Bagi anda yang bercadang untuk bercuti ke Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai hidangan tradisi masyarakat Terengganu. Banyak hidangan tradisi yang masih kekal hingga ke hari. Ia bukan sahaja menjadi hidangan utama masyarakat Terengganu, malah menjadi kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia.
Terdapat beberapa makanan hampir sama dengan makanan di negeri Kelantan, namun sudah pasti ianya memiliki perbezaan dan keunikan yang tersendiri. Walaupun ia mungkin sama, namun tetap berbeza.
Sekiranya anda berada di negeri Terengganu Darul Iman ini, pastikan anda merasai hidangan yang tersenarai di bawah ini. Rugi rasanya jika anda tidak menikmati pelbagai hidangan yang sedap di negeri Terengganu.
Negeri Terengganu turut terkenal dengan makanan tradisinya yang terdiri dari Nasi Dagang. Secara tradisinya, nasi ini dibungkus dalam daun pisang yang berbentuk seperi kon an diikat menggunakan lidi.
Nasi dagang Terengganu berwarna putih dan menggunakan beras khas. Ia dicampurkan dengan halba supaya lebih wangi dan sedap.
Ikan aya @ tongkol digunakan bagi menyediakan gulai ikan untuk dimakan bersama. Nasi dagang ini turut dimakan bersama acar yang terdiri dari timun, lobak merah, bawang, cuka serta garam dan gula. Hidangan ini juga turut dimakan bersama sambal cili bagi membangkitkan selera.
Menu pagi yang juga menjadi pilihan ramai adalah nasi kapit sambal. Ia sering di makan semasa minum pagi.
Hidangan ini merupakan nasi himpit yang dimakan bersama sambal ikan, sambal kelapa ataupun sambal nyior.
Seperti di negeri – negeri lain, Terengganu turut memiliki menu laksa yang tersendiri. Ia turut dikenali dengan nama laksat Terengganu.
Terdapat dua jenis kuah laksa yang berbeza iaitu laksa kuih putih dan juga kuah merah. Kuah merah lebih pedas dan berempah, manakala kuah putih pula terasa lebih lemak dengan isi ikan yang begitu banyak. Isi ikan ini juga menjadikan kuah laksa terasa lebih manis.
Ketupat sotong merupakan sotong yang disumbat dengan pulut. Kemudian, ia dimasak bersama santan pekat.
Sebelum pulut diisi ke dalam sotong, ia akan dimasak bersama santan terlebih dahulu. Ia kemudian dimasak pula bersama santan pekat yang dicampur bersama halba dan juga gula Melaka.
Hidangan ini sering dijadikan makanan ringan di waktu petang atau ketika majlis – majlis tertentu.
Keropok lekor sememangnya tidak asing lagi. Ia menjadi kegemaran ramai, dan peminat keropok lekor tidak mengira usia. Keenakan keropok lekor terletak kepada jumlah isi ikan yang digunakan, jika banyak isi ikan yang dicampur maka lebih enak dan lembut keropok lekor tersebut.
Keropok lekor dijual di serata pelosok negeri Terengganu. Ini kerana sumber ikan yang mudah diperolehi kerana kaya dengan sumber ikan.
Kuih Beronok ini merupakan kuih sagu yang merupakan kuih tradisional Melayu. Ia diperbuat daripada sagu biji atau juga dikenali sebagai sagu mata ikan.
Kuih Beronok ini akan digaul bersama kelapa parut yan dicampurkan dengan sedikit garam. Ia cukup enak dimakan ketika minum petang ataupun semasa sarapan pagi. Kuih ini sedikit lembik namun cukup memuaskan hati ketika menikmatinya.
Jika diamati kuih ini, ia kelihatan seperti kuih cakoi yang anda boleh jumpai di mana sahaja. Namun, jangan tersilap kerana jika anda melihatnya di negeri Terengganu, ia bukanlah kuih cakoi seperti yang anda sangka.
Kuih ini diberi nama Kayu Keramat. Ia menyerupai kuih cakoi, namun rasanya sedikit berbeza. Kuih Kayu Keramat ini rasanya lemak dan manis. Ia boleh dimakan bersama kopi o atau pun teh o.
Biasanya hidangan ini sering dimakan semasa sarapan pagi. Anda boleh mendapatkannya di warung sekitar negeri Terengganu.
Apa bezanya pulut panggang dan juga pulut lepa ? Anda mungkin mengatakan ianya adalah sama, namun ternyata tidak benar.
Pulut lepa sebenarnya berintikan isi ikan, namun tetap dipanggang di atas api. Intinya terdiri dari isi ikan, bawang, cili kering dan juga kelapa. Campuran ini akan dimasak sehingga kering dan dijadikan sebagai inti di dalam pulut.
Ia kemudiannya dipanggang di atas api sehingga pulut benar – benar masak.
Masyarakat Terengganu sememangnya kreatif dalam bidang masakan. Memandangkan stok ikan yang mudah didapati di negeri ini, maka banyak hidangan yang menggunakan ikan terhasil untuk dipasarkan.
Satar antara makanan ringan yang diperbuat dari isi ikan. Ia merupakan masakan istimewa Terengganu.
Ia terdiri dari campuran ikan tumbuk, cili serta halia dan dibungkus dalam daun pisang berbentuk 3 piramid. Setiap satar akan dicucuk seperti sate gergasi dengan batang buluh dan dipanggang atas bara api.
Ia boleh dimakan bersama nasi atau juga boleh dimakan begitu sahaja.
Puteri Mandi merupakan kuih tradisional negeri Terengganu. Ia kelihatan sama seperti onde – onde, tetapi berbeza dari segi penyediaannya.
Rasa kuih ini agak manis dan sering dijadikan hidangan pada waktu petang. Terdapat dua versi kuih ini iaitu salah satunya berwarna putih dan digaul bersama kelapa parut muda. Manakala versi lain pula menggunakan kelapa parut tua yang dicampur dengan gula Melaka.
Kuih ini biasa didapati menjelang bulan Ramadhan dan dijadikan hidangan sampingan semasa berbuka puasa.
Kuih Nekbat ini kelihatan menyelerakan. Ia merupakan pencuci mulut tradisi Terengganu yang diperbuat dari beras dan telur.
Kuih ini cukup popular di Terengganu dan kawasan sekitarnya. Keenakan kuih ini membuatkan ia digemari ramai.
Nganang atau juga dikenali dengan Menganang merupakan kuih yang seakan-akan kuih Akok rasanya. Namun,kuih nganang ini dimasak dalam acuan yang lebih besar.
Terdapat beberapa jenis kuih nganang seperti telur, kacang, beras dan pandan. Bagi kuih nganang yang berwarna hijau, ia lebih dikenali dengan nama Kuih Bako.
Lempeng nyior atau juga dikenali dengan lempeng kelapa ini menggunakan air kelapa muda sebagai salah satu bahan utama. Penggunaan air kelapa muda ini memberikan rasa lemak dan manis.
Sekiranya tidak mencampurkan air kelapa muda, ia juga boleh dicampurkan dengan kelapa parut sebagai penambah adunan. Ia akan memberikan rasa lemak pada lempeng tersebut.
Kuih ini diperbuat menggunakan tepung beras yang berwarna hitam. Selain warna hitam, ia juga boleh didapati dalam warna lain yang lebih menarik seperti hijau, biru dan banyak lagi.
Ia akan dibentukkan dengan bentuk bujur. Setelah ia dimasak, kuih ini akan disaluti dengan parutan kelapa muda. Kuih ini terasa manis dan lemak, menjadikan ia pemanis mulut yang sanngat digemari ramai.
#15. Bekang Kuah Manis dan Kuah Lemak
Kuih ini begitu sinonim dengan negeri Terengganu. Kebiasaannya bekang diperbuat dari ubi, namun kuih sebaliknya. Ia menggunakan tepung beras sebagai bahan utama.
Terdapat dua jenis yang berbeza iaitu kuah manis dan kuah lemak. Bagi yang berkuah lemak, kuihnya terasa seakan menggunakan isi ikan di dalamnya.
Biarpun kuih ini tidak terkenal seperti keropok lekor, namun ia sememangnya asli dari negeri Terengganu.
Negeri Terengganu juga terkenal dengan hidangan otak – otak yang kebanyakannya dihasilkan di perkampungan nelayan sekitar Terengganu. Ia banyak terdapat di sekitar Besut hingga Kemaman.
Otak – otak ini merupakan isi ikan yang digaul bersama rempah ratus istimewa, rasanya pedas dan dibalut menggunakan daun kelapa. Kemudian, ia dibakar sehingga masak.
Tekstur otak – otak Terengganu agak berbeza dengan otak – otak di Johor mahu pun di pantai barat. Hidangan ini sangat enak dimakan ketika panas.
Rojok Kateh @ Rojak Kateh kelihatan seperti hidangan asam pedas. Kuahnya berwarna merah dan rasanya pula adalah masam serta pedas. Ia merupakan hidangan istimewa masyarakat Terengganu setiap tahun menjelang musim ibadah korban.
Kateh merupakan kaki lembu, oleh itu nama rojak kateh merupakan rojak kaki lembu. Hidangan ini menggunakan kulit, isi dan urat yang terdapat di kaki lembu sahaja. Ia dimasak bersama cili giling, nisan kerek serta bahan – bahan lain termasuklah kaki lembu dan lidah lembu.
Biarpun proses menyediakan makanan ini agak rumit, namun rasanya sangat sedap dan berbaloi untuk menyediakannya. Rojak kateh ini boleh didapati di pasar – pasar utama di sekitar negeri Terengganu.
Kuih Mas Sejemput antara kuih tradisional Melayu di negeri Terengganu. Ia mempunyai rasa yang lemak manis ini diperbuat dari kuning telur. Kuih ini dimasak dalam air gula sama seperti kuih jala mas, namun cara menyediakannya agak berbeza. Rupa kuih ini juga berlainan dari kuih jala mas.
Kuih ini berbentuk seakan tiga segi yang beropol serta berwarna kuning keemas an. Ia sering menjadi hidangan semasa hari – hari istimewa seperti semasa majlis pertunangan, perkahwinan dan sebagainya.
Kuih Loklik ini mungkin ramai yang tidak mengetahuinya. Ia merupakan kuih tradisional masyarakat Terengganu.
Bentuk dan rupa kuih ini agak kurang menarik, namun rasanya yang lemak dan sedikit manis menjadikan ia kuih yang sangat digemari oleh orang tempatan.
Kuih ini menggunakan nasi dingin yang kemudiannya dijemur sehinga kering. Ia kemudiannya digoreng tanpa minyak sebelum ditumbuk halus.
Terdapat campuran bahan lain seperti kelapa dan gula kabung bagi melengkapkan rasa kuih ini.
Paung goreng ini antara kuih tradisi Terengganu yang masih mendapat permintaan ramai. Kuih ini seakan kuih bom dan berbentuk bulat, namun intinya sangat berbeza. Inti paung goreng ini merupakan serunding ikan dan bukannya inti kelapa.
Perbezaan lain kuih ini adalah di bahagian luar kuih tidak disaluti bijan. Bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan kuih ini terdiri dari tepung gandum dan juga tepung pulut. Serunding ikan pula boleh disediakan mengikut citarasa anda.
Kuih ini digoreng seperti kuih bom dan rasanya cukup menyelerakan.
Bubur Asyura ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan. Ia biasanya dibuat pada tanggal 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura. Ia juga dikenali sebagai sugha.
Bubur Asyura yang dimasak perlu menggunakan 10 jenis bahan. Sekiranya bahan – bahan yang digunakan adalah lebih atau kurang, maka bubur tersebut tidak dipanggil sebagai Bubur Asyura.
Setiap negeri, terutama negeri-negeri di semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Begitu juga dengan negeri Terengganu, yang mempunyai cara yang berbeza untuk membuat Bubur Asyura.
Bubur Asyura di negeri Terengganu mempunyai rasa rempah, dicampur pula dengan hirisan daging, kekacang, ubi dan bermacam lagi. Bubur ini berwarna gelap seakan warna hitam dan ia agak kental seakan puding. Rasanya yang lemak, manis serta berempah sangat enak dinikmati.
Kuih ini dikenali sebagai Encik Abas Demam kononnya adalah gurauan kepada seseorang yang bernama Abas, berasal dari Sarawak. Beliau tinggal menetap di Kampung Maras.
Ketika satu majlis kenduri makan laksa diadakan di kampung tersebut, Encik Abas telah demam. Isteri Encik Abas telah menasihatnya untuk tidak memakan laksa dengan alasan masih dalam keadaan demam. Baginya, memakan laksa boleh menyebabkan badan orang yang demam akan bertambah sakit.
Untuk tidak mengecewakan perasaan Encik Abas yang sedang demam, maka isterinya telah memasak sagu bagi menggantikan laksa untuk dimakan bersama kuah laksa. Apabila mee laksa telah habis, maka orang-orang kampung yang datang telah dihidangkan dengan sagu yang dimasak untuk Encik Abas itu. Kesedapan sagu apabila dimakan dengan kuah laksa telah menjadi bualan dan sejak hari itu kuih itu dipanggil dengan nama Encik Abas Demam.
Senarai 22 jenis makanan tradisi Terengganu ini kebanyakan sangat popular di tanahair kita. Ia juga turut menjadi kegemaran ramai masyarakat Malaysia. Namun, terdapat juga sebilangan makanan yang semakin dilupakan, malah generasi masa kini semakin tidak mengenalinya.
Biarpun semakin banyak perubahan yang berlaku di dunia ini, warisan tradisi tidak seharusnya dilupakan. Ia perlu dikekalkan dan ditonjolkan semula kepada masyarakat supaya ianya tetap dikenali biarpun zaman telah berubah.
Sukakan artikel masakan tradisional negeri ini? Kami juga menulis artikel makanan yang patut anda cuba di negeri lain. Jemput baca dan jangan lupa share.