Mencari restoran makanan laut di Johor yang sedap?

Johor merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan. Bandar utamanya iaitu Johor Bahru sendiri kerap dibanjiri pelancong, terutamanya yang berasal dari Singapura. Jenis makanan di sini juga ada berbagai.

Sambil melancong, anda pasti mahu menikmati makanan laut yang enak untuk makan malam, bukan? Berikut kami senaraikan 10 restoran makanan laut di Johor. Teruskan membaca!

#1 Selera Senibong Seafood

Alamat: Permas Jaya, 81750 Masai, Johor

Waktu operasi: Setiap hari 4 pm – 2 am manakala Ahad 4 pm – 12 am

Restoran yang terletak di Masai ini sangat dipuji kerana kesegaran makanan lautnya. Bukan itu sahaja, restoran Selera Senibong Seafood ini juga menyediakan beraneka jenis makanan laut yang bikin ramai pelanggannya rambang mata!

senibong restoran makanan laut johor

Imej via Foursquare

Antara makanan laut yang boleh didapati di sini ialah lala, kupang, kerang, sotong, ketam dan pelbagai jenis ikan. Harga untuk setiap jenis ikan semestinya berbeza, namun tidaklah mencekik darah.

Cara masakan juga boleh dipilih sendiri oleh pelanggan. Misalnya, anda boleh cuba ketam masak cili, udang salted egg, sotong goreng tepung dan ikan bakar. Membaca menunya pun sudah bikin terliur, bayangkanlah kelazatannya sendiri!

#2 Kedai Makan Rahmat

Alamat: Jalan Pantai, Kampung Pasir Putih, 81700 Pasir Gudang, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10.30 am – 3.30 pm

Orang Pasir Gudang pasti pernah terdengar nama Kedai Makan Rahmat ini. Biasalah, restoran popular semestinya akan dikenali ramai. Kalau tak tahu, boleh dikatakan ketinggalan.

makanan laut restoran johor

Imej via Foursquare

Siakap goreng ialah antara menu yang menjadi kegilaan ramai pelanggan. Ianya rangup di luar namun lembut isinya. Kalau dimakan bersama nasi putih panas dan dicicah bersama sambal kicap, pasti padu!

Makanan laut lain seperti udang dan kupang yang segar juga turut disediakan. Di samping itu,  ruang dalam restoran yang luas serta kebersihan yang terjaga merupakan sesuatu yang patut dipuji. Patutlah ramai pelanggan berpuas hati!

#3 Restoran Todak

Alamat: 1, Kg. Orang Asli, Kampung Teluk Jawa, 81750 Masai, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, 11.30 am – 11.30 pm

Restoran Todak merupakan sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan pantai. Sambil menikmati makanan laut, boleh juga anda menghayati pemandangan pantai yang cantik sambil dihembus bayu laut. Memang ‘syok’!

makanan laut restoran johor- todak

Imej via Foursquare

Makanan laut merupakan hidangan utama yang disajikan di sini. Aneka jenis makanan laut yang disediakan seperti udang, ketam, kupang, lala dan pelbagai jenis ikan yang segar membuatkan restoran ini semakin terkenal dari sehari ke sehari.

Cara masakan juga boleh dipilih. Ramai pelanggan yang menggemari kari udang Indonesia kerana kari yang pekat ditambah pula udang Indonesia yang segar. Setiap suapan itu digambarkan sebagai heaven oleh mereka!

#4 Ong Shun Seafood Restaurant

Alamat: 67, Jalan Abdul Samad, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin (4 am – 1 am) manakala Ahad (4 pm – 12 am)

Ong Shun Seafood Restaurant merupakan antara restoran yang paling gah namanya di Johor Bahru. Restoran ini cukup terkenal dengan pelbagai jenis makanan laut yang segar yang boleh didapati.

Bukti popularitinya terserlah kerana ianya sering dipenuhi oleh pelanggan terutamanya pada waktu malam. Soal halal pula tidak perlu anda gusarkan, kerana restoran ini disahkan Halal.

ong shun restoran makanan laut johor.jpg

Imej via Foursquare

Hidangan makanan laut yang menjadi kegemaran ramai ialah ketam cili, sotong telur masin, udang oat dan siakap stim. Lebih enak dinikmati bersama sayur kailan ikan masin dan tofu! 

#5 Grand Bayview Seafood Restaurant

Alamat: 3, Lot PTD 21349, Batu, 1/2, Jalan Bertingkat Skudai, Danga Bay, 80200 Johor Bahru, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, 11:30 am – 3 pm, 6 – 11:30 pm

Danga Bay merupakan antara tarikan pelancongan utama di Johor Bahru. Alang-alang melancong sekitar sini, apa kata anda singgah di Grand Bayview Seafood Restaurant ini dan cuba makanan laut mereka?

Restoran ini menawarkan makanan laut yang berkualiti tinggi dan banyak kuantitinya. Jadi, bolehlah anda ambil sebanyak yang anda mahu, lebih memuaskan hati!

restoran makanan laut johor

Imej via Foursquare

Anda boleh cuba udang butter, kerang bakar, ketam masak cili dan ikan siakap kukus. Cara masakan terpulang kepada anda sendiri, jadi pilih sahaja mana yang teringin.

#6 Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Alamat :Jalan Cahaya (Taman Bakariah Indah), Muar, Johor 84000

Waktu Operasi: Setiap hari (5pm-12am)

Medan Ikan Bakar Sabak Sawor merupakan medan selera yang mempunyai beberapa gerai makanan laut. Ianya terletak berdekatan dengan menara peninjau yang sering dikungi orang ramai.

WAK JOS

Imej via Foursquare

Antara yang terkenal di sini adalah Gerai Wak Jos Ikan Bakar. Tarikan istimewa gerai ini terletak pada aneka jenis makanan laut yang disajikan, memang segar dan terbaik kualitinya!

Selain itu, makanan laut lain juga boleh dicuba. Hidangan seperti ikan cencaru bakar, sotong goreng tepung, sambal udang petai dan keran bakar.

#7 Restoran Saujana Malay Seafood

Alamat: Jalan Sembilang, Kampung Pok, 81550 Gelang Patah, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat 12 – 10 pm

Gelang Patah merupakan pekan yang terkenal dengan restoran-restoran makanan lautnya yang menjadi tumpuan ramai penduduk tempatan termasuklah penduduk Singapura.

 restoran makanan laut johor

Imej via Foursquare

Restoran Saujana Malay Seafood merupakan salah satu restoran makanan laut yang terkenal sekitar situ. Ramai pelanggan memuji kualiti makanan laut serta harga berpatutan yang ditawarkan.

Antara menu yang boleh dicuba ialah udang masak nestum, udang butter dan ikan bakar. Jangan lupa pesan sayur bersama, pasti berganda keenakkannya!

#8 Restoran Grand Seafood Kempas

Alamat: 275A, Persiaran Kempas Baru, Kempas Banjaran, 81200 Johor Bahru, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, 5 pm – 1 am

Di samping kualiti makanan laut yang baik, semestinya sebagai pelanggan anda akan menitikberatkan servis yang ditawarkan serta kebersihan restoran.

Restoran Grand Seafood Kempas ini merupakan restoran makanan laut yang baik dari segi servis dan kualiti makanan lautnya. Kebersihan restoran terjaga dan ruang dalam restoran juga luas.

makanan laut restoran johor

Imej via Foursquare

Menu-menu seperti siakap masam manis, sotong goreng tepung, siakap stim limau dan sambal udang merupakan antara yang boleh dicuba. Dijamin lazat!

#9 Yeo’s Seafood Restaurant

Alamat: Jalan Siakap, Kampung Pok, 81550 Gelang Patah, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, 11 am – 2 am

Satu lagi restoran makanan laut di Johor yang terletak di Gelang Patah yang wajib anda kunjungi ialah Yeo’s Seafood Restaurant. Bukan sahaja menyediakan makanan laut yang pelbagai, malah statusnya juga halal.

yeo

Imej via Foursquare

Restoran ini dimiliki oleh pengusaha Cina-Muslim, jadi makanan yang disajikan berasaskan masakan Cina. Antara lauk yang menjadi kegemaran ramai ialah ketam cili dan udang nestum.

#10 Modern Fishing Point

Alamat: Taman Stulang Laut, 80300 Johor Bahru, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, 530 pm – 1 am

Menu di restoran Modern Fishing Point ini pernah viral suatu ketika dahulu. Ianya masih terkenal sehingga kini dan kerap diburu oleh bukan sahaja orang tempatan, malah pelancong luar.

nasi goreng seafood stulang

Imej via Foursquare

Menu tersebut ialah nasi goreng seafood. Nasi goreng ini bukan seperti yang biasa ditemukan di kebanyakan kedai, kerana ianya terlajak sedap dan dihidangkan bersama sotong bakar sambal.

Selain itu, makanan laut lain seperti ikan pari bakar dan udang butter juga merupakan antara yang wajib dicuba. Semuanya sedap-sedap belaka, percayalah!

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa restoran makanan laut di Johor yang anda ingin singgah? Atau anda mula tertarik dan ingin singgah di kesemuanya? Jangan gelojoh, singgah sahaja satu persatu jika berkesempatan.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.