Mersing merupakan salah satu daerah di Johor yang agak terkenal. Jika anda pernah terdengar tentang pantai Air Papan, anda pasti tahu tentang daerah Mersing, bukan?

Bagi pembaca yang bercadang untuk berkunjung ke Mersing, adakah anda masih tercari-cari tempat makan mana yang menarik dan kena dengan citarasa anda? Usah gundah, kami ada senarainya. Teruskan membaca ya!

#1 Nasi Goreng Tido Air Papan

Eh, unik betul nama restoran ini! Nama restoran ini diambil bersempena nama menunya yang paling laris iaitu Nasi Tidur. Agak-agak kenapa ya nama menu itu diletakkan sebegitu?

Nasi Goreng Tido

Imej via Foursquare

Rata-rata pelanggan berpendapat yang namanya Nasi Goreng Tido kerana nasi goreng yang dihidangkan bersama sup daging ini cukup sedap rasanya dan ianya boleh bikin sesiapa sahaja kenyang sampai rasa macam nak tidur, anda wajib cuba!

Alamat: Air Papan, 86800, Mersing, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, bermula dari jam 7 pagi hingga 11 pagi

#2 Nasi Dagang Warisan Kak Ju

Anda berada di sekitar Mersing tetapi masih mahu mencuba menu nasi dagang yang merupakan masakan Terengganu? Usah gundah, singgahlah di Nasi Dagang Warisan Kak Ju yang terletak di Kampung Tanjung Genting ini!

Nasi Dagang Warisan Kak Ju @ Mersing

Imej via Foursquare

Yang istimewa tentang nasi dagang di sini ialah saiz hidangannya yang besar dan harganya yang berpatutan di samping rasanya yang enak. Keenakannya berganda jika dikenakan bersama secawan minuman manis yang panas, kami berani jamin!

Alamat: J80, Kampung Tanjung Genting, 86800 Mersing, Johor

Waktu operasi: Setiap hari bermula dari jam 6:30 pagi hingga 6:30 petang

#3 Mama Bedah Seafood

Ada penggemar makanan laut di sini? Kami cadangkan anda cuba menu-menu menarik di Mama Bedah Seafood yang bertempat di Tanjung Penyabong ini!

Mi Goreng Udang @ Mama Bedah Seafood

Imej via Facebook

Makanan laut di sini segar-segar belaka. Antara menu yang kami sarankan untuk anda cuba di sini ialah Mi Goreng Udang. Lihat sahaja saiz udangnya yang besar, memang bikin kecur air liur!

Alamat: Tanjong Pantai Penyabong, 86900 Mersing, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 5 petang hingga 1 pagi

#4 Brother Joe Ikan Bakar & Seafood

Satu lagi restoran yang menyajikan makanan laut yang segar-segar – restoran Brother Joe Ikan Bakar & Seafood. Merupakan antara restoran yang cukup terkenal sekitar Mersing, agak-agak apa yang istimewa di sini ya?

Brother Joe

Imej via Foursquare

Tarikan utama di restoran ini ialah semestinya makanan laut dan ikan pari bakar. Makanan laut yang boleh didapati di sini juga memang berbagai dan yang penting, segar!

Ikan Pari Bakar @ Brother Joe

Imej via Foursquare

Menu ikan pari bakar juga turut mendapat tempat yang istimewa di hati pelanggan. Ikan yang dibakar sempurna ini cukup enak dan berempah rasanya. Isinya yang lembut dan aromanya yang memikat menjadi punca utama ianya digemari ramai.

Alamat: J80, Kampung Mersing Kanan, 86800 Mersing, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 2:30 petang hingga 12:30 tengah malam

#5 Seventy One Coffee & House

Teringin menukar citarasa ke arah makanan Barat? Anda boleh singgah di Seventy One Coffee & House untuk menikmati makanan Barat yang enak-enak belaka dan kopi yang sedap!

Breakfast @ 71 Cafe

Imej via Foursquare

Antara menu istimewa di sini ialah Aglio Olio, Lamb Chop dan yang paling laku ialah set sarapan di sini. Menyajikan roti bakar bersama telur hancur, set sarapan ini semestinya mengenyangkan. Bertambah enak jika dimakan bersama kopi Latte!

Alamat: Jalan Ismail, Mersing Kechil, 86800 Mersing, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 11 pagi hingga 11 malam

#6 Satay Teluk Iskandar

Anda teringin mencuba sate di sekitar Mersing? Tercari-cari gerai yang menyediakan sate yang bukan sahaja sedap malah beraneka jenis? Kami yakin gerai Satay Teluk Iskandar pasti sesuai dengan citarasa anda!

Satay Teluk Iskandar

Imej via Foursquare

Antara sate yang disediakan di sini ialah sate ayam, daging, rusa, babat dan kambing. Memang ada berbagai jenis sampaikan ada yang ramai rambang mata dan keliru mahu mencuba yang mana satu!

Alamat: Kampung Paya Tinggal, 86800 Mersing, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Khamis, bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam

#7 Warung Senin

Warung Senin merupakan antara port sarapan yang agak terkenal sekitar Kampung Seri Lalang di Mersing. Menyediakan berbagai jenis menu sarapan yang memang kena dengan citarasa orang kita, tidak hairanlah warung ini agak terkenal.

Antara menu yang boleh anda cuba di sini untuk bersarapan ialah roti canai, mi kari, soto dan nasi lemak. Menu-menu yang kami senaraikan ini merupakan antara menu yang terlaris dan dikatakan paling enak di sini, anda wajib cuba!

Alamat: Kampung Seri Lalang, 86800 Mersing, Johor

#8 Baek O Cafe & Bistro

Satu lagi restoran yang menghidangkan makanan Barat sekitar Mersing yang patut anda serbu! Bagi yang menggemari makanan Barat dan teringin mencuba makanan Barat yang berpatutan harganya, anda bolehlah singgah di sini.

Lamb Chop @ Baek Cafe

Imej via Foursquare

Antara menu yang disediakan di Baek O Cafe & Bistro ini ialah Chicken Grill, Oblong Grill, Chicken Chop, Beef Burger, Meatball Flava dan banyak lagi! Harganya juga sekitar RM10 ke bawah untuk kebanyakan menu, memang berbaloi!

Alamat: Lot 408, Kampung Benaong, 86800 Mersing, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam

Boleh dikatakan banyak juga tempat makan menarik di sekitar Mersing ini, bukan? Sambil anda bercuti di sana, bolehlah anda singgah di tempat-tempat makan yang kami senaraikan ini, pasti kena dengan citarasa anda!

Anda juga digalakkan untuk datang awal kerana tempat-tempat makan yang kami senaraikan ini memang antara yang terkenal di Mersing. Sebelum terlepas peluang, lebih baik anda serbu dengan segera. Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.