Mencari tempat makan hipster di Kuantan?

Kuantan yang merupakan ibu negeri Pahang mempunyai banyak tarikan pelancongan. Pantai-pantai yang cantik merupakan antara tarikan utama bandar Kuantan.

Tarikan lain termasuklah tempat makan hipster. Jadi, berikut kami senaraikan 15 tempat makan hipster di Kuantan yang wajib anda terjah. Teruskan membaca!

#1 Kula Cakes

Alamat: 96, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin, hari minggu (11 am – 6.30 pm) manakala hujung minggu (11 am – 7.30 pm)

Terletak di Jalan Besar, tidak dinafikan Kula Cakes merupakan antara tempat makan hipster terhangat di Kuantan. Kek yang mereka sajikan mencuri perhatian ramai, tambahan pula di kalangan orang luar.

Imej via Foursquare

Kek yang mendapat pesanan yang banyak ialah Mango Cheesecake mereka. Selain itu, Kula Cakes juga turut menyajikan menu lain seperti brownies dan pavlova. Minuman kopi dan coklat panas juga boleh anda cuba.

#2 Tjantek

Alamat: 46, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Rabu, 9 am – 10 pm manakala Sabtu 9 am – 11 pm

Ingin menikmati makanan yang sedap-sedap di kafe hipster yang mempunyai konsep dekorasi yang antik? Inilah dia kafe yang wajib anda serbu di Kuantan – Tjantek Art Bistro.

Imej via Foursquare

Wafel mereka merupakan antara menu yang terlaris, memang enak dinikmati bersama aiskrim. Selain itu, ada juga hidangan lain seperti kek, aneka jenis kopi dan makanan berat berkonsepkan hidangan Barat. Semuanya enak-enak, kami berani jamin!

#3 Lepak Luu Cafe

Alamat: 2, 25300 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setip hari kecuali Isnin, Ahad – Rabu 5 pm – 1.30 am, Khamis 12 pm – 2.30 am manakala Jumaat & Sabtu 5 pm – 2.30 am

Lepak Luu Cafe merupakan kafe berkonsepkan kontena yang terkenal di Kuantan. Walaupun baharu sahaja beroperasi, nama kafe kontena ini sudah menjadi sebutan ramai. Aneka jenis hidangan boleh didapati di sini.

Imej via Foursquare

Ada yang menyediakan set nasi berlauk, sate, burger bakar, bingsu, kek, maggie ketam dan bermacam-macam lagi. Jika anda ke sini, pasti anda akan rambang mata. Harga yang ditawarkan juga berpatutan, rugi tak singgah!

#4 Loteng

Alamat: Jalan Telok Cempedak, 25050 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari, 11 am – 12 am manakala Jumaat dan Sabtu 11 am – 1 am

Bagi yang biasa ke Teluk Cempedak, pasti anda tahu tentang kafe Loteng ini. Memang cantik kafenya, ditambah pula dengan pemandangan pantai yang berhadapan dengan kafe. Sangat menenangkan!

Imej via Foursquare

Kafe Loteng cukup terkenal dengan makanan Barat. Fish and Chips dan Lamb Chop merupakan menu yang digilai ramai. Saiz hidangannya juga besar, memang puas hati! Untuk minuman, jangan lupa cuba Thai Milk Tea mereka.

#5 Akar Kopi

Alamat: 2-8, Exit Jalan Teluk Sisek, 25050 Kuantan, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari, 5 pm – 3 am

Pencinta kopi, ini antara tempat makan hipster di Kuantan yang menyajikan kopi terpadu – Akar Kopi! Kopi di sini ada berbagai dan sebaik sahaja anda tiba di sini, anda pasti akan terpikat dengan aroma kopi yang harum.

Imej via Foursquare

Kopi yang terlaris ialah Akar Kopi Ais, cukup sedap dinikmati semasa cuaca panas. Akar Kopi Panas juga boleh anda cuba, enak juga dinikmati semasa sesi mengopi di kedai kopinya yang santai. Untuk makanan, roti bakar dan kek juga ada disediakan.

#6 Lila Wadi

Alamat: Lorong Selamat 21, Taman Kerjasama, 25050 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari, 2 – 10 pm

Jika anda berada berdekatan dengan Teluk Cempedak, anda akan jumpa restoran ini dahulu – Restoran Lila Wadi. Kami yakin dari luar, anda pasti akan terpegun dengan dekorasi restoran yang cantik dan penuh romantis.

Imej via Foursquare

Hidangan yang menarik di sini ialah set BBQ mereka. Ada berbagai jenis pilihan lauk yang boleh dipilih, memang best! Selain itu, kek keju mangga di sini juga wajib anda cuba. Lembut dan berkrim, sekali makan pasti nak lagi!

#7 90 Degrees Cafe & Art

Alamat: 882, Jalan Air Putih, Taman Imbi, 25300 Kuantan, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, Isnin – Khamis (10 am – 11 pm), manakala Jumaat – Ahad (10 am – 12 am)

Kafe ini bukan sahaja sesuai disinggah untuk menjamu selera, malah di tingkat atasnya ada sebuah galeri sini. Sangat sesuai disinggah oleh para Instagrammer dan dijadikan port bergambar!

Imej via Foursquare

90 Degrees Cafe and Art menyajikan makanan Barat. Anda boleh cuba wafel mereka. Selain itu, kopi di sini juga tidak kurang hebatnya! Ianya dibru dengan segar, memang puas hati sebaik sahaja anda menghirup kopi di sini.

#8 Kimstone

Alamat: Lot 2595 Jalan Kemaman Pusat Kesihatan Beserah, 26100, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Rabu, 4 pm – 12 am

Imej via Foursquare

Kami yakin dari jauh sahaja anda pasti akan terpegun dengan kecantikan medan selera ini. Ianya bukan medan selera biasa-biasa, boleh dikatakan Kimstone merupakan antara tempat makan hipster yang terkenal di Kuantan.

Terdapat pelbagai jenis gerai yang boleh anda singgah untuk anda cuba makanannya. Ada makanan Barat, kambing bakar, air kelapa yang menyegarkan tekak iaitu Kelapa Joget dan banyak lagi. Pasti akan bikin anda rambang mata!

#9 Beanz and Co

Alamat: A892, 2, Lorong Sri Kuantan 42, Perkampungan Seri Kuantan, 25250 Kuantan, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu, 9 am – 12 am

Bagi yang ingin menyiapkan kerja atau bersampai di kafe moden yang cantik dan bersih, Beanz and Co adalah salah satu kafe di Kuantan yang wajib anda terjah. Kopi di sini mendapat pujian ramai, memang rugi jika tak cuba.

Imej via Foursquare

Selain kopi, mereka juga ada menyediakan makanan lain yang berkonsepkan makanan Barat. Antaranya ialah Chicken Chop dan Garlic Bread with Mushroom Soup. Sup cendawan di sini dipuji kerana teksturnya yang berkrim, memang sedap!

#10 Java Flava

Alamat: B-1786, Lorong Sekilau 30, Perkampungan Bukit Sekilau, 25300 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Khamis, Isnin – Rabu (10 am – 11 pm) manakala Jumaat – Ahad (10 am – 12 am)

Ingin singgah di kafe yang mempunyai dekorasi ala-ala kafe di Australia? Singgah sahaja di kafe Java Flava. Kafe ini memang terkenal dengan aneka jenis makanan dan kopi yang menyelerakan.

Imej via Foursquare

Untuk makanan, mereka ada menyajikan pasta, sandwich, wafel dan kek. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dengan kualiti makanan yang semuanya dibuat sendiri, dijamin sedap!

#11 Classic Pilot Cafe

Alamat: A25, Kuantan Avenue, Lorong Seri Kuantan 2, Taman Teluk Sisik, 25300 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 12 pm – 10.30 pm manakala hujung minggu 1 pm – 10.30 pm

Kebanyakan kafe menyajikan makanan Barat, namun ada juga yang menyajikan aneka selera tempatan dan Barat. Classic Pilot Cafe merupakan antara kafe hipster di Kuantan yang menyajikan sajian yang pasti kena dengan citarasa anda.

Imej via Foursquare

Bagi yang menyukai daging kambing, anda pasti aka berpuas hati dengan kualiti daging kambing di sini. Ianya dipanggang dengan sempurna dan aroma dagingnya memang harum. Isinya juga lembut dan secukup rasa. Ianya dihidangkan bersama pasta dan nasi goreng. Semestinya best!

#12 burgerak™

Alamat: 4a, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari 10 am – 11.30 pm manakala Jumaat dan Ahad 4 – 11.30 pm

“Burger Homemade Kuantan No.1” ialah slogan restoran Burgerak™ . Jadi, ini jelas menunjukkan yang burger di sini bukan sahaja antara yang terbaik, malah ianya juga dibuat sendiri.

Imej via Foursquare

Burger yang mendapat sambutan ramai ialah burger kambing. Kesegaran daging kambing serta saiz burger yang besar menjadikan ianya hidangan yang digilai ramai. Selain itu, burrito kambing juga merupakan antara menu yang wajib anda cuba.

#13 Lebak Cafe

Alamat: B56, Jln IM 7/1, Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari, 12.15 – 10.30 pm

Kafe Lebak ini terletak di Indera Mahkota. Walaupun baharu sahaja beroperasi, ianya mendapat sambutan yang hangat daripada orang ramai. Buktinya, setiap kali waktu malam pasti kafe ini akan dibanjiri dengan pelanggan.

Imej via Foursquare

Rata-rata pelanggan memang berpuas hati dengan makanan di sini. Antara yang anda boleh cuba ialah Buttermilk Chicken with Rice, Nasi Goreng Kambing dan Daging Halia.

#14 Lena Cafe By Kayuwoods

Alamat: Jalan Teluk Sisek Kuantan, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 9 am – 11 pm

Jika anda pernah ke kafe Pagi & Diasy di Kuantan, kafe Lena Cafe by Kayuwoods ini merupakan kafe penjenamaan semula untuk Pagi & Daisy. Dekorasi kafenya memang cantik, sesuai disinggah sesiapa yang memburu tempat makan hipster sekitar sini.

Imej via Instagram

Sama seperti sebelumnya, kafe ini memang terkenal dngan menu sarapan berkonsepkan menu tempatan dan Barat. Anda boleh cuba nasi kerabu dan nasi dagang, memang sedap! Selain itu, mereka juga ada menyediakan English Breakfast yang bersaiz besar.

#15 Brew and Cabin Cafe

Alamat: A-37, Lorong IM 15/19, Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari, 11.30 am – 10.30 pm manakala Jumaat 11.30 am – 1 pm, 2 – 10.30 pm

Satu lagi kafe berkonsepkan kontena di Kuantan – Brew and Cabin Cafe. Memang sesuai diserbu oleh pengunjung yang ingin bersantai bersama rakan-rakan sambil menghirup kopi yang sedap-sedap dan makanan yang mengenyangkan. Kafe ini terletak di Bandar Indera Mahkota.

Imej via Foursquare

Kopi mereka menerima pujian daripada ramai pelanggan. Anda boleh cuba Hazelnut Latte, Caramel Latte dan Iced Mocha – pekat dan tidak terlampau manis! Selain itu, mereka juga ada menyajikan makanan lain seperti pasta, kek dan nachos.

Kesimpulan

Sudah jumpa tempat makan hipster di Kuantan yang ingin anda serbu? Kuantan memang mempunyai banyak tempat makan hipster, jadi singgah sahaja di mana-mana tempat makan yang kena dengan citarasa anda.

Jangan berlengah lagi, lekaslah serbu jika berpeluang ke sini. Jika ada cadangan atau tambahan lain, komen sahaja di bawah. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain:

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.