Jom kita terjah tempat makan menarik di Kuching 2018.

Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan dengan bumi semenanjung. Pemisahan secara geografi ini memberikan kesan kepada budaya, bahasa serta adat resam termasuklah juga kulinari.

Sungguhpun demikian perbezaan tersebut memberikan impak yang amat positif untuk saling memahami dan memberikan setiap individu pelbagai makanan untuk dirasai.

Kuching hanya mampu menggambarkan sebahagian kecil daripada ratusan budaya negeri Sarawak yang dibina oleh pelbagai etnik dan bangsa.

Malahan kini kebanjiran pendatang turut menambahkan lagi taburan populasi etnik dan kaum di Sarawak. Oleh itu, industry makanannya turut berkembang dan menawarkan begitu banyak pilihan. Bandaraya Kuching yang besar ini menghadirkan banyak sekali tempat makan yang baik.

Senarai ini akan memberikan enam tempat yang boleh dianggap yang terbaik walaupun masih banyak yang terbaik atau mungkin lebih baik.

 

6 Tempat Makan Kuching Sarawak

 

#1 Mee Kolok Pak Amit Cafe

Alamat : Lot 3108-3113, SL 3, Jalan Astana, Kuching

Mee Kolok adalah menu wajib di Sarawak. Kata orang, melawat Sarawak tanpa mencuba mee kolok bererti anda belum melawat Sarawak. Mee Kolok Pak Amit merupakan antara mee kolok terbaik dan yang paling popular di Kuching. Lokasinya mungkin sukar untuk dicari tetapi amat berbaloi untuk menikmatinya.

laksa sarawak

Imej:wanista

Mee kolok di sini menghadirkan kuah yang amat pekat dan sedap. Harganya juga amat murah dan berpatutan. Mee kolok Pak Amit yang paling popular adalah mee kolok udang dengan udang bersaiz sederhana dan beberapa bahan sayuran dan sebagainya menjadikan hidangan ini adalah menu yang pasti dicuba.

Selain mee kolok, juga terdapat hidangan mee yang lain seperti mee jawa, mee rebus dan juga beberapa menu yang lain untuk memenuhi citarasa anda. Biasanya mee kolok di sini begitu laris dan jika anda terlewat pastinya terlepas untuk menikmatinya.

 

#2 Top Spot Foodcourt

Alamat : Taman Kereta (Jalan Green Hill), 93000 Kuching, Sarawak Malaysia

Kuching yang terkenal dengan pelbagai menu makanan laut ini mempunyai tempat makan yang paling sesuai untuk penggemar makanan laut. Top Spot Foodcourt ini merupakan medan selera yang terdiri daripada berbelas gerai yang menjual makanan laut.

Anda cuma perlu memilih gerai yang betul untuk memuaskan kelaparan anda. Namun begitu, menunya hampir sama dan kualitinya tidak begitu jauh berbeza.

Topspot Food Court
Topspot Food Court
Topspot Food Court

Boleh dikatakan semua menu makanan laut terdapat di foodcourt ini dan anda boleh memesan apa saja menu kegemaran anda kerana harganya amat berpatutan. Ikan bakar yang terdiri daripada pelbagai jenis ikan, menu masakan ikan sehinggalah kepada masakan sotong, udang, ketam, kerang-kerangan malahan menu ayam dan daging juga boleh dipesan.

Terdapat juga menu ala carte seperti mee dan sebagainya untuk anda bersantai.Tempat ini dibuka bermula pada petang hari sehinggalah ke lewat malam.

Setiap malam, begitu ramai sekali pengunjung yang menjamu selera di sini terdiri daripada penduduk tempatan, pelancong dari luar malahan pelancong asing. Wajib datang ke Top Spot Food Court untuk penggemar masakan laut.

 

#3 Pian Catering

Alamat : Satok, Kuching, Sarawak

Kedai ini bukanlah satu nama yang begitu popular di sini, namun Pian Catering menyajikan makanan yang berkualiti pada harga yang amat murah. Jadi amat berbaloi untuk makan di sini. Menunya tidak kurang hebatnya dengan makanan tengahari yang menarik dan juga beberapa menu makanan barat.

Salah satu menu yang dikatakan paling mendapat perhatian di sini adalah kepak ayam panggang yang dikatakan amat sedap dan berperisa.

Rasanya dengan mudah mampu mengejutkan deria rasa anda kerana ia diperap dengan ramuan yang begitu kompleks dan rahsia seterusnya dipanggang dengan teknik yang begitu baik bagi menjamin kadar masak dan rasanya yang kekal sehingga ke gigitan terakhir.

Ada pelanggan yang tanpa ragu-ragu mengatakan kepak ayam ini lebih baik daripada ayam goreng KFC. Rasanya tidak rugi untuk mencuba. Sambil itu, kesedapan makanan lain juga tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

 

#4 My Village Barok

Alamat :Kampung Gersik, Kuching

My Village Barok ini merupakan salah satu lagi tempat makan tumpuan masyarakat di Kuching mahupun pengujung dari luar. Ianya begitu popular bukan sahaja kerana makanannya yang berkualiti, tetapi juga konsep ala-ala kampong yang diterapkannya.

Jika dahulu, anda perlu menaiki penambang untuk ke restoran ini dan ini juga salah satu keunikannya. Walaupun kini, terdapat jambatan yang dibina, keaslian restoran ini tetap terjaga dengan bangunannya yang dibina daripada kayu sepenuhnya. Suasananya amat mendamaikan sambil menikmati hidangan makanan laut yang enak.

My Village Barok
My Village Barok
My Village Barok

Restoran ini hanya dibuka pada sebelah malam. Pelbagai makanan yang enak disajikan tetapi antara keunikan yang menggambarkan jatidiri Sarawak adalah ‘manuk pansuh’ atau ayam dengan kuah sup yang dimasak di dalam buluh.

Isi ayam dengan herba dan sayuran yang dikeluarkan bersama-sama kuahnya dari buluh amat sedap untuk dinikmati ketika masih panas.

Orang luar yang ke Sarawak pastinya perlu mencuba menu ini selain daripada midin goreng belacan yang amat sedap. Terdapat juga umai udang iaitu udang mentah yang digaul bersama limau nipis serta cili padi yang amat-amat membuka selera.

Selain itu, banyak lagi menu makanan laut yang biasa yang boleh dipesan untuk dinikmati dalam suasana yang santai. Makan di sini menjadikan anda sedar anda berada di Sarawak.

 

#5 RJ Ayam Penyet

Alamat : Lot 166 & 167 Bangunan Kelolong (Jln Nagor), Kuching, Sarawak 93400

Satu lagi menu yang popular di Sarawak adalah ayam penyet. Hidangan ini berasal daripada masyarakat Kalimantan yang amat sinonim dengan ayam penyet terbaik mereka. Di Sarawak, Raja Ayam Penyet menyajikan antara ayam penyet terbaik sesuai dengan namanya.

Melihat pada penampilan kedainya amat ringkas dan seolah-olah warung di tepi jalan, tetapi makanannya benar-benar menenggelamkan rupa kedainya.

RJ Ayam Penyet
RJ Ayam Penyet

Hidangan asas ayam penyet ini amat mudah. Ia mesti mempunyai nasi putih yang panas dengan ayam goreng berempah yang dipenyet berserta sambal dan sedikit ulam yang biasanya adalah ulam raja. Tetapi kesedapan ayam penyet ini terletak pada perapan rempah ayamnya, cara ayam tersebut digoreng serta yang paling penting, sambalnya.

Ayam penyet di kedai ini mempunyai gandingan komponen-komponen tersebut yang amat serasi dan sambalnya amat sedap. Ada pelanggan yang sanggup berulang kali ke sini kerana kesedapannya. Jika anda mencari ayam penyet terbaik di Sarawak, carilah daripada Raja Ayam Penyet, pasti berbaloi merasainya.

 

#6 Dayang Salhah Kek Lapis Sarawak

Alamat : No 40, Kampung Gersik, Kuching

Setiap pengunjung yang meninggalkan Sarawak pasti akan sanggup mengheret pulang kek lapis Sarawak yang begitu popular di seluruh negara. Malah di mana saja ada peniaga kek lapis, pastinya di”nasab”kan dengan nama Sarawak untuk menarik pelanggan.

Kek Lapis Dayang Salhah yang terletak di kampong gersik ini adalah salah satu nama yang amat popular dan acapkali menjadi tumpuan pelancong dari luar.kita perlu menaiki sampan untuk sampai ke gerai kek ini namun ianya amat berbaloi.

Dayang Salhah Kek Lapis Sarawak
Dayang Salhah Kek Lapis Sarawak

Terdapat kek pelbagai perisa dan warna yang boleh dipilih. Ada yang dibuat dengan marjerin dan ada juga yang menggunakan mentega asli. Harganya dan rasanya pasti berbeza namun masih jauh lebih murah dengan harga di semenanjung.

Selain kek lapis, terdapat juga kek batik yang konsepnya hampir sama walaupun proses pembuatannya amatlah rumit. Rasanya juga amat sedap dan tidak rugi untuk anda menggendong kotak-kotak kek lapis ini ke lapangan terbang.

 

#7 Rumah Hijau Café

Alamat: Jalan Rubber, 93400 Kuching Sarawak

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (8am – 4pm, 6pm – 1030pm) Ditutup pada hari Jumaat

Ia terletak di tengah-tengah bandar Kuching. Gaya klasik adalah tarikan pandang pertama pelanggan yang datang ke sini. Anda boleh pilih sama ada mahu menjamu selera di dalam atau di luar restoran.

Ada penghawa dingin di sini agar anda boleh makan dengan selesa. Menunya adalah pelbagai. Dari timur sampai ke barat. Hidangan paling terkenal di sini ialah Nasi Ayam Penyet. Makanan baratnya dikatakan biasa-biasa sahaja.

Mereka turut menyediakan pelbagai hidangan roti seperti roti canai dan roti bom berkeju. Oleh itu, tempat ini turut menjadi pilihan pelanggan untuk sarapan pagi.

 

#8 Dapur Kampung

Alamat: Kampung Bandarshah, 93400 Kuching

Waktu Operasi: Setiap hari (6pm – 1am)

Ruang makan yang santai menjadikan ia sesuai jika anda mahu lepak bersama kawan-kawan dan keluarga. Menurut para pelanggan, ia adalah restoran yang bagus untuk anda mahu mencuba makanan Indonesia.

Pelanggan dari Indonesia mencadangkan Iga Bakar Penyet sebagai menu yang anda harus cuba di sini. Walaupun begitu, mereka juga menyediakan menu lain seperti masakan barat. Layanan yang diberikan baik, makanan juga memuaskan hati dan harganya juga berpatutan.

Ia juga mempunyai kelebihan kerana dibuka sehingga awal pagi.

 

#9 Mom’s Laksa Kopitiam

Alamat: Ground Floor, SL-2, Jalan Astana, Ave Astana, Petra Jaya, 93050 Kuching

Waktu Operasi: Setiap hari (5am – 430pm)

Tidak lengkap rasanya kalau ke Sarawak tetapi tidak mencuba laksa Sarawak. Jadi, anda mesti datang ke sini untuk mencuba Laksa Sarawak asli dari Sarawak.

Walaupun selalu sibuk sehingga sukar mendapatkan tempat meletak kereta, pelanggan tetap merasakan ia berbaloi kerana keenakan makanan terutamanya laksa yang disediakan.

Rata-rata pelanggan merasakan ia laksa terbaik di Kuching. Selain laksa, mereka juga ada menyediakan mee kolok dan mee jawa dalam menu mereka. Anda boleh datang pagi untuk bersarapan atau tengah hari untuk makan tengah hari.

 

#10 Sharing Planet

Alamat: Lot 4126, Jalan Ensing, 93250 Kuching

Waktu Operasi: Setiap hari (5pm – 11pm)

Makanan ala Barat seperti Lamb Chop, Chicken Chop, French Fries, Mashed Potatoes dan sebagainya di sini disediakan dalam kuantiti yang besar. Khabarnya, itulah sebab mengapa ia dinamakan Sharing Planet.

Kuantiti makanan yang banyak membolehkan anda berkongsi makanan anda jika anda mahu. Harganya pula berpatutan. Suasana restoran juga selesa buat pelanggan. Pendek kata, semuanya memuaskan hati di Sharing Planet.

Kerana itulah, anda disyorkan untuk membuat tempahan awal pada waktu puncak terutama semasa cuti umum.

 

#11 Cendol Mami

Alamat: 1, Q309, Taman Melati 2, 93050 Kuching

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (1030am – 6pm)

Pakar Cendol. Itulah yang disebut oleh sesetengah pelanggan dan dipersetujui oleh yang lain. Aisnya dikisar sehingga lembut. Ditambah pulut, santan, jagung dan durian. Menu lain di sini bukanlah menu yang berat.

Antaranya ialah bihun belacan, kerabu som tam, mee goreng dan juga keropok lekor. Jadi, ia sesuai untuk anda yang mahu makan dalam santai pada waktu-waktu selain waktu makan atau selepas mengunjungi Pasar Satok dan sekitarnya.

Suasana restoran seperti di rumah dan ditambah pula oleh layanan baik pemilik dan pekerjanya menjadikan Cendol Mami amat terkenal di Kuching.

 

#12 Annuar BBQ Steamboat

Alamat: Jalan Persiaran Ban Hock, 93100 Kuching

Waktu Operasi: Setiap hari (6pm – 11pm)

Makan secara buffet di Annuar BBQ Steamboat. Ada pelbagai jenis makanan disediakan dari ayam kepada daging dan juga mee. Makan sebanyak mana yang anda mahu tapi anda perlu habiskan makanan anda.

Jika tidak, anda perlu membayar harga makanan yang tidak habis dimakan. Oleh itu, elakkan daripada membazir. Inilah yang cuba diterapkan oleh Annuar BBQ Steamboat.

Restoran ini seringkali dipenuhi pelanggan yang datang dari merata tempat. Pada hujung minggu, keadaannya lebih sibuk. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba masakan mereka jika berpeluang untuk berada di sini.

 

#13 Sharing Downtown

Alamat: Lot 157, Section 47, Kuching

Waktu Operasi: Setiap hari (5pm – 1130pm)

Satu lagi restoran di Sarawak yang menggunakan perkataan ‘sharing’ atau berkongsi untuk nama mereka. Bagi ramai orang, ini merujuk kepada kuantiti makanan yang disediakan.

Restoran yang menghidangkan menu makanan Barat ini sangat bermurah hati dalam kuantiti makanan yang dihidangkan. Menurut pelanggan, anda mungkin tidak dapat menghabiskan makanan yang disediakan jika datang bersendirian.

Antara menu yang disyorkan ialah Sharing Mixed Grill, Chicken Chop, dan Grilled Fish. Mereka juga menyediakan kek dan brownies sebagai pencuci mulut. Ruang terbuka adalah gaya di restoran ini.

Ada muzik yang merehatkan semasa anda sedang makan bagi memberikan anda lebih ketenangan sepanjang menjamu selera.

 

#14 The King’s Curry

Alamat: Lot 353, 354 & 355, Jalan Rumbia & Section 50, 93100 Kuching

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (1030am – 10pm), ditutup pada hari Isnin

Makanan citarasa India merupakan satu lagi tarikan di Kuching. The King’s Curry mendapat rating yang tinggi dari para pelanggannya. Antara menu yang boleh dicuba ialah Kings Murtabak dan Biryani Ayam.

Jangan lupa cuba juga roti Naan Keju dan Ayam Bakar. Menurut sesetengah pelanggan, murtabak dan roti Naan Keju mereka adalah yang terbaik boleh didapati di restoran ini.

Tempatnya cukup selesa untuk menjamu selera dan cukup santai untuk makan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.

 

#15 Toko Daging

Alamat: Taman Mawar, Lorong Mawar 2, Kampung Gita, 93050 Petra Jaya, Kuching

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (7pm – 11pm)

Konsep kampung pada dekorasinya mungkin akan membuatkan ramai menyangka ia menyediakan masakan Melayu atau tempatan. Sebaliknya, mereka amat dikenali dengan keenakan masakan Baratnya.

Mereka cukup terkenal di kalangan masyarakat sekitar Kuching dan juga dari luar Kuching. Variasi hidangan terfiri daripada ayam, sosej, Meat Platter, Lamb Shoulder, Norwegian Salmon, daging dan keju. Daging yang lembut dan rasa kuah yang sedap memang menambah selera sesiapa sahaja yang datang.

Untuk meyakinkan keenakan hidangan mereka, Toko Daging pernah muncul di dalam akhbar dan paling menarik adalah pemiliknya pernah bekerja sebagai Chef di beberapa hotel terkemuka di Kuching.

 

#16 Swee Kang Ais Kacang

Alamat: Jalan Kulas – Haji Taha Interchange, Kampung Bandarshah, 93400 Kuching

Waktu Operasi: Jumaat – Rabu (12pm – 630pm)

Kedai Swee Kang telah dibuka di Kuching sejak tahun 1953 bertentangan dengan Balai Bomba sebelum berpindah lokasi. Sehingga kini ia sering dipenuhi pelanggan terutama bermula tengah hari sehingga waktu petang.

Walaupun terpaksa menunggu agak lama pada waktu-waktu itu, para pelanggan merasakan ia berbaloi. Selain Ais Kacang yang membuatkan ramai orang sanggup beratur panjang bagi mendapatkannya, mereka juga turut menarik pelanggan dengan menu ringan yang lain seperti rojak.

Kedai Swee Kang ada membuka cawangan di Jalan Satok serta menggunakan lori untuk meniaga di sekitar Kuching. Namun, kualiti makanannya tetap bagus dan tidak berubah.

 

#17 ANC Burger

Alamat: DD 108, Lot Persiaran Bandar Baru Batu Kawah 1A, Bandar Baru Batu Kawah, 93250 Kuching

Waktu Operasi: Setiap hari (5pm – 12am)

Homemade burger bukan sahaja terkenal di Semenanjung Malaysia, tapi di Sarawak juga. ANC Burger salah satunya. Malah, mereka yang datang dari Semenanjung turut mencari ANC Burger apabila datang ke Kuching.

Ada pelbagai pilihan burger dan Roti John. Antara pilihan pelanggan ialah Super Sampler Burger dan Roti John Lejen. Dekorasinya ringkas tapi menarik dan kelihatan santai. Pekerja pula melayan pelanggan dengan baik, menjadikan ANC Burger pilihan ramai di Kuching.

 

Kesimpulan

Mencari tempat makan meanrik di Kuching bukanlah suatu pengalaman yang sukar jika anda tahu ke mana untuk ditujui. Malahan kepelbagaian makanan yang disajikan menjadikan anda akan ‘enjoy’ untuk mencuba dan memberikan cabaran baru kepada deria rasa anda.

 

Tempat Makan Menarik Lain

Selain tempat makan Kuching, kami juga menulis artikel tempat makan yang lain. Jangan lupa untuk share dan like jika anda sukakannya.

Penulis: Fahim Ahmad

Fahim Ahmad

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.