Pasir Gudang yang terletak di negeri Johor cukup terkenal dengan acara Festival Layang-Layang Antarabangsa yang diadakan setiap tahun. Pada masa itu ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang datang bagi menyaksikan acara penuh warna-warni ini.
Jika anda berada di sekitar Johor, kami cadangkan anda untuk mencuba juga makanan-makanan dari restoran yang terkenal di Pasir Gudang. Di sini kami senaraikan tempat makan yang patut anda serbu di Pasir Gudang:
Kedai Makan Rahmat sangat terkenal di Pasir Gudang. Ia merupakan antara restoran yang mendapat rating yang paling tinggi dalam hasil carian Google. Hidangan utama mereka adalah makanan laut.
Menu siakap goreng ialah antara menu yang paling menjadi bualan. Kelazatannya menyebabkan ia pernah ditampilkan dalam akhbar tempatan. Namun begitu, pilihan-pilihan makanan yang lain juga tidak kurang hebat.
Boleh dikatakan apa jua yang dipesan di sini memberi kepuasan kepada pelanggan. Ruang makan restoran ini sangat luas, berbumbung, bersih dan selesa untuk makan bersama keluarga dan rakan-rakan. Cukup selesa dan santai!
Alamat: No.3, Jalan Pantai, Kampung Pasir Putih, 81700 Pasir Gudang
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, bermula dari jam 10:30 pagi hingga 3:30 petang dan dibuka semula pada jam 6 petang hingga 11 malam
Dekorasi Leva Leur Cafe tampil dengan perabot dari kayu pallet yang menyerlahkan hiasan dalamannya. Tapi itu bukan tarikan pertama mereka. Tarikan utama restoran ini adalah shell out yang cukup popular di pelbagai restoran zaman kini!
Makanan laut yang segar dimasak dengan baik dan disajikan bersama limpahan pelbagai jenis kuah pilihan yang sedap! Suasana restoran yang penuh santai ini sangat sesuai buat keluarga mahupun rakan-rakan yang mahu meluangkan masa bersama.
Alamat: 110, Jalan Sierra Perdana 4/1, Taman Sierra Perdana, 81750 Masai
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 11 pagi hingga 11 malam. Manakala untuk hari Jumaat pula bermula dari jam 3 petang hingga 11 malam
Nasi Kak Wok bukanlah berasal dari Johor. Tapi, bagi mereka yang datang dari pantai timur, ini adalah tempat yang mereka suka untuk makan hidangan yang berasal dari sana.
Hidangan ini ringkas namun rasanya sangat sedap, terutamanya bila dikenakan bersama teh ais. Harganya pula murah iaitu bermula dari RM3.50. Selalunya, ianya disediakan sehingga pukul 5 petang sahaja. Jadi, cepatlah cuba menu ini ya!
Alamat: Taman Bukit Dahlia, 81750 Pasir Gudang
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, bermula dari jam 10 pagi hingga 6:30 petang
Bacang Corner Che Nad cukup terkenal dengan hidangan shell out yang berpatutan harganya. Ada lima set disediakan di sini, seperti Set 20, Set 50, Set 100, dan Set Chicken yang harganya bermula dari RM20 sehingga RM100 satu set.
Kelazatan shell out di kedai makan ini sebenarnya memang sudah diketahui ramai dan pernah tular suatu ketika dulu. Ia masih mendapat kunjungan ramai pelanggan yang mahukan shell out yang sedap.
Alamat: 55, Jalan Bacang 39, Taman Kota Masai, 81700 Pasir Gudang
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin bermula dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam
Kalau selalunya char kuetiau dimasak dengan kerang dan udang, tapi di Char Kuey Teow Sentap anda dapat makan char kuetiau dengan ketam. Ketam yang dihidangkan ini bukan kecil tapi bersaiz besar. Mengagumkan, bukan?
Selain itu, mereka juga turut menyediakan char kuetiau sosej, bebola daging dan tidak lupa juga kerang dan udang. Turut berada dalam menu mereka adalah hidangan berasaskan nasi, mee, dan sate.
Char Kuey Teow Sentap sangat terkenal di Pasir Gudang dan khabarnya akan membuka beberapa cawangan lagi di sekitar negeri Johor. Jadi, selepas ini jika anda berada di Johor, jangan lupa terjah restoran ya!
Alamat: 8A, Jalan Rusa, Taman Scientex, 81700 Pasir Gudang (berhadapan dengan Econsave)
Waktu Operasi: Setiap hari, bermula dari jam 4 petang hingga 11:45 malam
Restoran Selera Sambal menghidangkan masakan penyet Jawa yang asli. Ada empat jenis masakan penyet iaitu ayam penyet, daging penyet, puyuh penyet dan sotong penyet. Rata-rata pelanggan memuji keenakan masakan mereka.
Rasa yang sedap, kuantiti makanan yang boleh dikatakan banyak pada harga yang berpatutan. Restoran Selera Sambal juga turut mempelbagaikan hidangan dengan memasukkan bakso, gado-gado dan soto ke dalam menu mereka.
Alamat: No.25, Jalan Pengkalan 5, Taman Pasir Mas, Kampung Pasir Putih, 81700 Pasir Gudang
Waktu Operasi: Setiap hari bermula dari jam 10:15 pagi hingga 7:30 malam
Murtabak Special Cheese Amir menyediakan murtabak biasa dan juga keju. Murtabak mereka datang dalam tiga pilihan inti iaitu ayam, daging, dan sardin. Lebih menarik lagi mereka turut memasukkan Nasi Briyani dan Nasi Dalca di dalam menu mereka.
Setakat ini ramai pelanggan yang memuji keenakan murtabak istimewa berkeju di sini. Malah, ada yang mengatakan ia antara yang terbaik di Johor. Nasi Biryaninya juga tidak mengecewakan.
Menurut pelanggan, ini tempat yang sesuai untuk anda bawa keluarga anda makan di sini. Rasanya sedap, kuantiti makanan yang banyak dan harganya juga amat berpatutan, memang berbaloi!
Alamat: 28, Jalan Serangkai 11, Taman Bukit Dahlia, 81750 Pasir Gudang
Waktu Operasi: Setiap hari bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang
Ada yang sudah mula berkeroncong perut memikirkan shell out atau nasi ayam penyet yang semestinya menjanjikan keenakan dan kepuasan yang tidak terkira? Haa, lekaslah singgah tempat-tempat makan yang kami senaraikan sekitar Pasir Gudang ini ya. Selamat menjamu selera!