Selepas sarapan, makan tengahari merupakan antara waktu makan yang paling penting. Tambahan pula jika anda bekerja pada awal pagi, anda wajib menikmati makan tengahari untuk memberikan tenaga.
Mahu mencuba sendiri menu makan tengah hari di rumah? Berikut kami senaraikan 10 menu makan tengahari untuk anda. Teruskan membaca!
#1 Ayam Geprek
Ini merupakan antara hidangan yang tular baru-baru ini. Ianya merupakan hidangan Indonesia yang pedas, namun sangat sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Rodziah Zaharin di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ayam
1 – 2 biji telur
Tepung serbaguna pedas
2 sudu gula
1 sudu garam
Jus limau nipis
1 sudu kecil cuka
Bahan sambal geprek:
6 biji cili merah besar
4 biji cili hjau kecil
2 biji cili merah kecil
1½ biji bawang besar / bawang merah
4 biji bawang putih
1 biji limau nipis (ditumbuk)
Jus limau nipis
Cara-cara:
Gaul ayam dengan 1-2 biji telur dan tepung serbaguna pedas. Gorengkan dalam api sederhana dan ketepikan.
Goreng bahan sambal geprek menggunakan api yang panas selama 3 minit. Angkat dan toskan.
Masukkan bahan yang digoreng tadi dalamm lesung batu dan tumbuk.
Masukkan juga gula dan garam sambil menumbuk. Tumbuk separuh lumat.
Masukkan jus limau nipis dan cuka.
Masukkan minyak gorengan tadi sebanyak 1 – 1½ sudu.
Masukkan serbuk perasa dan gaul rata.
Boleh tuang ke atas ayam.
Sedia untuk dihidang.
#2 Sambal Paru
Selain daripada boleh dinikmati semasa sarapan, sambal paru juga sesuai dinikmati pada waktu tengahari. Ianya juga mudah untuk dibuat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Ainn Mustafar di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 kg paru (direbus hingga lembut)
Garam
Gula
Serbuk perencah
Kunyit
Bahan kisar:
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah kecil
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil biji ketumbar
Cara-cara:
Gaul paru yang direbus dengan garam dan kunyit dan gorengkan. Ketepikan.
Tumis bahan kisar dan lebihkan minyak.
Setelah pecah minyak, perasakan dengan garam, gula dan serbuk perencah.
Setelah sambal Nampak merah dan berkilat, masukkan parut tadi dan gaul. Padamkan api.
Sedia untuk dihidang.
#3 Nasi Minyak Gulai Terengganu
Ada peminat nasi minyak di sini? Nasi minyak juga merupakan antara menu makan tengahari yang cukup menyelerakan dan mengenyangkan. Resepi ini dikongsikan oleh Azila Ismail di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan gulai:
2 labu bawang besar
Seinci halia
1 sudu besar rempah masak Bunga Ros
3 sudu besar rempah gulai Bunga Ros
4 sudu besar sos tomato
10 ulas bawang goreng (boleh digoreng dahulu atau tidak)
Rempah 4 sekawan
1 ekor ayam / 1 kg daging
1 keping gula melaka
Garam
Ubi kentang
Bahan nasi:
3 pot beras basmathi (direndam selama 1 jam)
2 sudu besar marjerin
Rempah 4 sekawan
1 inci halia
1 labu bawang besar
3½ cawan air (cawan plastic Ikea)
1 sudu besar susu pekat
2 sudu besar sos tomato
Sedikit garam
Daun pandan
Cara-cara:
Untuk bahan gulai, kisarkan bawang besar dan halia. Tapiskan.
Gaul rempah masak Bunga Ros, rempah gulai Bunga Ros, sos tomato dan bawang goreng bersama ayam atau daging.
Tumis rempah 4 sekawan dan letakkan bahan-bahan yang digaul tadi.
Masukkan air, gula melaka dan garam.
Menggunakan periuk tekanan, gunakan mod HP selama 40 minit.
Masukkan kentang ke dalam periuk tekanan dan tambah masa lebih 10 minit.
Untuk nasi, masukkann marjerin.
Tumiskan rempah 4 sekawan, halia dan bawang besar.
Masukkan air, susu pekat dan sos tomato.
Perasakan dengan garam dan masukkan daun pandan.
Masukkan ke dalam periuk tekanan dan gunakan mod kukus selama 8 minit.
Sedia untuk dihidang.
#4 Nasi Ayam Penyet
Ini juga merupakan antara menu makan tengahari yang popular – nasi ayam penyet. Kelihatan ringkas, namun keenakannya tak terkata! Resepi ini dikongsikan oleh Puan Jida Jat di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan sambal penyet:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
4 tangkai cili merah
20 tangkai cili hijau
3 biji tomato
Sedikit belacan
Ikan bilis *optional
Bahan ayam goreng:
4 sudu tepung gandum
4 sudu tepung jagung
Sedikit kunyit
Sedikit rempah kari daging
Serbuk perasa
Bahan ulam:
Salad
Kacang panjang
Timun
Tempe (digoreng)
Cara-cara:
Gorengkan bahan-bahan sambal penyet. Setelah layu, toskan.
Tumbuk atau kisar bahan tadi dan perasakan dengan serbuk perasa. Ketepikan.
Untuk ayam goreng, gaulkan ayam dengan bahan-bahan lain dan gorengkan.
Sedia untuk dihidang.
#5 Udang Khamped
Jika anda penggemar makanan laut, anda wajib cuba resepi udang khamped ini. Ianya merupakan menu yang terkenal di Siam. Resepi ini dikongsikan oleh Ida Zairi di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 kg udang (digoreng dengan garam dan kunyit)
2 sudu cili kisar
1 sudu pes tomyam
1 sudu sos tiram
1 sudu sos cili
1 sudu sos ikan
1 keping asam keping
Kacang panjang (optional)
Garam
Gula
Daun limau purut
Bahan kisar halus:
2 biji bwg besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
½ inci lengkuas
2 batang serai (dipotong halus)
2 biji cili hidup merah
5 biji cili api hijau
Cara-cara:
Panaskan minyak bekas gorengan udang dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
Masukkan cili kering hingga masak dan pecah minyak.
Masukkan sos tiram, sos cili, sos ikan dan asam keping dan masak hingga mendidih.
Jika kering, masukkan air.
Masukkan udang, kacang dan daun limau purut. Perasakan.
Sedia untuk dihidang.
#6 Daging Bakar Harimau Menangis
Terdengar nama pun boleh bikin kecur air liur, bayangkan memasak dan menikmatinya. Pasti padu! Resepi ini dikongsikan oleh Fara Nur di laman Facebook.
Bahan-bahan:
2 kg daging (dipotong kecil atau mengikut kesukaan)
5 sudu besar sos cili
5 sudu besar sos tiram
6 sudu besar sos lada hitam
6 sudu besar sos ikan/ kicap biasa
1½ sudu besar lada hitam (ditumbuk)
2 sudu gula
1 sudu kecil garam
½ cawan minyak masak
Air asam jawa:
Segenggam asam jawa
1 cawan air suam
3 sudu sos ikan
1 biji limau nipis
1 keping gula melaka (ditumbuk halus)
10 biji cili api tumbuk halus (boleh tambah jika mahu lebih pedas)
8 biji bawang merah kecik (dihiris nipis)
Beras disangrai (digoreng tanpa minyak dan tumbuk halus)
Daun ketumbar (dipotong halus)
Garam
Cara-cara:
Campur kesemua bahan di atas kecuali minyak masak dalam 30 minit.
Kemudian, tuangkan minyak masak dan gaul sebati.
Perap lagi dalam 2 jam dan sedia untuk dibakar.
Untuk air asam, campurkan air suam dan asam jawa.
Campurkan air asam jawa, sos ikan, gula melaka, cili api, bawang merah, beras dan daun ketumbar dalam satu bekas.
Tambah sedikit air jika adunan nampak terlalu pekat.
Perah sedikit limau nipis.
Perasakan dengan sedikit garam.
Sedia untuk dihidang.
#7 Ayam Kicap ala Tiga Budak Gemok
Sebut sahaja tentang ayam Tiga Budak Gemok, pasti anda mula terbayangkan hidangan yang terlajak sedap ini, bukan? Cubalah sendiri resepi ala hidangan tersebut! Resepi ini dikongsikan oleh Nur Aisya di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Daun kari
Kicap manis
Sos tiram
Ayam (digoreng dengan garam dan kunyit)
Bahan tumbuk:
Cili api
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Bahan sambak gesek bawang:
Bawang putih
Tomato
Ikan bilis
Cili padi
Cili merah
Bawang besar
Cara-cara:
Tumis daun kari terlebih dahulu.
Kemudian, masukkan bahan yang telah ditumbuk. Pastikan bahan tumis garing dan gelap.
Tuangkan kicap manis dan sos tiram.
Masukkan ayam yang telah digoreng.
Untuk sambal gesek bawang, goreng dahulu semua bahan dan kemudian tumbuk. Perasakan.
Sedia untuk dihidang.
#8 Kerabu Sotong
Satu lagi menu makan tengahari yang berasaskan makanan laut ialah kerabu sotong. Cukup enak dinikmati bersama nasi putih panas-panas! Resepi ini dikongsikan oleh Yuni Nadzirah II di laman Facebook.
Bahan-bahan:
½ kg sotong
1 biji bawang besar (dihiris)
4 biji bawang putih
8 biji cili padi (campur merah & hijau)
2 biji limau nipis
1 sudu gula melaka Thai / gula biasa
2 sudu sos ikan
1 biji tomato
Sedikit daun ketumbar
Cara-cara:
Rebus sotong seketika. Angkat dan tos, simpan 1-2 sudu air rebusan sotong.
Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih, cili api. Masukkan 1 sudu air rebusan sotong.
Masukkan gula melaka Thai dan sos ikan. Gaul sebati.
Perah air limau nipis ikut tahap masam yang dikehendaki
Perasakan masukkan sotong yang dah ditoskan dalam satu bekas.
Masukkan bahan yang ditumbuk tadi bersama sotong. Gaul rata hingga sebati sotong dan cili tadi.
Tabur tomato yang dah dipotong dadu dan daun ketumbar yang dah dihiris halus. Gaul sebati.
Sedia untuk dihidang.
#9 Ikan Dori Masam manis
Hidangan ikan dori masam manis ini pasti disukai oleh ramai pembaca, bukan? Anda juga boleh mencuba resepinya yang menarik! Resepi ini dikongsikan oleh Rahiza Abd Rahim Rahiza di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan dori (dipotong kecil mengikut saiz kesukaan)
4-5 ulas bawang putih (diketuk atau dicincang kasar)
1 biji bawang holland kuning (dipotong 8)
2-3 inci halia (diketuk atau dihiris)
Lada benggala merah & hijau (dipotong dadu besar)
Tomato segar
4-5 sudu besar sos cili
2-3 sudu besar sos tomato
1 sudu besar tomato
Minyak bijan
Gula
Garam
Air rebusan ayam atau kiub pati ayam
Tepung jagung
Tepung gandum
Lada sulah
Telur
Cara-cara:
Bancuh tepung gandum dengan tepung jagung, lada sulah dan garam.
Celup ikan ke dalam bancuhan dan goreng. Ketepikan.
Untuk sos, tumis bawang putih, halia dan gua.
Letakkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan minyak bijan.
Masukkan sedikit air jika terlalu pekat.
Perasakan dengan garam, lada sulah dan kiub pati ayam.
Letakkan bawang holland, tomato dan lada benggala.
Masukkan ikan yang digoreng tadi.
Sedia untuk dihidang.
#10 Kerang Goreng Cili
Hidangan ini cukup sesuai dinikmati oleh pencinta makanan laut dan pedas – kerang goreng bercili. Resepi ini dikongsikan oleh Zara Zyad di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Kerang (direbus atau dicelur dan dikupas separuh kulitnya)
Serai (dihiris nipis/panjang)
Sos tiram
Serbuk perasa
Garam
Gula
Bahan kisar:
Cili merah
Cili padi
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Cara-cara:
Panaskan minyak, tumiskan serai dan masukkan bahan kisar.
Setelah pecah minyak, masukkan sos tiram dan bahan perasa. Kaup balik.
Masukkan kerang dan gaul sekejap.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi menu makan tengahari, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!