Miri merupakan bandaraya di negeri Sarawak yang memang terkenal dengan industri minyak dan gas asli. Selain itu, ianya juga merupakan salah sebuah tarikan pelancongan di negeri Sarawak.

Jika anda bercadang ke Miri, anda pasti masih tercari-cari tempat makan mana yang patut anda kunjungi di sekitar Miri, bukan? Usah gundah, kami ada senarainya. Senarai ini tidak mengikut ‘ranking’, jadi teruskan membaca ya!

#1 Restoran Ayam Penyet Ria

Alamat: Lot 1326, Groundfloor , Block 9 MCLD, Miri Waterfront Commercial Centre, 98000 Miri, Sarawak

ayam penyet @ ria

Imej via Foursquare

Ayam penyet merupakan makanan Indonesia yang cukup popular di negara kita. Tambah pula jika dimakan bersama nasi putih dan sambal, memang berganda keenakannya!

Restoran Ayam Penyet Ria ini wajib anda kunjung sekiranya anda teringin mencuba menu tersebut. Menurut ramai, ayam penyet di sini memang terbaik.

menu @ ria

Imej via Foursquare

Selain ayam penyet, makanan Indonesia lain seperti Udang Penyet, Bawal Penyet dan Bakso Penyet juga turut disediakan di sini. Teringin untuk mencuba makanan Indonesia yang enak rasanya dan asli resepinya? Singgah sahaja di Restoran Ayam Penyet Ria!

#2 Restoran Muara

Alamat: Jalan Pala, 98000 Miri, Sarawak

Pernah terdengar tentang nasi lalapan? Menu ini merupakan makanan Indonesia yang menyajikan nasi bersama lauk seperti ikan keli goreng, tempe goreng dan bersama ulam-ulaman. Satu hidangan yang sangat lengkap!

lauk @ muara restoran

Imej via Foursquare

lauk @ muara

Imej via Foursquare

Antara lauk yang anda boleh cuba bersama nasi putih ialah ayam goreng, ikan keli goreng dan bawal goreng. Jika dilihat dalam gambar sendiri, saiz hidangannya agak besar. Bukan sahaja menyelerakan malah mengenyangkan!

#3 Madli Satay Corner

Alamat: Lot 1088 Ground Floor, Jln Merpati, 98000 Miri, Sarawak

Ada penggemar sate di sini? Teringin untuk mencuba sate yang berbagai jenis? Singgah sahaja di Madli Satay Corner, kami berani jamin anda pasti akan berpuas hati dengan kualiti sate mereka!

sate @ madlis

Imej via Foursquare

Sate ayam dan sate daging merupakan antara menu paling terkenal di sini. Dihidangkan bersama kuah kacang yang pekat dan hirisan timun segar, harga yang ditawarkan juga memang berpatutan.

mi kolok @ madlis

Imej via Foursquare

nasi goreng @ madlis

Imej via Foursquare

Selain sate, anda juga boleh mencuba menu lain seperti laksa sarawak, mi kolok, mi goreng mamak dan nasi goreng. Memang bertambahlah kekenyangannya!

#3 Selera Rasa Segar

Alamat: Jalan Royal, 98000 Miri, Sarawak

Nasi lemak merupakan antara makanan tempatan yang paling popular. Menu ini selalunya dinikmati semasa sarapan, namun ada juga yang menjamahnya untuk makan malam. Biasalah, menu kegemaran ramai!

nasi lemak @ srs

Imej via Foursquare

Restoran Selera Rasa Segar ini memang sangat terkenal dengan menu nasi lemak. Ada yang mengatakan keenakannya setanding dengan sebuah restoran nasi lemak yang terkenal di KL!

mi kolok @ srs

Imej via Foursquare

nasi kerabu @ srs

Imej via Foursquare

Ada berbagai lauk yang dihidangkan, namun yang menjadi kegemaran ramai ialah ayam goreng dan sambal sotong. Selain nasi lemak, menu seperti nasi kerabu dan mi kolok turut disediakan di sini.

#4 Kornia’s Recipe

Alamat: Marina Square, 98000, Miri Sarawak

Pernah terdengar tentang Mie Jawa? Menu ini kelihatan persis dengan mi rebus namun ia mempunyai rasa dan aroma yang berlainan. Cara penyediaan mereka juga berbeza, yang pasti keenakannya tiada tandingan!

mi kolok @ kornias

Imej via Foursquare

menu lain @ kornias

Imej via Foursquare

Menu tersebut boleh anda cuba di restoran Kornia’s Recipe. Restoran ini menyediakan pelbagai jenis menu seperti mi kolok, kuih-muih dan makanan Barat, namun Mie Jawa masih menduduki tangga teratas sebagai menu yang menjadi kesukaan ramai.

mi jawa special @ kornias

Imej via Foursquare

Lebih menarik, menu Mie Jawa Special di sini menghidangkan bukan sahaja ayam goreng, malah sate! Bunyinya agak unik, namun menu ini jugalah yang digemari ramai pelanggan tetap di sini. Anda wajib cuba!

#5 Laksa Lolita

Alamat: 349, Jalan Miri – Lutong, Lutong, 98000 Miri, Sarawak

Laksa merupakan makanan tempatan yang cukup popular di kalangan orang kita. Tidak mengira bangsa, keunikan utama menu ini ialah ianya ada versi yang berbeza di beberapa negeri seperti Laksa Penang, Laksa Johor dan Laksa Sarawak.

laksa sarawak @ laksa lolita

Imej via Foursquare

Buat para penggemar laksa, kami ada berita baik buat anda! Restoran Laksa Lolita ini ada menyediakan Laksa Sarawak yang bukan sahaja enak malah asli resepinya!

Menurut pelanggan yang pernah berkunjung ke sini, kuah Laksa Sarawak di sini tidak terlalu berminyak dan pekat. Ini menjadi kunci utama kepada keenakan laksa tersebut, memang sedap!

#6 Route 66 Cafe

Alamat: Lot 1401 Of Parent Lot 991, Jalan Agama, Lutong, 98000 Miri, Sarawak

kopi @ route 66

Imej via Foursquare

Route 66 Cafe ini cukup terkenal dengan kopi mereka. Ada pelanggan mengatakan yang kopi di sini memang terbaik, pekat namun tidak terlalu pahit. Yang penting, persembahan hidangannya juga unik dan cantik!

kek @ route 66

Imej via Foursquare

Selain kopi, menu lain seperti pencuci mulut juga ada disediakan di Route 66 Cafe ini. Aneka jenis kek biasa dan kek cawan menjadi kegemaran ramai. Jika dijamah bersama segelas kopi mereka, pasti lebih ‘kaw’!

#7 Surabaya Restaurant

Alamat: 44-62, Jalan Indica, 98000 Miri, Sarawak

Tengok nama sahaja sudah tahu makanan apa yang dihidangkan di Surabaya Restaurant ini – semestinya makana Indonesia! Kepada pembaca yang makanan kegemarannya makanan Indonesia, anda wajib terjah restoran ini!

lalapan ayam @ surabaya

Imej via Foursquare

menu @ surabaya

Imej via Foursquare

Menu yang kami syorkan untuk anda cuba di sini ialah Lalapan. Ada berbagai jenis Lalapan di sini, namun yang paling terkenal ialan Lalapan Bawal dan Lalapan Ayam.

Selain itu, anda juga boleh mencuba makanan Indonesia lain seperti Rawon dan Gado-gado. Jika ini pertama kali anda mendengar menu ini, anda kena cuba merasainya sendiri. Pasti puas hati!

#8 Kent’s Garden

Alamat: Lot 1058, Kampung Pengkalan Lutong, 98100, Miri, Sarawak

Mengidamkan makanan Barat? Singgah saja di Kent’s Garden! Restoran ini menyajikan pelbagai jenis makanan Barat dan juga beberapa menu tempatan. Jadi, pesan sahaja menu yang anda idamkan, pasti kena dengan selera anda!

chicken roast @ kents garden

Imej via Foursquare

kuey teow @ kents garden

Imej via Foursquare

Antara menu yang terkenal di sini ialah Lamb Chop, Fish & Chip, Chicken Teriyaki dan yang paling digemari ramai, Penang Fried Kuey Teow. Menurut ramai, rasanya seakan-akan dengan kuey teow di Penang. Tidak percaya? Cuba sahaja sendiri!

#9 Warikh Antarabangsa

Alamat: Lot 12337-1-5 Block 5 (Parent Lot 3433) LLD, Jalan Airport, 98000 Miri, Sarawak

masak lemak cili api @ warikh

Imej via Instagram

Walaupun anda berada di Miri, anda boleh saja menikmati makanan Negeri Sembilan di restoran Warikh Antarabangsa. Yang pasti, keaslian resepinya dan kepedasan menunya memang terjamin!

mi goreng @ warikh

Imej via Foursquare

Menu yang paling popular di sini ialah semestinya masak lemak daging salai. Selain itu, menu lain seperti asam pedas, mi goreng dan yang paling istimewa, Nasi Goreng Warikh Antarabangsa turut disediakan.

nasi goreng warikh

Imej via Foursquare

Menu Nasi Goreng Warikh Antarabangsa ini cukup menarik. Ada ketam, lala dan sotong yang dihidangkan bersamanya. Cukup sesuai buat penggemar makanan laut!

#10 Mat Kolok

Alamat: Jln Taman Blvd 1, Faradale Commercial Centre, 98000 Miri, Sarawak

mi kolok @ mat kolok

Imej via Foursquare


Sebut sahaja makanan negeri Sarawak, makanan apa yang terlintas di minda anda? Pasti anda teringatkan mi kolok, bukan? Jika anda teringin untuk menikmati mi kolok terutamanya untuk sarapan, lekaslah terjah kafe Mat Kolok!

Kafe ini bukan sahaja menyediakan mi kolok, malah banyak lagi menu lain turut ditawarkan. Antaranya ialah mi halus, mi kuning, sup, nasi, lalapan dan laksa.

#Kesimpulan

Jika dilihat semula, kebanyakan tempat makan yang kami senaraikan ini terdiri daripada restoran atau kafe yang menghidangkan makanan Indonesia. Jadi jika anda teringin untuk mencuba makanan Indonesia, singgah saja di tempat makan yang kami senaraikan ini.

Anda juga dinasihatkan untuk datang lebih awal kerana dikhuatiri ruang parkir dan ruang dalam restoran penuh dengan pelanggan. Jangan lepaskan peluang ini ya, selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.