Mencari tempat makan best di KL? Jom kita lihat senarai 50 tempat makan menarik di KL wajib anda cuba.

Bandaraya Kuala Lumpur  dan Lembah Klang pastinya bukan asing kepada kita semua. Ia sememangnya merupakan kawasan tumpuan masyarakat dari seluruh negara malah luar negara.

Selain itu, kawasan Kuala Lumpur turut menawarkan pelbagai makanan yang diilhamkan daripada resipi  dari beberapa pelusuk dunia. Tidak dinafikan bahawa industri makanan merupakan antara industri berskala besar di Kuala Lumpur.

Oleh itu, di sini disenaraikan  tempat makan menarik di KL meliputi pelbagai genre makanan yang dirasakan antara yang terbaik bagi kami. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, teruskan membaca ya!

Satay Capitol 1951

satay capitol
Imej via Foursquare

Alamat: No, 1, Jalan Haji Hashim, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 3 pm – 12 am

Jika Kajang ada sate Kajang, Kampung Baru ada Satay Capitol 1951. Restoran ini memang boleh dikatakan legend kerana ianya telah beroperasi sejak 1951 lagi.

Kunci utama keenakkan sate di sini terletak pada bahan perapan satenya. Tambahan pula, sate di sini dibakar dengan begitu sempurna sehinggakan dagingnya menjadi lembut sekali. Memang terbaik!

Restoran Sambal Hijau

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat Lot 2990, Jalan Sungai Penchala, Kampung Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (7.30 am – 12 am)

Untuk yang inginkan nasi berlauk pelbagai, ini adalah tempatnya. Pelbagai menu anda dapat temui di sini. Asas menu mereka adalah masakan Melayu dan Minang, sesuai dengan penggemar masakan kampung.

Antara lauk-pauk yang boleh anda cuba ialah daging salai, keli goreng belado, sambal tempe, ayam bakar dan juga aneka jenis ulaman. Pasti lebih enak jika dimakan bersama sambal belacan!

Chizu

Jika anda mahukan sesuatu yang unik, apa kata anda ke Chizu yang menyajikan menu ala-ala Jepun. Konsep menu yang diketengahkan semestinya minuman berkeju dan croissant. Ha, memang susah nak cari menu unik dan sedap seperti ini di Malaysia.

Chizu mempunyai banyak cawangan di Kuala Lumpur iaitu Melawati Mall, Leisure Mall, NU Sentral dan KL Getway. Kunjungi salah satu cawangan dan rasai pelbagai minuman berkeju seperti Cheese Coffee, Cheese Japanese Oolong Tea, Cheese Chocolate Drink atau Latte.

Makan bersama pelbagai jenis croissant enak seperti Croissant Golden Hazelnut, Croissant Snowy Custard dan Croissant Belgium Dark Chocolate pasti membuatkan anda menjilat jari. Nak makan kek atau pencuci mulut lain pun ada. Kesemua menu memang mengiurkan dan lazat kerana diperbuat daripada bahan-bahan segar, premium serta diimport khas dari negara luar!

Paling best, setiap cawangan Chizu mempunyai dekorasi moden, eksklusif dan menarik. Sambil makan, bolehlah anda ootd di setiap sudut kafe ini.

Untuk maklumat lanjut : Facebook , Website

Nasi Lemak Wanjo

Imej via [ Nasi Lemak Wanjo ]

Alamat: 8, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (6.30 am – 1 am)

Nasi lemak di sini menggunakan resepi turun-temurun sejak lebih 50 tahun lagi, jadi jelaslah yang ianya memang ‘legend’. Lauk-pauk di sini juga ada berbagai.

Antara lauk-pauk yang boleh didapati ialah sambal sotong, sambal paru, ayam goreng dan rendang ayam. Kami yakin jika anda ke sini pasti anda akan ambil lebih dari sejenis lauk. Biasalah, rambang mata!

JIBRIL Publika

Imej via [ Jibril ]

Alamat: D3-G3-8, No. 1, Jln Dutamas 1, Solaris Dutamas, 50480 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (11 am – 11 pm)

Jika anda mencari tempat makan ayam butter milk yang sedap dan best, tempat ini adalah antara tempat anda perlu cuba, Jibril SS15. Ayam butter milk restoran ini adalah yang famous dan padu kata orang KL.

Restoran ini menyediakan pelbagai jenis makanan khususnya “butter-based foods”. Antara menu lain menarik untuk di cuba adalah seperti Salted Egg Butter Chicken, Squid, Prawn, Clams mahupun Lobster.

Restoran ini juga unik dengan berkonsepkan ‘speakeasy’ atau tersembunyi tanpa pintu. Sesuai untuk dating bersama pasangan ataupun datang ramai-ramai dengan keluarga. Anda juga boleh singgah ke cawangan lain mereka di Publika Shopping Gallery (Jibril Publika) atau Seksyen 3, Bandar Baru Bangi (Jibril Bangi).

Maklumat lanjut: http://jibrilss15.com

Mala Mini HotPot Pavillion

malachuan
malatang

Alamat: Food Republic, Stall 13, Pavillion Bukit Bintang, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 pagi – 10.00 malam)

Mencari makanan yang unik dan peminat makanan pedas di KL? Peminat makanan Hotpot di Malaysia, anda memang perlu cuba Mala Mini Hotpot yang kini berada di pasaran Malaysia. Terletak di Pavilion Kuala Lumpur di deretan Food Republic, pelbagai menu yang boleh anda cuba dan yang penting adalah halal. Mala Mini Hotpot mendapat sambutan yang amat memberangsangkan sejak pembukaannya pada bulan lepas.

Lebih 60 bahan disediakan yang terdiri daripada daging, aneka mi, aneka makanan laut dan sayur-sayuran. Tiga produk utama keluaran Mala Mini Hotpot yang menjadi kesukaan ramai adalah Malatang, Mala Chuan Chuan dan Mala Hotpot. Banyak-banyak, kami paling suka Mala Chuan-Chuan.

Fiske Steakhouse & Asam Pedas

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: No k4, medan selera Au 2 c, Taman Desa Keramat, 54200 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9am – 12 pm)

Jarang-jarang kita jumpa restoran yang menggabungkan citarasa tempatan dan Barat, namun di KL anda boleh menikmati hidangan sebegini di restoran Fiske Steakhouse & Asam Pedas!

Untuk makanan tempatan, semestinya asam pedas menjadi pilihan ramai. Ada asam pedas ikan parang, daging tetel, ikan pari dan banyak lagi. Ianya juga pedas dan persis asam pedas Melaka!

Untuk makanan Barat pula, Lamb Stew, Lamb Grill dan Grilled Chicken Chop merupakan antara yang terlaris. Saiznya juga besar, pasti kena dengan citarasa anda.

Restoran ZK

zk kari kepala ikan
Imej via Foursquare

Alamat: 76, Jalan Kampung Attap, Kampung Attap, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (11 am – 4 pm)

Dari luar kedainya, kelihatan seperti restoran Mamak biasa sahaja. Namun, ada yang tak tahu yang Restoran ZK ini sangat terkenal dengan menu kari kepala ikannya!

Semestinya kari kepala ikan di sini sangat istimewa. Saiznya berbeza-beza tetapi yang pasti, semuanya besar-besar belaka. Jika anda pencinta kari kepala ikan, anda pasti akan berpuas hati dengan kualitinya!

Gobang Maju Patin Tempoyak Sri Rampai

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: Setapak Jaya, 53300 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, Selasa – Khamis (11 am – 7 pm) manakala Jumaat – Ahad (11 am – 10 pm)

Sebut sahaja patin tempoyak, pasti anda mula kecur air liur memikirkan menu yang cukup popular dari Pahang ini, bukan? Untuk menikmati patin tempoyak Pahang, singgah sahaja di restoran ini!

Halab Restaurant

halab
Imej via Foursquare

Alamat: 35, Jalan Berangan, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari, 10 am – 4 am

Teringin untuk mencuba makanan Arab yang enak dan asli? Apa kata anda singgah di restoran Halab yang terletak di Bukit Bintang ini? Pasti anda akan berpuas hati!

Menu-menu seperti nasi mandy dan kebab merupakan antara yang terlaris di sini. Kambing pula merupakan lauk yang menjadi kegemaran ramai pelanggannnya.

Nasi Kandar Saddam

Imej via [ Nasi Kandar Saddam ]

Alamat: 58, Jalan Segambut Pusat, Taman Segambut, 51200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (7.00 pagi-10.00 malam)

Jika anda penggemar nasi kandar, di Kuala Lumpur memang banyak kedai yang menjual nasi kandar dengan rasanya yang surr seperti di Penang. Salah satunya adalah Nasi Kandar Saddam. Kedai ini memang popular di kalangan penggemar nasi kandar.

Eye’s Steak

Imej via [ Eye’s Steak ]

Alamat: GM05-09 & GM05-10, 2, Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Selasa-Ahad (6.00 petang-12.00 malam)

Bajet ketat namun masih mengidamkan makanan Barat yang enak-enak? Restoran ini pasti cocok dengan anda! Terkenal dengan menu Barat seperti Ribs Eye, Burger Bakar dan Chicken Chop, harga yang ditawarkan di restoran Eye’s Steak ini juga murah-murah!

Anda pasti tidak percaya jika kami katakan yang Chicken Chop di gerai Eye’s Steak ini harganya kurang RM 10 bukan? Harganya hanya RM 7.50! Sangat berbaloi dengan saiz hidangannya yang agak besar dan keenakan yang dijamin!

Isi ayam yang digoreng rangup yang dibanjiri dengan sos lada hitam yang pekat ini menjadi kunci utama menu Chicken Chop di sini digilai ramai. Dihidangkan bersama kentang goreng dan coleslaw, menu yang cukup mengenyangkan ini wajib anda cuba!

Nasi Lemak Antarabangsa

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: 4, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (12 am – 12 pm, 6 pm – 12 am) dan Isnin (6 pm – 12 am)

Namanya memang cocok sekali dengannya. Nasi Lemak Antarabangsa ini memang bertaraf antarabangsa dek kerana popularitinya dan rasanya yang terlajak sedap!

Selain itu, lauk-pauk di sini juga berbagai. Ada sambal kerang, sambal sotong, rendang ayam, ayam goreng berempah dan banyak lagi. Memang boleh bikin rambang mata, silap-silap anda akan ambil semua!

Warong Che Senah

Imej via [ Warong Che Senah ]

Alamat : 53, Jalan Raja Mahadi, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi : Isnin-Khamis (4.00 petang – 1.00 pagi) | Jumaat & Sabtu (4.00 petang-2.00 pagi) | Ahad (4.00 petang-1.30 pagi)

Cari tempat makan best di KL dengan view yang memukau? Warong Che Senah pasti dapat memenuhi citarasa tempat makan anda. Mana tidaknya, Warong Che Senah bukan sahaja menawarkan pelbagai jenis makanan enak, malah view yang menarik yang berlatarkan KLCC serta bangunan tinggi yang lain.

Datang pada waktu malam untuk mendapatkan pemandangan memukau. Anda boleh memilih untuk makan makanan Thai, makanan barat dan menu tempatan.

Suraya Seafood

suraya seafood
Imej via Foursquare

Alamat:  Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (3.30 pm – 1 am)

Makanan Thai memang dekat dengan orang kita. Tidak mengira bangsa, ianya sentiasa menjadi pesanan ramai pelanggan di kebanyakan restoran. Jelas menunjukkan yang tomyam dan orang Malaysia berpisah tiada.

Restoran Suraya Seafood ini ada menyediakan makanan Thai yang digemari ramai. Antaranya ialah tomyam, kerabu maggie, ikan siakap tiga rasa, kerang bakar dan pulut mangga. Terlajak lazat, percayalah!

HR Steak House

hr steak house
Imej via Foursquare

Alamat: 56, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (5 pm – 2 am)

Penggemar makanan Barat selalunya akan menyenaraikan restoran ini dalam senarai restoran kegemaran mereka. Bukan sahaja kerana makanan di sini enak, malah harganya juga murah!

Antara menu yang wajib anda pesan di HR Steak House ialah Chicken Chop, Lamb Chop, Chicken Cordon Bleu dan banyak lagi. Sos lada hitam yang membanjiri Chicken Chop di sini memang digemari ramai.

Nasi Lemak Saleha

Imej via Foursquare

Alamat: No. 2, Jln Seri Rejang 4, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (6 am – 1 am)
Nasi Lemak Saleha ini juga merupakan antara restoran nasi lemak paling popular di KL. Restoran ini sudah lebih 10 tahun beroperasi, jadi memang ‘legend’ restoran ini. Keistimewaan utama nasi lemak di sini terletak pada aroma nasinya yang harum dan memikat dan tekstur nasinya juga lembut.

Sambalnya juga manis dan pedas, memang sedap. Lauk-pauk yang boleh didapati ialah rendang daging, sambal sotong, ayam goreng, paru goreng berlada dan sambal kerang. Bikin kecur air liur mendengarnya!

Langgaq Sup Utara

langgaq sup utara
Imej via Foursquare

Alamat: 27, 13, Jalan AU 2a/17, Taman Keramat, 54200 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, Isnin – Khamis (12 – 11.30 pm) manakala Jumaat – Ahad ( 3 – 11.30 pm)

Orang Utara yang menetap di KL, anda rindu tak pada bihun sup Utara? Jika ya, tak perlu susah-susah pulang ke Kedah. Kerana Langgaq Sup Utara ada menyediakan hidangan kegemaran anda itu.

Restoran Langgaq Sup Utara ini merupakan antara yang terkenal di KL. Bihun Sup Utara mereka dipuji kerana rasanya mampu mengingatkan si pengunjung kepada kampung halaman mereka di Kedah. Asli dan enak!

Thursdvys

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: 22, Lorong Datuk Sulaiman 1, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, bermula dari jam 11 pagi hingga 1 malam

Nama kafe ini pasti kedengaran unik bagi anda, bukan? Sebutan untuk kafe ini ialah ‘Thurdsdays’. Kafe yang berkonsepkan moden ini menghidangkan menu berasaskan makanan Barat.

Menu yang disajikan di kafe Thursdvys ini cukup beraneka. Dari menu sarapan, pasta dan pencuci mulut, semuanya ada! Antara menu yang kami sarankan untuk anda cuba ialah Baba’s Breakfast, dijamin mengenyangkan!

Sate Zainah Ismail

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: 1077, Lorong Kiri 20, Kampung Datuk Keramat, 54000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (6 – 1.30 pm)

Untuk yang kepingin sate, kedai makan ini salah satu alternatifnya. Pelbagai ulasan yang positif tentang tempat makan ini. Kedai makan ini terletak berhampiran dengan mercu tanda seperti stesen minyak Esso dan Stesen LRT Damai.

Keistimewaan sate ini terletak pada rempah yang diperap dan pilihan sate yang berbagai. Antaranya ialah sate daging, ayam, hati dan perut.

Selain itu, kepekatan kuah kacang di sini juga menjadi punca utama sate di sini mendapat tempat yang istimewa di hati pelanggan.

Amber Chinese Muslim Cuisine

amber chinese muslim restaurant
Imej via Foursquare

Alamat:  Unit 14, 7, Jalan Kerinchi, Bangsar South, 59200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (11.45 am – 10.30 pm)

Teringin menikmati masakan Cina-Muslim yang semestinya halal? Singgah sahaja di Amber Chinese Muslim Cuisine untuk memuaskan perut anda!

Antara hidangan yang digemari ramai di sini ialah mi tarik,  Roasted Lamb Chop dan Grilled Chicken Wings. Ramai pelanggan memuji saiz hidangan yang besar dan harganya yang berpatutan. Sangat berbaloi!

Rumah Makan Cibiuk Wangsa Maju

rumah makan cibiuk
Imej via Foursquare

Alamat: 25-G, Jalan Maju Ria 2, Seksyen 10 Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Sabtu-Khamis (12.00 pm-9.00 pm)

Mengidamkan makanan Indonesia? Singgah sahaja di Rumah Makan Cibiuk yang terletak di Wangsa Maju ini. Variasi hidangan Indonesia ada disajikan di sini, anda pasti tidak akan kecewa dengannya.

Menu-menu yang anda boleh cuba ialah set nasi ayam bakar dan set nasi liwet. Kedua-duanya merupakan antara set yang terlaris di sini, kami yakin anda pasti akan turut menggemarinya.

Station 21

station 21 tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Jalan Ara, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, (12 pm – 11 pm)

Station 21 terkenal dengan pelbagai hidangan Barat yang disediakan dalam kuantiti yang banyak. Restoran ini amat terkenal sehingga turut menjadi pilihan legenda rock Datuk Ramli Sarip. Hidangan paling diminati pelanggan adalah steak, dijamin lazat!

Menurut pelanggan, steak mereka amat lazat seolah-olah makan di hotel. Harganya juga berpatutan, memang berbaloi! Restoran yang terletak di sebelah masjid ini juga memberi keselesaan kepada pelanggan yang mahu menunaikan solat sebelum atau selepas makan. Peminat steak, tempat ini patut berada dalam tempat maan best di KL anda.

Bbq Lamb KL Kemensah

Imej via Bbq Lamb KL Kemensah

Alamat: Kampung Kemensah, 68000 Kuala Lumpur.

Waktu Operasi: Setiap hari (12.00 pm-7.00 pm)

Lagi satu tempat makan best di KL yang unik adalah Bbq Lamb KL Kemensah. Apa keunikan yang ada di sini? Semestinya anda dapat merasai pengalaman makan di tengah-tengah sungai. Sambil menikmati menu enak, anda dapat merendamkan kaki di dalam air sungai. Pasti lebih nyaman dan berselera.

Bukan sahaja tempat yang unik, malah menu utama yang disajikan juga unik dan sukar didapati di kebanyakan tempat. Antara menu istimewa adalah Smokey Duck Breast, Lamb Shank, Lamb Ribs dan Sizzling Smokey Duck. Tak cukup dengan itu, ada juga set makanan laut seperti king crab dan lobster!

Nasi Lemak Tanglin

 tanglin
Imej via Foursquare

Alamat: Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Waktu Operasi: Setiap hari (7 am – 1 pm)

Restoran Nasi Lemak Tanglin ini sangat terkena dengan sambalnya. Ianya pedas namun masih boleh dimakan dan tidaklah keterlaluan. Lauk-pauknya juga ada berbagai.

Sambal sotong merupakan lauk yang paling ‘top. Lauk lain seperti sambal kerang, ayam goreng dan paru goreng juga turut digemari ramai. Anda wajib cuba!

Breakfast Thieves

Alamat: Lot M, 29-5, Jalan Riong, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.00 am- 5.00 pm)

Mencari breakfast ala-ala Inggeris? Ha anda memang perlu cubanya di Breakfast Thieves. Antara menu yang ditawarkan adalah Bastardized Rice, Davy Jones, Gottis Black Gold dan banyak lagi. Pelbagai minuman boleh anda pilih termasuklah kopi, teh, jus buah dan lain-lain.

Nasi Kerabu Jln Gombak KL

Alamat: 326-320, Jln Sungai, Kampung Puah, 53000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis ( 7.00 am – 12.00 pm)

Nak breakfast dengan nasi kerabu di KL? Ini tempatnya! Terletak di Kampung Puah, kedai ini terkenal dengan keenakan nasi kerabu kambing dan ayam bakar dan nasi dagang. Semestinya sedap kerana menu mengikut resepi original dari Kelantan. Ada juga menu lain bersama aneka kuih-muih untuk pilihan anda.

Asam Pedas Sejati Melaka

tempat makan kl
Imej via Instagram

Alamat: 49, Jalan Pandan Kemajuan A, Kampung Pandan Dalam, 55100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (11 am – 5.30 pm)

Namanya sahaja sudah cukup untuk menggambarkan keaslian menu utama di restoran ini. Menggunakan resepi asli asam pedas Melaka, kami yakin anda pasti akan jatuh cinta dengan keaslian dan keenakan menu asam pedas di sini!

Antara menu yang disediakan di sini ialah asam pedas ikan pari, asam pedas ikan kembung, asam pedas ikan jenahak dan asam pedas daging tetel. Kuah asam pedas yang tidak terlampau pedas dan pekat menjadi tarikan istimewa menu ini.

Menu-menu ini lebih enak jika dikenakan bersama telur masin dan ulam-ulaman bersama sambal belacan yang cukup enak. Dijamin mengenyangkan dan menyelerakan!

Chequers

Imej via Chequers

Alamat: 153, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Rabu, bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam
Ada penggemar wafel di sini? Jika ada, anda wajib serbu kafe Chequers di TTDI ini! Wafel yang dihidangkan di sini bukan biasa-biasa, menunya juga cukup beraneka.

Yang istimewa tentang wafel di sini ialah ianya dibuat sendiri dan bahan-bahan yang digunakan juga segar-segar belaka! Antara wafel yang digemari pengunjung di sini ialah Chicken & Waffles, dijamin sedap!

Menu lain seperti hidangan pasta, snek, burger dan salad juga turut dihidangkan di sini. Cukup beraneka, bukan?

Nasi Kahwin Hari-Hari

Imej via Nasi Kahwin Hari Hari

Alamat: lorong, Jalan Berangan, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (10.00 am – 5.30 pm)

Kedai makan ini memang terkenal di Bukit Bintang. Jika ada yang rindu untuk makan menu kenduri, bolehlah datang ke sini. Antara menu yang menjadi kesukaan ramai adalah nasi minyak yang dimakan bersama ayam rose terangkat, ayam madu dua, daging masak hitam dan kambing pasamah.

Rasanya memang mengiurkan dan pasti menjilat jari. Bukan makanan sahaja enak, namun dekorasi tempatnya juga menarik dengan hiasan mural di dinding. Sambil makan bolehlah anda ootd dengan kreatif.

Restoran Dapur Sarawak

Alamat: No.19, Jalan Sarikei, Off Jalan Pahang, Pekeliling, 53000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00 am – 10.30 pm)

Ada di kalangan pembaca di sini yang teringin untuk mencuba makanan tradisi Sarawak yang menggunakan resepi asli? Restoran Dapur Sarawak ini wajib anda serbu untuk mencuba menu sebegitu!

Menawarkan menu-menu istimewa seperti mi kolok, laksa sarawak dan kek lapis, harga yang ditawarkan di sini juga sangat berbaloi dengan keenakan dan keaslian resepi yang dijanjikan. Servis dan kebersihan di restoran ini juga sangat baik!

Restoran Rosdet Tomyam

menu @ Rosdet Tomyam
Imej via Foursquare

Alamat: 5, 160, Jalan Abdul Rahman Idris, Chow Kit, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Sebut sahaja tentang Tomyam, siapa sahaja yang tidak menggemari masakan Thai yang cukup popular ini? Kami yakin ramai di kalangan pembaca yang menggemarinya. Jika anda ingin mencuba Tomyam kena dengan selera anda, anda wajib serbu restoran ini!

Restoran Rosdet Tomyam yang bertempat di Chow Kit ini cukup terkenal dengan masakan Thai yang asli. Antara menu yang menambat hati ramai ialah Siakap Tiga Rasa, Tomyam Seafood, Lidah Masak Merah dan Lala Masak Pedas. Rasanya cukup memukau!

Don Don Donki

Imej via Don Don Donki

Alamat: Ground Floor, Lot 10, Shopping Centre, G8-G11, 50, Jln Sultan Ismail, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (10.00 am-12.00 am)

Siapa yang tak kenal akan Don Don Donki ini. Pernah tular dengan keenakan wagyu skewernya yang lembut, juicy dan sedap sehinggakan ramai yang sanggup beratur panjang untuk merasainya. Yang penting ianya halal. Sebenarnya banyak lagi menu yang ditawarkan seperti A5 Wagyu Brisket dan Japanese Tegone Tsukene Skewer.

Bangsar Fish Head Corner

Alamat: Pusat Penjaja Taman Lucky, No.2, Lorong Ara Kiri 3, Bangsar

Waktu Operasi: Setiap hari (10 pagi hingga 5 petang)

Gerai ini selalu diserbu pelanggan yang ramai kerana makanannya yang sedap dan murah. Dikenali sebagai Kari Kepala Ikan Anuar, kedai ini telah dikenali lama. Mungkin kebanyakan gerai menawarkan harga yang mahal untuk menu ini namun di sini, harga yang ditawarkan memang berpatutan dengan kualitinya!

Oleh sebab nama gerai ini sendiri ialah Kari Kepala Ikan Annuar, jadi anda haruslah cuba kari kepala ikannya! Ikan segar bersama kuah kari pekat ini memang sentiasa menjadi pilihan ramai pelanggan yang datang ke sini.

Restoran Rebung Dato Chef Ismail

rebung chef ismail tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat:  5-2 Cascade Parking, Jalan Bukit Aman, 1, Jalan Tanglin, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari,8 – 10 am, 11:30 am – 3 pm, 3:30 – 5:30 pm, 6:30 – 10:30 pm

Pemilik restoran ini ialah Dato Chef Ismail, seorang chef tersohor di negara kita. Kami yakin walau anda tidak pernah terdengar namanya, anda pasti pernah terlihat wajahnya baik di kaca TV mahupun akhbar.

Untuk mencuba hidangan yang dimasak khas menggunakan resepi beliau, anda wajib singgah di restoran ini. Menu sarapan, makanan tengah hari, minum petang dan makan malam ada disediakan & sangat berbagai!

Masakan Padang Asli Kampung Baru

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat:  Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari, 10 am – 8 pm

Ingin mencuba masakan Padang yang bukan sahaja enak, malah asli? Tak perlu susah-susah ke Indonesia, restoran Masakan Padang Asli Kampung Baru ini ada menyediakannya!

Nasi Padang di sini disajikan bersama lauk-pauk seperti ayam kampung dan daging dendeng. Soal keaslian resepinya anda tak perlu risau. Rata-rata pelanggan yang pernah mencubanya mengakui yang Nasi Padang di sini persis dengan yang di Indonesia.

Western Express

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: 52-G, Danau Lumayan 1, Pusat Perniagaan Danau Lumayan Off Jalan Tasik Permaisuri 1, Bandar Tun Razak,  56000 Cheras, Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari, 5.30 pm – 3 am

Penggemar murtabak pasti akan berpuas hati dengan murtabak yang disajikan di restoran Western Express yang terletak di Cheras ini. Bukan biasa-biasa murtabak yang disediakan di sini tau!

Selain murtabak, menu lain yang berasaskan makanan Barat juga boleh anda cuba. Chicken Chop dan Fish & Chip yang dibakar merupakan antara menu popularnya.

Murni Discovery Bukit Jalil

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: 41, Jalan 16/155c, Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 12 pm – 12 am

Restoran mamak memang sangat senang didapati, tambahan pula di bandar seperti KL. Namun, tak semuanya mampu menyajikan makanan yang berbagai & enak.

Restoran Murni Discovery Bukit Jalil merupakan salah satu restoran mamak yang agak terkenal di Bukit Jalil. Menu seperti nasi lemak,  Lord of the Wings dan Mee Raja merupakan antara menu tersedap di sini.

Paksu Chicken Chop

Imej via Paksu Chicken Chop

Alamat: 289, 279, Jalan Gombak, Kampung Kuantan, 53100 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Waktu operasi: Rabu – Isnin (4 pm – 1 am)

Restoran Paksu Chicken Chop ini menyediakan makanan Barat. Semestinya Chicken Chop merupakan menu signature di restoran ini. Rangup dan lembut, ianya juga dibanjiri dengan sos lada hitam yang istimewa.

Selain Chicken Chop, anda juga boleh mencuba menu lain. Antaranya  ialah Mushroom Soup, Lamb Chop dan Spaghetti Carbonara. Saiz hidangan juga agak besar, jadi kekenyangan pasti terjamin!

Al’ Azmi Garden

tomyam @ tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat:  65, Jalan 1/48a, Bandar Baru Sentul, 51000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari(4 am-4 pm)

Restoran ini boleh anda kunjungi jika anda ingin menikmati makan malam yang enak-enak sambil bersantai bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Suasananya yang santai dan rileks membuatkan ramai pengunjung berasa selesa di sini.

Menu seperti tomyam, Nasi Goreng ZK, pulut mangga, sotong goreng tepung dan macam-macam lagi makanan Thai ada disediakan di sini. Lebih meriah jika dinikmati beramai-ramai!

The Grato® Original by Chef Yasser

Alamat: Lot 531, Jalan AU 1/4D Jelatek Business Centre, Taman Keramat Permai, 54200 Kuala Lumpur

Waktu operasi: Selasa-Ahad (4.30 pm-12.00 am)

Restoran The Grato Original ini menyajikan makanan Itali dan makanan Barat. Bukan calang-calang tau restoran ini, kerana pemiliknya merupakan seorang chef profesional iaitu Chef Yasser!

Pasta, nachos, burger, pizza dan makanan berat yang lain ada disajikan di restoran ini. Bukan sahaja enak, yang penting kualiti hidangan itu sendiri sangat baik. Rugi tak cuba!

Mr Boom Naan Corner

Imej via NAAN Corner Restaurant MR BOOM 1983

Alamat: 8, Jalan Au 5D/1, Taman Lembah Keramat, Wilayah Persekutuan Taman Permata, Keramat, 54200 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Selasa-Jumaat (11.30 am-11.30 pm) | Sabtu-Isnin (7 am-11 am, 4.30pm-11.30 pm)

Restoran ini menyediakan pelbagai menu enak dengan harga berbaloi. Paling best mereka menyediakan pakej buffet sarapan serendah RM 7 sahaja namun terhad pada waktu tertentu.

Tempatnya juga menarik, mewah dan cantik. Sesuai untuk mereka yang suka akan tempat makan yang instagrammable.

Sukhumvit TWO Restaurant

sukhumvit
Imej via Foursquare

Alamat: 65, Jalan Hamzah, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 4 pm – 12 am

Sumkhuvit merupakan nama sebuah jalan di Bangkok, jelas menunjukkan yang nama restoran ini diambil bersempena jalan tersebut. Selain makanan Thai, restoran ini juga ada menyediakan hidangan lain.

Bagi yang menggemari hidangan shellout, inilah restoran yang wajib anda tuju untuk mencuba sajian itu! Ada berbagai makanan laut yang dihidangkan bersama, memang terbaik!

Suki-Ya

Imej via Suki-ya

Alamat: 67, Jln Taman Ibu Kota, Taman Danau Kota, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari, 11 am – 10 pm

Suki-Ya ini pernah viral baru-baru ini dengan kelazatan dan keunikan menunya. Jika anda masih ingat, ianya viral kerana ‘daging terbang’. Mana tidaknya, ada yang mengikuti trend ‘pusing -pusing daging’ sebelum memasukkannya ke dalam kuah yang mendidih namun ada yang terbang entah kemana.

Suka Sucre Bistro

tempat makan kl
Imej via Foursquare

Alamat: 27 & 29, Jalan Sri Hartamas 7, Taman Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (11.30 am-4.30 pm)

Nama chef selebriti ini pasti anda pernah terdengar, bukan? Tidak dinafikan, Datuk Fazley Yaakob merupakan antara chef selebriti yang sangat terkenal di negara kita.

SukaSucre Bistro merupakan restoran milik beliau. Restoran ini menyajikan menu seperti Pasta Daging Salai Masak Lemak Cili Api dan Pasta Sambal Minang.  Konsep dekor restoran yang cantik juga patut dipuji!

Me’nate Steak Hub (Setapak)

menate steak hub setapak
Imej via Foursquare

Alamat: C-01-02 & C-01-03 StarParc Point, Jalan Taman Ibu Kota, 53300 Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (11 am – 11 pm)

Me’nate ini merupakan steakhouse yang sangat popular di Malaysia. Mempunyai beberapa cawangan di serata Malaysia, jelas menunjukkan yang steakhouse ini memang terkenal.

Kualiti stik di sini memang dijamin terbaik. Sirloin, Rib Eye, Wagyu, Lamb & Beef Rack merupakan antara stik yang wajib anda cuba. Kami berani jamin anda akan berpuas hati dengannya!

Gerai Ikan Bakar Seri Melaka

makan @ bellamy
Imej via Foursquare

Alamat: Lorong Bellamy & Jalan Istana, Bukit Petaling, 50460 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (11 am-4.00 pm)

Ada penggemar ikan bakar di sini? Restoran Gerai Ikan Bakar Seri Melaka ini menghidangkan ikan bakar yang bukan sahaja enak, malah segar dari ladang!

Terletak berhampiran dengan Istana Negara, antara menu yang terlaris di sini ialah menu ikan bakar, kerang bakar dan sotong bakar. Ikan di sini juga berbagai jenis, dan ikan yang menjadi pilihan ramai ialah semestinya ikan pari.

Lauknya juga segar-segar belaka dan dibakar dengan sempurna. Enak dicicah bersama kicap yang istimewa!

Soru Station

tempat makan kl @ soru station
Imej via Foursquare

Alamat: 50-G, Jalan Tasik Utama 7 Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, 57000 Kuala Lumpur,

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (12 pm-12 am)
Restoran ini menyediakan makanan Barat. Bukan sekadar Chicken Chop dan Lamb Chop sahaja, ada banyak lagi yang boleh didapati.Menu platter juga ada disediakan & saiznya juga besar.

Antara menu yang boleh dicuba ialah Chicken Parmigiana, Chicken Cordon Bleu, Lamb Grill dan Charcoal Grilled Chicken. Sedap ke semuanya? Semestinya!

Kak Som

kak som
Imej via Foursquare

Alamat: 19, 13, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Mengidamkan makanan Kelantan? Tidak mengapa, tak perlu jauh-jauh ke Kelantan. Kerana di Kampung Baru, restoran Kak Som ada menyediakan hidangan Kelantan yang asli.

Antaranya ialah nasi kerabu dan laksam. Nasi kerabunya disajikan dengan lauk-pauk seperti daging,ayam dan ikan goreng. Masakan kampung yang lain juga turut dihidangkan di sini.

Wahab’s Chendol

wahab cendol
Imej via Foursquare

Alamat: 53, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (10 am – 9 pm)

Siapa sahaja yang tak menggemari cendol? Minuman ini memang enak dinikmati semasa cuaca panas-panas. Rasanya yang manis dan berlemak juga mampu membangkitkan mood sesiapa sahaja.

Untuk menikmati cendol yang merupakan antara yang terbaik di KL, singgah sahaja di Wahab’s Cendol. Antara yang boleh anda pesan ialah cendol pulut, cendol durian dan cendol nangka.

Nasi Ayam Chee Meng

nasi ayam chee meng
Imej via Foursquare

Alamat: 50, Bukit Bintang Street, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (11 am – 8 pm)

Peminat nasi ayam Hainan, kami ada berita gembira buat anda. Restoran Nasi Ayam Chee Meng ini ada menyediakan nasi ayam Hainan yang dikatakan antara yang terbaik di KL.

Semestinya halal dan enak, restoran ini terletak di Bukit Bintang. Ayamnya dipuji ramai kerana isinya sangat ‘juicy’ dan nasinya pula lembut. Lebih enak jika dimakan bersama kerabu kaki ayam!

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa tempat makan di KL yang boleh anda serbu? Tidak dinafikan, KL memang boleh dikategorikan sebagai syurga makanan kerana ada pelbagai tempat makan yang kena dengan citarasa ramai.

Jangan berlengah lagi, singgah sahaja jika berpeluang ke sini. Jika anda cadangan atau tambahan lain, komen sahaja di bawah. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain:

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.