Tak tahu tempat makan tengah hari di KL yang sedap? Jangan risau, kami akan kongsikan kepada anda tempat makan yang sedap untuk anda makan tengah hari bersama keluarga mahupun rakan sepejabat.
Jika disebut tentang menu makan tengah hari, pasti ada yang inginkan nasi campur dengan pelbagai lauk tradisi. Ada ke tempat makan di KL yang menyediakan lauk-pauk tradisional yang mempunyai rasa betul-betul seperti air tangan orang terdahulu?
Tak kurang juga ada yang inginkan kelainan untuk makan tengah hari iaitu menu selain nasi. Berikut merupakan tempat makan tengah hari di KL. Ada nasi campur, makanan barat, makanan Korea dan sebagainya. Pilih sahaja mengikut citarasa anda.
Ramai warga KL yang kata Pak Din Ikan Bakar adalah port ikan bakar tersedap di ibu kota. Mana tidaknya, ikan dibakar sempurna menggunakan arang, meningkatkan lagi aroma ikan bakar. Ada ikan pari, bawal, talapia, cencaru dan lain-lain. Ayam dan sotong bakar turut menjadi pilihan ramai.
Padanan dengan limpahan air asam yang pekat menjadikannya lebih sedap. Rasa pedas, masam dan manisnya seimbang. Sekali makan pasti teringat-ingat kesedapannya.
Lauk-pauk lain juga banyak disediakan buat pelanggan. Restoran mempunyai kawasan yang luas, bersih dan selesa. Begitu juga dengan kawasan parkir yang luas dan mudah untuk didapati.
Alamat: Jalan Tanglin, 50480 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Isnin-Sabtu (8.00 am-3.30 pm)
Bukan senang nak cari makan tengah hari bawah RM 10 di KL. Hanya di Warong Maa Abah anda boleh makan kekenyangan dalam hidangan set dengan harga murah ini tau!
Dengan harga ini anda boleh makan ayam penyet atau ayam gepuk, nasi ayam, nasi kerabu, nasi kukus kak wok dan set nasi panas. Walaupun harga murah, namun portion mengenyangkan dan paling penting sedap!
Orang Kelantan pasti suka makan tengah hari di sini kerana mereka turut menyediakan menu Kelantan termasuk budu! Ada set Ulam Ikan Picit Air Asam, set Ulam Ikan Picit Budu dan Set Ulam Ikan Picit Kicap. Menu simple ini memang buat ramai yang makan sambil menjilat jari.
Alamat: Wisma Central, Bersebelahan KLCC
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-7.00 pm)
Teringin masakan kampung dengan rasa yang mampu mengimbau air tangan orang terdahulu? Di Kuala Lumpur memang banyak kedai yang menjual masakan kampung, namun tak semua kedai boleh memberi kenikmatan rasa yang kena dengan tekak serta harga yang mampu milik. Namun, anda boleh nikmatinya di White N Black Kampong Heritage yang terletak di Chow Kit.
Restoran sangat eksklusif dimana dekorasinya juga mengikut tema makanan utama iaitu klasik dan tradisional. Restoran penuh dengan hiasan dan barangan antik. Selesa, luas dan sangat bersih. Berada di sini seolah-olah berada di kampung halaman.
Restoran dua tingkat ini menyediakan makanan tradisi seluruh pelusuk Malaysia. Antara menu yang mendapat perhatian kami adalah ikan bakar sambal petai, daging salai masak lemak, sambal udang petai dan terung berlada. Makan bersama ulam-ulaman dan tiga jenis sambal tradisi iaitu sambal tempoyak, sambal budu dan sambal belacan menjadikan hidangan anda lebih lengkap dan berselera.
Alamat: 15, Jalan Kamunting, Chow Kit, 50330 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa-Ahad (11.00 am-11.00 pm)
Ada yang rindu nak makan lauk kenduri? Di Bukit Bintang ada satu tempat yang anda boleh makan lauk-pauk kenduri setiap hari! Sebut sahaja nak ayam masak merah, daging masak hitam dan lain-lain, semuanya ada.
Paling best dan unik, mereka menyediakan nasi hujan panas! Siapa sangka di ibu kota yang penuh dengan pembangunan, terdapat sebuah warung yang menjual menu kenduri.
Ayam Rose Terangkat dan Ayam Madu Dua antara yang menarik perhatian ramai dengan keenakan rasanya. Kambing Pasamah dan Daging Masak Hitam juga sedap dimakan ketika panas. Paling best, ada air yang boleh anda minum secara percuma!
Alamat: Jalan Berangan, Bukit Bintang 50200 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Isnin-Sabtu (10.30 am-5.30 pm)
WhiteButter.KL merupakan tempat makan yang cantik dan berlatarkan Menara KLCC. Walaupun berada di tengah bandar, parkir mudah untuk untuk dicari, berdekatan kedai dan paling penting percuma.
Menu utama semestinya menu berasaskan butter. Set White Buttermilk Chicken, Salted Buttermilk Chicken, Salted Buttermilk Pasta dan Mantou Buns bersama sos Buttermilk merupakan menu pilihan ramai. Sos buttermilk pekat, pedas dan tidak muak.
Selain itu, cuba juga aneka burger besar dan kenyang untuk menikmatinya. Boleh pilih American Cheese Burger, Chick’ Fila Burger mahupun Chicken Burger Ala Kampung Baru yang menjadi bualan ramai. Setiap hidangan burger didatangkan bersama kentang goreng. Menu sampingan lain yang ramai memuji keenakannya adalah Spicy Korean Cheezy Fries, Butter Bao dan Japanese Croquettes.
Alamat: 52, Jalan Hamzah, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-10.00 pm)
Selain nasi campur, set ayam kunyit juga menjadi pilihan ramai untuk makan tengah hari. Di KL, anda boleh dapatkannya di Shedazz Ayam Kunyit yang berada di 33 Food Court, Bukit Bintang. Harga sangat murah iaitu bawah RM 10, pelanggan akan dapat nasi, ayam goreng kunyit selambak, kicap dan sambal! Sambal ada dua pilihan iaitu pedas dan tak pedas.
Selain ayam goreng kunyit, ada juga sotong dan daging. Pelanggan juga boleh add on telur mata atau telur dadar. Jika berkesempatan, pelanggan dapat menikmati sup daging secara percuma!
Alamat: 33, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (10.30 am-5.30 pm)
Tak kira di mana jua pasti ada yang gemar akan nasi kandar. Di Kuala Lumpur, Nasi Kandar Saddam antara yang terkenal dan disukai ramai warga kota. Ramai yang kata nasi kandar disini bukan sekadar sedap, malah harganya murah.
Menjelang waktu kemuncak iaitu tengah hari, kedai ini akan dipenuhi ramai lebih-lebih lagi buat mereka yang sedang berehat dari kerja. Tiga jenis kuah campur pekat dan sedap. Yang suka akan kuah banyak, anda boleh minta kuah banjir.
Alamat: 239 Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit, 50100 Kuala Kangsar
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-10.00 pm)
Makanan Kelantan banyak yang sedap sampai ada yang sanggup ke Negeri Cik Siti Wan Kembang hanya untuk ‘food hunting’. Namun kini warga KL boleh nikmati makanan original Kelantan di Dapur Mek’s Viral.
Makan nasi putih bersama daging atau ikan singgang, ulam-ulaman dan budu memang sedap. Menu killer untuk makan bersama nasi putih adalah set asam picit yang diletakkan ikan goreng atau ikan rebus, ulam-ulaman, telur puyuh dan asam jawa yang pekat dan pedas. Mi Celup Golok Special dan colek-colek pun ada.
Alamat: NO 65GE, Platinum Walk, Danau Kota, 53300 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa-Ahad (12.00 pm-10.00 pm)
Banglo 289 menyediakan menu berlainan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Kedai ini pernah viral dan ternyata memang sedap dan bukan hanya sekadar viral.
Restoran berkonsepkan alam semula jadi, penuh dengan pokok dan bunga yang menghijau. Persekitaran kedai luas, bersih, cantik dan nampak mewah. Walaupun begitu, tak semestinya harga setiap menu mahal. Paling penting, harga mampu milik dan berbaloi.
Walaupun dibuka dari pagi sehingga tengah malam, namun makanan tradisi untuk makan tengahhari bermula 11 pagi sehingga petang. Menu bestseller untuk makan tengah hari adalah ikan bakar, asam pedas, pucuk paku masak lemak, gulai ikan baung masak tempoyak dan daging salai masal lemak.
Alamat: 289, Jalan Raja Chulan 50200 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-12.00 pm)
Kedai Kak Som terletak di Kg Baru. Buat mereka yang mencari tempat makan tengah hari di KL yang berada betul-betul di pusat bandar, anda boleh cubanya di sini. Kalau datang lambat, pasti tak banyak pilihan yang tinggal.
Telah beroperasi sejak 1991, lauk-pauk yang ditawarkan memang kena dengan tekak pelanggan. Selain nasi campur, mereka turut menyediakan masakan dari pantai timur. Nasi kerabu, laksam dan nasi dagang antara menu bestseller.
Alamat: 13, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-2.00 am)
Experiment Kitchen dengan tagline ‘Your Talam Expert’ menyediakan menu utama yang disediakan di dalam talam. Menu tersebut didatangkan secara set dan boleh dimakan untuk beberapa orang. Kuantiti satu hidangan sudah cukup buat anda tersandar kekenyangan.
Untuk menu tengah hari, anda boleh makan set talam berlauk yang bermula 12 tengah hari sehingga 4 petang. Antaranya adalah set Talam Melati yang menghidangkan asam pedas tetel sebagai menu utama, udang sambal petai, ulam-laman dan lain-lain.
Setiap set talam akan dihidangkan di atas piring dan talam yang bercorak bunga klasik, mengimbau barangan dapur zaman dahulu. Set lengkap dengan nasi, lauk-pauk, ulam-ulaman, pemanis mulut dan kuih tradisional.
Alamat: Cheras
Waktu operasi: (12.00 pm-12.00 am)
Restoran Sambal Hijau adalah port makan tengah hari terkenal di Sg Penchala. Banyak menu yang terdiri daripada lauk-pauk, gulai dan sayur yang ada sehinggakan tak tahu nak pilih yang mana sebab semuanya nampak sedap.
Apa yang lebih memudahkan, setiap lauk-pauk telah diletakkan harga. Jadi senang untuk pelanggan ambil lauk mengikut bajet yang ada. Restoran luas dan boleh memuatkan ramai orang dalam satu masa. Parkir juga mudah untuk didapati.
Alamat: 2990, Jalan Sungai Penchala, Kampung Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur
Dah jemu makan nasi campur untuk makan tengah hari? Jom makan western campur yang viral di Wisma Central. Anda bernasib baik jika tak perlu beratur untuk memilih menu! Rupa-rupanya ramai yang suka makan di sini kerana banyak menu western yang sedap dan harga murah!
Ada lima menu utama yang terdiri daripada spaghetti, Mac N Cheese dan Macaroni. Kesemua menu ini boleh dimakan bersama lebih 10 pilihan topping termasuklah kentang, meatball, ayam goreng, mashed potato dan sebagainya.
Pelanggan boleh memilih satu sos percuma seperti bolognese, carbonara, sos lada hitam mahupun sos cendawan.
Alamat: Wisma Central Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-5.00 pm)
Pecinta makanan Korea boleh digalakkan makan tengah hari di Dodo. Jika ada yang tak tahu, Dodo merupakan sebuah restoran yang menjual makanan Korea. Dodo terkenal dengan nasi campur versi Korea. Terdapat tiga cawangan di Kuala Lumpur iaitu di Avenue K, Nu Sentral dan Intermark.
Setiap menu akan dihidangkan dalam bentuk bento. Lima bahagian bento akan diisi dengan menu yang anda suka dari nasi, lauk, sup dan buah. Chilli Chicken, Stir Fried Chilli Squid, Chicken Curry dan Chicken Meatball merupakan menu yang mendapat permintaan ramai.
Nama pun makanan Korea, tak lengkap hidangan tanpa kimchi.Clayport Sundubu Jjigae antara menu yang perlu anda cuba jika anda tidak mahu makan nasi.
Waktu operasi: Selasa-Ahad (10.30 am-10.00 pm)
Ada penggemar makanan pedas? Jom ke Sambal Bakar Malaya yang menawarkan pelbagai jenis sambal yang sedap dan menyengat. Sambal gepuk, sambal hijau, sambal bawang dan sambal healing antara pilihan terbaik. Nak yang paling pedas? Cubalah sambal mantan.
Pilihan sambal ini akan dihidangkan bersama set nasi, ikan, sotong, ayam goreng dan kambing bakar. Menu simple tapi apabila anda rasa sambalnya pasti ketagih. Selain nasi putih, anda juga boleh cuba set indomie dan ayam gepuk.
Alamat: 95, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)
Kebanyakan tempat makan tengah hari di KL yang tersenarai di atas menawarkan harga yang mampu milik dan boleh dikatakan murah. Tak semestinya murah makanan tidak sedap. Buktinya, jika anda mencari tempat makan yang tersenarai di atas di media sosial, tempatnya viral dan mendapat komen positif daripada pelanggan.
Bukan sekadar viral, malah rasanya pasti dapat memikat citarasa anda. Kebanyakan tempat mudah untuk diakses dan berada di pusat bandar. Nak naik kereta mahupun pengangkutan awam juga mudah. Jom cubanya sekarang!
Nak cari lebih banyak port makan yang menarik di KL? Ini pilihan nasi lemak sedap, tempat makan menarik di KLCC dan Kebab Bukit Bintang.