Pokok pisang merupakan sejenis tumbuhan tropika yang tidak bermusim dan ditanam secara komersil di Malaysia. Buahnya boleh dimakan mentah, digoreng, dibuat kuih atau dijadikan gulai. Namun, pisang goreng paling mendapat sambutan.

Selain pisang goreng, pisang goreng keju atau lebih glamor dipanggil pisang goreng cheese adalah lebih digemari pada masa kini. Ia merupakan hidangan yang berasaskan pisang dan keju. Secara tradisinya pisang goreng dimasak menggunakan adunan tepung rangup sahaja.

#Sejarah Pisang Goreng

Pisang goreng sebenarnya diperkenalkan oleh bangsa Portugis yang telah menjadikannya sebagai menu sarapan ketika mereka berada di Asia Tenggara pada tahun 1511. Bancuhan tepung digunakan bagi menggoreng pisang yang telah dikupas kulitnya. Hidangan ini telah pun tersebar secara meluas dan telah diadaptasi oleh masyarakat Nusantara yang kemudiannya meluaskan hidangan ini ke negara Indonesia.

Pisang Goreng

Imej via azhan

Pisang goreng yang dicelup dengan bancuhan tepung akan digoreng dalam minyak yang panas. Ia bukan sahaja begitu terkenal di Indonesia, malah cukup popular di kalangan masyarakat Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan juga Filipina. Namun di Indonesia pisangnya digoreng tanpa mencelup ke dalam bancuhan tepung dan digoreng terus begitu sahaja.

Ia sering dijadikan sebagai hidangan minum pagi atau minum petang. Biasanya pisang goreng ini dijual di gerai – gerai jalanan dan boleh didapati pada waktu petang. Selain dapat memenuhi keinginan peminat pisang goreng cheese, fenomena pisang goreng cheese ini telah membuka banyak peluang – peluang perniagaan terutamanya bagi generasi muda. Sekurang – kurangnya ia dapat menambah pendapatan seseorang.

#Jenis – Jenis Pisang

Jenis pisang yang digunakan untuk digoreng adalah pisang raja, pisang abu atau pisang tanduk. Ini antara pisang yang begitu popular dan sangat enak apabila digoreng. Adunan tepung yang digunakan untuk menggoreng pula terdiri dari campuran tepung gandum, tepung beras, tepung ubi, santan atau susu sebagai penambah perisa dan aroma.

Pada mulanya, pisang goreng hanya dimakan begitu sahaja. Namun, pada hari ini ia telah dipelbagaikan dengan tambahan perisa untuk menikmatinya. Bagi penggemar pisang goreng, anda boleh menikmati pelbagai perisa baru yang ditonjolkan seperti pisang goreng cheese, pisang goreng coklat, pisang goreng susu dan sebagainya.

Pisang

Imej via idntimes

Di Indonesia, pisang goreng dikenali dengan nama yang berlainan walaupun makanannya adalah sama. Walaubagaimanapun, bahan – bahan yang digunakan dan cara menggorengnya sedikit berbeza. Jika anda di Bali, pisang goreng dikenali dengan nama godoh biu, di Jawa Barat pula dikenali sebagai cau goreng, manakala di Jawa ia dikenali dengan gedhang goreng dan di Sibola pula dikenali dengan pisang rakit manakala di Pontianak pisang kipas.

Jika anda di Sabah, pisang goreng juga digelar sebagai sanggar. Malah, ada yang mengatakan pisang goreng cheese sebenarnya berasal dari Sabah. Walau dari mana pun asal usul pisang goreng cheese ini, ternyata ia telah berjaya menambat hati ramai orang terutama bagi penggemar – penggemar keju.

#Cara Menyediakan Pisang Goreng Cheese

Bahan – bahan yang digunakan untuk membuat pisang goreng cheese adalah seperti pisang yang boleh digoreng seperti pisang raja, pisang tanduk, pisang abu dan sebagainya. 2 sudu besar tepung beras, 3 sudu besar tepung gandum, 1 sudu marjerin, 1 cawan air dan sedikit garam dan kunyit.

Kesemua bahan kecuali pisang disatukan dalam bekas dan digaul mesra. Bancuhan mestilah tidak terlalu pekat mahupun cair. Namun, sekiranya bancuhan agak cair, sedikit tepung perlu ditambahkan ke dalam bancuhan. Tetapi jika terlalu pekat, maka sedikit air perlu ditambahkan.

Pisang

Imej via lydsunshine

Pisang perlu dibelah dua terlebih dahulu sebelum digoreng. Ia kemudiannya dicelupkan ke dalam adunan tepung dan digoreng dalam minyak panas.

Ia hendaklah digoreng sehingga adunan tepung kelihatan garing serta berwarna keemasan. Pastikan pisang tidak digoreng terlalu lama bagi mengelakkan adunan tepung yang menyaluti pisang terlalu kering. Selepas diangkat dan ditoskan, pisang goreng tersebut perlu disejukkan terlebih dahulu.

Pisang goreng yang sudah disejukkan boleh ditambah dengan parutan keju supaya menjadi pisang goreng cheese. Bahan yang digunakan adalah susu pekat dan keju yang diparut halus. Sirami pisang goreng dengan susu pekat terlebih dahulu. Kemudian, parutan keju ditaburkan

#Keju Australia Lebih Sedap

Bagi anda yang gemarkan coklat, ia juga boleh disirami di atas pisang goreng dan kemudiannya ditaburi dengan parutan keju. Bagi menghasilkan pisang goreng cheese yang enak, pisang yang digunakan seharusnya sudah masak. Namun, sebaiknya pisang tidak terlampau ranum dan lembik kerana akan menyebabkan pisang yang digoreng menyerap minyak berlebihan.

Ini akan memberikan rasa yang kurang enak kerana pisang tersebut akan menjadi terlalu berminyak. Malah, penggunaan keju diatas pisang tersebut akan memberi rasa mual bagi yang memakannya.

Pisang Goreng Cheese

Imej via anissdairy

Keju yang terbaik untuk dijadikan sebagai parutan di atas pisang goreng adalah keju yang berasal dari Australia. Ia lebih memberi kepuasan sewaktu anda menikmatinya berbanding menggunakan keju dari Perancis mahupun Switzerland.

Namun, keju yang berada di pasaran juga boleh digunakan bagi menghasilkan pisang goreng cheese ini. Ia juga tidak kurang hebat rasanya namun jika anda inginkan rasa yang lebih umph, keju import dari Australia adalah yang terbaik.

Pisang Goreng Cheese

Imej via thehalalfoodblog

#Kesimpulan

Pisang goreng sering dianggap makanan murahan dan sering dikaitkan dengan golongan berpendapatan rendah. Namun, pisang goreng yang telah mengalami pelbagai inovasi ini menjadi makanan di waktu petang hampir setiap masyarakat. Ia bukan sahaja digemari oleh masyarakat Melayu, namun digemari oleh kaum Cina dan India yang sering menjadikannya sebagai kudapan di waktu petang.

Tambahan pula pisang goreng cheese yang semakin viral dan popular ini menjadi kegilaan anak muda masa kini. Ia kerana rasanya yang begitu unik dan berbeza sangat menepati citarasa generasi baru. Harga pasaran pisang goreng cheese juga sangat berpatutan dan sangat mampu dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat pada hari ini.

Pisang goreng cheese ini bukanlah hidangan biasa – biasa kerana selain kaya dengan pelbagai sumber seperti vitamin C, protein, kalium dan sebagainya, ia sangat berkhasiat untuk tubuh badan kita. Walaubagaimanapun, ia perlu diambil secara sederhana kerana kandungan lemak karbohidratnya yang agak tinggi.

Sekiranya dimakan secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kenaikan berat badan, serangan jantung, strok, kolestrol dan lain – lain. Biarpun pisang goreng cheese ini memang enak dimakan di waktu petang, namun kandungan karbohidrat yang tinggi tidak sesuai bagi mereka yang sedang berada dalam fasa menurunkan berat badan.

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.