Mencari resepi kuih-muih tradisional Melayu yang boleh anda cuba?

Kuih-muih tradisional pasti mampu menggamit memori semasa kanak-kanak buat kebanyakan pembaca di sini, bukan? Ianya bukan sahaja enak, malah cukup nostalgis.

Ingin buat sendiri kuih-muih tradisional? Berikut kami senaraikan 25 aneka resepi kuih-muih tradisional Melayu buat anda. Teruskan membaca!

#1 Kuih Karas

kuih-muih
Imej via Facebook

Kuih karas atau kuih jala merupakan kuih tradisional yang berasal dari Kedah. Ianya sering didapati semasa hari raya, namun anda juga boleh cuba sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Irhana Canella di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • ½ cawan gula
  • ½ cawan air
  • Pewarna jika suka
  • ½ bungkus bihun (dicuci)
  • 1 cawan minyak masak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Masak air gula hingga gula larut.
  2. Masukkan bihun. Kacau sebati.
  3. Kemudian, angkat dan toskan.
  4. Panaskan minyak dan ambil sedikit bihun yang dah disira dengan gula.
  5. Goreng sehingga kembang, kemudian terus masukkan ke dalam gelas plastik.
  6. Tekan atau hentakkan guna gelas plastik yang lain.
  7. Ulang langkah 1 – 6 hingga adunan habis.
  8. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kedap udara.
  9. Sedia untuk dihidang.

#2 Dodol Kukus

dodol kukus
Imej via Facebook

Dodol kukus merupakan kuih tradisional negeri Pahang. Resepi dan bahan-bahannya juga ringkas, rugi jika anda tak buat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Lina Nurdin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung pulut hitam
  • 1 cawan gula merah
  • ½ cawan gula
  • 1 cawan air

Bahan untuk tahi minyak:

  • Santan pekat
  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Masukkan tepung pulut, tepung gandum dan tepung pulut hitam.
  2. Masak setengah cawan gula dengan secawan air. Boleh kurangkan gula jika mahu.
  3. Jika bancuhan terlalu pekat, tambahkan air.
  4. Untuk tahi minyak, campurkan santan pekat dan sedikit garam dari sebiji kelapa dan masak hingga menjadi tahi minyak.
  5. Sapu tahi minyak pada daun pisang yang dilayur.
  6. Ambil sesenduk adunan kuih tadi dan kukus di atas daun pisang hingga masak.
  7. Sedia untuk dihidang.

#3 Koleh Lemak

KUIH-MUIH
Imej via Facebook

Kuih koleh lemak ini merupakan kuih tradisi Terengganu. Ianya dikatakan jarang ditemui pada masa kini, jadi anda wajib cuba resepinya. Resepi ini dikongsikan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • 6 cawan air sejuk
  • 3 ulas bawang merah
  • ½ inci halia
  • 7 biji halba
  • 1 biji kelapa (dibahagi 3)
  • 1 cawan gula
  • 1 ekor ikan kembung (dibakar)

Cara-cara:

  1. Untuk membuat tepungnya, bancuh tepung beras dengan air dan kacau sebati.
  2. Panaskan, kacau hingga kering dan kental.
  3. Angkat dan tuang ke dalam talam kecil.
  4. Ratakan setebal  1½  inci dan sejukkan.
  5. Untuk kuahnya, perah ⅔ bahagian kelapa dan ambil santannya.
  6. Masukkan gula, bawang, halia dan halba.
  7. Masak hingga mendidih dan angkat.
  8. Untuk memekatkan kuahnya, bancuh 2 sudu tepung beras dengan sedikit air dan tuangkan ke dalam kuah tadi.
  9. Untuk sambalnya, goreng ⅓ bahagian kelapa tadi dengan api sederhana. Angkat dan tumbukkan.
  10. Hiris serai, bawang merah dan halia. Tumbuk hingga lumat.
  11. Masukkan ikan kembung dan gaul dengan sambal tadi.
  12. Sedia untuk dihidang.

#4 Kuih Nagasari

kuih-muih
Imej via Facebook

Kuih nagasari merupakan kek kukus yang disajikan bersama hirisan pisang. Resepi ini dikongsikan oleh Nor Aidah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 senduk nasi tepung ubi
  • 5 sudu makan gula
  • 1 sudu teh garam
  • 5 cawan santan
  • Beberapa biji pisang awak ranum (dipotong bulat)

Cara-cara:

  1. Panaskan pengukus.
  2. Satukan semua bahan kecuali pisang. Kacau sebati dan tapis.
  3. Oleskan loyang dengan minyak. Alaskan loyang dengan plastik.
  4. Susun pisang dalam loyang ikut kreativiti. Tuang aduan separas pisang dan kukus 5 minit.
  5. Susun pisang ikut kesukaan anda. Tuang lagi adunan hingga separas pisang. Kukus 5 minit.
  6. Ulangi proses 5 hingga pisang/adunan habis, atau hingga penuh loyang.
  7. Kukus adunan terakhir selama 30 minit.
  8. Sejukkan dan sedia untuk dipotong dan dihidang.

#5 Kuih Bom Bijan

resepi kuih tradisional melayu mudah
Imej via Facebook

Jika anda biasa ke gerai yang menjual kuih, pasti anda akan terjumpa dengan kuih bom bijan ini. Ianya bukan sahaja enak, malah mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh EiTa EiMi di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung pulut
  • ½ cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar gula
  • Secubit garam
  • Air secukupnya
  • Bijan
  • Inti mengikut kesukaan

Cara-cara:

  1. Sediakan bekas dan masukkan semua bahan-bahan. Uli rata.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit, pastikan tekstur tidak terlalu lembik.
  3. Golekkan pada bijan dan bulat-bulatkan supaya rata.
  4. Sejukkan di dalam peti ais selama 1 jam.
  5. Gorengkan menggunakan api sederhana.
  6. Sedia untuk dihidang.

#6 Asam Gumpal

Imej via Facebook

Asam gumpal merupakan kuih-muih tradisi Kelantan. Ianya merupakan sagu yang berintikan kacangg. Resepi ini dikongsikan oleh Wan Raudzah Wan Ismail di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan sagu biji (dibersihkan dan ditoskan)
  • ½ cawan air panas

Bahan kuah:

  • ¾ cawan gula
  • Secubit garam
  • Daun pandan
  • 1 sudu teh haba
  • 2 sudu besar tepung beras (pekatkan kuah)

Bahan untuk inti:

  • Kacang hijau
  • Gula pasir
  • Gula melaka
  • Secubit garam
  • Daun pandan

Cara-cara:

  1. Untuk intinya, rendam kacang hijau semalaman dan rebus hingga empuk.
  2. tambahkan gula pasir, gua melaka, garam dan daun padan.
  3. Masak hingga pekat.
  4. Setlah sejuk, bulat-bulatkan inti.
  5. Untuk kuihnya, masukkan air panas dalam sagu hingga sagu boleh dibulatkan.
  6. Leperkan sagu dan letakkan inti kacang hijau tadi (pastikan tidak tebal).
  7. Letakkan bebola sagu di atas loyang yang disapu minyak dan kukus selama 2o minit.
  8. Untuk kuah, masukkan semua bahan kuah dalam periuk dan masak menggunakan api sederhana. Kacau-kacaukan.
  9. Setelah mendidih, masukkan bebola sagu.
  10. Masak hingga mendidih sambil dikacau lembut.
  11. Sedia untuk dihidang.

#7 Bahulu Goreng

kuih-muih
Imej via Facebook

Biasanya kita menikmati bahulu yang dibakar, apa kata kali ini anda cuba bahulu goreng? Inya merupakan salah satu kuih tradisi Melayu. Resepi ini dikongsikan oleh Za Abd. Rahman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 600 g tepung gandum (digoreng dan diayak dahulu)
  • 300 g gula halus (boleh kurangkan jika tak mahu manis)
  • 1sudu jintan manis (disangai dan dikisar halus)
  • 6 biji telur gred A (dipukul)
  • 1 tin kecil minyak sapi (dicairkan)
  • Esen vanila *optional

Cara-cara:

  1. Pukul telur sehingga kembang.
  2. Gaul tepung, gula dan jintan manis dengan sebati.
  3. Campur telur dan minyak sapi. Uli secara erselang-seli dengan tepung. Uli sebati.
  4. Perap selama 2 – 3 jam.
  5. Uli doh sedikit demi sedikit minyak sapi sehingga kurang melekat di tangan dan terbentuk elok.
  6. Gorengkan.
  7. Sedia untuk dihidang.

#8 Kuih Peneram

Imej via Facebook

Kuih peneram – jenis kuih yang tidak perlu lagi kami perkenalkan. Kuih ini boleh juga disediakan untuk anda nikmati pada waktu petang. Resepi ini dikongsikan oleh Nor Hayani Ismail di laman Facebook

Bahan-bahan:

  • 2 cawan gula merah
  • 4 cawan tepung beras
  • 1 cawan air

Cara-cara:

  1. Masak gula merah dengan secawan air hingga gula hancur.
  2. Tapis dan biarkan suam.
  3. Kemudian, gaul dengan tepung beras.
  4. Simpan beberapa jam sehingga tepung kembang.
  5. Gaul lagi adunan dan jika adunan keras, tambahkan air.
  6. Bentukkan adunan dengan acuan atau kuih dan boleh goreng.
  7. Pastikan minyak menenggelami adunan kuih.

#9 Kuih Gegatas

Imej via Facebook

Bagi yang tidak pernah terdengar namanya, kuih gegatas merupakan kuih tradisional masyarakat Banjar. Cara penyediaannya cukup mudah dan bahannya juga ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Nadia Ismail di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • ½ biji kelapa parut
  • 2 cawan tepung pulut
  • 2 senduk tepung gandum
  • 1 sudu kecil garam
  • Air secukupnya
  • Gula

Cara-cara:

  1. Campurkan kelapa parut, tepung pulut, tepung gandum dan garam dalam satu bekas.
  2. Kemudian uli adunan dengan air hingga adunan tak melekat pada tangan.
  3. Kemudian, bentukkan menjadi adunan.
  4. Goreng kuih dengan menggunakan api sederhana sehingga kekuningan.
  5. Sedia untuk dihidang.

#10 Kuih Koci

kuih koci
Imej via Facebook

Kuih koci merupakan kuih yang dibuat menggunakan tepung pulut dan berintikan kelapa dan gula melaka di dalamnya. Proses menyediakannya juga mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Norhidayu Abdul Majid di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ½ cawan tepung pulut
  • ½ cawan tepung pulut hitam
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 1 cawan air

Bahan inti:

  • 1 biji kelapa
  • 1 cawan gula melaka
  • 1 cawan air
  • 2 sudu besar gula pasir

Bahan santan:

  • 2 cawan santan
  • 3 sudu besar tepung beras
  • 1 helai daun pandan
  • 1 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Untuk bahan kuih koci, satukan semua bahan dan bancuhkan dengan air. Masukkan air sedikit demi sedikit untuk melihat tahap kelembutan yang diingini.
  2. Untuk inti, kacau semua bahan hingga agak kering.
  3. Setelah kering, masukkan tepung jagung dan kacau sehingga inti kering.
  4. Untuk santan, campurkan semua bahan dan kacau atas api hingga pekat. Padamkan api.
  5. Ambil adunan saiz seperti guli dan lebihkan sedikit.
  6. Leperkan dan boleh masukkan inti, kemudian bulatkan. Buat sehingga adunan habis.
  7. Didihkan air dan masukkan kuih tadi dan biarkan ia timbul.
  8. Setelah masak, angkat dan masukkan dalam santan yang dimasak tadi.
  9. Ambil daun pisang dan letkan sedikit minyak. Bungkuskan kuih koci tadi.
  10. Kukuskan selama 5 minit.
  11. Sedia untuk dihidang.

#11 Tepung Kapur

kuih tepung kapur
Imej via Facebook

Kuih tepung kapur ini merupakan kuih-muih tradisional Terengganu. Tak perlu susah-susah ke sana, anda juga boleh buat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Achik Ita Jsd Kelantan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 cawan air
  • ½ keping manisan (keping besar & tebal) atau 1 cawan gula melaka
  • Sesudu kapur makan
  • Garam secukup rasa
  • Kelapa parut

Cara-cara:

  1. Masakkan manisan/ gula melaka dengan air hingga cair. Sejukkan.
  2. Masukkan air manisan/ air gula melaka ke dalam tepung gandum. Masukkan sedikit-sedikit. Pastikan adunannya tidak cair sangat dan tidak pekat dan likat.
  3. Masukkan sekali kapur makan yang dibancuh dengan sikit air dan masukkan garam.
  4. Tapiskan dalam loyang yang telah digris dengan minyak atau mentega.
  5. Kukus dalam masa 30 – 45 minit.
  6. Apabila masak, sejuk dan potong kuih mengikut citarasa.
  7. Gaulkan bersama kelapa parut dengan garam sikit.
  8. Kemudian gaulkan kuih yang dah dipotong tadi dengan kelapa parut.
  9. Sedia untuk dihidang.

#12 Kuih Beka

kuih-muih
Imej via Facebook

Kuih beka ini pula merupakan kuih tradisi orang Penang. Tak perlu jauh-jauh ke Penang, anda juga boleh mencuba resepinya sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Normah Bahari di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Untuk bahagian berwarna cokklat (Bahan A):

  • 250 g tepong beras
  • 125 g gula merah
  • 50 g gula pasir
  • 3 cawan santan pekat
  • 3 cawan air

Bahan untuk bahagian berwara putih (Bahan B):

  • 125 g tepung beras
  • 2 cawan santan pekat
  • 1 cawan air
  • 1 sudu garam
  • Daun pisang
  • Lidi sate

Cara-cara:

  1. Kisar bahan A dan bahan B secara berasingan.
  2. Masak dalam periuk berasingan untuk bahan A dan bahan B hingga pekat.
  3. Letakkan di atas daun pisang.
  4. Bungkus dan cucukkan dengan lidi di hujungnya.
  5. Bakar.
  6. Sedia untuk dihidang

#13 Butir Nangka

butir nangka
Imej via Facebook

Butir nangka merupakan kuah tradisi orang Pantai Timur, khusunya negeri Kelantan. Ianya mudah disediakan, jadi anda harus cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Kak MJ di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan-bahan doh:

  • 3 cawan tepung pulut
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1½ cawan air
  • Pewarna
  • Air untuk merebus
  • Sedikit garam
  • 2 helai daun pandan

Bahan-bahan kuah:

  • 1 kotak santan
  • Air secukupnya
  • Sehelai daun pandan
  • 1 cawan gula
  • 1 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Uli tepung pulut, tepung gandum & air sampai jadi doh.
  2.  Asingkan dan warnakan. Kemudian bentukkan saiz butir nangka kecil2.
  3. Panaskan air di dalam periuk, letak daun pandan dan sedikit garam.
  4. Bila air menggelegak masukkan butir nangka satu per satu.
  5. Bila timbul, angkat dan masukkan dlm air sejuk/ air ais.
  6. Di dalam periuk, masukkan air, gula, daun pandan & garam. Sukatan air mengikut kuah yg anda mahu.
  7. Masak air sehingga menggelegak dan gula hancur. Kemudian kecilkan api.
  8. Masukkan santan dan kacau rata.
  9. Kemudian masukkan butir nangka. Renehkan dgn api perlahan.
  10. Kacau sekali sekala.
  11. Sedia untuk dihidang.

#14 Bengkang Tumis

kuih-muih
Imej via Facebook

Satu lagi resepi kuih-muih tradisional Melayu yang boleh anda cuba dan penuh nostalgia ialah kuih bengkang tumis. Resepi ini dikongsikan oleh Sharina Bidin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 1 cawan gula
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan jus pandan (kisar 5 helai daun pandan dengan 1 cawan air)
  • 1 kotak kecil santan
  • 2 sudu besar mentega
  • 3 biji telur
  • ½ sudu kecil garam
  • 1 ½  cawan air

Bahan B:

  • 4-5 ulas bawang merah (dihiris nipis)
  • 2 sudu besar minyak masak untuk menumis

Cara-cara:

  1. Campurkan semua bahan A dan kisar sebati.
  2. Masukkan 2 sudu besar minyak masak dan tumis bawang hingga kekuningan (jangan terlampau layu).
  3. Tuagkan bawang yang ditumis ke dalam loyang dan masukkan bahan kisar.
  4. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180°C selama 1 jam 15 minit (bergantung kepada ketuhar).
  5. Tunggu sejuk, kemudian potongkan.
  6. Sedia untuk dihidang.

#15 Dangai

kuih-muih - danagi
Imej via Facebook

Kuih dangai merupakan antara kuih tradisional yang popular di negeri-negeri Utara seperti Kedah dan Pulau Pinang. Resepi ini dikongsikan oleh Ruzana Ramli di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung pulut
  • 3 cawan kelapa parut putih
  • ½ cawan gula
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Satukan semua bahan yang dinyatakan.
  2. Bakar sehingga masak.
  3. Sedia untuk dihidang.

#16 Kuih Koleh Kacang

kuih-muih
Imej via Facebook

Kuih Koleh Kacang merupakan kuih tradisional yang terkenal di negeri Johor dan Terengganu. Resepinya juga tidak terlalu rumit untuk dicuba! Resepi ini dikongsikan oleh Salwanie Apitz di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 1 cawan gula merah
  • 1 cawan air
  • 2 sudu besar gula halus
  • 1 helai daun pandan

Bahan B:

  • 1 cawan tepung kacang hijau
  • 1 sudu kecil garam
  • 2 cawan santan
  • ½ cawan air

Bahan tahi minyak:

  • 2 cawan santan pekat
  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Untuk membuat tahi minyak, masak bahan-ahannya dengan api perlahan sehingga menjadi tahi minyak dan warna kekuningan.
  2. Tapis supaya tahi minyak tidak hitam. Minyaknya jangan dibuang kerana ianya akan digunakan dalam adunan supaya berkilat.
  3. Masak bahan A sehingga gula larut. Sejukkan dan tapis (pastikan air gula tidak pekat).
  4. Satukan bahan B, kacau hingga rata dan sebati dan tapiskan ke dalam kuali (gunakan bekas kuali tahi minyak tadi.
  5. Masukkan bahan A ke dlm bancuhan B, kacau di atas api sederhan (tuangkan 2 sudu besar minyak tahi minyak supaya berkilat).
  6. Kacau adunan supaya tidak bergentel dan melekat di dalam kuali.
  7. Setelah masak, tuangkan ke dalam loyang yang telah disapu minyak.
  8. Tabur tahi minyak ketika adunan masih panas.
  9. Sedia untuk dihidang.

#17 Kuih Beko Nyor

Imej via Facebook

Kuih beko nyor ini juga dikenali dengan nama kuih bingka kelapa. Ianya sangat popular di negeri Kelantan, namun anda juga boleh cuba di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Finas Osman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan kelapa parut
  • 1 cawan tepung pulut
  • 2 sudu makan gula (boleh tambah mengikut kemanisan)
  • 1 cubit garam
  • Air untuk menguli

Cara-cara:

  1. Gaul semua bahan hingga sebati. Pastikan adunan tidak terlalu pekat atau cair.
  2. Masukkan ke dalam bekas.
  3. Bakar selama 30 minit menggunakan api atas bawah pada suhu 180°C.
  4. Sedia untuk dihidang.

#18 Kuih Gunting

Imej via Facebook

Ada banyak kuih-muih yang legend, dan salah satunya ialah kuih gunting. Jika anda rindukan kuih ini, cubalah buat sendiri di rumah! Resepi ini dikongsikan oleh Norzaiha Razali di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu rempah kari
  • Daun kari (dihiris halus)
  • 1 sudu marjerin (dipanaskan dengan sedikit minyak)
  • 1 biji telur
  • Garam secukupnya
  • Air sejuk (dari peti sejuk)

Cara-cara:

  1. Uli semua bahan dengan air sejuk sehingga sebati.
  2. Letak air sedikit demi sedikit supaya doh tidak lembik.
  3. Guntingkan dan goreng menggunakan api kecil.
  4. Sedia untuk dihidang.

#19 Kuih Pena

kuih-muih
Imej via Facebook

Kuih pena merupakan kuih tradisi orang Pahang, khususnya di Chenor. Tak perlu susah-susah ke sana, anda juga boleh mencuba resepinya. Resepi ini dikongsikan oleh Hanizanor Binti Mohamed di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Daun pisang (dilayur atas api)

Bahan bahagian hijau:

  • Kelapa
  • Daun pandan
  • 2½ cawan air
  • 2 cawan santan
  • 2 cawan tepung gandum
  • Sedikit pewarna hijau
  • 1 biji telur
  • 3 sudu besar gula
  • Sedikit garam

Bahan tepung pulut / bahagian putih:

  • 1 cawan tepung pulut
  • 1 sudu tepung gandum

Cara-cara:

  1. Kisarkan kelapa dengan daun pandan dan air.
  2. Campurkan santan tadi dengan tepung, gula dan garam.
  3. Kacau sehngga gula larut.
  4. Masukkan sedikit pewarna hijau dan kacau.
  5. Tapis jika adunan mnjadi pekat atau tambahkan air.
  6. Untuk tepung pulut, campur sedikit tepung gandum dengan tepung pulut.
  7. Uli sehingga menjadi doh.
  8. Letakkan daun pisang yang dilayur atas api di atas loyang.
  9. Sapukan minyak pada daun pisang.
  10. Potong doh tepung pulut menjadi bulat dan letkkan di atas loyang. Bentukkan menjadi binjang.
  11. Tuangkan adunan bahagian hijau pada daun pisang (pastikan tidak menenggelami doh tepung pulut).
  12. Panaskan pengukus hingga air mendidih.
  13. Kukus selama 10 – 15 minit atau sehingga masak.
  14. Sedia untuk dihidang.

#20 Tepung Bungkus

Imej via Facebook

Tepung bungkus merupakan sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung, berintikan kelapa dan dibungkus dengan daun pisang. Resepi ini dikongsikan oleh Intan Cahaya Rieqal.

Bahan-bahan:

  • 1 biji kelapa parut putih
  • 1 ketul gula melaka / 1 cawan gula merah
  • ¼ cawan air
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 1 helai daun pandan (disimpul)
  • Daun pisang (dilayur)

Bahan Tepung Bungkus

  • 3 ½ cawan santan pekat
  • 2 cawan tepung beras
  • 1 sudu kecil garam
  • ½ cawan air

Cara-cara:

  1. Masak gula, air dan daun pandan sampai gula larut dan sedikit pekat.
  2. Masukkan kelapa dan gaul hingga sebati.
  3. Tambahkan tepung dan gaul rata.
  4. Setelah sejuk, bulat-bulatkan seperti biji guli. Ketepikan dan simpan lebihan inti.
  5. Satukan semua bahan tepung bungkus dan kacakan dahulu sebelum buka api.
  6. Kemudian, masak dengan api sederhana sampai tepung likat dan nampak sedikit berketul.
  7. Pastikan sentiasa kacau dan matikan api.
  8. Layurkan daun pisang yang dah disapu dengan minyak.
  9. Ambil 2 sudu adunan tepung bungkus dan letak ditengah-tengah daun pisang.
  10. Ambil 2 inti kelapa yang dah dibulatkan tadi dan letak di atas adunan. Tutup sedikit dengan tepung tadi.
  11. Anda juga boleh bungkus inti kelapa dengan adunan tepung pulut.
  12. Setelah siap dilipat, kukus kuih selama 15 minit.
  13. Setelah ianya sejuk, sedia untuk dihidang.

#21 Kuih Tahi Itik

Imej via Facebook

Nama kuih ini memang unik. Kuih tahi itik ini berasal dari kelantan dan ianaya merupakan sejenis kuih tradisional. Resepi ini dikongsikan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 10 biji putih telur
  • 500 ml santan
  • 400 g gula pasir (boleh kurangkan kalau nak kurang manis)
  • 100 g tepung pulut
  • 150 g tepung beras
  • Sehelai daun pandan (dicarik)
  • Sedikit esen vanila

Cara-cara:

  1. Campurkan semua bahan dan kacau atas api sehingga masak dan nampak sedikit berkilat. Biarkan sejuk.
  2. Bulatkan atau boleh dibentuk mengikut kesukaan sendiri.
  3. Sedia untuk dihidang.

#22 Cucur Jawa

cucur jawa
Imej via Facebook

Cucur jawa merupakan kuih-muih tradisi yang sesuai dinikmati untuk sarapan. Ianya juga mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh HAmidah HA di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung gandum (Cap Bunga Ros)
  • 1 cawan tepung beras (Cap Teratai)
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 1/4 cawan gula merah
  • 1 cawan air
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Masak gula merah, gula pasir, garam dgn air ke dalam periuk sehingga semuanya larut dan mendidih. Matikan api dan sejukkan.
  2. Masukkan tepung gandum dan tepung beras ke dalam satu bekas.
  3. Tapis air gula tadi di dalam bekas tepung dan gaul rata.
  4. Perap semalaman di dalam bekas bertutup di dalam peti sejuk.
  5. Keluarkan 1 jam lebih awal sebelum proses menggoreng.
  6. Goreng satu per satu (seperti goreng Roti Puri).
  7. Sedia untuk dihidang.

#23 Kuih Kayu Keramat

kuih kayu keramat
Imej via Facebook

Kuih kayu keramat ini merupakan kuih-muih tradisional Terengganu. Rupanya seperti roti, namun ianya bersaiz kecil sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh NorAzma Majid di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 500 g tepung gandum
  • 1 atau 2 sudu kecil soda bikarbonat
  • 1 sudu kecil yis
  • 6 sudu besar gula pasir
  • 1 sudu besar marjerin
  • 230 ml air (boleh lebihkan)

Cara-cara:

  1. Uli semua bahan dan masukkan ke dalam peti ais semalaman supaya adunan naik.
  2. Gorengkan dan sedia untuk dihidang.

#24 Kuih Limas

kuih limas
Imej via Facebook

Kuih limas ini merupakan kuih tradisional Perak. Kelihatan sama dengan tepung pelita, namun kuih ini menggunakan tepung gandum sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh Noriza Jaja di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Lapisan Bawah:

  • 2 cawan santan cair
  • 1 ½ cawan jus air pandan
  • 4 sudu besar gula pasir
  • 1  ¼cawan tepung gandum tambah 1 sudu besar tpg lagi.(ni ngam2 cantik)
  • sedikit pewarna hijau

Lapisan Atas:

  • 2 ½ cawan santan pekat
  • ¾ cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh garam

Bahan lain:

  • Kelongsong daun pisang / bekas plastik
  • Gula secukupnya

Cara-cara:

  1. Campurkan semua bahan Lapisan Bawah dan kacau sebati kemudian tapiskan.
  2.  Campurkan semua bahan Lapisan Atas dan kacau rata.
  3. Jika santan agak pekat, kurangkan sukatan santan kepada ½ cawan. Tapiskan dan ketepikan.
  4. Panaskan kukusan, susun kelongsong dan isikan 1 sudu besar gula.
  5. Bila air sudah mendidih, masukkan lapisan bawah dan kukus selama 12 minit menggunakan api sederhana.
  6. Setelah masak, sejukkan sebentar supaya tidak bercampur dengan lapisan atas.
  7. Setelah sejuk, perlahan-lahan tuangkan lapisan atas dan kukus selama 10-12 minit menggunakan api sederhana.
  8. Setelah masak, tutup api.
  9. Siap dihidang ketika suam atau pun boleh disejukkan di dalam peti ais.

#25 Kuih Bangkit

kuih bangkit
Imej via Facebook

Nama kuih ini sudah tidak perlu kami perkenalkan lagi. Kuih bangkit merupakan antara kuih tradisional yang paling popular. Resepi ini dikongsikan oleh Zura Abu Bakar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 cawan rata tepung ubi kayu
  • ½ cawan tepung gandum
  • 1 cawan atau lebih pati santan dari sebiji kelapa (jangan campur air) / santan kotak
  • 1 cawan rata gula aising (untuk manis sederhana), atau gula halus / gula kisar (manis biasa)
  • 2 biji kuning telur gred B
  • Sehelai daun pandan (disiat & disimpul)

Cara-cara:

  1. Campur kedua-dua jenis tepung bersama daun pandan.
  2. Goreng tanpa minyak (sangrai) dalam kuali hingga ringan. Kemudian, ayak dan sejukkan.
  3. Masukkan gula ke dalam mangkuk. Campurkan telur dan dikacau hingga sebati & kembang.
  4. Masukkan tepung, santan sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh sehingga tidak melekat ditangan.
  5. Ambil seketul doh, gelek dengan penggelek dan tekap menggunakan acuan mengikut bentuk kesukaan anda.
  6. Panaskan oven.
  7. Bakar dalam oven menggunakan suhu 160°C selama 30 minit atau hingga masak. Ikut kepanasan oven masing-masing..
  8. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi kuih-muih tradisional Melayu, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi menarik yang lain. Jangan lupa untuk memberi komen dan berkongsi dengan rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.