Mencari resepi puding yang enak?

Puding merupakan salah satu kategori pencuci mulut yang popular. Ianya kerap dihidangkan semasa minum petang dan jamuan. Ianya juga didatangkan dalam berbagai jenis.

Seiring dengan zaman moden, banyak resepi puding yang boleh kita dapati. Jadi, berikut kami senaraikan 10 resepi puding buat anda. Teruskan membaca!

#1 Puding Karamel

Imej via Facebook

Puding karamel atau puding gula hangus merupakan antara resepi puding yang sangat popular. Ianya juga mudah untuk dibuat, memang rugi jika anda tak cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Nordiana Ab Kadil di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan puding:

  • 1 paket serbuk agar-agar yang jernih  (10 g)
  • 4 cawan air
  • 1 tin susu cair
  • 1 cawan susu pekat
  • 3 sudu tepung kastard
  • Sedikit esen vanila

Cara-cara:

  1. Menggunakan api perlahan, cairkan gula pasir hingga menjadi perang.
  2. Tutup api dan masukkan air.
  3. Kemudian, masukkan karamel ke dalam loyang.
  4. Satukan semua bahan ke dalam periuk dan kacau sebati.
  5. Menggunakan api besar, panaskan dan masak puding sehingga betul-betul mendidih dan pekat.
  6. Biarkan puding suam sebentar, kemudian masukkan ke dalam loyang yang berisi karamel tadi.
  7. Sejukkan puding di dalam peti ais selama 2-3 jam.
  8. Setelah disejukkan, terbalikkan loyang berisi puding tadi di atas pinggan dan potong. Sedia untuk dihidangkan.

#2 Puding Roti Sos Kastard

Imej via Facebook

Satu lagi resepi popular untuk puding ialah puding roti sos kastard. Puding roti yang gebu serta sos kastard yang manis merupakan gabungan yang terbaik. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Shafira di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan puding:

  • 10 keping roti (dipotong empat segi )
  • 1 tin susu cair
  • 3 biji telur
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 5 sudu besar gula
  • Buah campur kering (direndam bersama air panas) *optional

Bahan sos kastard:

  • 1 tin susu cair
  • ½ cawan air
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • 4½  sudu besar gula

Cara-cara:

  1. Kisarkan semua bahan puding roti bahan kecuali roti.
  2. Sapukan mentega pada loyang dan pada setiap kepingan roti.
  3. Susunkan roti di dalam loyang dan curahkan bahan kisar tadi. Tekan roti supaya bahan kisar meresap.
  4. Taburkan buah kering dan kukus selama 20 minit.
  5. Untuk sos kastard, campur tepung kastard bersama air dan kacau rata.
  6. Menggunakan api perlahan, masak semua bahan sos yang dicampurkan.
  7. Kacau sehingga mendapat tekstur sos yang pekat.

#3 Puding Brownies tanpa Telur

Imej via Facebook

Bayangkan gabungan puding dan brownies, pasti mengujakan! Lebih menarik, resepi ini juga mudah dan tidak menggunakan telur. Resepi ini dikongsikan oleh Danish Harraz di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan puding:

  • 1 Bungkus (10 g) serbuk agar-agar
  • 4 keping roti putih (dibuang tepinya dan dipotong-potong)
  • 900 ml susu coklat
  • 100 g coklat gelap, separa manis atau colat susu (dicincang) / cip coklat
  • 1 sudu besar serbuk koko (dilarutkan dengan sedikit air panas)
  • 2 – 4 sudu besar atau lebih gula pasir (boleh lebihkan ikut citarasa)
  • Kekacang, cip coklat atau buah-buahan untuk hiasan *optional

Bahan sos vanila:

  • 1¼ cawan susu segar
  • ¼ cawan gula perang (boleh tambah jika suka lebih manis)
  • 1 biji telur
  • 2 sudu besar mentega (dicairkan)
  • I sudu besar tepung gandum
  • Secubit serbuk kayu manis
  • Secubit garam halus
  • 1 sudu besar esen vanila

Cara-cara:

  1. Masukkan roti dan susu coklat ke dalam pemproses makanan. Kisar sebati.
  2. Menggunakan api sederhana, masukkan bahan kisar tadi ke dalam periuk.
  3. Masukkan serbuk agar-agar, coklat gelap dan serbuk koko yang dilarutkan dengan sedikit air panas.
  4. Masukkan gula dan kacau sentiasa hingga mendidih.
  5. Setelah masak, tutupkan api dan tuangkan ke dalam acuan.
  6. Biarkan sebentar dan sejukkan di dalam peti sejuk.
  7. Untuk sos vanila, masukkan semua bahan kecuali esen vanila ke dalam kuali.
  8. Masak menggunakan api sederhana dan kacau sentiasa selama 10-15 minit hingga sos vanila memekat.
  9. Kemudian, masukkan esen vanila. Kacau sebati dan sedia untuk dihidangkan.

#4 Puding Jagung

Imej via Facebook

Bagi peminat tegar jagung, anda pasti menggemari puding jagung. Rasanya yang manis serta tekstur puding yang lembut memang cukup memikat hati! Resepi ini dikongsikan oleh Rahimah Yaacob di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 tin jagung (dikisar tanpa air)
  • 1 tin susu cair
  • 1 cawan tepung kastard
  • 3 cawan air
  • Secubit garam
  • ¾ cawan gula
  • 1 sudu besar marjerin/mentega

Cara-cara:

  1. Campurkan kesemua bahan kecuali marjerin/mentega. Kacau tanpa gunakan api dan pastikan tepung tiada ketulan.
  2. Bahan sebati, gunakan api perlahan. Kacau hingga menggelegak dan memekat.
  3. Setelah tekstur pekat dan likat, masukkan mentega/marjerin.
  4. Kacau sekejap hingga sebati.
  5. Matikan api dan cepat-cepat masukkan pudding ke dalam loyang atau acuan.
  6. Biarkan sejuk, kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.

#5 Puding Keju Tom & Jerry

Imej via Facebook

Resepi puding ini mungkin akan mengimbau kenangan semasa kanak-kanak, kerana rupa puding keju ini persis keju rancangan kartun Tom & Jerry! Resepi ini dikongsikan oleh AJ Idris di laamn Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 7 g serbuk gelatin /  agar-agar dicampur dengan 40 ml air, biarkan 15 minit)
  • 100 ml jus mangga / puri lobak

Bahan B:

  • 250 g cream cheese
  • 50 g gula halus

Bahan lain:

  • 160 g krim putar

Cara-cara:

  1. Untuk bahan A, campurkan kedua-dua bahan dan masak hingga gelatin / agar-agar larut. Ketepikan.
  2. Untuk bahan B, pukul bahan hingga sebati.
  3. Campurkan bahan A dan B.
  4. Di dalam bekas lain, pukul krim putar hingga gebu.
  5. Campurkan ke dalam bekas berisi bahan A dan B tadi. Kacau rata.
  6. Boleh letak pewarna kuning jika mahu.
  7. Tuang adunan ke dalam loyang bulat, sejukkan hingga adunan pejal dan keras selama 2-3 jam.
  8. Keluarkan dari loyang, potong dan cucuk cucuk dengan penyedut minuman untuk membuat bentuk keju.

#6 Puding Roti Pelangi

Imej via Facebook

Sukakan puding yang bukan sahaja cantik warnanya, malah sedap? Cubalah buat puding roti pelangi ini! Resepi ini dikongsikan oleh Zura Zul di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 10 g agar-agar tali
  • 5 cawan air
  • ¾ cawan gula
  • 5 keping roti gardenia
  • 1 tin susu cair
  • 2 biji telur
  • 2 sudu besar susu pekat
  • 2 sudu besar marjerin
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • 1 penutup botol esen vanila

Cara-cara:

  1. Masak agar-agar dengan air hingga agar-agar larut.
  2. Masukkan gula dan kacau rata.
  3. Kemudian, masukkan bahan kisar. Sentiasa kacau sehingga pekat dan tutup api.
  4. Bahagikan adunan kepada 3-4 bekas. Warnakan mengikut kesukaan.
  5. Guna sudu/senduk untuk setiap warna berselang seli.Tindan-tindankan sehingga habis adunan.
  6. Bekukan di dalam peti sejuk selama 2 jam
  7. Kemudian, potong dan sedia untuk dihidang.

#7 Puding Buah Naga

Imej via Facebook

Puding ini sesuai dinikmati sejuk-sejuk, pasti menyegarkan tekak dan sedap tak terkata. Ianya juga mudah untuk dibuat. Resepi ini dikongsikan oleh Zaihanififie Abu Bakar di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 biji buah naga (kecil)
  • 12 gram agar-agar tali
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin air kosong (sukatan tin susu td)
  • ⅓ cawan gula
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Masak agar-agar bersama air dan gula hingga larut.
  2. Masukkan susu cair dan garam.
  3. Setelah mendidih, masukkan buah naga dan kacau sekejap.
  4. Tuang ke dalam loyang yang sesuai.

#8 Puding Laici

Imej via Facebook

Puding laici memang terkenal, ianya juga kerap dijual dek kerana popularitinya. Tak perlu susah-susah beli jika anda rajin membuatnya, kerana resepinya juga agak mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Mak Usop di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 10 g serbuk agar-agar atau 1 paket agar-agar biasa (28 gram)
  • 6 gelas air
  • 1½ cawan gula
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin laici (dikisar)
  • 1 tin laici (untuk hiasan)

Cara-cara:

  1. Masakkan serbuk agar-agar atau agar-agar biasa bersama air sehingga mendidih.
  2. Masukkan gula dan biarkan mendidih lagi (jika gunakan agar biasa, tapiskan).
  3. Matikan api dan masukkan air laici dan susu cair.
  4. Tuangkan ke dalam acuan. Biarkan sejuk dan masukkan ke dalam peti sejuk.
  5. Hidangkan bersama buah laici yang diasingkan tadi.

#9 Puding Milo Oreo

Imej via Facebook

Milo dan oreo – dua gabungan makanan dan minuman kegemaran orang kita. Jika dibuat puding, keenakannya memang tidak terkata! Resepi ini dikongsikan oleh Nurbazlyn Husna di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 paket serbuk agar-agar serbuk (10g)
  • 4 cawan air
  • 1 cawan gula
  • 1 tin susu cair
  • ¾ cawan serbuk Milo
  • 1 bungkus biskut Oreo (patah-patahkan, biarkan krimnya)

Cara-cara:

  1. Masak agar-agar hingga larut. Kemudian masukkan gula dan kacau sebati.
  2. Tambahkan susu cair dan kacau hingga mendidih.
  3. Asingkan 2 cawan adunan ke dalam periuk lain dan campurkan dengan serbuk Milo. Kacau sebati.
  4. Ambil 1 cawan adunan agar-agar milo dan tuangkan ke dalam acuan/loyang/bekas.
  5. Baki adunan milo lagi separuh tadi dipanaskan atas api kecil.
  6. Tunggu sehingga adunan milo dalam loyang keras sedikit (tetapi masih suam), cucuk adunan milo dengan garfu/lidi supaya adunan seterusnya melekat.
  7. Dengan berhati-hati, tuangkan adunan putih (susu) di atas lapisan puding milo. Tuang dari bahagian tepi dengan perlahan-lahan.
  8. Kemudian susun oreo ytelah dipatahkan.
  9. Biarkan lapisan putih mengeras sedikit dan lakukan proses yang sama dengan menoreh permukaan menggunakan garfu.
  10. Akhir sekali, tuangkan baki lapisan milo.
  11. Biarkan sejuk dalam peti ais.
  12. Sedia untuk dihidangkan.

#10 Puding Mangga Susu

Imej via Facebook

Buah mangga yang manis memang sesuai dibuat puding, pasti berganda tarikannya! Lapisan tengahnya pula ialah susu, menjadikan rasa puding ini manis berkrim. Resepi ini dikongsikan oleh Zura Zul di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 10g agar-agar tali
  • 1½ cawan air
  • 1 biji mangga
  • 1 tin susu cair
  • ½ cawan susu pekat manis
  • 1 sudu kecil tepung jagung
  • Sedikit lemon yellow
  • Secubit garam *optional

Bahan B:

  • 10 g agar-agar tali
  • 1½ cawan air
  • 1 tin susu cair
  • ½ susu pekat manis
  • 2 biji mangga (dipotong dadu)
  • 2 – 3 sudu oren Sunquick

Cara-cara:

  1. Untuk bahan A, gunting kecil agar-agar tali. Bersihkannya dengan air, kemudian masak dengan air supaya larut.
  2. Sementara itu, kisarkan buah mangga, susu cair, tepun jagung dan sedikit lemon yellow hingga lumat.
  3. Tuangkan ke dalam periuk agar-agar dan kacau sedikit.
  4. Masukkan susu pekat dan secubit garam jika perlu. Kacau sebati dan tak perlu masak hingga mendidih.
  5. Basahkan dahulu loyang 8×8, dan tuangkan kesemuanya. Biarkan sederhana beku.
  6. Untuk bahan B, masak agar-agar dengan air hingga larut.
  7. Ketepikan dahulu ½ cawan agar-agar ini.
  8. Tuangkan susu cair dan susu pekat. Kacau sebati.
  9. Tuang perlahan-lahan ke atas puding mangga tadi. Biarkan sederhana beku.
  10. Gaul rata mangga yang dipotong dadu bersama oren sunquick.
  11. Susun/tabur mangga perlahan-lahan ke atas puding susu keseluruhan loyang.
  12. Panaskan semula ½ cawan agar-agar yang diasingkan tadi menggunakan api perlahan hingga cair.
  13. Tuang sedikit-sedikit ke atas puding mangga (bagi keseluruhan mangga terkena agar-agar supaya mudah melekat).
  14. Sejukkan di dalam peti sejuk sela,a 1 jam atau lebih.
  15. Keluarkan puding dari loyang. Potong dan sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi puding, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.