Mencari resepi ikan goreng untuk dicuba?

Ikan goreng adalah hidangan yang bukan sahaja enak, malah mudah untuk disediakan. Cara masakannya juga ada perbagai dan ianya sesuai untuk pelbagai jenis ikan.

Masih kekeringan idea memikirkan tentang cara masakannya? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 resepi ikan goreng untuk anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Ikan Goreng Legend

resepi ikan goreng
Imej via Facebook

Hidangan ini digelar ikan goreng legend kerana ianya adalah resepi turun temurun. Resepi ini dikongsikan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Bawang putih
  • Halia
  • Garam kasar
  • Kunyit hidup
  • Ikan

Cara-cara:

  1. Tumbuk lumat semua bahan kecuali ikan.
  2. Sapukan bahan tumbuk ke atas ikan.
  3. Biarkan sekejap, kemudian goreng sehingga ikan masak.
  4. Sedia untuk dihidang.

#2 Ikan Goreng Masam Manis Pedas

resepi ikan goreng
Imej via Facebook

Pasti ramai di kalangan pembaca yang menggemari hidangan Thai ini – ikan masam manis. Anda juga boleh cuba sendiri resepinya di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Maryam Salleh di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan (digaul dengan garam dan kunyit, kemudian digoreng garing)

Bahan sos:

  • Cili api (ditumbuk)
  • Bawang putih (ditumbuk)
  • Bawang Holland (dipotong dadu)
  • Minyak untuk menumis
  • Sos Thai Maepranom
  • Sedikit air

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk.
  2. Masukkan bawang holland.
  3. Setelah bawang agak masak, masukkan sos Thai dan gaul rata. Tak perlu perasakan dengan garam dan gula kerana sos sudah secukup rasa.
  4. Masukkan sedikit air supaya tekstur menjadi sedikit berkuah.
  5. Tuangkan sos ke atas ikan yang siap digoreng.
  6. Sedia untuk dihidang.

#3 Ikan Bilis Goreng Tepung

resepi ikan goreng
Imej via Facebook

Ikan bilis besar ini sememangnya sinonim sebagai hidangan yang digoreng tepung. Kerangupannya pasti akan buat anda ketagih. Resepi ini dikongsikan oleh Syazwani Ghazali di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan bilis besar (dibasuh dan dibuang tulang dan kepala)
  • Tepung goreng rangup serbaguna
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Celupkan ikan bilis besar ke dalam tepung serbaguna. Gaul rata hingga semua ikan disaluti oleh tepung.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga rangup.
  3. Sedia untuk dihidang.

#4 Ikan Goreng Assam

resepi ikan goreng assam
Imej via Facebook

Mencari hidangan makanan tengah hari atau malam yang enak dan mudah untuk disediakan? Cuba sahaja buat ikan goreng assam, memang mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Wan LuQman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan kembung
  • Bancuhan air asam jawa
  • 6 biji bawang merah (dihiris)
  • 3 tangkai cili merah
  • 4 tangkai cili padi
  • 3 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 sudu kecil sos tiram
  • Bawang holland (dihiris)
  • Daun bawang (dicincang)
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Menggunakan minyak yang cukup untuk menenggelami ikan, panaskan minyak. Kemudian, gorengkan ikan kembung. Ketepikan.
  2. Menggunakan minyak yang sama (boleh kurangkan jumlahnya), tumiskan bawang merah, bawang putih dan cili.
  3. Setelah bahan tumisan sudah garing, masukkan sos tiram.
  4. Masukkan air asam jawa dan perasakan dengan sedikit gula.
  5. Kacau hingga masak dan pastikan rasa sudah seimbang.
  6. Curahkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi dan gaul rata.
  7. Hiaskan dengan daun bawang dan bawang holland.
  8. Sedia untuk dihidang.

#5 Ikan Celup Tepung (ICT)

ikan celup tepung
Imej via Facebook

Jika anda pernah ke Terengganu, semestinya hidangan yang digelar ICT ini pernah anda cuba, bukan? Anda juga boleh cuba resepinya sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Norafniza Hasni di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung beras
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 1 biji telur
  • Sedikit kapur makan
  • Garam
  • Serbuk kunyit
  • Air untuk bancuhan tepung (tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair)

Bahan kuah cili

  • 3–4 sudu besar cili kering
  • ½ gula melaka
  • Sedikit gula putih
  • Sedkit tepung jagung
  • Sedikit cuka
  • Air asam jawa

Cara-cara:

  1. Campurkan air bersama tepung jagung dan tepung beras. Kacau sehingga menjadi pes.
  2. Celupkan ikan satu-persatu di dalam pes.
  3. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak dan rangup. Ketepikan.
  4. Untuk kuah cili,masak semua bahan kuah cili menggunakan kuali berasingan.
  5. Sedia untuk dihidang.

#6 Ikan Keli Goreng Berlada

keli goreng berlada
Imej via Facebook

Satu lagi resepi ikan goreng yang mudah dan popular ialah ikan keli goreng berlada. Bagi penggemar makanan pedas. anda boleh cuba resepi yang senang ini. Resepi ini dikongsikan oleh Nor Aida di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Sedikit gula
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Perahan limau kasturi
  • Ikan keli (digoreng dahulu)

Bahan kisar kasar:

  • 3 ulas bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 3 tangkai cili merah besar
  • 5 tangkai cili padi merah
  • 5 tangkai cili padi hijau

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar kasar.
  2. Masukkan sedikit gula, garam, serbuk perasa dan perahan limau kasturi.
  3. Masak sehingga pecah minyak, kemudian masukkan ikan keli yang telah digoreng. Gaul sebati.
  4. Sedia untuk dihidang.

#7 Ikan Rebus Goreng

resepi ikan goreng - ikan rebus goreng
Imej via Facebook

Ini juga antara masakan kampung yang popular dan senang untuk dicuba – ikan rebus goreng. Resepi ini dikongsikan oleh Aroma Bonda di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • Ikan selayang
  • Daun pandan
  • Halia
  • Lengkuas
  • Gula melaka
  • Asam keping
  • Garam
  • Cuka

Bahan lain:

  • Cili hijau (dipotong)
  • Cili merah (dipotong)
  • Bawang merah (dihiris)

Cara-cara:

  1. Rebus bahan A dengan sedikit air selama 15 minit.
  2. Setelah siap direbus, perap dalam peti sejuk bahagian chiller selama 1 malam.
  3. Keluarkan dan boleh goreng ikan dengan cili dan bawang merah.
  4. Sedia untuk dihidang.

#8 Ikan Goreng Asam Jawa

resepi ikan goreng asam
Imej via Facebook

Hidangan ikan goreng asam jawa ini sangat sesuai dibuat bekal kerana cara penyediaan yang cukup mudah. Rasanya juga lazat, setiap suapan pasti akan menjanjikan kepuasan. Resepi ini dikongsikan oleh Hijrah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Beberapa ekor ikan kembung atau selar
  • 2 sudu besar asam jawa
  • Cili padi merah
  • 2 biji bawang besar
  • 4 biji limau kasturi
  • Kicap manis/lemak
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Perap ikan kembung dengan asam jawa sekurang-kurangnya 20 minit.
  2. Menggunakan api perlahan, goreng sehingga masak Jangan terlalu garing (ikan akan kelihatan sedikit hitam apabila digaul dengan asam jawa tadi).
  3. Angkat ikan dan toskan minyak.
  4. Taburkan cili api dan bawang yang telah dihiris ke atas ikan.
  5. Masukkan kicap serta sedikit minyak yang masih panas.
  6. Perahkan juga asam limau.
  7. Sedia untuk dihidang.

#9 Ikan Kerapu Goreng Halia & Bawang Putih

ikan kerapu goreng halia dan bawang putih
Imej via Facebook

Nama hidangan ini sendiri pasti sudah buat anda kecur air liur, bukan? Ikan kerapu sendiri merupakan antara ikan yang menjadi rebutan, jadi anda wajib cuba hidangan ini. Resepi ini dikongsikan oleh Yan Akif di laman Facebook

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • Ikan kerapu
  • Garam
  • Kunyit
  • Tepung jagung
  • Minyak yang banyak untuk menggoreng
  • Limau

Bahan B

  • 2 inci halia muda (dipotong memanjang)
  • Cili padi potong halus (ikut suka)
  • Bawang putih di(potong nipis)

Bahan C:

  • 3 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 3 titik minyak bijan
  • 1 sudu kecil gula
  • 1 sudu besar minyak

Cara-cara:

  1. Lumurkan ikan kerapu dengan garam dan kunyit.
  2. Kemudian, salutkan pula ikan tadi dengan tepung jagung.
  3. Panaskan minyak dan goreng ikan kerapu hingga garing.
  4. Angkat dan perahkan sedikit limau ke atas ikan kerapu. Ketepikan
  5. Goreng garing bahan B dan ketepikan.
  6. Panaskan minyak dan campurkan semua bahan C. Pastikan api tidak terlalu tinggi.
  7. Kacau sehingga menggelegak dan matikan api.
  8. Taburkan semua bahan B yang sudah digoreng garing ke atas ikan.
  9. Kemudian, curahkan bahan C ke atas ikan.
  10. Sedia untuk dihidang.

#10 Ikan Goreng Kicap Versi Pekat

ikan goreng kicap pekat
Imej via Facebook

Selain daripada ayam dan daging, ikan juga sesuai dibuat goreng kicap. Kali ini, versi kicap pekat pula. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Husna Mohamed Daud di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Kunyit
  • Garam
  • 1 mangkuk kecil kicap cair atau pekat

Bahan kisar:

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Beberapa tangkai cili padi
  • Tomato

Cara-cara:

  1. Perasakan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng dan ketepikan.
  2. Tumis bahan kisar hingga masak.
  3. Masukkan kicap pekat atau kicap cair.
  4. Masukkan ikan dan gaul rata.
  5. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan goreng, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.