Banyak pilihan tempat makan tengah hari di Bangi. Pasti ada yang sedang bercuti di Bangi atau ke Bangi Wonderland, salah satu taman tema air di Selangor. Tak kurang juga yang sentiasa mencari tempat makan tengah hari di Bangi yang sedap, yang merupakan pelajar atau staf di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kini, banyak tempat makan viral di media sosial yang terletak di Bangi. Bukan sekadar viral, malah rasa makanan sedap, harga berpatutan dan kuantiti yang mengenyangkan.

Kami senaraikan tempat makan tengah hari di Bangi yang boleh anda kunjungi. Ada yang menjual nasi campur, makanan barat, makanan lokal dan makanan viral. Jom ke tempat-tempat yang dicadangkan oleh ramai orang.

Restoran Mak Kimbong

Restoran Mak Kimbong antara tempat makan tengahari di Bangi yang terkenal. Lebih 50 jenis menu tradisi yang terdiri daripada lauk-pauk disediakan buat pelanggan setiap hari. Lebih mudah untuk pelanggan mendapatkan menu kegemaran mereka.

Nak tahu apa yang top di sini? Semestinya sotong gergasi bakar yang murah! Sotong bakar tak liat dan rasa perapan rempahnya yang kuat. Selain sotong bakar, anda boleh dapatkan kerang bakar mahupun lebih 10 jenis ikan bakar. Jika ada penggemar petai, anda boleh makan bersamanya.

Dua jenis sambal pencicah iaitu sambal kicap dan air asam memang sedap, makan pula bersama pilihan menu bakar pasti membuat anda menjilat jari. Sebut sahaja menu kampung apa yang anda teringin, pasti ada di sini.

Alamat: No 17, Jalan 4/1 A, Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (7.00 am-5.00 pm)

Bawal Power Sempoi

Ini juga pilihan kedai makan tengahari di Bangi yang menyediakan nasi campur. Banyak juga pilihan menu yang pasti membuatkan anda rambang mata untuk memilihnya. Dari aneka jenis masak lemak, sambal tumis, sayur, kerabu dan sebagainya.

Menu utamanya semestinya ikan bakar. Pilih sahaja ikan bawal, keli, siakap mahupun talipia yang dibakar garing. Cicah bersama sambal belacan, sambal kicap atau air asam untuk tambahkan lagi kenikmatan lauk ini. Bagi penggemar sotong, Bawal Power Sempoi juga menyediakan sotong gergasi bakar!

Berada di memang selesa kerana ruang makan luas, bersih dan selesa. Bukan itu sahaja, ruang parkir banyak tersedia untuk memudahkan pelanggan sampai ke sini.

Alamat: Lot 5939, Taman Jalan Taman Sentosa, Desa Sentosa Fasa 2, 43650 Bandar Baru Bangi

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 pm-4.00 pm)

Restoran Farhanah Catering

Bukan setakat makan tengah hari, ini juga merupakan port sarapan dan makan malam terkenal lebih-lebih lagi buat penduduk setempat dan pelajar universiti yang berdekatan. Rata-rata memang berpuas hati menikmati pelbagai jenis menu yang enak.

Pilihan lauk kampung tidak terlalu banyak seperti Restoran Mak Kimbong mahupun Bawal Sempoi Power, tetapi masih rambang mata untuk memilihnya. Paling best, mereka bukan sahaja sediakan nasi campur dengan aneka lauk, malah anda boleh menikmati pelbagai menu tempatan yang lain. Jadi, tiada masalah jika ada di kalangan anda yang ingin menikmati makan tengahari dengan menu selain nasi!

Selain nasi campur, menu yang terkenal adalah shellout dengan empat pilihan jenis sambal, soto dan set nasi kerabu. Ada set nasi kerabu, set nasi campur, set nasi kahwin dan lain-lain.

Alamat: Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-10.00 pm)

Balai Salai

Imej via Balai Salai

Duduk di Bangi tapi teringin nak makan masak lemak cili api salai di Negeri Sembilan? Jangan risau, anda boleh dapatkannya di Bangi. Rasanya memang sama dengan citarasa orang nogori.

Balai Salai adalah tempat makan tengah hari di Bangi dengan kepakarannya ada pada pelbagai jenis masak lemak dan salai. Paling istimewa semestinya keli dan daging salai. Ada juga perut lembu, telur itik masak lemak, siput sedut, ketam, itik salai dan jantung pisang. 

Tekstur gulai pekat dan boleh rasa rempah-rempah yang diletakkan. Mana tidaknya, kesemua bahan utama telah disalai 12 jam dengan tiga jenis kayu berbeza. Patutlah aromanya wangi dan kuat. Tak sah kalau tiada rasa pedas masak lemak kerana orang Nismilan memang suka makan pedas.

Alamat: 4A, Jalan 3/70, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-5.00 pm)

Restoran ZNI

Imej via Restoran ZNI

Tempat makan tengah hari ini pula berada di Seksyen 4. Restoran ini telah beroperasi lebih 20 tahun di Bangi. Kepakaran mereka adalah menu tradisi Johor yang dihidangkan lebih 50 jenis setiap hari.

Di sini ada pelbagai pilihan ikan bakar, aneka masakan asam pedas dan aneka masak lemak cili api. Pelanggan memang ramai setiap hari. Sudah pasti rasanya menepati selera pengunjung.

Mi Rebus, Mi Bandung Muar, Laksa Johor dan Soto antara menu bestseller selain nasi campur. Antara keunikan di Restoran ZNI, anda boleh dapatkan banyak pilihan menu sampingan yang terdiri daripada kuih-muih tradisi.

Alamat: 25, Jalan 4/1A, Seksyen 4 Tambahan, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (6.30 am-7.00 pm)

Warung Hutan Bangi

Mencari tempat makan bukan sahaja pada keenakan makanannya, malah perlu pilih dari segi kebersihan, keselesaan dan suasana tempat tersebut. Barulah selesa untuk makan di sana. Sambil makan bolehlah anda healing sebentar, Warung Hutan adalah port terbaik sesuai dengan vibe yang anda inginkan.

Keunikan ketara yang boleh anda lihat di Warung Hutan semestinya dekorasi tempat makan ala-ala klasik. Pengunjung boleh pilih untuk makan secara privasi di pondok beratapkan daun nipah mahupun di ruangan terbuka.

Di Warung Hutan Bangi, pilihan menu berdasarkan set, tidak seperti kebanyakan restoran makan tengah hari yang lain yang menyediakan menu buffet. Ada set bakar-bakar, set nasi bersama lauk-pauk dan set sup. Set Miang Pla, Set Celup Tepung dan Set Maggie antara menu sampingan pilihan ramai.

Alamat: Kampung Teras Jernang

Waktu operasi: Selasa-Ahad (11.30 am-9.30 pm)

The Warong 7882

The Warong 7882 dibuka pada tengah hari yang menyediakan pelbagai menu masakan tradisi. Ramai juga yang ke sini kerana banyak pilihan lauk, harga murah dan paling penting sedap! Daging Salai Masak Lemak Cili api antara menu best yang susah anda jumpa teksturnya yang cantik dan rasanya yang sedap. Pilihan sayur juga banyak.

Alamat: Lot 7882, Jalan Aman, Kg Bahagia Bangi, 43000 Kajang Selangor

Waktu operasi: Isnin-Jumaat (11.00 am-3.00 pm)

Kedai Makan Cantik

Di Kedai Makan Cantik pengunjung dapat menikmati lebih 80 jenis menu kampung setiap hari. Bukan lauk-pauk sahaja yang banyak pilihan, malah pilihan kerabu, sayur dan ulam-ulaman juga membuatkan anda terliur.

Jika datang pada waktu kemuncak iaitu ‘lunch time’, kedai akan dipenuhi ramai orang untuk menjamu selera bukan sahaja penduduk tempatan, malah ada yang datang dari jauh. Bukan sahaja menu sedap, malah kedai sangat bersih dan semua lauk disusun teratur.

Alamat: Jalan 15/1d, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-11.30 pm)

20 Laman Cafe

Imej via 20 Laman Cafe

20 Laman Cafe juga pernah tular dengan keenakan masakan kampung sehinggakan ada yang sanggup beratur awal walaupun kedai belum dibuka. Jika datang lambat, pasti pilihan menu tinggal sedikit.

Siput sedut masak lemak, masak lemak daging salai dan sambal sotong antara menu pilihan ramai. Jangan lupa ambil sekali ulam-ulaman serta sambal, baru lengkap hidangan utama anda.

Tak lengkap makan tengah hari anda tanpa menikmati pemanis mulut. Aneka kek sedap, cendol dan lain-lain. Restoran sangat cantik dan bertemakan klasik dari segi dekorasi kedai mahupun hidangan.

Alamat: 20, Jalan Damai 8, Taman Desa Damai, 43650 Bangi, Selangor

Waktu operasi: Ahad – Khamis (11.00 am-4.00 pm)

Tumez Kitchen

Imej via Tumez

Lajak sedikit ke Cyberjaya, Tumez Kitchen tidak kurang hebatnya dalam menyediakan masakan kampung. Dengar kata ikan bakar di sini membuatkan ramai yang bertambah!

Tak tahu nak makan apa? Apa kata anda cuba daging salai masak lemak. Tengok sahaja sudah buat ramai terliur apatahlagi apabila anda cubanya sendiri. Tekstur kuah mengiurkan dengan warna dan tekstur yang pekat.

Ikan bakar juga antara menu istimewa dan merupakan best seller di Tumez Kitchen. Ikan yang dihidangkan besar, penuh dengan sambal sedap dan mempunyai isi yang lembut. Anda boleh memilih sama ada pari, keli, cencaru mahupun talapia yang dibakar on the spot. Tiga jenis sambal pencicah mempunyai rasa yang sempurna.

Alamat: Rekascape, Cyber 8, 63000 Cyberjaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.30 am-10.00 pm)

Mohd Chan Bangi

Mohd Chan Restaurant merupakan restoran chinese-muslim yang halal dan terkenal di Selangor. Kebanyakan menu merupakan menu Chinese namun pilihan masakan panas juga banyak.

Jika nak makan nasi, pilihan lauk yang perlu anda cuba adalah Ikan Stim Thai Chilli Lime, Yam Basket with Kam Heong Chicken, Classic Butter Prawn dan Chili Crab. Menu tersebut mendapat banyak pujian dari pelanggan.

Jika mahukan kelainan untuk makan tengah hari, mi kari Dynasty Cantonese Ying Yong with Abalone Slices dan Char Kuey Teow adalah pilihan terbaik untuk anda cuba. Pemanis mulut pilihan ramai pula Snow Skin Pear and Pumpkin, Chilled Coconut Custard Roll dan Chinese Pancek.

Alamat: 28 & 30, Jalan Medan Pusat 2c, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.30 am-11.30 pm)

Bakso Makwo

Tak nak makan nasi untuk makan tengah hari? Apa pilihan terbaik untuk tempat makan tengahari di Bangi? Ramai yang mencadangkan untuk makan bakso di Bakso Makwo yang terletak di Gerai Makwo dan satu lagi lokasi adalah Dapur Gerabak Salai.

Jika ada yang tak tau, bakso ada beberapa jenis dan antara bakso pilihan ramai adalah bakso beranak dan bakso urat. Kuantiti hidangan banyak bukan sahaja penuh dengan mi, malah bebola dan sayur juga banyak.

Selain bakso, anda juga boleh menikmati nasi ayam penyet. Nasi gebu, sup secukup rasa dan paling penting sambalnya mengancam. Ada juga pilihan masakan panas yang lain, boleh anda cuba.

Alamat:  41, Jalan 7/7c, seksyen 7, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (!2.30 pm-10.30 pm)

Lake House Restaurant Bangi

Sesetengah orang bukan sahaja mementingkan rasa sesuatu makanan, ada juga yang mencari tempat yang cantik dan selesa agar lebih puas. Lake House Restaurant adalah salah satu tempat makan tengah hari di Bangi yang mempunyai permandangan yang cantik menghadap tasik. Jika ada yang tidak tahu, restoran ini berada di Taman Tasik Cempaka. 

Restoran ini menyajikan makan tengah hari yang luar biasa dan menu utamanya adalah nasi daun pisang. Nasi daun pisang mempunyai beberapa set dengan pilihan lauk berbeza. Dengan harga serendah RM 11.90, pengunjung dapat menikmati set basic yang lengkap dengan nasi, tiga jenis sayur, papadom dan kuah.

Lauk lain juga ada terutama kari, yang merupakan antara menu tradisi India apabila makan nasi daun pisang ini. Daging Varuval, ayam goreng berempah dan kari udang galah merupakan tiga menu yang perlu anda selitkan bersama.

Alamat: Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (8.00 am-4.00 pm)

Restoran Nasi Dagang Terengganu

Walaupun nasi dagang merupakan menu tradisi bagi warga Terengganu, namun menu ini menjadi kegemaran ramai tak kira negeri mahupun bangsa. Jika ada yang gemarkan nasi dagang, datang sahaja ke Restoran Nasi Dagang Terengganu yang terletak di Seksyen 7.

Hidangan lengkap nasi dagang mestilah mempunyai nasi khas, Ikan tongkol, sayur acar dan kuah. Rasanya pasti dapat menghilangkan rindu anda pada masakan di Terengganu. Mana tidaknya, pemilik restoran adalah anak jati terengganu.

Laksa kuah merah, nasi minyak dan laksam adalah menu lain yang dibawa khas resepi dari Terengganu. Menu sampingan yang perlu anda pesan semestinya keropok lekor dan sata.

Alamat: 33, Jalan 7/7c, Seksyen 7, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu operasi:Setiap hari (7.30 am-4.00 pm)

Nasi Kalut Jitra Mai Bangi

Nasi Kalut Jitra Mai mempunyai beberapa cawangan di sekitar KL dan Selangor. Konsep hidangan dan menu adalah nasi kandar tapi versi utagha! Nama pun resepi dari utara, rasanya juga mengikut selera orang utara.

Keenakan nasi kandar dipengaruhi oleh rasa kuah. Kuah campur yang dihasilkan restoran ini pekat, likat dan mengancam! Seperti kebanyakan restoran nasi kandar yang lain, pilihan lauk dan sayur banyak. Ada sotong, ayam goreng berempah, daging masak hitam dan sebagainya.

Alamat: 1, Jln Puteri 3A/1, Bandar Bukit Mahkota, 43000 Kajang, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-10.00 pm)

Pernahkah anda ke tempat makan tengah hari di Bangi yang tersenarai di atas? Jika belum, jom ajak yang tersayang untuk ‘explore’ tempat makan best dan sedap di sekitar Bangi. Mana tahu ada yang melekat di hati.

Ramai yang memilih untuk makan nasi campur sebagai hidangan tengah hari. Namun sesekali pasti ada yang inginkan kelainan, makan selain nasi.

Dimana tempat yang berdekatan dengan lokasi anda? Jom terjah sekarang. Selamat menjamu selera!

Ini pula pilihan makanan western di Bangi, nasi kandar Bangi dan port sarapan Bangi yang menjadi pilihan warga setempat. Jangan lupa singgah!

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.