Malaysia sememangnya terkenal dengan masyarakat berbilang kaum. Bukan sahaja terdapat kaum Melayu, Cina dan India, namun terdapat juga kaum – kaum lain yang mendiami bumi Malaysia.

Jika anda berada di negeri Sarawak, anda akan dapat melihat pelbagai kaum lain yang ada di Sarawak. Ia terdiri daripada kaum Melanau, Iban, Bidayuh dan banyak lagi.

Bagi masyarakat Iban di Sarawak, kebanyakan dari mereka sudah tidak tinggal lagi di kawasan luar bandar dan tidak lagi mendiami rumah panjai (rumah panjang). Namun, mereka masih tetap mengekalkan adat serta budaya masyarakat Iban bagi mengekalkan keharmonian sesame mereka.

Bagi mengelakkan warisan serta tradisi masyarakat Iban terus ditelan zaman, maka pelbagai hidangan tradisional kaum Iban masih tetap diteruskan supaya generasi akan datang dapat meneruskan legasi kaum Iban.

Antara makanan tradisi masyarakat Iban adalah seperti berikut :

 #1. Umai 

Umai merupakan hidangan yang berasaskan ikan mentah dengan campuran beberapa bahan seperti bawang merah, cili, garam dan perahan limau untuk menghasilkan rasa yang enak. Ia juga boleh dihasilkan menggunakan udang ataupun sotong.

Umai

Imej via werda

Gabungan pelbagai bahan telah membuatkan ikan atau udang atau sotong mentah tersebut dimasak secara semulajadi  tanpa perlu memasaknya di atas dapur. Hidangan ini sememangnya enak dimakan bersama nasi panas.

Umai

Imej via josienila08

Ia bukan sahaja merupakan hidangan tradisional orang Iban, malah kebanyakan masyarakat Sarawak turut menggemarinya.

#2. Kemiding atau Midin

Sebut sahaja sayur midin, pastinya ramai mengenalinya terutama sekali masyarakat Sarawak. Namun, jika ianya disebut dengan nama kemiding, mungkin juga ada yang terpinga – pinga tidak mengenali.

Midin belacan

Imej via miriapp

Kemiding merupakan panggilan kepada sayur midin oleh masyarakat Iban. Ia merupakan sayur yang begitu terkenal, malah hidangan midin merupakan makanan tradisional masyarakat Iban.

Sayur ini biasanya dimasak bersama belacan yang dikenali sebagai midin belacan. Ada juga yang memasaknya secara rebus bersama ikan bilis sahaja.

Midin belacan

Imej via huntersfood

Midin ini begitu senang diperoleh di kawasan sekitar kampung, malah boleh dibeli di pasar – pasar awam. Rupa sayur ini seakan pucuk paku tetapi terdapat sedikit perbezaan. Ianya begitu lembut serta enak dimakan bersama samban belacan.

#3. Manuk Pansuh

Hidangan manuk pansuh sememangnya begitu terkenal di negeri Sarawak. Namun, hidangan ini sebenarnya merupakan salah satu makanan tradisi orang Iban.

Manuk pansuh

Imej via facebook

Manuk dalam bahasa Sarawak merupakan ayam. Ini bermakna hidangan manuk pansuh adalah hidangan berasaskan ayam. Biasanya untuk menghasilkan hidangan ini, ayam tua akan dijadikan sebagai pansuh.

Manuk pansuh ini begitu enak rasanya apabila dimasak di dalam buluh bersama bahan – bahan yang begitu istimewa. Hidangan ini juga sering menjadi lauk serta “tabas” semasa meraikan sesuatu perayaan.

Manuk pansuh

Imej via facebook

Untuk memberi rasa serta aroma yang lebih wangi, daun ubi akan diletakkan pada bahagian hujung buluh. Wap yang terhasil akan memberi bau yang cukup menyelerakan. Hidangan ini sering menjadi makanan wajib semasa sambutan perayaan Hari Gawai setiap tahun.

#4. Hinava Ginapan

Hinava ginapan ini menggunakan isi ikan atau sotong sebagai bahan utama. Ia seakan – akan umai namun terdapat sedikit perbezaan untuk menyediakannya.

Hinava

Imej via akuman999

Isi ikan atau sotong yang digunakan akan dimasak terlebih dahulu. Ia kemudiannya digaul bersama hirisan cili, bawang, perahan limau serta garam.

Hinava

Imej via hungerhunger

Hidangan yang seakan – akan kerabu ini juga merupakan makanan tradisional orang Iban yang sangat unik.

#5. Kasam Ikan atau Pekasam Ikan

Masyarakat Iban juga begitu menggemari pekasam ikan. Makanan ini yang juga turut dikenali sebagai kasam ikan sering menjadi menu pelengkap hidangan.

Kasam ikan

Imej via bunangega

Kebiasaannya ikan yang akan dijadikan sebagai pekasam perlu diperam selama sebulan sebelum ianya boleh dimakan. Semakin lama ia diperam, semakin sedap isi ikan tersebut.

Kasam ikan

Imej via keluarga

Antara ikan yang sering dijadikan sebagai pekasam adalah ikan baung, ikan semah, lampam jawa, sepat, tengadak serta pelbagai ikan sungai. Aroma kasam ikan yang agak kuat menyebabkan tidak semua masyarakat Iban menggemarinya. Namun, tidak kurang juga begitu menggemarinya dan dijadikan hidangan harian.

#6. Pekasam ensabi

Pekasam ensabi merupakan sayur sawi yang dijerukkan sehingga ia menjadi pekasam. Sayur ini merupakan antara makanan tradisional yang digemari oleh masyarakat Iban.

Pekasam ensabi

Imej via poshet

Kaum Iban menggelar sayur sawi jeruk ini sebagai kasam ensabi. Setelah ianya dijerukkan, sawi ini mempunyai rasa yang masam serta sedikit masin.

Ia sangat enak dimakan bersama nasi putih dan dicampurkan dengan sedikit perahan jus limau. Gabungan jus limau ini akan meningkatkan lagi selera. Pekasam ensabi ini juga boleh dimasak pedas dan begitu enak rasanya.

Pekasan ensabi

Imej via poshet

Hidangan ringkas ini yang telah wujud sejak dahulu lagi kini terus diwarisi generasi muda masyarakat Iban sehingga ke hari ini.

#7. Penganan

Penganan merupakan kuih tradisional kaum Iban yang begitu popular di Sarawak. Ia sering menjadi hidangan wajib semasa perayaan hari Gawai.

Penganan

Imej via tasteofsarawakianfoods

Kuih ini diperbuat daripada tepung beras, gula serta beberapa bahan lain lagi yang dicampur bersama sehingga menjadi satu adunan yang sebati. Doh yang telah lengkap akan diacukan sebelum digoreng dalam minyak yang panas.

Penganan

Imej via sarawakianaii

#8. Kuih Sarang Semut

Apabila menyebut kuih sarang semut, pastinya ramai terbayangkan biskut raya sarang semut. Namun, ternyata telahan anda meleset kerana kuih sarang semut bagi masyarakat Iban adalah begitu berbeza.

Kuih sarang semut

Imej via chelzlensaphotography

Masyarakat Iban memanggilnya sebagai kuih sarang semut atau juga kuih jala. Ia sebenarnya merupakan kuih karas jika di bahagian utara Malaysia. Kuih ini merupakan kuih tradisional yang sering ada pada perayaan hari Gawai. Malah, semasa hari krismas juga ia menjadi hidangan wajib bagi sesetengah masyarakat Iban.

Kuih sarang semut

Imej via voluntarrios

#9. Kuih Acuan

Kuih acuan adalah sama seperti kuih ros atau kuih Loyang. Mungkin namanya sahaja yang berbeza, namun kuihnya adalah sama. Kelainan nama kuih ini juga berbeza mengikut daerah.

Kuih acuan

Imej via akitchencat

Kuih acuan ini sering menjadi santapan masyarakat Iban terutama pada musim perayaan hari Gawai serta hari krismas. Ia sering menjadi juadah hidangan untuk para tetamu.

Kuih acuan

Imej via penselpen

#10. Cakar Ayam  

Cakar ayam merupakan antara kuih muih yang wajb ada semasa perayaan hari Gawai. Ia merupakan kuih tradisional yang tidak mungkin dilupakan oleh kaum Iban.

Cakar ayam

Imej via butterkicap

Kuih ini diperbuat daripada ubi keledek yang disira dengan gula Melaka. Rasanya yang rangup dan lemak manis ini membuatkan ramai yang menggemarinya.

Cakar ayam

Imej via facebook

#11. Air Tuak

Tuak merupakan sejenis minuman yang mengandungi alkohol. Ia sangat popular di kalangan masyarakat asli atau bumiputera. Air minuman ini pada asasnya merupakan minuman segar tanpa sebarang campuran.

Namun, ia telah melalui proses pemeraman dan telah menyebabkan minuman tersebut berubah rasa dan warna. Ia bergantung kepada suku kaum yang menghasilkan minuman ini.

Terdapat dua jenis tuak yang begitu terkenal iaitu tuak beras, tuak kelapa atau tuak nipah.

  • Tuak beras

Tuak beras adalah sangat popular di kalangan masyarakat Iban suatu tika dahulu. Ia menggunakan beras pulut yang direndam bersama air di dalam sebuah tempayan yang dikenali sebagai tajau.

Proses pemeraman tuak beras ini mengambil masa sekurang – kurangnya dua minggu sebelum ia benar – benar boleh diminum. Beras pulut yang direndam itu akan menjadi nasi tapai.

Air nira

Imej via picdeer

Pada masa kini, beras pulut yang dijadikan sebagai tuak telah mengalami sedikit perubahan di mana gula pasir akan dicampurkan bagi memberikan rasa manis. Biasanya tuak ini akan dihidangkan semasa merayakan perayaan hari gawai Dayak, gawai burung, gawai hantu dan sebagainya.

  • Tuak kelapa / nipah

Tuak jenis ini biasanya dihasilkan daripada mayang kelapa atau nipah. Mayang kelapa atau nipah jika dibiarkan, ia akan menjadi buah. Oleh itu, untuk mendapatkan air nira tersebut, mayang kelapa atau nipah akan dipotong sedikit untuk membolehkan air manis keluar menitik dari tandan yang dipotong.

Air manis yang keluar dari tandan akan dikumpulkan dalam sebuah bekas yang biasanya merupakan buluh. Air yang keluar ini dipanggil air nira tanpa alkohol dan boleh diminum segar tanpa memabukkan.

Air nira

Imej via mytravelandliving

Air nira yang dikumpulkan ini akan diperam sehingga kandungan dua di dalam air ini bertukar menjadi alcohol setelah melalui proses penapaian atau pemeraman. Tuak ini akan diminum setelah beberapa hari. Biasanya tuak ini akan disajikan semasa perayaan tertentu seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.

Sekiranya tuak ini dibiarkan terlalu lama, ia akan menjadi cuka secara semulajadi tanpa perlu mencampurkan sebarang bahan lain. Tuak ini jika diminum dengan terlalu banyak akan menyebabkan pelbagai kesan negatif seperti mabuk, khayal, muntah dan sebagainya.

Kesimpulan

Masyarakat Iban sememangnya masih mendiami bumi kenyalang. Mereka meneruskan kehidupan seperti biasa biarpun arus moden semakin berkembang.

Asal usul serta adat kaum Iban masih dipegang utuh oleh kaum mereka. Makanan yang menjadi hidangan tradisi bukan sahaja diteruskan oleh mereka malah masyarakat tempatan Sarawak juga turut menggemarinya.

Jika anda ingin tahu apa rasanya hidangan masyarakat Iban ini, terbanglah ke bumi kenyalang dan rasai sendiri keenakan makanan tradisi mereka.

Penulis: Itawrah

Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.