Pernah terdengar tentang mi calong? Mi calong ini merupakan hidangan mi seakan-akan bakso yang cukup terkenal di negeri Pantai Timur. Ianya selalunya dihidangkan bersama bebola ikan.

Jika anda berada di sekitar Kuantan, daerah Beserah merupakan daerah yang cukup terkenal dengan pelbagai warung yang menyediakan mi calong.

Namun, dalam banyak-banyak warung, ada satu warung mi calong yang namanya cukup gah di sekitar Beserah – Joe Mee Calong! Agak-agaknya apa yang membuatkannya begitu istimewa? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

Mee Calong, Bukan Biasa-Biasa Sedapnya

mi calong @ joe mee calong

Imej via Foursquare

Walaupun ada banyak gerai yang menyediakan mi calong di Beserah, restoran Joe Mee Calong ini senantiasa penuh dengan pelanggan. Apa yang membezakan mi calong di Joe Mee Calong berbanding warung lain ya?

Mi calong di gerai biasa menggunakan mi kuning namun di sini, mereka menggunakan mi lidi! Mi lidi ini lebih halus dan lembut berbanding mi kuning, patutlah ramai yang suka!

mee calong

Imej via Foursquare

Selain itu, bebola ikan mereka juga buatan sendiri menggunakan isi ikan yang segar, bukan yang segera. Jadi, ianya semestinya lebih menyihatkan dan rasanya juga lazat!

Nasi Kukus Ayam Berempah, Tidak Kurang Hebatnya

Bukan sahaja mi calong yang istimewa di Joe Mee Calong, malah nasi kukus ayam berempah juga merupakan antara menu yang laku keras.

nasi kukus @ joe mi calong

Imej via Foursquare

Menurut pelanggan yang pernah merasainya sendiri, saiz hidangan ini agak besar namun harga yang ditawarkan pula cukup murah – RM 5 sahaja!

Selain itu, rasanya juga cukup sedap, ditambah pula dengan kuahnya yang banjir. Jika dimakan panas-panas, pasti lebih enak! Sambal belacannya merupakan pelengkap hidangan, semakin banyak semakin ‘kaw’!

Keropok Lekor Buatan Sendiri, Lebih Enak & Asli

Selalunya bila singgah di sesetengah gerai, pasti keropok lekor mereka liat dan rasanya juga tidak seenak yang kita mahukan. Lebih spesifik, rasa ikannya agak ‘kurang’, bukan?

keropok lekor @ joe mi calong

Imej via Foursquare

Usah gundah, keropok lekor di Joe Mee Calong ialah buatan sendiri! Ia dibuat dan digetel sendiri, jadi rasanya semestinya lebih asli. Kami berani jamin, sesedap keropok lekor di Terengganu!

Banyak Lagi

Ada penggemar rojak di sini? Kami ada berita baik buat anda! Joe Mee Calong juga ada menyediakan rojak ayam dan rojak mi yang memang terbaik rasanya.

rojak mi @ joe mee calong

Imej via Foursquare

Harganya juga cukup murah. RM 4 untuk rojak mi, RM 5 untuk rojak ayam dan RM 6 untuk rojak mi dan ayam. Kami cadangkan agar anda cuba rojak mi dan ayam mereka, gabungan paling ‘meletup’!

Kesimpulan

Tidak perlu kami ceritakan lebih-lebih tentang kehebatan mi calong di Joe Mee Calong ini. Sudahlah enak, harganya pula cukup berpatutan. Bebola ikannya juga banyak dan segar, memang berbaloi!

Jika anda sudah mula mengidam untuk merasainya, lekaslah singgah di Joe Mee Calong ya. Kami sarankan agar anda datang awal kerana dikhuatiri ruang tempat duduk akan penuh.

Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran. Selamat menjamu selera!

Alamat: 2/1138, Kampung Alur Tuan Haji Berserah, 26100, Kuantan, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 8.30 pagi – 6.30 petang

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.