Negeri Pahang cukup terkenal dengan ikan patinnya terutama yang dimasak tempoyak. Siapa yang ke Pahang pasti akan mencuba patin tempoyak mereka, bukan? Temerloh adalah salah satu lokasi untuk makan hidangan istimewa tersebut.

Walaupun pada asalnya senarai ini tidak bertujuan untuk memasukkan restoran yang hanya menumpukan kepada patin sahaja tapi penulis mendapati 4 daripada 5 restoran terkenal dan terbaik di Temerloh menjual hidangan berasaskan patin. Apa pun, jom serbu mereka!

#1 Selera Patin Bangau

Patin Tempoyak @ Selera Patin Bangau

Imej via Foursquare

Tdak dinafikan, negeri Pahang memang terkenal dengan ikan patin. Jadi, ini adalah di antara restoran terbaik di Pahang yang menyediakan hidangan tersebut. Suasana restoran ini juga membuatkan ada merasa seperti anda sedang berada di kenduri kahwin, memang santai!

Lagi-lagi lokasi restoran yang 200 meter dari jalan besar. Perhatikan sahaja papan tanda di depan restoran itu, dan anda akan jumpa. Makanan yang disediakan di sini memang menyelerakan, harganya pula murah!

Alamat: Jalan Kampung Baru, Kampung Bangau, 28000 Temerloh

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 12 tengahari hingga 4 petang

#2 Restoran Claypot Patin Tempoyak

Patin Tempoyak @ Claypot Patin Tempoyak

Imej via Foursquare

Patin tempoyak yang dihidangkan panas-panas dalam belanga memang menambah selera. Isi ikan patin yang segar dan tempoyak yang cukup memikat aroma dan rasanya boleh bikin sesiapa sahaja jatuh cinta dengan menu ini!

Walaupun begitu, mereka ada ramai peminat dan sebahagian pelanggan mengatakan ia terbaik di bandar. Tambahan pula, harganya boleh dikatakan murah dengan rasa yang cukup sedap.

Restoran Claypot Patin Tempoyak mempunyai ruang yang luas dan selesa. Cuma mencari tempat meletak kenderaan agak susah terutama pada waktu puncak. Jadi, anda digalakkan untuk datang awal agar tidak terlepas peluang ya!

Alamat: No.62, Persiaran 1, Damai Court, Temerloh

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, bermula dari jam 10 pagi hingga 9 malam. Manakala hari Khamis pula bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang

#3 Rotarium Buffet Steamboat

Menu @ Rotarium Buffet Steamboat

Imej via Foursquare

Dengan lebih 100 bahan dan harga kurang daripada RM30 untuk seorang, ini merupakan restoran steamboat yang terkenal di kalangan penduduk tempatan. Kerana itulah ia sering dipenuhi pelanggan.

Walaupun murah, pelanggan tidak digalakkan membazir. Jadi, restoran ini telah menetapkan peraturan di mana setiap 100g makanan yang tidak habis akan dikenakan bayaran sebanyak RM10.

Oleh kerana ia restoran yang terkenal, sebahagian pelanggan suka membuat tempahan meja lebih awal. Jika anda mahu mengelakkan daripada tidak mendapat tempat duduk, hubungi 09-2908265 untuk tempahan.

Alamat: Dynaton Bukit Angin, 28000 Temerloh, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari (3pm – 12am)

#4 Gerai Makan Pak Usop (Patin Pak Usop)

Menu @ Kedai Makan Pak Usop

Imej via Foursquare

Kata orang tak sah kalau tidak singgah di gerai makan Pak Usop bila berada di Temerloh. Gulai patin tempoyaknya adalah hidangan mereka yang paling popular. Tambahan pula, resepinya adalah turun-temurun milik keluarga pemiliknya.

Pak Usop memasak 80 kg ikan patin dalam sehari. Ini menunjukkan ramainya pelanggan yang datang makan di tempat mereka. Malah, jumlah itu dikatakan boleh habis dalam masa kira-kira tiga jam sahaja.

Jangan risau kalau anda datang dan makanan sudah habis. Ini kerana mereka turut menghasilkan ikan patin tempoyak sejuk beku (frozen). Jadi, kalau anda rindu masakan Pak Usop atau mahu masak sendiri di rumah, anda boleh membelinya sendiri!

Alamat: B-12, Arked Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Lurah Semantan, Temerloh

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, bermula dari jam 12 tengahari hingga 5 petang

#5 Kancil Raja Patin

Nama restoran ini pasti kedengaran unik buat anda. Rupa-rupanya ‘Kancil’ ialah nama panggilan pemillik restoran ini!  Orang ramai mengenali Pahang kerana patin tempoyaknya. Jadi, restoran Kancil Raja Patin turut menerima tempiasnya.

Menu @ Kancil Raja Patin

Imej via Foursquare

Ramai yang datang ke sini untuk mencuba patin tempoyak mereka yang memang sedap. Namun, sebenarnya mereka juga memasak patin pais yang tidak kurang hebat. Ia menggunakan resepi turun-temurun keluarga Kancil yang dihasilkan daripada 13 ramuan rahsia.

Jadi, kalau anda datang ke sini, jangan lupa mencuba patin pais mereka yang mempunyai pelbagai rasa. Kancil Raja Patin turut menambah cawangan mereka di Temerloh yang terletak di Megat Segama berhampiran dengan Petron.

Alamat: 54, C119, Kampung Bangau, Temerloh

Waktu Operasi: Setiap hari bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang

Penggemar ikan patin ataupun pembaca yang teringin mencubanya pasti sudah mula kecur air liur, bukan? Mana tidaknya, menu ini bukan sahaja menjanjikan rasa yang enak malah bau tempoyak itu sendiri cukup memikat!

Bagi yang sudah mula berminat untuk mencuba ikan patin di restoran-restoran yang kami cadangkan sekitar Temerloh ini, lekaslah berbuat demikian ya. Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.