Nama lama bagi Teluk Intan adalah Teluk Anson. Kawasan ini terkenal dengan Menara Condong sebagai mercu tandanya. Jika anda ke Teluk Intan, jangan lupa merasai keenakan makanan di tempat-tempat best ini.

10 Tempat Makan Teluk Intan

#1 RESTORAN D’TEPIAN SUNGAI

Imej via foursquare

Restoran Ini mendapat namanya kerana kedudukannya yang berada di tepi sungai Teluk Intan di tengah-tengah bandar. Kalau anda nampak replika udang galah yang besar, maka di situlah tempatnya.

Ia juga mudah ditemui kerana cahaya terang-benderangnya di samping jumlah pengunjung yang sentiasa ramai. Harga udang galah adalah bergantung kepada grednya. Gred A boleh mencecah sehingga RM70 sekilogram dan RM60 untuk gred B. Apa yang menarik adalah udangnya segar-segar.

Udang-udang ini bukan sahaja dibakar, malah anda juga boleh makan Udang Masak Tiga Rasa, Udang Masak Lemak Cili Api, Udang Masak Tempoyak, dan Udang Galah Bertepung.

Alamat: Jalan Mahkota, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan

Waktu Operasi: Setiap hari (7pm – 11pm)

 

#2 RESTORAN M. GULAM RASUL

Imej via foursquare

Restoran ini ada rating yang tinggi. Ia menyediakan pelbagai jenis hidangan daripada daging, makanan laut, sayur-sayuran, roti, mee, nasi dan yang lain lagi. Bayangkan restoran mamak. Itulah dia. Restoran M. Gulam Rasul mempunyai banyak cawangan di Teluk Intan, jadi ia amat dikenali di kalangan penduduk di situ.

Tambahan pula ia telah beroperasi selama lebih sepuluh tahun. Ramai yang menyukai ayam goreng M. Gulam Rasul. Malah, ia dikatakan yang paling terkenal selain daripada nasi kandarnya.

Alamat: Jalan Changkat Jong, 36000 Teluk Intan

No. 1-2, Lorong Hulubalang F3/11, Jalan Laksamana, 36000 Teluk Intan

No.55, Jalan Changkat Jong, 36000 Teluk Intan

Waktu Operasi: Setiap hari, 24 jam

 

#3 MEDAN SELERA MENARA CONDONG

Imej via foursquare

Menara Condong Teluk Intan sering disamakan dengan Menara Pisa di Itali. Oleh itu, ia menjadi lokasi tumpuan pelancong. Di hadapan menara ini pula, terdapat sebuah medan selera yang telah berusia lebih 20 tahun. Ia turut dikenali dengan nama Bumbung Biru.

Mi bandung, mi kari dan sate adalah di antara menu yang menjadi tarikan di sini. Selain itu, ada popia dan cucur udang jika anda mahu hidangan yang lebih ringan.

Alamat: Jalan Pasar, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan

 

#4 RESTORAN MASTAN GHANI

Imej via foursquare

Restoran Mastan Ghani amat terkenal dengan mi rebus dan rojaknya. Pengunjungnya bukan sahaja dari kalangan penduduk tempatan, tapi termasuk juga pelancong asing.

Sambutan hangat yang diterima membolehkan restoran ini membuka lagi beberapa cawangan di sekitar Teluk Intan. Restoran Mastan Ghani telah dibuka sejak tahun 1961 dan kekal dengan resepi rahsianya yang pasti tidak akan mengecewakan mereka yang menjamu selera.

Restoran yang diuruskan oleh ahli keluarga Mastan Ghani sendiri sentiasa memberikan layanan terbaik kepada para pelanggan.

Alamat: Jalan Selat (berhampiran Menara Condong), Taman Indah, Taman Ros

Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 9pm)

 

#5 COFFEE LAB

Imej via foursquare

Peminat kopi dijemput datang untuk minum di sini. Suasananya amat sesuai untuk berehat sambil minum kopi termasuk kopi dengan gabungan aiskrim.

Oleh itu, ia menjadi pilihan keluarga dan rakan-rakan yang mahu melepak. Namun, jika anda lapar, mereka turut menyediakan hidangan barat seperti Chicken Chop dengan pilihan sos seperti cendawan dan lada hitam. Harga yang dikenakan pula tidaklah mahal, tetapi berpatutan. Malah dengan harga itu, rasanya juga tidak mengecewakan.

Alamat: Bandar Baru, 36000 Teluk Intan (bersebelahan Secret Recipe)

Waktu Operasi: Setiap hari (7am – 12am)

 

#6 GERAI CHAH SABAR MENUNGGU

Imej via foursquare

Mi Kicap ialah di antara menu yang kerap dipesan dan mendapat komen di mana-mana. Jadi, gerai Chah Sabar Menunggu memang sudah dikenali untuk hidangan tersebut. Selain itu, mereka turut menghidangkan sup kue tiaow, Nasi Goreng Cina Special dan mi kari yang tidak kurang hebatnya.

Walaupun begitu, ramai juga yang mengadu mereka terpaksa menunggu agak lama dan perlu bersabar sebagaimana tertera pada nama mereka. Jika itu bukan masalah dan anda ingin cuba juga mi kicap yang terkenal itu, maka kedatangan anda dialu-alukan.

Alamat: No.10, Jalan Mahkamah, Teluk Intan

 

#7 APAM BALIK MALINDO

Imej via orangperak

Apam balik merupakan kuih yang terkenal di Malaysia. Biasanya ditemui di pasar-pasar malam. Jika anda berada di Teluk Intan, jemput singgah ke gerai Apam Balik Malindo. Ia gerai apam balik yang dengan bangga dibuka sejak tahun 1982 lagi oleh Encik Ashaari.

Dua jenis apam balik dijual di sini iaitu apam balik tebal dan apam balik nipis yang lebih rangup. Apa yang menarik adalah Encik Ashaari masih mengekalkan apam balik citarasa tradisional. Maka, anda tidak akan menemui apam balik dengan inti seperti coklat dan sebagainya. Walaupun memilih untuk tidak mengikuti trend moden, pembeli yang terdiri daripada tempatan dan warga asing tetap sanggup beratur untuk membelinya.

Alamat: Di belakang Stesen Minyak Shell dan bersebelahan Menara Condong Teluk Intan.

 

#8 KRISHNAN NASI KANDAR CHANGKAT JONG

Imej via foursquare

Nasi Kandar di sini dikatakan lebih murah berbanding di tempat lain. Ayam gorengnya pula memang pilihan ramai. Cara di sini adalah layan diri. Jadi, anda ambil makanan dan minuman anda sendiri dan membayarnya di kaunter.

Tempatnya sesuai untuk makan tengah hari dan jika anda tidak kisah dengan konsep layan diri. Ia ringkas tapi cukup mengisi perut yang lapar. Jangan risau tentang parkir kerana amat mudah mendapatkan tempat meletak kenderaan di sini.

Alamat: Jalan Changkat Jong, 36000 Teluk Intan

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 3pm)

 

#9 RESTORAN WANA

Imej via foursquare

Menunya terdiri daripada pelbagai jenis masakan – Melayu, barat, laut dan banyak lagi. Oleh kerana ada banyak pilihan, jadi ada masakan yang lazat dan ada juga yang tidak mencapai standard yang dimahukan pelanggan.

Antara pilihan pelanggan ialah aneka nasi goreng, Yong Tau fu goreng, udang galah goreng halia dan ekoba. Rata-rata pelanggan berpuas hati dengan suasana restoran, makanan dan layanan di Restoran Wana.

Alamat: Jalan Intan 3, Bandar Baru Teluk Intan, 36000 Teluk Intan

Waktu Operasi: Rabu – Isnin (5pm – 12am), ditutup pada hari Selasa

 

#10 RESTORAN UDANG GALAH TELUK INTAN

Imej via foursquare

Mereka ada banyak pilihan masakan Melayu dan sudah tentulah udang galah antara yang terbaik di dalam menu mereka. Anda boleh pilih udang sambal, udang masak lemak dan banyak lagi dari senarai menu yang ada.

Kalau tak mahu udang, ikan bakar juga ada. Selain itu, Restoran Udang Galah juga menyediakan banyak ulam-ulaman. Boleh dikatakan yang kebanyakan pelanggan mengatakan makanan mereka sedap.

Kerana itulah ia dikenali ramai dan ada yang sanggup datang jauh dari daerah atau negeri lain untuk mencubanya. Harga makanan di sini amat berpatutan kecuali udang galahnya yang boleh dikatakan agak mahal sesuai dengan harga pasarannya.

Alamat: 1918, Jalan Sekolah, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (7am – 6pm), ditutup pada hari Ahad

 

Artikel Menarik Lain

Anda suka artikel ini, jangan lupa untuk like dan share ya sebagai rujukan di masa hadapan. Oh ya, kami juga menulis tempat makan menarik lain di Perak yang patut anda pergi.

Penulis: anis

Seorang yang simple. Suka mencuba dan mencari tempat makan yang menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.