Negeri Sarawak yang juga dikenali dengan nama Bumi Kenyalang ini mempunyai pelbagai jenis makanan yang agak sukar didapati di Semenanjung Malaysia suatu tika dahulu. Namun, kini di sekitar Semenanjung Malaysia sudah terdapat banyak restoran yang menyajikan hidangan dari negeri Sarawak.

Kewujudan banyak restoran makanan Sarawak telah memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia menikmati pelbagai hidangan dari Sarawak yang begitu enak sekali. Makanan tradisional masyarakat Sarawak boleh terbahagi kepada dua jenis iaitu hidangan utama dan juga pencuci mulut.

Mungkin nama hidangan di Sarawak adakalanya kedengaran agak pelik, namun rasa setiap hidangan yang terdapat di Sarawak memberi 1001 rasa  yang begitu mempesonakan. Pastikan anda mencuba setiap hidangan unik di Sarawak sekiranya berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang ini.

Antara hidangan yang boleh anda cuba adalah seperti :

#1. Laksa Sarawak

Laksa Sarawak merupakan hidangan yang begitu popular dan boleh didapati di setiap pelosok negeri Bumi Kenyalang ini. Ia menggunakan pes khas yang mengandungi pelbagai bahan – bahan yang tersendiri.

Laksa Sarawak

Imej via juiceoline

Bagi menghasilkan laksa Sarawak, penggunaan santan diperlukan bagi menghasilkan kuah laksa. Kuah yang terhasil agak pekat berwarna kemerahan dan ia terhasil dari penggunaan pes laksa tersebut.

Laksa Sarawak

Imej via says

Laksa Sarawak menggunakan bihun yang dicelur dan dimakan bersama hirisan telur dadar, udang, hirisan ayam yang telah direbus, taugeh, perahan limau nipus dan juga sambal belacan.

#2. Mee Kolok

Mee Kolok pada amnya bukanlah makanan asal masyarkat bumiputera Sarawak. Ia merupakan makanan yang telah dibawa oleh masyarakat Cina yang telah berhijrah ke Sarawak.

Namun, ia telah menjadi makanan tradisi masyarakat tempatan biarpun dibawa masuk oleh masyarakat Cina suatu tika dahulu.

Mee Kolok

Imej via iluminasi

Mee Kolok menggunakan mee sanggul dan dihidangkan bersama sup serta kicap. Ia juga dihidangkan bersama hirisan daging ataupun ayam yang telah direbus terlebih dahulu. Antara nama lain bagi mee kolok adalah mee kampua (Cina), mee rangkai dan mee kering (Iban).

Mee Kolok

Imej via openrice

Mee kolok bukan sahaja popular di Sarawak, namun semakin popular di Semenanjung Malaysia. Mee kolok terdapat dalam dua jenis iaitu mee kolok putih dan mee kolok kicap. Keistimewaannya adalah rasa mee kolok berbeza dengan rasa mee goreng yang lain dan tekstur mee kolok juga kecil dan lembut serta kenyal.

#3. Mee Tomato Rangup

Mee Tomato rangup sangat jarang didengari, malah ia tidak sepopular seperti laksa Sarawak dan juga mee kolok. Namun, ia memiliki tempat yang tersendiri di hati masyarakat Sarawak.

Mee Tomato

Imej via facebook

Hidangan ini boleh didapati restoran dan medan selera yang terdapat di pusat membeli belah di Sarawak. Selain itu, ia turut dikenali sebagai mee dawai kerana mee ini masih keras dan rangup semasa dihidangkan. Kuahnya berwarna kemerahan mirip kuah mee bandung.

Mee Tomato

Imej via facebook

Namun, rasa kuahnya tidak sama dengan mee bandung.

#4. Mee Belacan

Mee belacan ini agak unik hidangannya. Kuahnya diperbuat dari petis otak udang yang dicampurkan dengan sedikit belacan, gula apong dan juga tepung jagung.

Mee Belacan

Imej via facebook

Kuah mee belacan ni agak pekat kerana penggunaan tepung jagung sebagai salah satu ramuan. Mee belacan ini merupakan bihun yang telah dicelur, dimakan bersama sotong kembang, telur padi, taugeh mentah serta hirisan timun.

Mee Belacan

Imej via facebook

Ia juga dimakan bersama sambal cili bagi menaikkan rasa.

#5. Bubur Pedas

Bubur pedas merupakan hidangan tradisional masyarakat Melayu di Sarawak. Ia sering dihidangkan pada bulan Ramadhan dan sangat digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Bubur Pedas

Imej via kidrus

Bubur pedas ini menggunakan banyak ramuan seperti beras, kelapa parut, tauhu kering, cendawan kering, kulat hitam, sayur midin, putik jagung, kacang panjang dan juga terung. Untuk menjadikan ianya lebih enak, ia ditambahkan dengan daging ayam dan lembu, tendon dan udang.

Bubur Pedas

Imej via kakinakl

Hidangan ini turut menggunakan bahan – bahan lain seperti bawang merah, bawang putih, cii merah, serai, lada hitam, daun salam, lobak merah dan banyak lagi. Sebelum dihidangkan, sebaiknya ditaburkan dengan kicap manis, sambal cili sebagai penambah perisa.

#6. Sayur Midin

Sayur midin atau nama panjangnya Kemidin merupakan sayur yang sangat popular di Sarawak. Ia biasanya dimasak secara goreng belacan.

Midin Belacan

Imej via facebook

Sayur ini mirip sayur pucuk paku yang banyak dijual di pasar sekitar Semenanjung Malaysia. Namun, ia memiliki sedikit perbezaan berbanding pucuk paku.

Midin Belacan

Imej via facebook

Midin goreng belacan merupakan hidangan makanan yang juga tidak kurang popularnya di kalangan kaum Iban, yang berbeza hanya cara penyediaan. Begitu juga dengan kedai makan di Sarawak yang menyediakan menu makanan sayur midin dengan pelbagai cara masakan.

#7. Manuk Pansuh

Manuk merupakan nama lain bagi ayam. Manuk pansuh merupakan hidangan ayam yang dimasak di dalam buluh bersama ramuan khas.

Manuk Pansuh

Imej via malaysiamostwanted

Hidangan ini merupakan antara makanan tradisional masyarakat Iban yang menjadi kegemaran ramai. Cara memasak hidangan ini agak mirip seperti memasak lemang.

Manuk Pansuh

Imej via huntersfood

Kesemua bahan – bahan akan dimasukkan ke dalam sebatang buluh dan ia akan dibakar seperti proses membakar lemang. Ianya sangat enak dimakan bersama nasi panas semasa makan tengahari.

#8. Umai

Jika di Jepun kita ada hidangan sushi, Sarawak juga tidak kurang hebatnya. Ia juga memiliki sushi tradisi yang tersendiri yang dikenali dengan nama umai.

Umai ini merupakan makanan tradisi masyarakat Melanau, namun hampir seluruh masyarakat Sarawak menikmatinya serta menggemarinya. Umai menggunakan makanan laut mentah seperti isi ikan, udang, mahupun sotong.

Umai

Imej via mybackyardtour

Makanan laut ini akan diperap bersama air perahan limau, hirisan bawang merah serta cili padi bagi menaikkan rasa. Penggunaan air perahan limau ini akan menjadikan makanan laut tersebut ‘masak’ secara semulajadi.

Umai

Imej via josienila08

Ia enak dimakan bersama nasi putih sebagai salah satu hidangan utama semasa menjamu selera.

#9. Kelupis

Kelupis merupakan pulut yang dibungkus menggunakan daun palas. Ia antara hidangan wajib setiap kali perayaan di sambut. Hidangan ini boleh dimakan bersama rendang ayam, daging, mahupun itik, malah boleh dimakan bersama lauk pauk yang lain.

Kelupis

Imej via facebook

Uniknya, kelupis ini juga begitu enak dimakan bersama susu pekat. Bagi menghasilkan hidangan ini, beras pulut akan dimasak bersama santan terlebih dahulu. Ia kemudiannya dibungkus dengan daun palas dan akan direbus supaya lebih tahan lama.

Kelupis

Imej via facebook

Kelupis yang telah siap direbus boleh bertaham selama tiga hingga empat hari jika disimpan dengan baik. Setiap tempat di Sarawak memiliki bungkusan yang berbeza bagi kelupis yang terhasil namun bahan asas tetap sama.

#10. Rendang Itik

Bagi masyarakat Melayu di Kampung Tanjung Asam, Sarawak, rendang itik antara hidangan tradisi masyarakat di sini. Hidangan rendang itik ini ternyata tidak keras dan tidak liat, malah agak berbeza dengan rendang ayam.

Rendang Itik

Imej via resepimudah

Sebelum daging itik dimasak menjadi rendang, ia akan dibakar terlebih dahulu supaya dagingnya lembut dan tidak liat. Rendang ini juga menggunakan sedikit kicap sebagai perisa tambahan dan tiada sebarang penggunaan santan kelapa bagi menghasilkan rendang ini.

Rendang Itik

Imej via explorerasa

Rendang itik ini juga sering disediakan semasa sambutan perayaan, kenduri dan majlis keraian.

#11. Udang Cincang Pais

Udang cincang pais sangat jarang ditemui. Di Sarawak, ia merupakan makanan tradisional masyarakat Kampung Tanjung Asam. Hidangan ini sering dibuat semasa musim udang dan adakalanya ia turut dibuat pada hari – hari biasa.

Udang Pais

Imej via webstagram

Udang yang digunakan akan dicincang bersama nasi sehingga sebati. Ia kemudiannya dibaluti dengan pucuk nipah muda. Hidangan ini boleh dimakan tanpa nasi tambahan kerana sudah terdapat campuran nasi di dalam bungkusan tersebut.

Udang Pais

Imej via akuman999

Istimewanya udang pais ini menggunakan udang segar dari sungai dan tidak menggunakan sebarang perisa tambahan mahupun garam. Oleh itu, anda akan dapat menikmati kemanisan yang terhasil dari udang segar tersebut.

#12.  Ikan Terubuk Masin

Ikan terubuk masin antara yang terkenal di Sarawak. Ia merupakan salah satu produk pelancongan bagi yang berkunjung ke Sarawak dan sering dibawa pulang sebagai buah tangan.

Terubuk Masin

Imej via facebook

Ikan terubuk masin ini sangat enak dimakan bersama kuah asam setelah digoreng. Biarpun ikan ini memiliki tulang yang banyak, namun ia tetap digemari ramai.

Terubuk Masin

Imej via facebook

#13. Kek Lapis

Kek lapis Sarawak merupakan pencuci mulut dan juga kek yang paling popular di Sarawak. Kek lapis di Sarawak memiliki keunikan yang tersendiri di mana ia mempunyai pelbagai corak dan rasa yang begitu mempesonakan.

kek Lapis Sarawak

Imej via facebook

Tekstur kek ini yang lembap serta tidak begitu kering membuatkan ramai yang menggemarinya termasuklah kanak – kanak. Terdapat pelbagai jenis kek lapis yang terdapat di Sarawak dengan  nama yang agak pelik seperti kek belacan, kek holiday inn, kek lumut, kek Cadbury dan banyak lagi.

Kek Lapis Sarawak

Imej via facebook

Kek lapis sering menjadi hidangan bagi perayaan yang disambut di Sarawak dan menjadi hidangan wajib di setiap rumah semasa sambutan perayaan.

#14. Tebaloi

Tebaloi merupakan kepingan biskut sagu yang juga merupakan makanan tradisional masyarakat Melanau. Rupa tebaloi ini mirip sekeping biskut dan merupakan snek ringan yang begitu enak.

Tebaloi

Imej via facebook

Bahan utama tebaloi ialah tepung sagu. Ia banyak dieksport ke luar negara dan juga merupakan sejenis makanan tradisional Sarawak yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Tebaloi

Imej via facebook

#15. Kuih Selorot / Corot

Kuih  selorot / corot ini merupakan salah satu kuih tradisi masyarakat  Melayu  Sarawak. Kuih  ini  menggunakan pucuk nipah muda sebagai sarung kuih.

Kuih Celorot

Imej via facebook

Biasanya kuih ini dihidangkan semasa bulan Ramadhan sebagai pembuka selera, majlis – majlis perkahwinan dan juga perayaan. Kuih ini sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat kerana teksturnya yang lembut serta keenakan kuih tersebut.

Kuih Celorot

Imej via facebook

Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuih ini ialah beras pulut, gula apong dan juga santan. Gula apong digunakan sebagai pemanis kuih dan  rasanya asli  tanpa  bahan  campuran lain.

Sarung  kuih  dibuat  menggunakan  daun  pucuk nipah  muda  yang  digulung  sehingga  menjadi  bekas  dan  tidak  bocor. Pembuatan  sarung  kuih ini memerlukan  kemahiran yang tinggi, supaya ia tidak bocor kerana ia akan menyebabkan sarung tersebut tidak dapat menampung kuih tersebut.

#16. Tumpik

Tumpik atau juga dikenali dengan lemantak merupakan salah satu makanan tradisi orang Sarawak. Ia dihasilkan dari pokok rumbia ataupun pokok sagu yang merupakan makanan utama masyarakat Melanau suatu tika dahulu.

Tumpik

Imej via deskgram

Hidangan ini menurut kepercayaan Melanau merupakan makanan yang menjadi penyelamat masyarakat zaman penjajahan Jepun. Tumpik juga turut mendapat jolokan nama lain seperti pizza Sarawak atau juga pizza tumpik.

Rupa bentuk tumpik ini kelihatan seperti lempeng. Ia biasanya dimakan sebagai alas perut dan pernah menjadi hidangan utama bagi menggantikan ubi kayu serta beras ketika penduduk tempatan berdepan dengan kesukaran mendapatkan makanan pada zaman perang dunia kedua dahulu.

Tumpik

Imej via kompilasiresepi

Tumpik ini boleh dimakan bersama air gula apong/gula Melaka sebagai sarapan pagi mahupun minum petang. Biarpun hidangan ini kelihatan ringkas, namun mempunyai banyak khasiat yang terdiri dari karbohidrat, protein, serat, kalsium serta zat besi yang baik untuk kesihatan malah mampu mencegah pelbagai penyakit termasuk saluran darah tersumbat, perut kembung dan kanser usus.

#17. Linut

Linut merupakan makanan tradisional yang dinikmati oleh salah satu kaum etnik di Sarawak iaitu Melanau. Namun, ia bukan sahaja menjadi kegemaran kaum etnik Melanau, tetapi ia hampir digemari oleh seluruh masyarakat Sarawak.

Linut

Imej via ilovekch

Ia diperbuat daripada tepung sagu segar dari pepohon sagu lalu dicampurkan dengan air panas yang mendidih. Ia dikacau sebati sehingga linut tersebut kental seakan – akan jeli.

Linut

Imej via kompilasiresepi

Linut begitu enak dimakan bersama sayur midin, terung iban, sayur labu, ulam ulaman dan sambal belacan. Ia dimakan menggunakan garfu buluh yang dipanggil chandas, kemudian dicelup dengan sambal belacan yang  mempunyai rasa masam,masin dan pedas.

#18. Ulat Mulong

Ulat Mulong adalah larva kumbang yang bersarang di dalam batang pokok rumbia yang sudah reput. Ulat Mulong terutama yang gemuk boleh dinikmati menerusi pelbagai jenis masakan samada digoreng bersama kicap, disalai, dibuat sup atau dijadikan sate.

Ulat Mulong

Imej via teya3628

Terdapat juga sesetengah masyarakat yang gemar menikmatinya secara mentah tanpa dimasak terlebih dahulu. Ada yang menyatakan ulat ini terasa lemak seperti hidangan udang. Namun, hanya segelintir yang memakan ulat mulong ini.

Ulat Mulong

Imej via facebook

Kesimpulan

Makanan tradisional  masyarakat Sarawak antara salah satu  khazanah yang perlu dikekalkan. Makanan  tradisional  ini  merupakan  salah  satu  aspek  penting  dalam  proses pembudayaan yang sentiasa dilalui kehidupan sesebuah masyarakat.

Perubahan zaman di masa kini tidak  perlu  mempertaruhkan  adat  dan  budaya  yang  menjadi  peraturan hidup bagi setiap masyarakat. Adat dan budaya seharusnya dipertahankan hingga terus diwarisi oleh zaman – berzaman supaya masyarakat akan datang dapat mengenali setiap budaya yang terdapat di negara kita.

Artikel Makanan Lain

Sukakan artikel masakan tradisional negeri ini? Kami juga menulis artikel makanan yang patut anda cuba di negeri lain. Jemput baca dan jangan lupa share.

Penulis: Harwati Rukari

Harwati Rukari

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.