Ada ke tempat makan menarik di KLCC? Memang banyak tempat makan menarik di sini namun tidak semuanya halal. Nak tahu restoran halal yang boleh anda cuba di KLCC? Jom tengok restoran tersebut!

Sebut saja KLCC, pasti hal pertama yang anda bayangkan adalah menara berkembar yang menjadi tarikan ramai pelancong. Namun, KLCC bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai kerana adanya bangunan berkembar setinggi 88 tingkat tersebut, malah KLCC turut dikenali sebagai syurga makanan.

Bagi anda yang tinggal di kota Kuala Lumpur, anda tidak perlu pergi jauh ke tempat lain hanya untuk mencuba menu makanan yang menarik kerana di KLCC ini, anda dapat menikmati pelbagai jenis makanan termasuklah makanan-makanan popular dari negeri di Malaysia.

Anda yang tinggal berdekatan atau tidak jauh dari Kuala Lumpur juga boleh membawa seisi keluarga dan orang tersayang untuk mencuba makanan yang disajikan di tempat-tempat makan yang ada di KLCC.

Berikut merupakan tempat makan menarik di KLCC dan sangat disyorkan buat anda dan keluarga kerana dijamin sesuai dengan selera dan citarasa anda.

Little Penang Kafe

Imej via [ Little Penang Cafe ]

Jika anda dan keluarga ingin mencuba makanan-makanan popular dari negeri Pulau Pinang, disinilah tempatnya. Anda tidak perlu memandu jauh ke Pulau Pinang kerana di Little Penang Kafe tersedia pelbagai menu makanan yang istimewa dari negeri tersebut.

Little Penang Kafe yang terletak di Suria KLCC ini menyediakan menu makanan street food yang terkenal di Pulau Pinang. Antara menu yang sering menjadi pilihan orang ramai adalah Nasi Lemak Penang dan Char Kuey Teow.

Anda juga dapat menikmati dessert yang merupakan makanan lokal orang Pulau Pinang iaitu cendol, ais kacang (ABC), pulut hitam dan juga rojak. Cukup rugi jika anda tidak mencuba menu dessert tersebut terutama cendol yang sememangnya menjadi menu terbaik untuk menyejukkan tekak anda.

Waktu operasi: Isnin – Ahad (10:00 am – 10:00 pm)

Serai@KLCC

Imej via [ Serai ]

Restoran Serai di KLCC ini menjadi salah satu tempat makan yang paling digemari oleh orang ramai terutama penduduk tempatan kerana restoran ini menyediakan menu-menu makanan tradisional Melayu yang sudah semestinya dapat memikat selera orang ramai.

Selain menyediakan menu makanan yang asli dan unik dari resepi zaman dulu, restoran Serai di KLCC ini juga menjadi pilihan kebanyakan pelanggan untuk datang menjamu selera kerana dapat merasai suasana santapan kasual dan mewah.

Bagi anda yang ingin menganjurkan majlis kecil seperti majlis Hari Jadi atau Anniversary, restoran Serai di KLCC ini sangat sesuai kerana di sini juga disediakan menu kek dengan pelbagai pilihan.

Waktu operasi: Isnin – Ahad (11:00 am – 10:00 pm)

Koryo-Won

Imej via [ Koryo won ]

Buat anda penggemar-penggemar makanan Korea, anda boleh menikmati hidangan Korea tanpa perlu terbang jauh ke Korea kerana di Koryo-Won, KLCC ini terdapat banyak menu makanan Korea yang boleh anda cuba.

Koryo-Won adalah satu-satunya restoran terbaik di KLCC yang boleh anda pergi untuk menikmati hidangan Korea yang lazat. Restoran Koryo-Won ini bukan sahaja menyediakan menu masakan tradisional Korea, tetapi juga menyajikan masakan BBQ menggunakan daging premium yang berkualiti tinggi.

Memang tidak akan menghampakan penggemar-penggemar makanan Korea kerana menu-menu seperti kimchi, bibimbap, ramen dan lain-lain dengan menyelerakan dan pasti mengenyangkan.

Waktu operasi: Isnin – Ahad (11:00 am – 10:00 pm)

Yuzu KLCC

Imej via [ Yuzu ]

Selain restoran Koryo-Won yang menyediakan pelbagai menu makanan Korea, di KLCC juga terdapat tempat makan yang menyajikan menu makanan Jepun. Yuzu KLCC adalah antara restoran yang boleh anda singgah untuk menikmati hidangan-hidangan Jepun yang cukup popular.

Seperti yang kita tahu, makanan tradisional yang paling popular di Jepun dan kini digemari di seluruh dunia tidak lain dan tidak bukan iaitu sushi. Di Yuzu KLCC, menu hidangan sushi menjadi menu paling popular di kalangan pelanggan kerana menawarkan hidangan sushi dengan rasa Jepun asli.

Jika anda ingin merasai keaslian makanan-makanan Jepun terutama sushi yang dibuat dari sashimi yang sangat segar, Yuzu KLCC merupakan pilihan terbaik untuk anda. Bukan hanya memenuhi citarasa anda, tetapi harganya juga sangat berpatutan.

Waktu operasi: Isnin – Ahad (11:30 am – 10:00 pm)

Marble 8 Steak House

Imej via [ Marble 8 on 56 ]

Marble 8 Steak House adalah restoran stik bergaya Australia yang moden dengan dekorasi mewah, menjadikannya tempat yang sangat ideal untuk pelanggan menikmati pengalaman makan kontemporari yang mewah serta romantik.

Terkenal dengan hidangan stik yang sangat menyelerakan, Marble 8 Steak House menjadi tumpuan ramai pelanggan untuk datang ke sana semata-mata untuk menikmati rasa daging yang berkualiti tinggi.

Tidak dinafikan, daging Wagyu dan Angus yang digunakan untuk membuat hidangan stik tersebut sungguh sedap sehingga pelanggan dapat merasai aroma daging lembu yang luar biasa. Jika anda seorang yang mementingkan kualiti dan bukan kuantiti makanan, Marble 8 Steak House yang terletak di KLCC ini sangat disyorkan untuk anda.

Waktu operasi: Isnin – Ahad (6:30 am – 11:30 pm)

Melur & Thyme

Imej via [ Melur & Thyme ]

Melur & Thyme merupakan sebuah restoran yang menyediakan makanan dari timur hingga barat. Restoran ini sebenarnya adalah restoran Duck & Such yang terkenal di Pusat Membeli-belah Hartamas namun telah dijenamakan semula apabila berpindah di KLCC.

Restoran ini berkonsepkan moden menampakkan lagi suasana atau dekorasi yang mewah dan eksklusif. Rugi jika tidak bergambar sewaktu makan di sini. Setiap sudut memang membuatkan ramai terpukau.

Makanan disediakan dari sarapan, menu utama, aneka pasta, sandwich dan burger, set hi-tea, menu kanak-kanak dan bermacam pilihan buat anda. Tengok saja menu pasti rambang mata. Harga pula memang berbaloi.

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-8.00 pm)

La Cucur

Imej via [ La Cucur ]

Teringin nak makan kuih tradisional dan makanan tradisi Malaysia? Di KLCC pun ada iaitu di La Cucur.

Aneka kuih-muih disediakan buat pelanggan seperti seri muka,lepat pisang, kuih lopes dan pulut udang. Antara menu unik dan jarang dijumpai adalah tapai, ubi nenas dan pulut inti.

Makanan berat juga ada termasuklah nasi tomato ayam masak merah, nasi lemak, laksa utara, laksa johor dan mee rebus. Makan di sini pasti mengimbau kembali masakan ibu di kampung.Tak cukup dengan itu, mereka turut menjual makanan frozen.

Waktu operasi: Setiap hari (8.30 am – 10.00 pm)

Banyakkan tempat makan menarik dan halal yang terdapat di KLCC yang boleh anda singgah dan teroka. Dari masakan Melayu sehingga masakan Barat, semuanya ada dan pasti memuaskan selera serta citarasa anda.

Walaupun berada dalam salah satu bangunan terkemuka di Malaysia, namun harga yang ditawarkan oleh restoran tersebut memang berpatutan dan berbaloi. Tunggu apa lagi? Jom ke sana!

Mencari tempat makan menarik di sekitar Kuala Lumpur? Ini tempat makan untuk anda pilih dan pasti tidak akan mengecewakan anda!

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.