Pasti ada yang mencari resepi ikan jenahak yang pelbagai dan enak. Tahukah anda ikan jenahak boleh dimasak dengan pelbagai cara selain digoreng. Ramai yang menyukai ikan ini kerana rasa isinya yang manis.

Jadi tak hairanlah jika Ikan jenahak merupakan ikan buruan yang sering dikehendaki oleh para pemancing.

Buat mereka yang baru belajar memasak atau ketandusan idea untuk memasak ikan ini, kami sediakan 12 resepi ikan jenahak yang enak dan pasti membuatkan anda dan seisi keluarga menjilat jari.

Ikan Jenahak Kicap Halia Chinese Style

Mahukan resepi yang lain daripada yang lain tapi mudah untuk dimasak? Ikuti saja resepi dari Eny Yusnizar Ab’dullah. Resepi ini sangat mudah dan menggunakan sedikit bahan sahaja. Buat pengetahuan anda, Ikan Jenahak Kicap Halia Chinese Style ini antara menu yang dihidangkan di restoran Cina. Jom cuba resepi ini!

Bahan-bahan:

  • 4 Keping isi ikan jenahak (digoreng seperti biasa)
  • 4 sudu besar kicap pekat lemak manis
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar serbuk lada sulah
  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • Halia dihiris nipis (lebihkan halia dari bawang baru sedap)
  • Bawang putih (dihiris nipis)
  • Bawang besar (dihiris nipis)
  • Daun bawang
  • Bawang besar (dibelah)
  • Sedikit minyak untuk tumis

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dihiris hingga layu.

2. Masukkan kicap, sos tiram, minyak bijan dan tambah sedikit air. 

3. Masukkan lada sulah dan garam secukup rasa. Biarkan mendidih.

4. Masukkan kepingan isi ikan yang digoreng, bawang besar dan akhir sekali tabur daun bawang.

5. Siap untuk dihidangkan.

Kari Kepala Ikan Jenahak

Ikan jenahak kebiasaannya dimasak dengan kari. Namun resepi ini tidak menggunakan santan. Jangan risau, kari anda masih akan pekat dan berlemak tanpa santan. Tak tahu caranya? Salmah Muhamad telah berkongsi resepi di Facebooknya.

Bahan-bahan:

  • Kepala ikan jenahak (dibersihkan)
  • Kacang bendi
  • 3 biji bawang merah (dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 inci halia (dihiris)
  • 1 tangkai daun kari
  • Tomato (dibelah 4)
  • 3 sudu makan serbuk kari ikan Adabi (dibancuhkan dengan sedikit air)
  • Garam dan sedikit gula
  • Air asam jawa

Cara-cara :

1. Tumiskan bawang merah, bawang putih, daun kari serta halba campur hingga wangi. Kemudian masukkan bancuhan rempah kari dan tumis lagi hingga garing atau pecah minyak.

2. Masukkan air secukupnya. Kacau rata-rata dan biarkan ia mendidih.

3. Masukkan ikan dan kacang bendi. Perasakan dengan garam dan gula.

4. Masukkan air asam jawa dan tomato.

5. Setelah masak, angkat dan hidangkan panas-panas bersama nasi putih dan sambal belacan.

Jenahak Tumis Lada Hitam

Tahukah anda ikan jenahak antara ikan yang boleh dimakan oleh ibu berpantang. Zaleha Yusof telah berkongsi resepi yang dimasak dan dimakan ketika beliau pantang. Resepi ini pasti akan disukai oleh seisi keluarga. Jom cuba!

Bahan-bahan:

  • 5 keping besar isi ikan jenahak
  •  1 labu bawang holland (hiris nipis)
  • 2tbsp lada hitam bijik*
  • 6 ulas bawang putih *
  • 2 ketul besar halia muda*
  • 2 ketul besar kunyit hidup*
  • Pes asam jawa secukupnya
  • Garam / cukup rasa maggi & gula secukupnya.

Cara memasak:

1. Lumur isi ikan dengan garam, serbuk kunyit dan serbuk cili. Gaulkan dengan cuka makan.

2. Goreng ikan hingga garing dan ketepikan.

3. Tumbuk kasar bahan yang bertanda *.

4. Tumbuk kasar lada hitam diikuti bawang putih, halia muda & kunyit.

5. Hiris nipis bawang holland. Kemudian bancuh asam jawa dengan suku cawan air masak.

6. Panaskan minyak secukupnya lalu masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga naik bau.

7. Masukkan bawang holland yang telah di hiris nipis lalu tumis hingga layu.

8. Masukkan air asam dan bahan perasa. Kacau sebati hingga agak mengering lalu masukkan isi ikan yang telah di goreng kacau sebati .

9. Siap untuk dihidangkan.

Sup Ikan Jenahak

Bob Kelanang telah berkongsi resepi enak iaitu sup ikan jenahak di laman Facebooknya. Sup ini sesuai untuk dimakan oleh ibu berpantang. Makan ketika sup masih panas sewaktu demam atau selsema pasti dapat melegakan badan. Ini bahan dan cara memasaknya:

Bahan-bahan:

  • Ikan jenahak
  • 1 paket bunjut sup ikan Adabi
  • Carrot
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Halia
  • 1/2 biji limau nipis
  • Daun ketumbar/daun sup
  • Mushroom seasoning
  • Garam
  • Air
  • Minyak untuk menumis
  • Akar daun ketumbar/ akar daun sup
  • Lada putih

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, masukkan sup bunjut dan akar daun ketumbar, kemudian masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan carrot. Tumis hingga naik bau.

2. Perahkan ½  biji limau nipis.

3. Masukkan sedikit lada putih.

4. Masukkan ikan dulu. Tujuannya untuk hilangkan hanyir ikan.

5. Apabila ikan sudah separuh masak, masukkan air secukupnya.

6. Tambah daun ketumbar, garam, serbuk perasa dan mushroom seasoning.

7. Tunggu sehingga mendidih dan masak. Siap!

Kari Ikan Simple

Pasti ramai yang tahu untuk memasak kari. Namun apa kata anda cuba resepi kari milik Mariana Zainal yang telah dikongsikan oleh Zuraizah Zulkifle di Facebook. Resepi ini cukup unik kerana diciptakan dengan pes ciptaannya sendiri. Kari ikan pasti akan jadi lebih enak.

Bahan-bahan:

  • Ikan jenahak
  • 1 biji kelapa (kisar dengan 3 cawan air, perah dan ambil santannya)
  • Bendi (terpulang nak banyak mana)
  • Tomato (terpulang nak banyak mana)
  • 1 cawan air jika perlu
  • 3 senduk minyak masak untuk menumis

Bahan tumis:

  • 1 ½  biji bawang besar (hiris nipis)
  • 5 ulas bawang putih (hiris nipis)
  • 1 sudu besar halba campur

Bahan pes:

  • 2 paket kecil rempah kari brand cap O’,  (guna brand lain pun boleh iaitu 4 sudu besar)
  • 1 paket kecil serbuk cili brand baba’s
  • 1 keping asam keping
  • 3 tangkai daun kari
  • 1 sudu besar garam
  • 1/2 sudu kecil gula
  • Sedikit perasa
  • 1 1/2 cawan air

(satukan semua ini menjadi pes)

Cara memasak:

1.Panaskan minyak lalu tumis bahan hiris hingga naik bau dan layu.

2. Masukkan bahan pes dan masak hingga betul-betul naik minyak dan garing.

3. Masukkan santan dan biarkan mendidih seketika.

4. Sambil-sambil kacau, masukkan ikan, tomato dan bendi

5. Apabila sudah mendidih, sesuaikan dengan rasa yang anda inginkan.

6. Tutup api dan sedia untuk dihidang.

Ikan Jenahak Masak Cencuan

Masak cencuan ini cukup terkenal di Melaka. Di negeri lain ia lebih dikenali dengan masak asam. Jika anda tidak pernah merasainya, anda wajib cuba resepi mudah dan sedap yang dikongsikan oleh Eina Abdul ini.

Bahan-bahan:

  • 2 potong ikan jenahak
  • 3 biji bawang besar (hiris)
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 15 biji cili padi (dibelah dua)
  • 1 sudu makan asam jawa Adabi
  • Garam dan perasa secukup rasa

Cara memasak:

1. Tumis bahan-bahan hirisan.

2. Masukkan air asam.

3. Masukkan ikan.

4. Perasakan dengan garam dan secukup rasa.

Masak Asam Utara Isi Ikan Jenahak

Kalau tadi resepi masak cencuan dari Melaka, ini pula resepi versi utara. Resepinya cukup mudah dan sedap. Jom cuba resepi yang dikongsikan oleh Roshidah Abu Bakar Shidah di Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan jenahak yang di gaul garam serta kunyit  dan digoreng separuh garing
  • 1 biji bawang besar (hiris)
  • 2 atau 3 ulas bawang putih (dihiris halus)
  • Seinci halia (hiris nipis)
  • Cili merah & cili padi
  • Air perahan asam jawa secukupnya
  • Garam + aji & sedikit serbuk kunyit

Cara memasak:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih, halia, cili merah dan cili padi sehingga naik bau.

2. Masukkan serbuk kunyit sedikit untuk bagi warnanya cantik.

3. Masukkan air asam jawa dan masak sampai mendidih.

4. Perasakan garam dan aji secukup rasa.

5. Apabila rasa sudah okay, masukkan ikan yang sudah digoreng dan biarkan sebati dengan kuah.

6. Siap untuk dihidangkan.

Kari Merah Thai Ikan Jenahak

Kari Merah Ala Thai memang menjadi kegemaran ramai orang. Menu unik ini jarang dijumpai di kedai-kedai biasa. Tak perlu susah-susah mencari, ikuti resepi dari Zaleha Yusof yang senang dan pasti menjadi! Makan bersama keluarga pasti berselera.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan (dipotong dan dibersihkan)
  • 1sdt garam
  • 1sdt lada putih
  • 1 sdm kulit limau purut
  • 2 sdm lengkuas*
  • 3 sdm serai*
  • 1 sdm akar ketumbar*
  • 1sdm bawang putih*
  • 10 bj cili kering*
  • 7 bj bawang merah kecil*
  • 1 sdm udang kering*
  • 1 inci kunyit*

Cara memasak:

1.Tumbuk atau kisar bahan yang bertanda *.

2. Masukkan 3 sdm minyak.

3. Masukkan bahan tumbuk dan kacau.

4. Masukkan 1 liter air.

5. Masukkan sos ikan, aji, gula dan air limau (jika suka masam sedikit).

6. Masukkan ikan, terung, daun limau purut, cabai besar merah dan daun selasih.

7. Tunggu hingga mendidih dan ikan masak sepenuhnya.

8. Siap untuk dihidangkan.

Ikan Jenahak Masak Kengsom

Ikan jenahak juga sedap dimasak kengsom. Masak kengsom merupakan resepi tradisional yang digemari ramai orang sehingga kini. Walaupun nampak simple dan mudah, namun rasanya cukup membuatkan anda bertambah jika makan dengan nasi panas. Jom ikuti resepi milik Mohd Rozmie dari Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan jenahak
  • 1 batang serai
  • 1 mangkuk nenas
  • 3 keping asam keping
  • 10 batang bendi
  • Garam
  • Gula

Bahan kisar:

  • 5 ulas bawang merah (atau 1 biji bawang besar)
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 1 inci belacan
  • 5 biji cili padi
  • 1 potong nenas

Cara memasak:

1. Panaskan kuali tanpa minyak dan masukkan bahan kisar halus.

2. Campak masuk serai yang telah diketuk.

3. Masukkan asam keping dan biarkan hingga mendidih.

4. Tambahkan 1 cawan air atau mengikut kuantiti kuah yang anda mahu.

5. Apabila sudah mendidih, masukkan 1 mangkuk nenas yang dipotong kasar dan biarkan nenas masak hingga lembut.

6. Setelah nenas lembut, masukkan ikan yang telah dicuci bersih.

7. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

8. Apabila ikan sudah masak, masukkan bendi.

9. Tutup api setelah bendi masak.

Jenahak Masam Manis

Merupakan resepi milik Bob Kelanang juga, tahukah anda ikan jenahak sedap dimasak masam manis. Rasa rangup ikan dimakan bersama kuahnya yang berasa masam dan manis, pasti membuatkan anda makan bertambah. Berikut merupakan bahan-bahan dan cara memasak:

Bahan-bahan:

  • 3 keping ikan jenahak
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • 2 keping nanas (dipotong dadu)
  • 1/2 batang timun (dipotong dadu)
  • 1 biji cili merah (dihiris)
  • Sedikit garam
  • Minyak masak secukupnya

Bahan Tumis:

  • 2 ulas bawang merah (dihiris)
  • 1/2 biji bawang besar (dihiris)
  • 1 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 inci halia (dihiris)

Bahan Sos:

  • 4 sudu makan sos cili
  • 3 sudu makan sos tomato
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 3 sudu makan air
  • 1 sudu makan sos ikan
  • 1 sudu teh gula

Cara Memasak:

1. Lumurkan ikan bersama sedikit garam dan tepung jagung. Goreng hingga garing. Ketepikan seketika.

2. Tumis bahan tumis sehingga wangi. Kemudian masukkan bahan-bahan sos. Gaul rata.

3. Masukkan ikan diikuti potongan nanas dan timun. Gaul seketika sehingga semua bahan sekata.

4. Tabur hirisan cili dan sedia dinikmati.

Info chef: Jika mahu menikmati isi ikan yang rangup, anda juga boleh mengasingkan sos serta ikan di dalam pinggan yang berasingan

Ikan Jenahak Bakar

Tiada masalah jika nak makan ikan bakar tanpa arang. Guna air fryer lebih mudah dan cepat. Ikuti resepi Ikan Jenahak Bakar milik Madihah Mohamad, dalam 17 minit sahaja anda dapat menikmati ikan bakar enak. Ini resepinya!

Bahan perapan ikan:

  • 3 biji  bawang merah*
  • 2 ulas bawang putih *
  • Seinci halia*
  • Sebatang serai*
  • 2sb cili boh
  • 1sk serbuk kunyit
  • 1sb sos tiram
  • 1sb susu pekat (optional kalau tiada gula melaka)
  • 1sb majerin

Cara memasak:

1. Kisarkan semua  bahan bertanda*.

2. Campurkan dengan cili boh.

3. Masukkan garam dan secukup rasa.

4. Campurkan semua bahan.

5. Sedia untuk di lumurkan ke atas ikan.

6. Masukkan dalam AF untuk dibakar selama 17 minit dengan 200°c.

Masak Lemak Ikan Jenahak

Ada yang gemar dengan gulai lemak? Masak dengan ikan jenahak pasti sedap dengan rasa isinya yang manis dan lembut. Tak tahu resepi yang menjadi dan sedap? Jangan khuatir, No Or telah berkongsi resepi miliknya di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  •  2 potong ikan jenahak
  •  ½  kotak santan (Cik No guna Ayam Brand)
  •  1 helai daun kunyit (carik-carik)
  •  ½  ulas bawang merah (ditumbuk)
  •  ½  inci kunyit hidup (tumbuk lumat)
  •  2 biji cili hijau (tumbuk lumat)
  •  1 batang serai (ketuk)
  •  1 sd cili kisar
  •  1 keping asam gelugor
  • ½  cawan air
  •  Garam
  •  Gula

Cara-caranya:

1. Ikan yang dah dibersih dan dipotong hendaklah dimasukkan ke dalam periuk.

2. Kemudian, masuk semua bahan tumbuk dan serai ke dalam periuk.

 3. Masak dengan api kecil hingga ikan menyerap bahan rencah.

4. Kemudian masukkan air, santan dan asam keping. Kacau timba kuah sentiasa untuk elak pecah minyak.

5. Bila dah elok mendidih dan ikan dah masak, tutup api dan perasakan dengan garam dan gula.

6. Siap dan bolehlah di hidangkan.

Resepi ikan jenahak yang manakah anda pilih untuk makan tengahhari ini bersama keluarga? Mudahkan resepi tersebut? Bahan-bahan yang digunakan pula adalah bahan asas yang pasti ada di dapur.

Jika anda tidak mempunyai idea memasak, ini kami sediakan pelbagai resepi menu yang sedap dan mudah untuk anda ikuti. Selamat mencuba!

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.