Mencari tempat makan di Pasir Mas?

Pasir Mas merupakan salah satu mukim di negeri Kelantan. Kota ini mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dilawati seperti Tasik Danau To’ Uban yang sering dikunjungi ramai untuk aktiviti memancing dan bersantai.

Selain itu, tempat makan di sini juga ada banyak. Jadi, berikut kami senaraikan 7 tempat makan di Pasir Mas untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Rizqi D’Cafe Gaung Lati

Alamat: Lot 672, Jalan Kampung Gaung Lemal, Pekan Pasir Mas, 17000 Pasir Mas, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 3 pm – 12.00 am manakala Jumaat 4 pm – 12 am

Sesetengah kedai yang terkenal sering menyajikan hidangan yang bersaiz sederhana namun harganya mencekik darah. Hal ini tidak akan berlaku jika anda singgah menjamu selera di Rizqi D’Cafe Gaung Lati.

Restoran ini menyajikan sajian tempatan dan Barat. Menu-menu yang laku keras di sini ialah hidangan shell-out iaitu Seafood Talam, Butter Chicken Rice, Mix Platter dan Butter Prawn. Selain itu, mereka juga turut menyediakan masakan panas.

tempat makan pasir mas
Imej via Foursquare

Untuk pencuci mulut dan minuman, Aiskrim Bboloq dan Coconut Shake Raksasa merupakan menu yang wajib anda cuba. Coconut Shake mereka bersaiz 1 liter air dan disajikan dalam satu gelas, sangat menarik!

#2 Warung Kurnia Ibu (Kedai Mee Celup Moksu)

Alamat: D169, 17040 Pasir Mas, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 11 am – 6 pm

Mi celup merupakan hidangan yang sangat tersohor di negeri Kelantan. Pendek kata, memang rugi jika anda ke sini namun tak singgah di warung-warung mi celup yang terkenal.

Imej via Foursquare

Salah satu warung mi celup di Pasir Mas yang terkenal ialah Kedai Mee Celup Moksu. Mi celup di sini memang dikatakan legend dan terkenal sejak tahun 1989. Kedai ini sering dibanjiri dengan pelanggan memburu mi celup yang cukup sedap.

Selain mi celup, coconut shake di sini juga diakui lazat oleh ramai. Manis dan menyegarkan tekak, sangat sesuai dinikmati untuk makan petang. Mi celup dan coconut shake – gabungan yang mantap!

#3 Restoran Kelantan Thai

Alamat: Jalan Meranti, Kampung Kubang Terap, 17000 Pasir Mas, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 – 11 pm

Sukakan hidangan Thai? Salah satu tempat makan di Pasir Mas yang boleh anda singgah untuk menikmati hidangan Thai yang enak ialah Restoran Kelantan Thai.

Imej via Foursquare

Antara menu yang boleh dicuba ialah Tomyam Puteh, Siakap Stim Limau dan Padprik Sotong. Hidangan-hidangan di sini memang dipuji sedap dan asli oleh pengunjungnya, jadi anda wajib singgah menjamu selera di sini.

#4 My Family Seafood

Alamat: Lot 161, Jalan Kampung Seberang Merbau, Lubok Jong, 17000 Pasir Mas, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 3.30 pm – 3 am

Pernah terdengar tentang miang pla pao? Ianya merupakan hidangan Thai untuk ikan bakar. Jika anda ingin mencubanya, anda wajib singgah di restoran My Family Seafood yang terletak di Lubuk Jong.

tempat makan pasir mas
Imej via Foursquare

Selain itu, anda juga boleh mencuba hidangan Thai yang lain seperti Daging Bakar Harimau Triyok dan Kerabu Ikan Bakar Krabi. Sajian Thai di sini bukan sahaja enak, malah asli.

Untuk makanan Barat, restoran ini ada menyajikan Chicken Chop dan Lamb Chop. Minuman pencuci mulut seperti ABC juga turut disajikan. Memang menarik menu di sini, rugi jika tak singgah!

#5 Restoran Sri Lemal Lemal

Alamat: Jpn, Lot 830,Hadapan, Jalan Lemal, 17000 Pasir Mas, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 pm – 2 am manakala Jumaat (2.15 pm – 2 am)

Ada yang sukakan udang galah? Jika anda peminat makanan laut terutamanya udang galah, anda wajib singgah menjamu selera di restoran Sri Lemal Lemal. Restoran ini menyediakan makanan laut yang segar-segar.

Imej via Foursquare

Hidangan berasaskan udang galah merupakan menu yang menjadi rebutan. Antaranya ialah mi udang galah, bihun tomyam, nasi goreng udang galah dan udang galah masam manis.

#6 Maggie Pok Li

Alamat: 15100 Pasir Mas, Kelantan, Malaysia

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 12.00 – 6.00 pm

Dari luar, warung ini kelihatan seperti warung biasa sahaja. Kedai makan Maggie Pok Li ini sebenarnya antara tempat makan di Pasir Mas yang memang legend!

tempat makan pasir mas
Imej via Facebook

Menu istimewa yang wajib anda cuba jika anda singgah di warung ini ialah maggi celup. Sup yang disediakan ini mempunyai ramuan rahsia yang menyumbang kepada kelazatannya. Boleh buat sesiapa sahaja ingin tambah bermangkuk-mangkuk!

Selain itu, warung ini juga turut menyediakan nasi air. Jika anda kurang menggemari maggi, anda boleh gantikannya dengan kuey teow. Sama sahaja keenakkannya, jangan risau!

#7 Kedai Laksam Telur Puyuh Best Kelar

Alamat: Jln Pasir Mas – Tanah Merah, Kampung Pengkalan Rambutan, 17040 Pasir Mas, Kelantan

Memang rugilah jika anda ke negeri Pantai Timur namun tidak cuba makanan di sini. Salah satu hidangan Pantai Timur yang memang menyelerakan ialah laksam.

Imej via Foursquare

Di Pasir Mas, salah satu warung yang menyajikan laksam ialah Warung Kak Za Laksam Kelar. Warung ini menyediakan laksam bersama sambal telur puyuh yang sangat sedap. Kuahnya yang pekat memang secukup rasa!

Kesimpulan

Sudah jumpa tempat makan di Pasir Mas yang ingin dikunjungi? Jika berpeluang, singgah sahaja di mana-mana tempat makan yang disenaraikan ini kerana semuanya memang menarik.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.