Roti Canai Kayu Arang Melaka – sebuah gerai yang bukan biasa-biasa hebatnya. Hal ini terbukti kerana gerai ini sentiasa penuh dengan ramai pelanggan.

Tidak dinafikan lagi, gerai ini merupakan antara gerai roti canai paling ‘top’, bukan sahaja di Melaka malah di Malaysia!

Agak-agak apa yang membuatkan Roti Canai Kayu Arang Melaka begitu popular? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

Cara Penyediaan Roti Canai yang Paling Unik

Sebenarnya, memasak menggunakan dapur arang sudah lama dipraktikkan sejak dahulu lagi. Namun, itu zaman datuk nenek kita sahaja. Pada zaman moden, memang susah nak jumpa!

Roti Canai Kayu Arang Melaka

Imej via Foursquare

Dari nama gerai ini sendiri anda boleh teka roti canai di Roti Canai Kayu Arang Melaka dimasak menggunakan apa – semestinya dapur arang. Tertanya-tanya bagaimana rasanya?

roti canai kayu arang @ Roti Canai Kayu Arang Melaka

Imej via Foursquare

Semestinya enak! Malah, rata-rata pelanggan mengakui yang roti canainya lebih rangup, harum dan lembut berbanding roti canai biasa. Saiznya juga agak tebal, sangat berbaloi untuk dinikmati.

Roti Tampal Dangdut, Namanya Unik & Rasanya Enak

Wah, unik betul nama menu ini! Roti Tampal Dangdut merupakan antara menu terlaris di gerai Roti Canai Kayu Arang Melaka. Agak-agak apa yang membuatkan menu ini begitu istimewa?

roti tampal dangdut @ roti canai kayu arang melaka

Imej via Foursquare

Roti Tampal Dangdut ini merupakan roti yang ‘ditampal’ bersama telur di atasnya. Berbeza dengan roti telur, telurnya diletakkan di atas rotinya seperti ditampal.

‘Dangdut’ pula kerana telurnya ialah dua biji telur ayam separuh masak atau telur goyang. Rasanya cukup lazat, dan kelazatannya berganda jika dicicah bersama kuah dal dan cili!

Roti Canai Nachos, Gabungan Selera Tempatan & Barat Paling ‘Meletop’!

Menu ini juga merupakan antara menu yang menarik perhatian ramai. Jarang-jarang kita dengar tentang Roti Canai Nachos, bukan? Kalau nak cuba, Roti Canai Kayu Arang Melaka inilah tempatnya!

roti canai nachos

Imej via Foursquare

Dari luaran, roti ini kelihatan persis seperti piza. Antara bahan yang ditambah ialah daging ayam cincang, kobis dan keju mozarella.

Penggunaan keju untuk menu ini agak banyak, sampaikan jika ditarik kejunya memang susah nak putus. Jangan risau, ianya tidak memuakkan malah menyelerakan!

Servis Terbaik, Harga Pun ‘Cantik’

Mana lagi nak cari gerai yang terkenal yang menawarkan servis yang berkualiti dan harga yang berpatutan? Agak susah, namun tidak mustahil!

Di Roti Canai Kayu Arang Melaka, harga yang ditawarkan cukup berpatutan. Yang pasti, harganya tidak melebihi RM 5 dan tidak mencekik darah walaupun laku keras.

Roti Canai

Imej via Foursquare

Dari segi servis pula, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan servis yang ditawarkan. Walaupun pelanggan agak ramai, kadangkala pelanggan tidak perlu menunggu pesanan terlalu lama.

Banyak Lagi

Bukan itu sahaja, roti canai lain seperti roti sardin, roti bawang dan roti kosong juga boleh anda cuba di sini. Harga untuk setiap hidangan ini juga murah, dan rasanya semestinya sedap!

sate & nasi lemak Roti Canai Kayu Arang Melaka

Imej via Foursquare

laksa @ Roti Canai

Imej via Foursquare

Selain roti canai, menu lain juga tidak kurang hebatnya. Nasi lemak kukus, sate, lontong, aneka jenis kuih-muih, laksa dan banyak lagi  menu turut disediakan di sini.

Kesimpulan

Kami yakin anda pasti sudah tidak sabar mahu singgah di gerai Roti Canai Kayu Arang Melaka, bukan? Jika berpeluang untuk ke Melaka, jangan lepaskan peluang keemasan ini ya!

Jangan lupa untuk singgah di sini pada waktu yang sesuai. Selalunya pada waktu kemuncak, ruang parkir akan penuh dan pelanggan juga sangat ramai.

Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran. Selamat menjamu selera!

Alamat: 459, Kampung Bakar Batu, 75350 Bachang, Melaka

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 pagi – 12 tengah hari, dibuka semula pada 8 malam – 12.45 tengah malam

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.