Kuala Kangsar ialah Bandar Diraja Perak yang mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik. Jadi mereka biasa menerima jumlah pelancong tempatan dan luar negara yang ramai. Maka tidak peliklah bila terdapat banyak tempat makan menarik di sini.

Berikut disenaraikan 11 tempat makan best yang anda boleh cuba di Kuala Kangsar, memang wajib terjah!

#1 Laksa Lubuk

Peminat laksa boleh mencuba sesuatu yang baru di sini. Dimasak dengan dapur kayu, bukan sahaja ia menjadikan restoran ini unik, malah membangkitkan rasa dan aroma laksa yang turut dipanggil sebagai laksa basah ini.

Laksa Lubuk

Imej via Foursquare

Ramai pelanggan bersetuju yang ia adalah laksa terbaik di Kuala Kangsar. Ditambah pula dengan cendol sebagai penyegar tekak selepas makan laksa, ia betul-betul gandingan mantap. Jika dinikmati semasa petang, pasti lebih menyelerakan!

Suasana kedai makan ini amat santai dan menenangkan kerana ia terletak di kawasan kampung dan diteduhi pepohon rendang. Kedai makannya ringkas sepertimana warung yang biasa dilihat di kampung-kampung. Anda amat disyorkan untuk cuba laksa lubuk ini.

Alamat: KPW, Kubang Panjang, Kampung Paya Lubuk Merbau

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Selasa, bermula dari jam 10 pagi hingga 7 malam

#2 Warung Selera Kampung Bendang Panjang

Jagung Leleh @ Warung Selera Kampung Bendang Panjang

Imej via Foursquare

Menu @ Warung Selera Kampung Bendang Panjang

Imej via Foursquare

Makanan dan minuman di sini betul-betul nampak menyelerakan semasa kali pertama melihatnya. Melihat minumannya seperti cendol dan jagung leleh yang diletakkan aiskrim pada atasnya betul-betul membuatkan kita ingin cepat-cepat membasahkan tekak.

Warungnya mempunyai meja di ruang terbuka di bawah pokok-pokok getah. Jadi suasananya betul-betul nyaman dan santai. Makanan yang disediakan pula ialah makanan tempatan dengan pelbagai pilihan lauk-pauk.

Rata-rata pelanggan memuji masakan mereka sama ada untuk sarapan ataupun makan tengah hari. Ada hidangan yang unik seperti susu unta, roti kahwin dan nasi goreng ikan rebus, anda mungkin mahu mencubanya. Harganya juga murah-murah belaka!

Alamat: Jalan Sultan Iskandar Shah, 33000 Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat, bermula dari jam 7 pagi hingga 5:45 petang

#3 Restoran Pak Unggai

Lokasinya yang terletak berdekatan dengan Universiti Sultan Azlan Shah merupakan antara punca pelanggan mereka ramai di kalangan pelajar. Harga makanan yang murah juga menjadi punca utama ianya begitu kerap dikunjungi ramai.

Tambahan pula makanannya memang sedap-sedap. Jadi, makanan kebanyakannya sudah habis pada waktu tengah hari. Siapa yang lambat, memang melepas!

Penduduk tempatan juga cukup menggemari pelbagai jenis masakan kampung dan ulam-ulaman di sini. Harga yang murah, makanan yang enak, siapa sahaja tidak terpikat!

Alamat: Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Dibuka pada hari minggu bermula dari jam 7 pagi hingga 3:30 petang

#4 Mee Kicap Am

Jika nasi bukan makanan pilihan anda hari ini, bolehlah anda singgah di Restoran Mee Kicap Am yang terkenal dengan aneka mi ini, dijamin enak dan mengenyangkan!

Mee Kicap Am

Imej via Foursquare

Antara mi yang dihidangkan ialah mi wantan, bihun, mee kuning, dan kuey teow . Kesemuanya dihidangkan dalam 4 jenis pilihan masakan iaitu sup, sup kari, kari dan kicap. Tapi yang paling terkenal mestilah yang mi kicap!

Lebih-lebih lagi nama kedainya pun telah menunjukkan keistimewaan mereka iaitu mi kicap. Bagi yang belum pernah mencuba mi kicap, anda pasti tidak menyangka yang mee kicap boleh mempunyai rasa selazat itu, anda wajib cuba!

Alamat: No.35, Jalan Daeng Selili, 33000 Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Setiap hari bermula dari jam 8 pagi hingga 2 petang

#5 La Parra

Restoran ini menerima banyak komen positif daripada pengunjungnya. Hidangan Barat dan shell out mereka sangat sedap. Harganya juga dikatakan lebih murah berbanding tempat lain di Kuala Kangsar.

Menu @ La Parra

Imej via Foursquare

Jika anda tidak tahu hendak memilih hidangan apa, mungkin anda boleh cuba hidangan kambing mereka. Ramai yang memuji hidangan berasaskan daging kambing mereka., segar dan dijamin enak hingga menjilat jari!

Alamat: 637 – 652, Persiaran Putri 11, Chandan Putri, 33000 Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari bermula dari jam 4:45 petang hingga 11 malam, manakala pada hari Khamis dibuka 24 jam

#6 Laksa Pokok Limau

laksa telur sarang @ laksa pokok limau

Imej via Foursquare

Laksa Pokok Limau ini cukup terkenal dengan telur sarangnya. Namanya memang sudah cukup dikenali orang Perak dek kerana popularitinya. Malah, ia pernah muncul dalam rancangan Jom Terokai Perak!

Laksa biasa dijual pada harga RM3 manakala laksa telur goreng dan telur rebus pada harga RM3.50. Harga yang murah ini sudah tentu menjadi daya penarik kaki-kaki laksa di luar sana.

Bagi yang kurang menggemari laksa atau jarang menikmatinya, mungkin ini masanya untuk anda mencuba lagi. Mungkin citarasa anda berubah di sini. Belum cuba belum tahu, bukan?

Alamat: 195A, Jalan Besar Utara Selatan, Kampung Bendang Susur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang

#7 Warung Telaga

Laksa sarang yang cukup terkenal di negeri Perak ini juga boleh ditemui di Warung Telaga. Dengan pemandangan indah sawah padi, warung ini asalnya menjadi tempat pekerja sawah melepaskan lelah.

Laksa Sarang @ Warung Telaga

Imej via Foursquare

Namun, jumlah pengunjungnya mulai meningkat termasuk dari luar kawasan selepas ia tular di laman sosial. Kuah laksa telur sarang adalah resepi daripada pemiliknya sendiri yang sudah bersara sebagai kakitangan kerajaan.

Dekor @ Warung Telaga

Imej via Foursquare

Hiasan dalaman Warung Telaga menekankan gaya klasik Melayu yang memberikan rasa pulang ke kampung halaman. Selain Laksa Sarang, pelanggan juga turut menggemari mee rebus, keropok lekor dan cucur udang.

Alamat: Batu 30, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat, bermula dari jam 3 petang hingga 7:30 malam

#8 Rambai Classics

Kebanyakan restoran di Kuala Kangsar terkenal dengan harga yang murah tanpa mengurangkan kualiti makanan mereka. Begitu juga dengan makanan di restoran Rambai Classics yang menjanjikan kualiti makanan yang cukup baik dan harga yang memang berpatutan.

Lamb Chop @ Rambai Classics

Imej via Foursquare

Kalau tempat lain di Kuala Kangsar dikenali kerana makanan tempatannya, restoran ini pula mengetengahkan hidangan Barat. Ruangan di restoran ini juga cukup kemas dan bersih. Rona hijau pada dinding dan perabot kayu menonjolkan gaya klasiknya.

Makanan juga cuba dihidangkan agar kelihatan unik menjadikan ia kelihatan cenderung kepada budaya ‘hipster’ yang terkenal di kalangan anak muda pada masa kini. Anda dinasihatkan untuk datang awal kerana ianya sentiasa dipenuhi pelanggan!

Alamat: 6, Persiaran Prima 1, Prima, 33000 Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Ahad, bermula dari jam 5:30 petang hingga 12 tengah malam

#9 Chor Char Koay Teow Kuale

Restoran Chor Char Koay Teow Kuale bukan sahaja menghidangkan char koay teow, malah ia turut menghidangkan masakan barat. Harganya pula amatlah berpatutan iaitu hanya RM3.50 untuk char koay teow biasa dan sekitar RM15 untuk makanan Barat.

Char Koay Teow @ Chor Char Koay Teow

Imej via Foursquare

Pelanggan yang datang ke sini menganggap Chor Char Koay Teow Kuale menghidangkan char koay teow terbaik di Kuala Kangsar. Hidangan lain yang digemari adalah taufu bakar, boleh bikin sesiapa sahaja kecur air liur bila melihatnya!

Alamat: Kampung Penaga, 33000 Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, bermula dari jam 5:30 petang hingga 12 tengahari

#10 Burger Banjir River View

Kalau anda ingin makan makanan barat terutamanya burger, lekaslah serbu Burger Banjir River View! Bukan sahaja sedap, malah harganya juga amat berpatutan. Agak-agak kenapa ia digelar burger banjir ya?

Burger Banjr @ Burger Banjir River View

Imej via Foursquare

Hidangan ini menyajikan kuah lada hitam yang cukup banyak di atas pinggan bersama-sama dengan burger dan kentang goreng anda. Burger banjir datang dalam dua pilihan ayam dan daging dan kedua-duanya pada harga RM5 sahaja manakala chicken chop dijual pada harga RM8.50.

Melihat pada harganya, kualiti dan kuantiti makanannya yang banyak, maka tidak mustahillah ramai orang suka untuk mencadangkan tempat ini.

Alamat: No.40 Taman Seri Chandan, 33000 Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari bermula dari jam 5:30 petang hingga 12 tengah malam

#11 Restoran Kak Bitah

Roti Canai @ Restoran Kak Bitah

Imej via Foursquare

Papan tanda restoran ini menyatakan yang mereka menjual masakan Melayu, Tom Yam, Roti Canai dan Seafood. Menurut ramai pelanggan, mereka paling suka makan roti canai di sini.

Memandangkan restoran dibuka selama 24 jam, tempat ini menjadi lokasi pilihan untuk melepak terutama bagi mereka yang berasa lapar pada tengah malam. Harga makanan di sini juga murah lalu menjadikan ia salah satu lagi sebab ia menjadi pilihan ramai.

Alamat: No.7, Persiaran Putra 1, Jalan Taiping, Kuala Kangsar

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam

Banyak betul tempat makan menarik yang boleh anda terjah sekitar Kuala Kangsar. Ada yang sudah mula rambang mata memikirkan yang mana satu tempat yang patut anda serbu ke tu?

Bagi yang sudah mula berminat untuk berkunjung ke tempat-tempat makan yang kami senaraikan ini, lekaslah berbuat demikian sebelum terlepas peluang ya. Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani Muhamad Sabri

Nurul Hani Muhamad Sabri

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.