Mencari resepi masakan kampung yang lazat dan mudah dibuat?

Masakan kampung merupakan jenis masakan yang kena dengan citarasa orang kita. Walaupun ianya menu yang ringkas sahaja, ia pasti enak dijamah bersama nasi putih panas-panas.

Anda semestinya ingin memasak masakan kampung sendiri di rumah, bukan? Jadi, berikut kami senaraikan 10 resepi masakan kampung untuk anda cuba.

#1 Daging Masak Hitam

resepi masakan kampung

Imej via Facebook

Lauk ini sentiasa diburu pelanggan di kedai makan, selalunya pada waktu tengahari. Malas ke kedai? Cubalah buat sendiri, pasti menjadi! Resepi ini dikongsikan oleh Azlina Md Taib Iena di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan tumis:

  • 1 kg daging (direbus)
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 2-3 tangkai daun kari
  • Rempah 4 sekawan

Bahan kisar

  • 2 biji bawang merah besar
  • 4 ulas bawang putih
  • Halia sebesar ibu jari
  • 10-15 tangkai cili kering
  • 1 paket kecil serbuk kari daging
  • Kicap
  • Gula
  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Tumis semua bahan tumis kecuali daging hingga naik bau.
  2. Masukkan bahan kisar dan tunggu pecah minyak.
  3. Kemudian, masukkan daging.
  4. Masukkan kicap dan kacau sebati.
  5. Perasakan dengan gula dan garam.

#2 Gulai Ikan Kering Tumis Darat

resepi masakan kampung

Imej via Facebook

Di negeri Utara, lauk gulai ikan kering atau ikan masin ini memang cukup popular. Tak perlu jauh-jauh, anda juga boleh memasaknya sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Masni Bahari di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan kisar:

  • Bawang besar
  • Bawang putih

Bahan tumis darat:

  • Bawang besar (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Daun kari

Bahan lain:

  • Ikan kering talang (direndam)
  • Rempah ikan kering
  • Santan
  • Ubi kentang
  • Ubi keledek oren
  • Nenas
  • Terung
  • Cili muda besar
  • Tomato
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Garam & serbuk perasa

Cara-cara:

  1. Tuang rempah dalam periuk dan tambahkan air dan sedikit minyak.
  2. Tuang bahan kisar dan serbuk kunyit. Tunggu rempah masak sekejap.
  3. Masukkan ubi.
  4. Setelah ubi empuk, masukkan terung.
  5. Setelah terung hampir lembut, masukkan ikan masin, nanas, santan, garam dan serbuk perasa.
  6. Setelah mendidih, masukkan cili muda dan tomato.
  7. Menggunakan kuali berasingan, masukkan sedikit minyak dan tumis bahan tumis darat hingga kekuningan.
  8. Kemudian, masukkan ke dalam gulai tadi.
  9. Sedia untuk dihidangkan.

#3 Ikan Keli Goreng Berlada

resepi masakan kampung

Imej via Facebook

Bagi yang sukakan masakan pedas, anda boleh cuba resepi ikan keli goreng berlada. Ianya pedas berapi, namun masih boleh dinikmati dengan penuh selera. Resepi ini dikongsikan oleh Dayah Mamat di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ikan keli (goreng kunyit + garam)
  • 2 labu bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • Lada jarum (ikut kepedasan yang disukai)
  • Sedikit belacan
  • Perasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Kisar bahan-bahan kecuali ikan.
  2. Panaskan minyak & tumis bahan kisar.
  3. Masukkan perasa secukupnya.
  4. Tumis dengan api perlahan supaya tak hangit.
  5. Setelah bahan masak sempurna & agak garing, tutup api
  6. Curahkan atas ikan yang digoreng tadi.

#4 Ayam Sambal

r

Imej via Facebook

Satu lagi resepi masakan kampung pedas yang boleh dicuba ialah ayam sambal. Walaupun dimakan begitu sahaja bersama nasi putih, ianya tetap sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Adawiyah Farhan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • 3 biji bawang merah besar
  • 5 ulas bawang putih
  • Lada kering
  • Sedikit belacan
  • Gula melaka (saiz ibu jari)
  • Air asam jawa
  • Garam & perasa

Cara-cara:

  1. Goreng ayam dengan kunyit dan garam. Ketepikan.
  2. Rendam lada kering dalam air panas hingga lembut,
  3. Setelah lembut, kisar dan ambil 3 senduk sederhana.
  4. Kisar bawang putih, bawang merah dan belacan bersama ¼ lada kering kisar tadi.
  5. Menggunakan minyak gorengan ayam yang panas tadi, tumis bahan kisar hingga kekuningan. Boleh tambah lada kering kisar.
  6. Sentiasa kacau dan pastikan api perlahan.
  7. Masukkan gula melaka. Kacau hingga warna menjadi merah gelap.
  8. Masukkan air dan ayam.
  9. Kacau hingga sambal sebati dengan ayam.
  10. Masukkan asam jawa.
  11. Perasakan dengan garam dan perasa lain.

#5 Kerutuk Daging

resepi masakan kampung

Imej via Facebook

Lauk ini seringkali dihidangkan di kenduri-kendara. Ianya juga mudah untuk dibuat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Hana Farhana di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan kisar:

  • Bawang merah kecil
  • Bawang putih
  • Lengkuas
  • Halia
  • Serai
  • Belacan
  • Cili api
  • Cili kering

Bahan lain:

  • 5 biji Bwg merah kecil
  • 4 biji Bwg putih
  • Ibu jari lengkuas
  • Ibu jari Halia
  • Sebatang Serai
  • Sedikit Belacan
  • 3 tangkai cili api
  • 5 tangkai cili kering
  • Setengah sudu kerisik
  • 1 asam keping
  • Bawang Holland & kentang
  • Garam
  • Gula melaka
  • Santan
  • 1 paket kecil rempah kerutuk

Cara-cara:

  1.  Rebus daging hingga empuk. Simpan 1 cawan air rebusan daging.
  2. Tumis bahan kisar hingga wangi,
  3. Masukkan rempah kerutuk.
  4. Masukkan asam keping dan kerisik.
  5. Masukkan garam, gula melaka dan tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan daging tadi.
  7. Masukkan santan.
  8. Masukkan air rebusan daging tadi.
  9. Tambahkan kentang dan bawang holland.
  10. Masak hingga pecah minyak.

#6 Asam Pedas Ikan Pari

resepi masakan kampung

Imej via Facebook

Asam pedas merupakan cara masakan yang popular di Melaka. Menu asam pedas ikan pari ini juga boleh anda cuba sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Mohamad Arymin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan kisar:

  • 3 genggam cili kering (gunting dan rebus hingga lembut)
  • 8 biji bawang merah
  • 4 biji bawang putih
  • Kunyit Hidup, sebesar ibu jari
  • 3 batang serai (diracik halus)
  • 1 cm lengkuas (dihiris halus)

Bahan lain:

  • 1 kg ikan Pari
  • ¼ paket asam jawa (dibancuh dengan air)
  • 2 sudu lada hitam (ditumbuk kasar)
  • 4 biji tomato (dibelah 4)
  • Daun kesum
  • Minyak secukupnya untuk menumis
  • Garam dan perasa
  • Terung *optional
  • Bendi *optional

Cara-cara:

  1.  Masukkan minyak, tumis bahan kisar tadi sampai garing dan naik minyak.
  2. Masukkan air asam jawa. Biarkan mendidih.
  3.  Masukkan ikan.
  4.  Masukkan daun kesum, tomato dan hitam.
  5.  Perasakan dengan garam dan perasa.

#7 Ikan Cencaru Bakar

resepi masakan kampung

Imej via Facebook

Siapa sahaja yang tidak suka ikan bakar? Tambahan pula ikan cencaru bakar, bayangkan isi ikan yang lembut dan sambal di dalam yang pedas. Memang sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Bunda Nadiah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan ikan cencaru:

  • Ikan cencaru
  • 7 biji cili merah besar
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 1 biji tomato
  • 2 sudu gula
  • ½ sudu garam
  • 1 sudu penyedap rasa maggie

Bahan air asam:

  • 10 tangkai cili padi
  • 1 biji bawang besar
  • 1 ruas belacan bakar
    (kisar bahan di atas dan ketepikan)
  • 10 tangkai cili padi
  • 1 biji tomato
  • 1 biji bawang merah besar
  • 1 tangkai cili merah besar
    (bahan di atas dihiris)
  • 4 biji limau kasturi (ambil air)
  • 4 sudu asam jawa
  • 3 sudu gula
  • Secubit garam
  • Air

Cara-cara:

  1. Kisar bahan ikan cencaru kecuali ikan hingga lembut.
  2. Perahkan sebiji limau kasturi.
  3. Lumur bahan kisar dalam ikan dan bakar atas kuali.
  4. Untuk air asam, gaul kesemua bahan. Air ditambah mengikut kepekatan
  5. Sedia untuk dihidangkan.

#8 Rendang Ayam Negeri Sembilan

rendang

Imej via Facebook

Memang rugi jika anda tak cuba buat rendang ayam Negeri Sembilan ini. Bukan sahaja lazat, ianya juga senang untuk dibuat. Resepi ini dikongsikan oleh Zalina Yahaya di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • cili api
  • kunyit hidup
  • serai (diketuk)
  • lengkuas (diketuk)
  • 1 kg santan
  • kacang panjang
  • ayam
  • ½ cawan air
  • asam keping *optional

Cara-cara:

  1. Masukkan semua bahan ke dalam kuali kecuali santan dan kacang panjang.
  2. Masukkan air dan tunggu kering (biasanya dalam setengah jam).
  3. Masukkan santan dan asam keping.
  4. Perlahankan api dan masak ayam hingga lembut (mengambil masa 1 jam).
  5. Setelah lembut, masukkan kacang panjang.
  6. Masak hingga kacang lembut.

#9 Sambal Tempoyak Cili Padi Udang & Petai

Panjang betul nama menu ini, yang pasti ianya dijamin sedap. Tambahan pula jika anda peminat tempoyak dan petai. Resepi ini dikongsikan oleh di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan kisar:

  • 3-4 ulas bawang merah
  • 1-2 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • Sedikit air
  • Cili padi (ikut kepedasan)

Bahan lain:

  • Udang (dibuang kulit)
  • 3 sudu besar tempoyak
  • 1 batang serai (dititik)
  • 2 sudu besar santan pekat
  • Sedikit gula *optional
  • Garam secukup rasa
  • Daun kunyit (dihiris halus)

Cara-cara:

  1. Tuangkan sedikit minyak di dalam kuali.
  2. Bila minyak dah panas, masukkan bahan kisar dan serai yang telah dititik.
  3. Kacau sehingga pecah minyak dan garing.
  4. Masukkan tempoyak dan kacau.
  5. Setelah mendidih, masukkan santan udang yang ditos airnya dan petai.
  6. Perasakan dengan garam dan gula.
  7. Akhir sekali, sebelum tutup api masukkan daun kunyit.

#10 Kerabu Pucuk Paku

kerabu

Imej via Facebook

Satu lagi masakan kampung yang boleh anda cuba ialah kerabu pucuk paku. Memang best jika dijadikan pelengkap hidangan. Resepi ini dikongsikan oleh Ayu Shahir di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  •  250 g taugeh
  •  500 g isi kerang
  •  pucuk paku (dicelur)
  •  sedikit belacan (ditumbuk)
  •  2 biji cili merah (ditumbuk)
  • 10 biji cili padi (ditumbuk)
  • 2 biji limau nipis
  • garam dan gula secukup rasa
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 2 sudu besar kerisik

Cara-cara:

  1.  Masukkan taugeh, kerang, kerisik, bahan-bahan hiris dan bahan-bahan tumbuk dalam mangkuk. Gaul hingga sebati.
  2. Perahkan limau nipis dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati
  3. Sedia untuk dihidangkan.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi masakan kampung, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.