esen vanila

Bahan B:

  • Secubit garam
  • 125 gm tepung gandum
  • 3 biji telur

Cara penyediaan:

1. Masak bahan A hingga mendidih.

2. Kecilkan api dan masukkan tepung dan kacau hingga tak melekat di periuk. Sejukkan selama 10 hingga 15 minit.

3. Pecahkan telur satu persatu dan kacau sebati. Boleh guna hand mixer.

4. Masukkan adunan ke dalam piping bag. Guna nozel untuk kuih samprit dahlia pun boleh.

5. Paipkan ke atas baking tray. Bakar pada suhu 180°c selama lebih kurang 25 minit atau hingga keperangan.

6. Keluarkan dari oven dan lubangkan sedikit creampuff untuk keluarkan wap panas supaya mengelakkan cream puff mengecut atau meleper apabila sudah sejuk.

Bahan kastard filling:

  • 2 ¼ cawan susu – boleh campur dengan air (50 – 50 kalau tidak mahu lemak sangat)
  • 1 biji telur
  • 25 gm tepung kastard
  • 25 gm tepung jagung
  • 100 gm gula castor – secukup rasa
  • 1/2 cwn teh esen vanila
  • 1 sb mentega

Cara penyediaan:

1. Masak semua bahan kecuali mentega di atas api sehingga likat dan berkilat.

2. Sentiasa kacau supaya tidak hangit. Jika terlalu likat, boleh tambah susu atau air.

3. Masukkan mentega. Sejukkan dahulu sebelum masukkan ke dalam piping bag.

4. Paipkan kastard ke dalam cream puff yang sudah sejuk atau suam-suam kuku melalui lubang yang di buat tadi.

5. Apabila sudah siap, hias dengan gula ising.

Apam Polkadot

Apam polkadot sesuai untuk dimasak atau dibawa untuk sebarang jamuan. Jadikan sebagai menu untuk minum petang bersama keluarga. Lebih sedap jika diletakkan inti pelbagai perisa di dalamnya. Jom cuba resepi dari Ly Safra Keplie yang turut memberikan tips untuk memastikan kuih moden ini menjadi.

Bahan A:

  • 3 biji telur
  • 1 cwn gula halus
  • 1 cwn susu cair
  • 1 sudu besar ovelate
  • 1 sudu besar esen vanila

Bahan B:

  • 2 cwn tepung naik sendiri / bluekey (kotak pink atau boleh beli kedai bakery)

Cara penyediaan:

1. Mix telur dahulu dengan kelajuan paling tinggi. Kemudian masukkan gula halus dan ovelate, pukul lagi sehingga bertanduk. Selepas itu, masukkan susu cair.

2. Selepas siap mix bahan A, masukkan tepung naik sendiri lalu mix paling minima sehingga rata. Akhir sekali, masukkan perisa esen vanilla supaya apam berbau wangi.

3. Bahagikan adunan kepada beberapa warna, letak warna yang anda suka. Jika mahu, letak filling.

4. Panaskan periuk kukus, buka api kuat dan tunggu sehingga air menggelegak.

5. Adunan dimasukkan ke dalam piping bag.

6. Paip separuh dalam acuan. Letak inti kemudian paip sampai penuh. Letak corak yang anda suka.

7. Apabila air sudah menggelegak, kukus apam dalam 8 hingga 10minit dengan api yang paling perlahan.

Tips:

1. Pastikan penutup periuk kukus dibalut kain supaya air tidak jatuh atas apam.

2. Pastikan kukus dengan api yang perlahan untuk elak apam merekah.

3. Mix telur dahulu paling maksima sehingga kembang untuk dapatkan apam yang lembut dan gebu.

4. Simpan apam dalam bekas kedap udara untuk tahan lama.

Pie Tie

Jika makan di Chicken Rice Shop, pie tie merupakan menu wajib yang perlu dicuba. Gandingan sayur bersama kulit yang rangup dicicah pula bersama sos, merupakan gabungan yang mantap. Cuba resepi dari Chefobie Untold, pasti menjadi dan sedap!

Bahan Kulit Pai Tie:

  • 120 gm tepung beras
  • 40 gm tepung gandum
  • 20 gm tepung ubi
  • Garam secukupnya
  • 2 biji telur
  • 500 ml air (air sejuk)
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan Inti:

  • 1 sudu besar minyak & ½ sudu besar minyak bijan
  • 4 ulas bawang merah – di cincang halus
  • 150  gm isi udang – di cincang
  • 100 gm hirisan lobak merah
  • 400 gm hirisan sengkuang cina
  • 1 sudu teh kicap cair
  • Garam dan serbuk lada sulah secukupnya

Bahan Sos :

  • 7 biji cili merah- dibuang biji
  • 3 biji cili api merah
  • 2 ulas bawang putih – di cincang halus
  • 4 sudu besar sos cili Thai
  • 1 sudu besar cuka
  • 100 ml air masak
  • Gula dan garam secukupnya

Alat : Acuan Pai Tie

Cara penyediaan:

1. Satukan semua bahan kulit. Tapis ke dalam mangkuk kemudian masukkan telur, air dan kacau sehingga menjadi adunan yang sebati.

2. Panaskan acuan pai tie dengan mencelupkan acuan ke dalam minyak yang sedang dipanaskan untuk menggoreng.

3. Kemudian angkat acuan dari minyak, toskan minyaknya sebentar dan celupkan acuan pai tie ke dalam adunan tadi dan goreng hingga keemasan.

4. Bahagian inti: Panaskan minyak lalu tumiskan bawang merah hingga harum. Masukkan bahan lain lalu perasakan dan kacau sebentar. Jangan masak terlalu lama. Akhir sekali, selepas matikan api masukkan minyak bijan. Angkat dan biarkan ia sejuk.

5. Bahagian  sos: Kisar semua bahan hingga sebati.

6. Sila pastikan kulit pai tie yang telah digoreng disejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara sebelum diisikan dengan intinya. Biar inti sejuk dahulu baru boleh diisikan.

Koci Leleh

Kebiasaannya, kuih koci adalah kuih yang kenyal berintikan kelapa dan dibalut di dalam daun pisang. Namun versi kuih muih moden lain rupanya. Rose Aien Ramli berkongsikan resepi koci leleh moden. Nak tahu sedap atau tak, jom cuba resepi ini. Pasti nak buat lagi!

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 3/4 cawan tepung beras
  • 1 cwn air

Cara penyediaan: Uli dan bahagikan kepada dua bahagian lalu letak pewarna pilihan.

Bahan-bahan inti:

  • 1 cawan kelapa parut
  • 3 sudu palm sugar
  • 3 helai daun pandan
  • Sedikit garam
  • 1 sudu besar tepung gandum

Cara penyediaan inti:

1. Cairkan palm sugar kemudian masukkan kelapa dan daun pandan.

2. Kacau sehingga masak. Masukkan tepung gandum dan kacau lagi sekejap.

3. Apabila sudah sejuk, bulat-bulatkan inti dan masukkan ke dalam tepung yang sudah siap diwarnakn tadi.

4. Rebus di dalam air mendidih sehingga masak atau terapung.

Bahan santan:

  • 100ml santan
  • 200ml air
  • Sedikit garam
  • 1 sudu besar tepung beras

Cara penyediaan santan:

1. Satukan semua bahan kemudian kacau dan tapis.

2. Masak sehingga pekat.

Cara penyediaan keseluruhan:

1. Isi santan dalam acuan kemudian masukkan kuih koci yang telah direbus tadi.

2. Akhir sekali, tabur bijan hitam dan putih yang telah disangai diatas kuih.

Creamhorn Vanilla Custard With Crumble

Kuih manisan ini sesuai untuk hidangan keluarga terutama kanak-kanak. Ia merupakan puff pastri yang rangup dimakan bersama pelbagai jenis filling di tengah seperti kastard, cream cheese mahupun fresh cream. Ikuti resepi mudah yang dikongsikan oleh NurZetty Zulaika yang dapat menghasilkan 35 biji cream horn.

Bahan-bahan:

  • 1 paket puff pastry saiz 8″ jenama Kawan
  • 1 biji telur – dipukul sedikit untuk gam
  • Acuan cream horn secukupnya (kalau tak ada boleh DIY sendiri. Guna kertas keras atau manila kad, buat acuan kon dan balut dengan aluminium foil).

Bahan crumble:

  • 100g tepung gandum
  • 50g mentega
  • 50g gula pasir

Cara penyediaan crumble: Campurkan semua bahan dan ramas sehingga menjadi serbuk roti.

Cara penyediaan:

1. Ambil sekeping puff pastry dan potong kepada tujuh bahagian.

2. Ambil satu dan lenyekkan sedikit dengan kayu penggelek. Letakkan dihujung acuan dan lilitkan.

3. Sapukan telur dihujungnya supaya melekat. Buat sehingga habis.

4. Sapukan telur dipermukaan pastry dengan menggunakan berus, kemudian golekkan diatas crumble tadi.

5. Bakar dengan menggunakan api atas dan bawah dengan suhu 200 selsius selama 25 minit atau sehingga kuning keemasan mengikut oven masing-masing.

6. Keluarkan cream horn dari acuan dan sejukkan sebelum meletakkan inti.

Bahan untuk inti vanila custard:

  • 2 cawan susu segar/ susu cair
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 6 sudu besar gula
  • 2 biji telur
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 2 sudu besar mentega
  • ½ cawan whipping cream – putar sehingga kental (optional kalau tidak letak pun boleh. Letak lagi sedap)

Cara penyediaan:

1. Campurkan semua bahan kecuali mentega. Kacau sebati dan masak dengan api sederhana.

2. Selepas itu masukkan mentega. Sentiasa kacau sehingga kastard menjadi pekat.

3. Tutup api dan sejukkan. Pukul whipping cream sehingga kental dan campurkan ke dalam kastard yang telah sejuk tadi secara kaup balik.

4. Masukkan kastard ke dalam piping bag dan picitkan ke dalam pastri yang telah sejuk tadi.

Ada resepi kuih muih moden yang menjadi tumpuan anda? Apa tunggu lagi, jom buatnya sekarang untuk dijadikan santapan bersama yang tersayang.

Kesemua resepi sangat mudah dan pernah tular di media sosial. Resepi-resepi tersebut mendapat sambutan dan perkongsian yang banyak di Facebook. Memang berbaloi untuk dicuba. Selamat mencuba!

Nak lebih banyak resepi kuih muih? Jom cuba resepi kuih tradisional melayu mudah, resepi kuih muih Kelantan dan resepi kuih kukus.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.