Hari ini tidak ramai yang merasai keenakan makanan tradisi negeri Perak berikutan ia semakin dilupakan. Tambahan pula, terdapat pelbagai menu dari negara luar yang semakin mendapat tempat di hati anak – anak muda sekarang. Sebaiknya makanan tradisi orang Melayu diwarisi turun temurun agar ia tidak luput dari ingatan.

Negeri Perak memiliki pelbagai makanan tradisi yang boleh anda nikmati hingga hari ini. Jika berkunjung ke beberapa daerah sekitar negeri Perak, anda akan dapat menikmati pelbagai hidangan tradisi masyarakat setempat. Antara menu yang boleh anda cuba di negeri Perak adalah seperti yang tersenarai di sini.

#1. NASI LEMUNI

Nasi Lemuni ini berwarna hitam dan dimasak menggunakan daun lemuni yang semakin sukar didapati masa kini. Hidangan ini biasanya menjadi menu hidangan wanita selepas bersalin dan semasa dalam pantang kerana ramuannya yang turut menggunakan lada hitam sangat bersesuaian.

Nasi Lemuni

Imej via Lokalocal

Nasi Lemuni ini boleh ditemui di sekitar Kuala Kangsar dan juga Lenggong terutamanya semasa bulan Ramadhan. Ia dimasak menggunakan air serta daun lemuni yang dikisar. Rasanya sedikit pedas dan dimakan bersama serunding kelapa.

Ia juga enak dimakan bersama ikan masin yang digoreng panas. Ia juga sering dijadikan hidangan bagi wanita yang berpantang selepas bersalin.

#2. GULAI TEMPOYAK

Gulai Tempoyak sememangnya enak sekali dimakan bersama nasi putih. Hidangan ini yang juga merupakan menu tradisi masyarakat Perak turut digemari ramai. Biarpun gulai tempoyak ini juga merupakan masakan tradisi Pahang, namun cara penyediaannya adalah berbeza.

Ikan Patin Tempoyak

Imej via bidadari

Gulai tempoyak Perak menggunakan pelbagai jenis ikan seperti ikan ikan patin, ikan keli, jelawat dan kembung. Cara penyediaan serta bahan yang digunakan juga sangat mudah. Ia terdiri dari tempoyak, cili merah atau cili padi, serai, serbuk kunyit atau kunyit hidup, timun, ikan, garam dan gula.

Ikan Keli Tempoyak

Imej via aidahjune

Sekiranya tempoyak tidak cukup masam, boleh ditambah beberapa keping asam gelugur. Gulai tempoyak ini juga sering dijadikan hidangan sewaktu kenduri di kampung – kampung.

#3. GULAI KEMAHANG

Kemahang ini merupakan tumbuhan yang berasal dari keluarga keladi. Ia adalah pokok keladi liar yang boleh memberi rasa gatal jika tida proses dengan betul. Kulit tangkai keladi atau batangnya perlu dibuang terlebih dahulu sebelum dipotong sepanjang tiga inci.

Gulai Keladi Kemahang

Imej via rawangpost

Keladi kemahang ini perlu direbus terlebih dahulu, atau direndam dengan air garam, kemudian ditoskan sebelum memasak bagi mengurangkan rasa gatal. Kemahang berbunga tidak boleh diambil kerana biasanya kemahang ini adalah gatal.

Hidangan gulai kemahang ini pernah menjadi santapan salah seorang Sultan Perak yang telah mencemar duli semasa melawat salah sebuah perkampungan di Lenggong.

#4. IKAN PINDANG DAUN SENIAR 

Ikan Pindang Daun Seniar ini merupakan isi ikan yang diperap bersama ramuan, rempah ratus dan kemudiannya dibungkus dengan daun seniar. Ia kemudianya direbus selama 12 jam sehingga kering. Ikan yang dibalut, kemudian direbus lama ini bertujuan melembutkan tulang ikan.

Ikan Pindang

Imej via dkosonglapan

Penggunaan daun seniar ini mampu memberikan rasa yang sangat berbeza dan enak dimakan bersama ikan. Proses pembuatannya yang agak rumit serta mengambil masa yang lama membuatkan tidak ramai yang mahu membuatnya.

Hasil pembuatan ikan pindang daun seniar ini ternyata cukup memuaskan hati kerana rasa ikannya yang begitu enak, malah tulang ikannya yang begitu lembut boleh dimakan begitu sahaja.

#5. RENDANG TOK

Rendang Tok antara makanan tradisi Perak yang begitu terkenal. Ia juga sering menjadi antara lauk kegemaran semasa kenduri kendara atau majlis perkahwinan. Bagi masyarakat Melayu di Lembah Sungap Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Teluk Intan, menu ini bukanlah menu asing malah menjadi kegemaran ramai.

Rendang Tok

Imej via facebook

Daging yang digunakan untuk menghasilkan rendang ini dipotong berbentuk kiub dengan saiz lebih kurang 1 x 1 inci. Penyediaannya juga mengambil masa yang agak lama. Selain dijadikan lauk semasa kenduri, rendang tok ini juga turut menjadi juadah hari raya yang enak dimakan bersama lemang dan ketupat.

#6. PAIS IKAN KERAMAT

Pais Ikan Keramat (ikan bersaiz halus) ini antara hidangan popular masyarakat melayu Lenggong yang menetap berhampiran kawasan Sungai Perak. Hidangan ini biasanya disediakan oleh para nelayan semasa berada di sungai mahupun laut suatu tika dahulu. Namun, kini hidangan pais ikan Keramat ini telah menjadi lauk harian semasa sarapan pagi mahupun makan tengahari.

Ikan Pais

Imej via cahayahidupku2569

Ia sering menjadi pilihan kerana pais ikan ini tahan lama. Selain ikan, menu ini turut menggunakan belimbing buluh sebagai salah satu bahan masakan yang menjadikan ianya bertambah sedap. Masyarakat Lenggong juga turut menjadikan hidangan ini sebagai salah satu hidangan istimewa ketika majlis kenduri kecil – kecilan.

#7. DADAR TELUR IKAN LOMA

Dadar Telur Ikan Loma ini biasanya menjadi bekalan makanan para nelayan dan para petani. Ia menggunakan telur ikan sungai iaitu ikan loma yang sememangnya semakin sukar didapati pada masa kini. Hidangan ini boleh disimpan lama sehingga berminggu – minggu.

Telur Dadar Ikan Loma

Imej via facebook

Oleh sebab itu ia sangat digemari oleh para nelayan dan petani kerana tidak perlu memasaknya setiap hari. Hidangan ini juga hanya boleh ditemui di kawasan Lenggong sahaja kerana hanya masyarakat di sini yang masih menghasilkan hidangan ini.

Bahan – bahan yang digunakan juga begitu ringkas seperti telur ikan, bawang merah, kunyit hidup, cili padi, daun kesum, asam jawa dan juga garam.

#8. KEBEBE

Kebebe ini memiliki rasa masam, manis, pedas, masin dan juga kelat. Ia juga terasa seperti rojak buah kerana campuran rasa yang berbagai. Kebebe ini juga yang sesuai sebagai pembuka selera merupakan makanan tradisi masyarakat keturunan Patani yang berada di Lenggong, Perak.

Kebebe

Imej via thatsofarah

Bahan – bahan untuk menghasilkan kebebe ini juga begitu mudah kerana bahan –  bahannya boleh didapati dari sekitar kawasan rumah sahaja. Antaranya adalah kulit putik nangka, jantung pisang, nanas, putik jambu batu, cermai, belimbing buluh, buah kelempung, buah cedung, memban kelapa (isi kelapa yang masih lembut), cili padi, gula, garam dan belacan sebagai penambah perisa.

Ia akan ditumbuk sehingga separuh lumat sahaja menggunakan lesung kayu. Kebebe ini juga turut dikenali dengan nama ‘bicuk’ sering menjadi kudapan semasa majlis gotong – royong kenduri kendara.

Bagi menghilangkan bau kelapa goreng dan kesan minyak, pelbagai putik buah hutan akan dimasukkan ke dalam lesung kayu yang melekat dengan sisa kerisik tersebut. Sambil menumbuk, bersembang dan membebel, terhasil lah kebebe. Setelah selesai, ia akan dimakan beramai – ramai.

#9. LAKSA KUALA (TEPUNG GANDUM)

Laksa Kuala kelihatan seperti laksa Kedah atau laksa Penang, namun ia memiliki perbezaan serta keistimewaannya yang tersendiri. Mee laksanya diperbuat daripada tepung gandum sepenuhnya dan tidak dicampurkan dengan tepung beras.

Laksa Kuala

Imej via 3justnice

Oleh sebab itu, warnanya sedikit kekuningan berbanding laksa lain. Kuah laksanya pula sedikit cair berbanding kuah laksa lain. Biarpun kuahnya berbeza, namun kemanisan isi ikan dalam kuahnya tetap dirasai. Hidangan laksa Kuala ini dimakan bersama hirisan bawang  merah, timun, salad, cili merah dan cili padi bagi yang gemarkan pedas.

#10. DAGING MASAK HITAM

Daging Masak Hitam ini merupakan hidangan turun temurun masyarakat Melayu Lenggong yang berada di daerah Hulu Perak. Dahulunya, hidangan ini sering dijadikan salah satu menu semasa majlis perkahwinan atau dihidangkan kepada para pembesar dan tetamu istimewa sahaja.

Daging Masak Itam

Imej via aidahjune

Hidangan ini biasanya menggunakan daging lembu, namun ia juga boleh digantikan dengan daging kerbau, kambing ataupun ayam.

#11. IKAN MASAK BELOTAK

Ikan Masak Belotak antara masakan popular di kalangan para pesawah. Ia menggunakan sumber ikan darat yang diperoleh di sawah padi seperti ikan keli, haruan dan puyu. Hidangan ini terhasil dari cetusan idea masyarakat terdahulu bagi mengelakkan ikan yang telah separa rosak atau medak dibuang begitu sahaja.

Ikan Belotak

Imej via dkosonglapan

Ikan – ikan ini akan dibasuh menggunakan daun bebuas atau daun kunyi bagi menghilangkan bau hanyir. Setelah itu, ia direbus dan diambil isinya sahaja. Bahan – bahan campuran lain seperti serai,bawang merah dan cili padi ditumbuk halus, santan kelapa, asam gelugur, hirisan daun kunyit dan garam dicampur bersama.

Kemudian ia dimasak dengan api sederhana sehingga ia masak sepenuhnya. Maka, terhasillah ikan masak belotak ini.

#12. GULAI LEMAK PUCUK ASAM GELUGUR

Asam gelugur atau lebih dikenali dengan asam keping sememangnya sangat popular di kalangan masyarakat tempatan. Bagi yang berasal dari Perak, hidangan Gulai Lemak Pucuk Asam Gelugur bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka.

Gulai Pucuk Asam Gelugur

Imej via dkosonglapan

Hidangan ini antara menu kegemaran ramai di waktu makan tengahari. Gulai ini rasanya agak masam, namum mempunyai keunikan yang tersendiri. Ia sedap dimasak bersama ikan bilis atau pun udang bagi menambah keenakannya.

#13. PENJAN UBI KAYU

Penjan ubi kedengarannya agak pelik. Namun, jika anda ingin tahu, hidangan ini antara makanan tradisi Perak yang semakin dilupakan. Dahulunya, hidangan ini sering dimakan pada waktu petang. Sangat sedap dimakan bersama secawan kopi pekat.

Penjan Ubi

Imej via resepitokmisai

Penjan Ubi Kayu ini sangat mudah disediakan. Menggunakan ubi kayu, gula merah, tepung jagung, daun pandan dan air pastinya cukup menaikkan rasa hidangan ini. Ubi kayu direbus terlebih dahulu sebelum dicampur bersama bahan – bahan lain.

#14. KUIH KANDAS

Kuih Kandas ini bentuknya kelihatan seperti cakoi. Ia antara kuih warisan yang terkenal di negeri Perak, namun kuih ini semakin jarang ditemui. Kuih Kandas ini sering menjadi hidangan sarapan pagi berbanding kuih cakoi yang dimakan pada waktu pagi dan petang.

Kuih Kundas

Imej via dapurkaknorexpres

Penyediaan kuih ini juga agak berbeza di mana cakoi dicampurkan dengan telur atau marjerin, tetapi tidak kuih kandas. Biasanya cakoi dimakan bersama sekaya, namun kuih kandas ini dimakan bersama kuah kacang. Kuih kandas ini boleh didapati sekitar kawasan Karai, Padang Rengas, Kuala Kangsar serta daerah berhampiran.

#15. BUBUR ANAK LEBAH

Bubur anak lebah mendapat nama kerana ketulan pepejal di dalam bubur ini berwarna putih serta bersaiz kecil seperti anak lebah. Ia sangat popular di kawasan Lenggong dan juga Kuala Kangsar. Biasanya hidangan ini disajikan sewaktu majlis berendoi atau majlis naik buaian untuk bayi baru lahir atau selepas pantang.

Bubur Anak Lebah

Imej via facebook

Bubur anak lebah ini turut mengalami era perubahan zaman di mana ia juga telah berubah warna, dari putih ke hijau yang menggunakan jus air pandan. Hidangan ini semakin dilupakan kerana pembuatannya agak remeh di mana pepejal atau ketulan di dalam bubur perlu direbuhs terlebih dahulu, ditos dan kemudiannya baru dimasukkan santan.

Bubur anak lebah ini juga turut dijual di bazar Ramadhan dan mendapat permintaan tinggi.

#16. KUIH CECEMEK

Kuih Cecemek ini pastinya anda tidak pernah lihat. Ia antara kuih tradisi Perak yang sudah kian hilang. Namun, masih terdapat generasi yang meneruskan pembuatan kuih ini.

Kuih Cecemek kelihatan seperti kuih limas atau tepung pelita. Ia berbeza dari rupa bentuk yang terhasil di mana kuih berbentuk lubang – lubang kecil dan diletakkan di dalam daun pisang sebagai alas atau sampan Cecemek.

Kuih Cecemek

Imej via azliadlan

Kuih ini diperbuat menggunakan tepung pulut, santan, gula dan garam yang dimasukkan ke dalam daun pisang dan dikukus selama 10 minit. Ia sangat popular di kawasan Kampung Gajah serta Pasir Salak, Perak.

#17. SERAWA KUININ

Serawa antara makanan tradisi Perak yang sememangnya enak. Masyarakat Perak turut menjadikan buah kuinin sebagai serawa dan enak dimakan pada bila – bila masa sahaja. Ia menggunakan bahan – bahan yang sangat mudah didapati iaitu santan segar dan gula selain buah kuinin.

Serawa Kuinin

Imej via mascuna

Campurkan sahaja santan dan gula ke dalam bekas yang berisi potongan buah kuinin. Kemudian pula masukkan ketulan ais dan sedia untuk dinikmati. Rasa hidangan yang masam manis serta lemak ini pastinya menyegarkan tekak anda.

#18. KUIH LIMAS

Kuih Limas ini mempunyai dua lapisan iaitu putih di bahagian atas dan hijau pandan di bahagian bawah. Kuih ini dibuat menggunakan daun pisang yang dibentuk seperti bongkah sarung empat segi.

Kuih Limas

Imej via dapur-kayu

Rasa kuih ini adalah lemak manis. Ia menggunakan santan, tepung gandum, garam dan gula serta air daun pandan. Ia dimasak secara kukus sahaja. Kuih Limas ini sering menjadi pilihan ramai semasa bulan Ramadhan kerana keenakkannya yang begitu terserlah.

#19. KUIH KALAKATAR

Kuih Kalakatar ini merupakan kuih tradisional masyarakat Banjar. Masyarakat ini turut menetap di negeri Perak selain Selangor serta beberapa negeri lain lagi. Kuih ini bukan sahaja menjadi kegemaran masyarakat Banjar, namun turut menjadi kegemaran masyarakat lain.

Kuih Kalakatar

Imej via facebook

Kuih Kalakatar dihasilkan menggunakan buah kelapa muda yang diambil air serta isinya. Ia turut mencampurkan bahan lain. Kalakatar bermaksud ‘ketika panas’ iaitu kombinasi perkataan ‘kala’ bererti ketika dan ‘katar’ yakni panas. Jadi, tidak hairanlah, ia sangat enak dimakan ketika panas sama ada dibakar menggunakan sabut kelapa atau ketuhar.

#20. KELAMAI

Kelamai merupakan makanan tradisi masyarakat Rawa dan merupakan warisan turun temurun. Kuih ini boleh didapati di daerah Batang Padang Gopeng Perak yang kebanyakan masyarakat tempatannya merupakan masyarakat Rawa.

Kelamai ini kelihatan seperti dodol di mana ia menggunakan bahan – bahan seperti tepung pulut, gula merah, santan, kerisik, tahi minyak serta gula putih. Kaedah pembuatannya pula seakan – akan lemang kerana ia juga dimasak dalam buluh dan kemudiannya dibakar.

Lemang Kelamai

Imej via ain-kauyangteristimewa

Proses penyediaannya mengambil masa sehingga 3 hari kerana bahan – bahan tersebut perlu dibiarkan serap terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dibakar. Pemilihan buluh yang bersesuaian juga sangat penting bagi menghasilkan kelamai yang betul – betul sedap.

Kulit buluh akan dibuang terlebih dahulu bagi membezakan buluh kelamai dan juga buluh lemang.

Kesimpulan

Ternyata negeri Perak mempunyai pelbagai makanan tradisi yang semakin jarang ditemui. Namun, makanan – makanan ini masih diteruskan oleh generasi lama pada hari ini supaya ia tidak luput ditelan zaman. Sekurang  – kurangnya generasi sekarang dapat menikmati keenakan serta keunikan makanan tradisi tersebut.

Artikel Makanan Lain

Sukakan artikel masakan tradisional negeri Perak? Kami juga menulis artikel makanan yang patut anda cuba di negeri lain. Jemput baca dan jangan lupa share.

Penulis: Harwati Rukari

Harwati Rukari

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.