Mencari tempat makan nasi kandar di Ipoh?

Ipoh adalah ibu negeri di Perak yang mempunyai pelbagai tarikan, terutamanya tempat makan menarik. Sebut sahaja tempat makan apa yang dicari, dari sarapan pagi ke makan malam, semuanya ada.

Tarikannya termasuklah dengan tempat makan nasi kandar. Untuk itu, berikut kami senaraikan 12 tempat makan nasi kandar di Ipoh untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Kedai Kopi Yong Suan

Alamat: 2, Jalan Yang Kalsom, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 9.30 am – 6 pm

Nama restoran yang beroperasi sejak tahun 1957 ini sudah tidak perlu kami perkenalkan lagi. Tambahan pula jika anda orang Ipoh, pasti anda sudah biasa terdengar tentang menu hangat di sini – nasi ganja.

Nasi ganja ini sebenarnya nasi kandar ayam merah. Keenakannya dikatakan boleh buat sesiapa ketagih dengannya, disebabkan itulah namanya sebegitu. Memang menarik!

nasi kandar ipoh nasi ganja yong suan
Imej via Foursquare

Lauk yang wajib anda cuba ialah ayam merah atau ayam goreng. Ayam merahnya pedas dan memang secukup rasa, sangat enak dinikmati bersama telur masin, timun dan kuah banjir.

#2 Restoran M Salim

Alamat: 22, Jalan Yang Kalsom, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 8 pm

Terletak di Taman Jubilee, ini merupakan antara kedai Mamak yang terkenal dengan hidangan nasi kandar – Restoran M Salim. Dibuka seawal jam 8 pagi, restoran ini juga sesuai disinggah untuk menikmati sarapan.

nasi kandar ipoh - restoran m. salim
Imej via Foursquare

Nasi kandar berlaukkan kari kepala ikan merupakan pilihan utama kebanyakan pengunjung di sini. Karinya dikatakan padu – kuahnya yang pekat dan aromanya yang harum memang menggamit selera. Ianya juga sesuai dinikmati dengan roti canai, dijamin enak.

Selain itu, lauk lain seperti kari telur sotong dan kari kambing juga turut mencuri tumpuan ramai. Alang-alang singgah di sini, cuba sahaja kesemua lauk. Jangan lupa untuk menambah telur masin dan sayur bendi, pasti lebih kick.

#3 Nasi Kandar Pekan Lama

Alamat: Rumah Pangsa Jln Bijih Timah Mbi, 125, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, 10.10 am – 3 pm, Ahad 10.30 am – 3 pm

Restoran Nasi Kandar Pekan Lama ini kerap dibanjiri pelanggan, jelas membuktikan yang nasi kandar di sini bukan biasa-biasa. Restoran ini juga sudah beroperasi sejak berpuluh tahun yang lalu, memang legend.

nasi kandar pekan lama - nasi kandar ipoh
Imej via Foursquare

Untuk lauk, anda boleh cuba kari telur ikan, ayam goreng dan kari ayam. Kari di sini juga turut mendapat pujian yang tidak putus-putus. Yang istimewanya, ada tambahan mangga di dalam kari dan ini menyerlahkan rasa kari tersebut. Rugi jika tak cuba, memang digilai ramai!

#4 Restaurant Nasi Vanggey Sdn. Bhd.

Alamat: 1, Persiaran Greentown 5, Green Town Business Centre, 30450 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 8 pm

Restorant Nasi Vanggey – kami yakin anda pasti tahu dan pernah terdengar nama restoran ini. Memulakan perniagaan dari Ipoh, kini restoran ini mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia, memang terserlah popularitinya.

nasi vanggey - nasi kandar ipoh
Imej via Foursquare

Kalau nama pun nasi kandar, semestinya keenakan kuah campur yang disajikan amat dititikberatkan oleh penggemarnya. Jangan risau, kuah campur di sini seringkali menjadi rebutan ramai. Jadi, keenakannya memang tidak diragui.

Ayam goreng dan ayam sambal merupakan antara lauk yang terlaris di sini. Ayamnya diperap dengan begitu sempurna, jadi tidak hairanlah rasanya sangat sedap. Ditambah pula dengan kuah campur, pasti mantap!

#5 Nasi Kandar Naina

Alamat: 21, Jln Meru Bestari B5, 30020, Jln Meru Bestari B5, 30020 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 8 pm

Nasi Kandar Naina ini bukan sahaja mempunyai beberapa cawangan di Ipoh, malah di Kuala Lumpur pun ada. Terkenal dengan naan keju yang tular beberapa tahun lalu, nasi kandar di sini turut mendapat sambutan yang hangat.

nasi kandar naina - nasi kandar ipoh
Imej via Foursquare

Ada pelbagai jenis lauk yang anda boleh cuba untuk nasi kandar. Kari ayam, ayam goreng dan daging kicap merupakan antara lauk pilihan ramai. Sambal kelapa juga turut disajikan, sebuah menu tambahan yang dijamin sedap!

#6 Gerai Makanan dan Minuman Rahamath

Alamat: Jalan Dato Sagor, 31650 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, Isnin 10.15 am – 3.45 pm, Selasa – Sabtu 10.30 am – 4 pm

Satu lagi kedai Mamak yang menyajikan nasi kandar yang terlajak sedap ialah Gerai Makanan dan Minuman Rahamath. Boleh dikatakan sebuah hidden gem kerana tak ramai tahu tentangnya, tetapi nasi kandar di sini memang tip top!

rahamath nasi kandar
Imej via Foursquare

Hidangan di sini bukan sahaja sedap, malah bersaiz besar dan berpatutan harganya. Nasi putih yang diberikan juga dikatanya banyak dan ayam gorengnya memang besar. Jangan lupa untuk minta kuah lebih – lebih banjir, lebih sedap.

#7 Nasi Kandar Pekan

Alamat: 25, Jalan Dato Tahwil Azhar, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 8 pm

Pernah terdengar tentang briyani buluh? Bukan mudah untuk menjumpai briyani sebegini. Jadi jika berkesempatan ke Ipoh, lekaslah singgah di restoran Nasi Kandar Pekan yang terletak di Taman Jubilee ini.

Selain briyani buluh, nasi kandar di sini juga tidak kurang hebatnya. Lauk kari ayam dan ayam goreng merupakan antara lauk yang menjadi pilihan ramai pengunjung tetapnya. Jangan lupa untuk cuba murtabak mereka, memang laku keras!

#8 Rahmatha Jalan Maxwell

Alamat: 22, Jalan Tun Abdul Razak, Taman Cherry, 30100 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis, 10.30 am – 3 pm

Bagi peminat nasi kandar berlaukkan ayam ros, ini merupakan antara restoran nasi kandar di Ipoh yang patut anda serbu – Rahmatha Jalan Maxwell. Nasi kandar di sini bukan sahaja sedap, malah murah harganya.

ayam ros rahmatha jalan maxwell
Imej via Foursquare

Rata-rata pelanggan yang mencuba hidangan tersebut memuji rasa ayam ros yang segar. Bukan sahaja enak dimakan bersama nasi kandar, malah enak juga dimakan begitu sahaja. Jangan lupa untuk datang awal, risau terlepas peluang kerana ayamnya sangat laris.

#9 Medan Selera Dato’ Sagor

Alamat:  Jalan Dato Sagor, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 5 pm

Medan selera yang terletak di Jalan Dato Sagor ini menyajikan pelbagai jenis menu – dari hidangan sarapan ke makan tengah hari, semuanya ada. Ini termasuklah juga dengan nasi kandar.

nasi ganja dato sagor old bus station tanjung rambutan
Imej via Facebook

Nasi kandar yang popular di sini ialah nasi kandar ayam merah atau nasi ganja yang disajikan di gerai nombor 26 – Nasi Kandar Tanjung Rambutan Old Bus Station. Keaslian resepi nasi ganja yang diterapkan membuatkan nasi ganja di sini begitu digilai, wajib cuba!

#10 Nasi Kandar Pelita Fair Park

Alamat: 2, Jalan Kamaruddin Isa, Taman Fair Park, 31400 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 8 pm

Mencari restoran nasi kandar yang menyajikan lauk yang cukup berbagai? Antara restoran nasi kandar di Ipoh yang wajib anda singgah untuk tujuan tersebut ialah Nasi Kandar Pelita.

nasi kandar pelita fair park
Imej via Foursquare

Kari lamb shank, ayam kicap, kari udang, ayam goreng, dan kari sotong merupakan antara lauk yang pasti bikin anda terliur. Kuah kicap dan kuah campurnya juga turut disebut-sebut oleh pengunjungnya, jangan lupa untuk cuba.

#11 Restoran HAJI GANY Nasi Kandar

Alamat: 40, Jalan Yang Kalsom, Taman Jubilee, 30250 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 8 pm

Terletak di Jalan Yang Kalsom, Restoran HAJI GANY Nasi Kandar ini juga merupakan antara restoran nasi kandar yang sentiasa menjadi pilihan penduduk di Ipoh. Harga yang berpatutan adalah bonus utama buat pengunjung restoran ini.

restoran haji gany nasi kandar
Imej via Instagram

Untuk nasi kandar, anda boleh menikmatinya dengan lauk kari kepala ikan, ayam merah, ayam bawang, ayam goreng dan kari kambing. Bukan sahaja bersaiz besar, malah harga yang ditawarkan juga berpatutan.

#12 Nasi Kandar Tayub

Alamat: 43, Jalan Tawas Baru 12, Taman Tasek Damai, 30010 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 am – 4 pm

‘Rasanya persis nasi kandar di Penang’ – ini merupakan antara ulasan yang diberikan oleh pelanggan restoran Nasi Kandar Tayub. Bagi penggemar nasi kandar asli Penang, inilah antara restoran yang wajib anda singgah di Ipoh.

nasi kandar tayub ipoh
Imej via Foursquare

Ayam goreng mungkin kedengaran seperti lauk nasi kandar yang biasa. Namun jika anda mencubanya di sini, pasti anda akan tertarik. Kulitnya yang rangup, isi yang lembut serta ayam yang secukup rasa merupakan antara keistimewaan lauk ini.

Kesimpulan

Sudah jumpa tempat makan nasi kandar di Ipoh yang ingin diserbu? Jika berpeluang ke sini, singgah sahaja satu persatu kerana semuanya menarik.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.