Mengetengahkan menu hidangan Barat selera Asia menjadikan hidangan di restoran ini ternyata cukup berbeza. Restoran ini telah mula beroperasi sejak tahun 2014 lagi. Ia diusahakan oleh dua orang sahabat berlainan bangsa iaitu Kenny Teng dan juga Arze Zamir.
Restoran yang dikenali sebagai Pop’s Eatery ini menggabungkan dua elemen berbeza iaitu elemen Timur dan Barat. Dua elemen tersebut merupakan ramuan keju dan cili yang menghasilkan citarasa yang tersendiri serta menepati selera masyarakat setempat.
Keunikan hidangan yang ditawarkan membuatkan ramai pelanggan ingin mencubanya. Antara menu yang disajikan adala Stir Fried Spaghetti Beef Beacon Cili Padi dan juga Pasta Tomyam Tuna.
Hidangan istimewa yang mesti anda cuba di sini adalah Spicy Cream Cheese Pasta Grilled Herb Chicken yang disaluti sos keju berkrim menjadikan hidangan pasta tidak terlalu kering. Bagi pelanggan yang sedang menjalani proses diet, anda boleh juga mencuba menu vegetarian iaitu Aglio Olio Vegetarian. Ia kaya dengan aroma bawang putih, lada hitam dan juga lada benggala.
Setiap bulan, Pop’s Eatery akan memperkenalkan dua jenis hidangan baru kepada pelanggan. Sekiranya mendapat respon positif dari pelanggan, dua hidangan tersebut akan dimasukkan dalam menu utama restoran. Antara menu yang telah mendapat maklumbalas positif adalah Grilled Chicken Burger.
Restoran ini turut menawarkan hidangan pencuci mulut seperti Churros, yang terkenal sebagai pencuci mulut tradisional rakyat Sepanyol. Ia disajikan bersama sos coklat mahupun salted caramel.
Biarpun Churros telah sejuk, kerangupan Churros masih dapat dikekalkan. Adunan yang terbaik menjadikan Churros tetap rangup. Sos coklat dan salted caramel yang dihasilkan sendiri ternyata memberi satu kepuasan buat para pelanggan.
Pop’s Eatery mampu menampung sehingga 40 orang pelanggan pada satu – satu masa. Sambil menunggu hidangan utama, anda boleh juga mencuba hidangan kentang goreng berkeju sebagai pembuka selera.
Apabila menghasilkan hidangan setiap hari, pemilik restoran akan sentiasa memperkenalkan gaya pemakanan yang sihat untuk para pelanggan. Restoran ini turut dikenali sebagai restoran Comfort Food kerana menyajikan sajian yang lazat serta harga yang sangat berpatutan.
Saiz hidangan yang disediakan pula agak besar. Jika anda memesan cheesy fries, saiz hidangannya ibarat sepeket kentang yang belum digoreng. Begitu banyak portion yang disajikan untuk pelanggan.
Restoran ini mengetengahkan konsep membuat pesanan di kaunter bersama bayaran. Nombor pesanan akan diberikan untuk diletakkan di atas meja. Kemudian, pelanggan hanya perlu menunggu di meja makan sehingga hidangan tiba.
Dekorasi restoran pula sangat ringkas tetapi tetap menarik dengan lukisan dinding berwarna – warni tetap menarik perhatian ramai. Susun atur perabot di restoran ini juga begitu unik dan menimbulkan suasana tenang dan damai tatkala menjamu selera di sini.
Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 12.00 tengahari hingga jam 10.00 malam.
Alamat : Jalan Wangsa Delima 1, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur