Mencari resepi ikan merah?

Ikan merah merupakan antara jenis ikan yang selalu digunakan dalam masakan. Ianya juga mempunyai cara masakan yang berbagai, jadi tidak hairanlah ia memang popular di kebanyakan gerai.

Tiada idea untuk memasak ikan merah? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 aneka resepi ikan merah untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Sup Ikan Merah

resepi ikan merah - sup ikan merah
Imej via Facebook

Ikan merah memang sesuai dibuat sup. Ianya bukan sahaja sedap, malah menyihatkan. Resepi ini dikongsikan oleh Ainn Mustafar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • 1 sudu besar rempah sup
  • 1 batang serai (dititik/diketuk)
  • Akar ketumbar
  • Sup bunjut
  • Air
  • Ikan merah
  • Garam secukupnya
  • Tomato (dibelah)
  • Batang saderi
  • Daun sup/daun ketumbar/daun bawang

Cara-cara:

  1. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga keperangan.
  2. Masukkan rempah sup dan tumis sekejap.
  3. Masukkan serai, akar ketumbar dan sup bunjut. Masukkan air.
  4. Setelah mereneh, masukkan ikan.
  5. Setelah ikan hampir masak, masukkan garam secukup rasa.
  6. Masukkan tomato dan batang saderi.
  7. Setelah siap masak, boleh taburkan daun sup/daun ketumbar/ daun bawang.
  8. Sedia untuk dihidang.

#2 Ikan Merah Masak Cuka

resepi ikan merah masak cuka
Imej via Facebook

Kebanyakan ikan memang enak dibuat masak cuka, dan ini termasuklah dengan ikan merah. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg potongan ikan merah
  • 3-4 sudu besar cuka masakan
  • 10 batang cili padi merah (jangan diketuk)
  • ½ biji timun (dipotong)
  • 1 Biji tomato(dibelah 6)
  • 1 sudu besar biji sawi
  • 1 Biji bawang besar (dipotong bulat)
  • 3 ulas bawang putih (dihiris)
  • 2 cm halia(dihiris)
  • 1 batang serai (diketuk)
  • ½ sudu kecil garam
  • 400-500 ml air
  • 1 sudu serbuk perasa
  • ¼ sudu kecil serbuk kunyit

Cara-cara:

  1. Cuci bersih ikan dan rendam sebentar dalam air garam. Bilaskan dan lumurkan bersama garam dan kunyit untuk menggoreng ikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan biji sawi. Biarkan biji sawi meletup sebentar.
  3. Masukkan halia, bawang putih dan serai. Masak sehingga sedikit keperangan dan naik bau.
  4. Masukkan bawang merah dan cili padi merah.
  5. Masukkan cuka, air, serbuk kunyit, garam dan serbuk perasa.
  6. Masukkan ikan, timun dan tomato. Biarkan masak seketika dan matikan api.
  7. Sedia untuk dihidang.

#3 Asam Pedas Ikan Merah Johor

resepi ikan merah asam pedas johor
Imej via Facebook

Bagi yang menggemari asam pedas atau masakan kampung, anda wajib cuba resepi asam pedas ikan merah style Johor ini. Resepi ini dikongsikan oleh Norhidaya Mohd Jainon di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan merah
  • Daun kesum
  • Serai (dititik)
  • Bunga kantan
  • Minyak untuk menumis
  • Cili kering kisar
  • Asam keping
  • Gula
  • Serbuk perasa
  • Lada hitam
  • Bendi
  • Air (ikut kepekatan)
  • Garam
  • Tomato

Bahan kisar:

  • 3 ulas bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • Belacan bakar

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan kisar dan serai. Tumis sehingga keperangan.
  2. Masukkan cili kering kisar dan kacaukan.
  3. Masukkan asam keping, gula dan serbuk perasa. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan lada hitam. Tumis sekejap.
  5. Masukkan ikan merah dan bendi. Masukkan air mengikut kepekatan.
  6. Masukkan garam dan tomato.
  7. Sedia untuk dihidang.

#4 Ikan Merah Goreng Berempah

resepi ikan merah goreng berempah
Imej via Facebook

Bukan sahaja ayam, malah ikan merah pun enak dibuat goreng berempah. Kerangupan serta aromanya pasti akan mencuri hati anda. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5-6 kepingan ikan merah besar
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • 1 sudu kecil serbuk cili
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil biji ketumbar (dihancur kasar)
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 1 Sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil serbuk pati ayam
  • 1 sudu kecil bawang putih
  • Sedikit pewarna oren atau merah(jika mahu)
  • 1 sudu kecil halia
  • 2 batang daun kari

Cara-cara:

  1. Di dalam bekas, masukkan ikan dan semua bahan-bahan. Gaul sebati.
  2. Perapkan selama 30 minit atau lebih.
  3. Panaskan minyak dan masukkan ikan yang diperap. Goreng sehingga masak dan garing.
  4. Angkat dan ketepikan.
  5. Sedia untuk dihidang.

#5 Kari Ikan Masala

kari ikan masala
Imej via Facebook

Pernah cuba kari masala? Ianya hampir sama dengan kari yang biasa tetapi ada bahan tambahan iaitu garam masala. Rasanya lebih berempah dan dijamin lazat. Resepi ini dikongsikan oleh Khadijah Jaafar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan merah (saiz sederhana) (digoreng)
  • 1 biji bawang besar merah (dihiris)
  • 1 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 biji tomato (dipotong dadu kecil)
  • 2 tangkai daun kari
  • 1 paket rempah kari
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1½ sudu kecil garam masala
  • ½ sudu kecil halba campuran
  • ½ sudu kecil serbuk kunyit
  • ½ cawan air asam jawa
  • ½ cawan santan
  • Garam
  • Pes halia bawang putih (ditumbuk halus)
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • Santan atau yogurt (jika mahu)

Cara-cara:

  1. Tumis bawang bersama dengan halba campuran dan daun kari dalam minyak yang sudah dipanaskan. Tumis sehingga bawang sedikit garing dan naik bau.
  2. Masukkan tomato dan tumiskan sekejap hingga nampak tomato agak lembik.
  3. Dalam mangkuk berasingan, bancuhkan rempah kari, garam masala dan serbuk cili dengan air. Kacau sebati.
  4. Kemudian, masukkan rempah ke dalam kuali berisi bahan tumisan tadi. Masukkan lebihan pes halia bawang putih. Kacau sehingga rempah sedikit masak.
  5. Masukkan air mengikut kepekatan yang anda mahu.
  6. Masukkan air asam jawa.
  7. Masukkan ikan yang digoreng tadi. Jika mahu rasa yang lebih berlemak, boleh masukkan lebih santan atau yogurt.
  8. Masak sehingga mendidih dan perasakan dengan garam dan gula.
  9. Sedia untuk dihidang.

#6 Masak Lemak Nenas Tulang Ikan Merah

gulai ikan masin
Imej via Facebook

Ada penggemar lauk berlemak di sini? Jika ada, anda wajib cuba resepi masak lemak nanas ikan masin yang menggunakan tulang ikan merah ini. Resepi ini dikongsikan oleh Ida Akmal Idameor di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 biji nanas
  • Tulang ikan merah
  • Cili api merah dan hjau
  • Kunyit hidup
  • Serai (dititk)
  • 1 kotak santan
  • Bawang merah

Cara-cara:

  1. Kisarkan cili api, kunyit hidup dan bawang merah.
  2. Masukkan bahan kisar, nanas, tulang ikan merah dan serai ke dalam periuk.
  3. Biarkan mendidih seketika, kemudian masukkan santan.
  4. Perasakan dengan garam dan gula.
  5. Sedia untuk dihidang.

#7 Ikan Merah Masak Taucu

resepi ikan merah masak taucu
Imej via Facebook

Hidangan ikan merah masak taucu ini sesuai dinikmati untuk makan tengah hari, enak dan cukup mengenyangkan. Resepi ni dikongsikan oleh Ariff Budiman Zainal Abidin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan merah (dilumur kunyit dan garam dan digoreng)
  • 1 biji bawang holland (dihiris bulat)
  • 1 inci halia (dipotong panjang)
  • 3 ulas bawang putih (dipotong nipis)
  • Cili hijau (dipotong empat)
  • 2 tangkai cili padi (diketuk)
  • Sebungkus kecil taucu
  • 1 cawan air
  • Gula
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Sedikit asam jawa
  • 1 sudu kecil biji sawi

Cara-cara:

  1. Tumis halia, bawang holland dan bawang putih hingga layu.
  2. Masukkan cili hijau dan cili padi ke dalam bahan yang ditumis.
  3. Masukkan taucu dan kacaukan.
  4. Masukkan air.
  5. Masukkan biji sawi.
  6. Perasakan dengan gula, garam dan bahan perasa.
  7. Masukkan sedikit asam jawa.
  8. Masukkan ikan merah dan gaul-gaulkan. Matikan api.
  9. Sedia untuk dihidang.

#8 Asam Pedas Ikan Merah Melaka

asam pedas ikan merah
Imej via Facebook

Tadi kita cuba resepi asam pedas Johor, kali ini apa kata anda cuba resepi asam pedas ikan merah style Melaka pula? Resepi ini dikongsikan oleh Tie Bakawaliku di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Air asam jawa
  • Ikan merah
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Daun kesum
  • Kacang bendi
  • Tomato
  • Lada hitam (jika mahu pedas)

Bahan kisar:

  • Lada kering
  • Bawang merah
  • Halia atau kunyit basah

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  2. Masukkan air dan asam jawa.
  3. Setelah mendidih, masukkan ikan, garam, serbuk perasa.
  4. Masukkan daun kesum, kacang bendi dan tomato.
  5. Masukkan lada hitam jika mahu pedas.
  6. Sedia untuk dihidang.

#9 Kari Ikan Merah Tanpa Santan

kari ikan merah tanpa santan
Imej via Facebook

Kurang menggemari hidangan yang berlemak? Tidak mengapa, cuba sahaja resepi kari ikan merah tanpa santan ini. Resepi ini dikongsikan oleh Nuriza Yusiza di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 biji bawang besar (dihiris halus)
  • 2 inci halia (dihiris halus)
  • 3-5 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • Minyak untuk menumis (jangan terlalu sedikit)
  • 7-8 sudu besar rempah kari (dibancuh dengan air menjadi pes)
  • Daun kari
  • Sedikit air asam jawa
  • Air mengikut kepekatan
  • Bendi
  • Garam secukup rasa
  • Ikan merah
  • Tomato

Cara-cara:

  1. Masukkan minyak dan tumiskan bawang besar, halia dan bawang putih sehingga layu dan kekuningan.
  2. Masukkan pes rempah kari dan daun kari. Kacau sehingga rempah pecah minyak.
  3. Masukkan air asam jawa dan sedikit air.
  4. Masukkan bendi dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
  5. Setelah bendi hampir masak, masukkan ikan dan biar mendidih menggunakan api sederhana.
  6. Masukkan tomato dan tutupkan periuk sekejap. Biar mendidih selama 2-3 minit.
  7. Sedia untuk dihidang.

#10 Asam Pedas Ikan Merah Kelantan

resepi asam pedas kelantan ikan merah
Imej via Facebook

Asam pedas memang ada banyak variasinya dan salah satunya ialah asam pedas Kelantan. Resepi ini dikongsikan oleh Atiqah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Bunga kantan
  • Daun kesom
  • Asam keping
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Ikan merah

Bahan kisar:

  • Kunyit hidup
  • Lengkuas
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Cili kering

Cara-cara:

  1. Masukkan bahan kisar.
  2. Kemudian, tambahkan daun kantan, daun kesom dan asam keping.
  3. Masukkan ikan dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
  4. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan merah, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.