Kalau anda jenis yang sukakan makanan tradisional Melayu, pastinya anda akan mencuba pelbagai masakan yang paling ‘top’ dari kesemua negeri yang ada. Dalam artikel ini, hidangan tradisional dari Pahang akan diketengahkan buat anda.

Selain sedap, ianya juga memang terbaik untuk dinikmati. Malah, terdapat hidangan diraja yang boleh anda cuba jika berkunjung ke Pahang.

#1. Gulai Patin Tempoyak

Gulai patin tempoyak merupakan hidangan yang paling popular di negeri Pahang. Lebih – lebih lagi di daerah Temerloh yang sememangnya terkenal dengan kehadiran ikan patin sangkar.

Gulai patin tempoyak

Imej via hooikhawandsu

Hidangan ini dianggap eksotik dan antara makanan terbaik dari negeri Pahang. Keunikan rasa hidangan ini yang dimasak bersama isi durian yang diperam memberi rasa yang begitu menyelerakan.

Gulai patin tempoyak

Imej via norjannahrahim

Tambahan pula hidangan ini menggunakan ikan patin segar dan terbaik dari ladang, pastinya memberi rasa hidangan yang begitu mempersonakan.

#2. Nasi Kebuli

Hidangan Nasi Kebuli sangat terkenal di kawasan kampung sekitar Kampung Budu, Kuala Kenong, Jelai, Kampung Hulu, Tanjung Besar, Kuala Medang, Kampung Jeram Landak dan semua daerah di Kuala Lipis.

Nasi kebuli

Imej via malaysiaaktif

Nasi Kebuli ini merupakan makanan tradisi masyarakat Pahang khususnya daerah Lipis dan ia pernah dicatatkan pada Muzium Warisan Kuala Lipis. Hussin dari Kampung Kuala Kenong, Kuala Lipis adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Nasi Kebuli ini pada tahun 1944.

Nasi kebuli

Imej via makanapaaje

Hidangan ini bermula apabila suatu tika dahulu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Mahmud Shah (1914 – 1917) bersama 60 orang pengikutnya mudik ke pekan Kuala Lipis dan berhenti sebentar di Kuala Kenong. Baginda bertemu dengan Hussin dan menyatakan hasratnya untuk menjamu selera nasi berlaukkan ayam kampung.

Maka, Hussin telah memasak nasi tersebut untuk santapan Sultan. Berdasarkan peristiwa ini lah nama Nasi Kebuli mendapat nama sempena Nasi Ke Bawah Duli.

#3. Sambal Hitam

Sambal hitam semakin dikenali di pelosok negara. Sambal ini berasal dari negeri Pahang menggunakan belimbing buluh, ikan bilis dan cili sebagai bahan utama. Pengolahannya mengambil masa yang agak lama.

Sambal hitam

Imej via serbasedap

Oleh itu, harga sambal ini juga agak mahal. Biarpun harganya sedikit mahal, namun ramai orang menggemari keenakan sambal ini.

Sambal hitam

Imej via facebook masakyukss

Ia boleh dimakan bersama nasi putih mahupun dicicah bersama roti. Sambal hitam ini biasanya di pek dalam peket kecil dan mudah didapati di  mana sahaja.

#4. Sambal Bunga Kantan

Selain sambal hitam yang begitu terkenal di negeri Pahang, terdapat satu lagi sambal yang tidak kurang hebatnya. Sambal bunga kantan merupakan makanan tradisional dari daerah Raub. Ia banyak dihasilkan terutamanya pada musim bunga kantan tiba.

Sambal bunga kantan

Imej via dapurnyasibohay

Sambal bunga kantan ini dimasak bersama ikan bilis, santan, cili padi, bawang besar dan bawang putih. Kesemua bahan akan disatukan dan dimasak sehingga kering.

Sambal bunga kantan

Imej via niejamuhaimi

Hidangan ini enak dimakan bersama nasi putih mahupun roti. Ia juga boleh dimakan bersama pulut atau boleh dimakan begitu sahaja.

#5. Gulai Asam Rom

Gulai asam Rom ini menggunakan biji getah sebagai bahan utama. Hidangan ini merupakan hidangan yang berasal dari Jerantut atau Ulu Tembeling.

Gulai asam rong

Imej via segatat

Ia biasanya dimasak bersama ikan sungai atau ikan air tawar dan ia seakan – akan asam pedas. Namun rasanya cukup berbeza.

Gulai asam rong

Imej via therainbowjourney

Tambahan pula biji getah ini memberikan rasa yang begitu unik sehinggakan anda sukar melupakan keenakan rasa gulai ini.

#6. Pais Ikan Patin Tempoyak

Pais ikan patin tempoyak merupakan hidangan tradisi Pahang yang sememangnya sukar dilupakan. Tambahan pula keenakannya begitu terserlah tatkala kemanisan ikan patin yang diperap bersama tempoyak dapat dirasai. Ia enak dimakan bersama nasi putih atau boleh diratah begitu sahaja.

Pais patin tempoyak

Imej via facebook

Pais ikan patin tempoyak ini memiliki aroma yang begitu mengliurkan. Selain penggunaan tempoyak sebagai bahan utama, ia turut menggunakan daun kunyit dan daun pisang yang sememangnya menimbulkan aroma yang begitu menggegarkan jiwa.

Pais patin tempoyak

Imej via rasapizza

Bahan – bahan lain seperti bawah, halia, serai dan asam jawa akan memberikan gabungan rasa manis, pedas, masam dan manis pastinya membangkitkan selera. Hidangan yang dibakar ini juga dapat menjamin kesihatan yang lebih baik kerana tidak menggunakan kaedah menggoreng untuk menghasilkannya.

#7. Gulai Masam Ayam

Pernah tak anda terbayang bagaimana rasanya ayam dimasak tempoyak ? Biasanya kalau di Pahang gulai tempoyak ikan patin sememangnya sangat terkenal, namun jarang kita dengari tentang gulai masam ayam.

Gulai masam ayam

Imej via angahhometart

Hidangan ini turut menggunakan tempoyak sebagai salah satu bahan untuk menyediakannya. Selain tempoyak dan ayam, beberapa bahan lain yang cukup ringkas turut digunakan.

Gulai masam ayam

Imej via lipislady

Antara bahan yang digunakan adalah kunyi hidup, cili api, daun kesum, asam keping, air dan garam secukup rasa. Cendawan tiram juga boleh dimasukkan bersama sebagai penambah perisa. Cara menyediakannya juga cukup mudah dengan memasukkan kesemua bahan, direneh bersama sehingga masak.

#8. Gulai Opor Daging

Opor ini menggunakan daging sebagai bahan utama. Ia  merupakan tradisi negeri Pahang, dan memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan hidangan ini. Tempoh yang diambil adalah antara lima ke enam jam untuk disiapkan.

Imej via facebook

Hidangan ini menggunakan santan pekat dan cair dan rempah opor khas yang memberikan rasa pedas, main dan manis.

Opor daging

Imej via dapur-ruzalila

#9. Sambal Kulat Sisir

Sambal kulat sisir antara hidangan tradisional yang semakin dilupakan. Antara penyebab hidangan ini semakin dilupakan kerana harga pasara kulat sisir pada masa kini agak mahal. Namun, ia tidak seharusnya dijadikan penyebab untuk melupakan hidangan tradisi ini.

Sambal Kulat Sisir

Imej via facebook

Sambal kulat sisir ini menggunakan bahan – bahan yang begitu mudah untuk didapati. Selain, kulat sisir, beberapa bahan seperti cili kering / cili padi yang dikisar, bawang merah dan bawang putih, telur, garam dan gula turut digunakan.

Imej via facebook

Bahan – bahan seperti bawang dan cili kering akan ditumis terlebih dahulu sehingga naik bau. Kemudian, kulat sisir dimasukkan bersama. Telur, garam dan gula pula akan dimasukkan dan digaul rata.

Setelah kesemuanya sebati bersama, ia boleh diangkat untuk dihidangkan. Hidangan ini sememangnya enak dimakan bersama nasi putih dan pastinya akan menaikkan selera anda sewaktu menjamahnya.

#10. Ayam Golek Pekan

Kalau anda nak tahu, daerah Pekan, Pahang ini juga mempunyai hidangan ayam golek yang dihasilkan menggunakan resepi turun temurun. Bahan – bahan yang terdiri dari santan, serai, halba, air asam jawa, garam dan gula, halia, buah keras, bawang merah dan bawang putih, lengkuas, cili kering, serta kunyit hidup dikisar bersama.

Ayam golek Pekan

Imej via facebook

Bahan – bahan tadi ditumis sehingga pecah minyak dan setelah ianya separuh pekat, ayam akan dimasukkan bersama sehingga ianya betul – betul masak. Ayam tersebut kemudiannya akan dikeluarkan, dan bahan – bahan tadi direnehkan sehingga menjadi agak pekat.

Ayam golek Pekan

Imej via facebook

Kuah pekat tersebut dituangkan pula ke atas ayam, dan kemudiannya ayam dikabar di atas bara api. Isi ayam yang telah dimasak juga boleh disiat dan kemudian diletakkan dalam pinggan. Kemudian, kuah tersebut dituangkan ke atas isi ayam tersebut.

Hidangan ini sememangnya enak dimakan begitu sahaja, namun ia juga boleh dimakan bersama nasi putih.

#11. Laksa Pahang

Pastinya anda merasa pelik apabila nama laksa Pahang disebut – sebut. Biasanya kita hanya pernah mendengar laksa utara, laksa Penang, laksa Kedah, laksa Kuala ataupun laksa Johor. Namun, jarang kita mendengar tentang laksa Pahang.

Laksa Pahang

Imej via deskgram

Jika anda hendak tahu, Pahang juga mempunyai hidangan laksa yang tersendiri. Laksa Pahang ini biasanya boleh didapati semasa majlis kenduri di kawasan Pekan atau pun Kuantan.

Mee laksa ini menggunakan tepung yang telah diuli dan kemudian dimasukkan ke dalam acuan bagi menghasilkan mee laksa. Ia direbus sebaik sahaja dikeluarkan dari acuan.

Laksa Pahang

Imej via cookpad

Kuah laksa Pahang tidak sama seperti laksa Penang agak pekat, lemak dan warna kekuningan. Bahan untuk menghasilkan kuah ini adalah ikan tenggiri, santan, kerisik dan beberapa bahan lain.

Sayuran yang digunakan untuk dimakan bersama laksa ini adalah daun kaduk, daun selasih, timu dan taugeh. Ia turut dimakan bersama sambal cili dan sedikit belacan.

#12. Puding DiRaja

Warna kuning kuih puding diraja ini cukup menggamit perhatian. Kuning keemasan ditambah pula dengan warna warni bahan sampingan seperti kismis, ceri, kekacang dan sebagainya pastinya menjadikan hidangan ini pilihan ramai sebagai pemanis mulut.

Puding diraja

Imej via diarymama

Pada suatu tika dahulu, hidangan ini hanya dihidangkan kepada golongan istana sahaja. Maka dari situ lah ia mendapat nama.

Puding diraja

Imej via facebook

Hidangan ini hanya boleh diperolehi di negeri Pahang sahaja, walaubagaimanapun, pasaran kuih ini semakin meluas hingga ke serata tempat.

#13. Kuih Badak Kubang

Nama kuih ini sedikit pelik, namun ia bukanlah sesuatu yang merisaukan. Kuih yang diberi nama kuih badak kubang ini menggunakan adunan tepung pulut serta tepung pulut hitam. Terdapat inti kelapa di dalamnya serta berkuah santan.

Kuih Badak Kubang

Imej via facebook

Gabungan dua bahan ini memberikan rasa yang membuatkan anda sering teringatkannya. Ia sesuai dijadikan sarapan pagi ataupun sebagai pencuci mulut.

Kuih Badak Kubang

Imej via facebook

Kuih ini biarpun jarang ditemui, namun ia mempunyai peminat yang tersendiri. Kuih ini yang turut menggunakan santan, memberikan rasa yang lemak dan manis pastinya disukai ramai.

Kuih badang kubang berbentuk bulat yang diletakkan di atas daun pisang sebagai alas. Ia kemudiannya dikukus sehingga masak.

#14. Apam Baghdad

Kuih apam Baghdad ini merupakan trademark masyarakat Langar, Pekan, Pahang. Kuih ini hanya boleh didapati di sekitar Pekan, Pahang sahaja. Antara bahan utamanya adalah telur, gula kastor dan tepung naik sendiri.

Apam Baghdad

Imej via facebook

Apam Baghdad ini dimakan bersama seri kaya yang akan diletakkan di bahagian atas kuih ini. Biasanya kuih apam ini berwarna kuning dan seri kayanya pula berwarna hijau. Kombinasi warna yang cukup membangkitkan selera bagi sesiapa yang terlihatnya.

Apam Baghdad

Imej via facebook

Kuih ini tidak ubah seperti kuih apam biasa, namun ianya unik kerana dimakan bersama seri kaya. Apam Baghdad ini juga turut dijadikan hidangan semasa majlis – majlis keramaian di daerah Pekan, Pahang.

#15. Kuih Mahbob

Kuih Mahbob atau juga dikenali sebagai kuih Jeneral Mahbob ini sangat terkenal oleh penduduk Pekan. Kuih ini sukar didapati di daerah lain, melainkan Pekan sahaja. Biasanya kuih ini dibuat semasa meraikan majlis – majlis tertentu.

Kuih Mahbob

Imej via facebook

Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan kuih ini adalah tepung beras, santan, gula dan beberapa bahan lain. Tepung beras akan digoreng sehingga kekuningan terleih dahulu sebelum dicampurkan bersama bahan – bahan lain sebelum dikukus.

Kuih Mahbob

Imej via mamawandiha

Setelah ianya siap dimasak, bahagian atas kuih ini akan ditaburkan dengan tahi minyak yang telah diperbuat terlebih dahulu. Tahi minyak ini akan memberi rasa aroma yang lebih wangi serta cukup menyelerakan.

#16. Kuih Pepena

Kuih ini berasal dari daerah Chenor, Pahang. Ia sukar ditemui di tempat lain, namun sekiranya anda menemuinya di tempat lain, rasanya pasti tidak setanding air tangan orang kampung jati Chenor Seberang.

Kuih Pepena

Imej via facebook

Kuih ini beralaskan daun pisang yang dipotong bulat. Kuihnya pula berbentuk seakan bintang kecil yang diperbuat menggunakan tepung pulut. Ia mempunyai kuih yang rasanya manis serta wangi kerana menggunakan air daun pandan.

Kuih Pepena

Imej via facebook

Bagi memasak kuih ini, kaedah mengukus digunakan dan kuih pepena yang berwarna hijau ini sangat enak dimakan pada waktu petang.

#17. Kuih Dodol Kukus

Sebut sahaja dodol, pastinya anda mengetahuinya. Namun, di Pahang atau di daerah Chenor, kuih ini mirip seperti dodol biasa. Ia menggunakan bahan utama seperti tepung pulut dan juga gula merah.

Dodol Kukus

Imej via facebook

Walau bagaimana pun, cara memasaknya pula adalah sangat berbeza. Kaedah menghasilkan dodol di daerah ini adalah dengan menggunakan kaedah mengukus dan ianya tidak dikacau seperti dodol biasa.

Dodol Kukus

Imej via facebook

Dodol ini apabila dimasak ianya akan menjadi liat sama seperti dodol biasa. Rasanya juga sedap dan tidak kurang hebatnya. Bagi menambah rasa yang lebih sedap, di bahagian atas kuih ini akan diletakkan tahi minyak yang akan menambahkan lagi selera penggemar kuih ini.

Kesimpulan

Pahang memang terkenal dengan pelbagai makanan tradisional yang masih dikekalkan hingga ke hari ini. Biarpun masa dan zaman semakin berubah, namun makanan tradisi di negeri ini tetap dijaga dan masih diteruskan hingga hari ini.

Gulai patin tempoyak sememangnya tersohor di pelosok negeri Pahang, sehingga ada yang sanggup datang dari jauh semata – mata ingin menikmati  keenakan hidangan tradisi yang masih dikekalkan sehingga hari ini. Selain patin tempoyak, sambal hitamnya juga menjadi igauan ramai.

Bagi kuih muih tradisional negeri Pahang pula, ia mungkin hanya dijumpai di daerah – daerah tertentu, namun ia tetap mendapat permintaan ramai. Nama kuih di Pahang ini juga agak pelik, namun rasanya tiada satu pun yang pelik. Malah, mempunyai rasa yang menakjubkan dan sukar dijumpai di kota – kota metropolitan.

Anak – anak muda yang sudah meninggalkan negeri Pahang, mungkin hampir tidak mengenali  kuih – muih serta makanan tradisional Pahang. Namun, dengan adanya artikel ini mungkin mereka dapat menikmati keenakan makanan tradisi Pahang yang masih dikekalkan hingga hari ini.

Artikel Lain

Selain artikel makanan tradisional Pahang, kami juga menulis artikel makanan tradisional negeri lain yang anda kena cuba. Jemput baca artikel di bawah juga dan jangan lupa untuk share.

Penulis: Itawrah

Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

    Tinggalkan Komen!

    Langgan Info Kami

    Berkaitan

    .