Nasi Bamboo Sungai Klah menyajikan masakan tradisional masyarakat Perak yang sering mendapat perhatian. Popular di kalangan orang ramai termasuklah VVIP.

Pengunjung yang datang bukan sahaja dari masyarakat setempat, malah mendapat perhatian dari pengunjung luar termasuklah pelancong antarabangsa berikutan ia telah dipromosi secara meluas melalui media tempatan dan juga media sosial.

Pelancong dari negara Arab, Brunei, Singapura dan Hong Kong antara pelanggan antarabangsa yang pernah datang mencuba hidangan di sini.

Nasi Bamboo

Imej via orangperak

Lauk Tradisi Negeri Perak

Nasi Bamboo ini sedap di makan bersama lauk – pauk asli negeri Perak ketika ia masih panas kerana akan membangkitkan lagi selera ketika makan.

Antara lauk pauk yang terdapat di sini adalah ayam kampung serabut, daging masak hitam, ikan keli goreng panas, gulai kawah, ayam bakar, ikan bakar, ayam dara, ayam bunian dan bermacam lagi.

Anda kena mencuba ayam kampung bunian kerana ia diinspirasikan dari kisah rakan pemilik restoran ini yang pernah bermimpi mengenai hidangan ini suatu ketika dahulu. Ia diadun mesra dengan rempah ratus rahsia yang dihasilkan sendiri oleh pemilik restoran.

Nasi Bamboo

Imej via ismahani

Kambing Salai Menjadi Rebutan

Lauk yang paling popular dan sering menjadi rebutan adalah daging kambing salai yang dimasak bersama rempah ratus untuk menghasilkan rasa yang begitu sedap dan autentik.

Daging kambing ini telah disalai selama 16 jam sebelum dijadikan hidangan makan tengahari. Anda juga boleh mencuba Nasi Panggang Daun Lirik yang ternyata begitu berbeza serta menampilkan aroma yang begitu asli serta menyelerakan.

Sambal belacan yang dihidangkan juga menggunakan resepi yang tersendiri dan memikat hati. Pelbagai jenis kerabu turut menjadi sajian istimewa di sini.

Nasi Bamboo

Imej via shadesofqaeds

Konsep Layan Diri

Konsep pesanan makanan di sini adalah secara layan diri. Terdapat empat stesen disediakan iaitu Stesen Nasi Buluh, Stesen Bakar – Bakar, Stesen Lauk – Pauk, Stesen Air, Stesen Bakeri, Stesen Goreng – Goreng dan juga Stesen Manisan.

Bagi Stesen Goreng – Goreng, ia menyediakan hidangan ringan seperti pisang goreng, ubi goreng dan sebagainya manakala Stesen Manisan pula menyajikan coconut shake, ABC, buah – buahan, bubur manis dan sebagainya.

Stesen Bakeri pula menghidangkan pelbagai jenis kek, tart dan bermacam lagi. Bagi penggemar sup pula, anda pasti tertarik untuk mencuba pelbagai jenis sup yang ada di sini.

Sup yang paling laris serta popular adalah sup tulang kambing, sup tulang lembu, sup ekor, sup daging dan bermacam lagi. Yang pasti, rasa sup yang dimasak cukup dengan rasa rempah ratusnya yang tersendiri.

Jadi anda boleh membuat perancangan untuk ke stesen yang dahulu kerana anda perlu beratur di setiap stesen yang diinginkan.

Biarpun pelanggan agak ramai, namun jangan risau kerana para pekerja yang bertugas adalah sangat cekap dan pantas. Oleh sebab itu, anda tidak perlu beratur lama untuk mendapatkan pesanan.

Lauk Pauk

Imej via malaymail

Waktu Operasi

Restoran ini dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat mulai jam 10.30 pagi hingga 6.00 petang. Ia sering menjadi kunjungan orang ramai terutamanya di musim cuti persekolahan, cuti hujung minggu dan juga cuti umum.

Alamat : Lot 53 Tanjung Balai, Jalan Slim River Sungkai, Perak

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.